Khamis, November 29, 2007

DBP KENA POPULARKAN ISTILAH SERUMPUN

Saya merujuk berita yang memetik Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh mengkritik DBP sebagai mengalami kemandulan minda kerana tidak menggunakan perkataan dan istilah daripada sumber dialek, sebaliknya sewenang-wenang menterjemah kosa kata bahasa asing terutama Inggeris; seperti yang tersiar di halaman muka Beritah Harian 26 November 2007, semalam.

Saya mengucapkan syabas kepada Datuk Dr Wan Hashim kerana semangatnya menegakkan warisan bangsa seperti yang pernah ditunjukkannya tatkala bergelar sarjana, sebelum menceburi politik, masih begitu membara dan kritis. Tatkala pelbagai gejala perosak melanda bahasa Melayu (yang kini sudahpun berkubur kerana sudah bergelar bahasa Malaysia!), DBP sendiri seperti kehilangan arah dan maruah. DBP yang diharapkan untuk ‘mengajar anak ketam berjalan betul’, nampaknya kini sudah bertukar menjadi ‘ibu ketam’ pula. DBP yang sepatutnya ‘cakap serupa bikin’, kini sudah tidak begitu lagi kerana DBP sendiri yang menunjukkan teladan yang tidak baik untuk ‘kesihatan’ bahasa Malaysia. Maka makin sakitlah bahasa kebangsaan kita.

Ironinya, DBP sendirilah yang menerbitkan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia pada tahun 1975 lagi. Jelas pedoman itu mewajibkan bahawa untuk membentuk kata atau istilah itu, terlebih dahulu carilah kata umum bahasa Malaysia yang sesuai dan lazim digunakan. Jika tiada, carilah kata yang tidak lazim digunakan pula. Jika tiada atau masih kurang sesuai, cari pula kata yang lazim digunakan dari sumber dialek serumpun, dan jika tiada yang lazim, cari kata yang tidak lazim pula. Hanya setelah proses itu dilakukan, dan tiada juga kata yang sesuai untuk digunakan, barulah mencari kata dari bahasa asing yang tidak semestinya Inggeris semata-mata.

Tidak cukup dengan pedoman tersebut, DBP juga telah bersusah-payah mengumpul kata-kata dialek dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah Glosari Dialek Kedah (1997), dan Glosari Dialek Terengganu (1997). Beratus-ratus perkataan terdapat di dalam dua glosari itu, dan ada yang boleh digunakan sebagai kata baku dalam bahasa Melayu sebagai padanan kepada kosa kata bahasa asing. DBP juga menerbitkan buku Kata Bahasa Sukuan untuk Perbendaharan Kata Bahasa Malaysia (1988) yang memuatkan kata-kata bahasa peribumi Sabah dan Sarawak yang boleh digunakan untuk menggantikan kata pinjam-terjemah daripada bahasa Inggeris khususnya.

Ruai (bahasa Iban dan Bidayuh) misalnya, boleh menggantikan ‘lobi’ atau ‘ruang legar’, dan kita tidak perlulah ‘melobi’ dilobi lagi! Begitu juga dengan awah (bahasa Kayan, Kenyah, Bidayuh, Lun Bawang, dan Kelabit) lebih sesuai digunakan berbanding ‘koridor’ (corridor). Insyaallah, pelancaran ruai Sarawak nanti akan menjadi lebih bermakna lagi bagi pembangunan ekonomi peribumi Sarawak khususnya. Masyarakat Kadazan sudah lama menggunakan tuhunan berbanding ‘kusyen’ (cushion), malahan mereka dan masyarakat Dusun juga telah ada perkataan kisus untuk ‘pemutar skru’ (screw driver). Masyarakat Melanau pula ada perkataan gadar untuk ‘lutsinar’ (transparent), Jadi tidak perlulah kita menggunakan ‘transparensi’ kerana sudah ada gadar dari bahasa serumpun.

Malah kita juga harus berasa malu dengan suku kaum Asli Kanaq kerana mereka memakan rokak dan bukan ‘biskut’ (biscuit). DBP masih membenarkan kita makan ‘biskut’ hingga kini. Sudahkah DBP memanfaatkan beberapa padanan kata yang telah diusahakan secara asasi oleh JHEOA? Sekurang-kurangnya sudah ada padanan kata bahasa suku Temuan, Temiar, Semai, dan Jakun. Daripada kajian saya sendiri, dialek-dialek suku kaum Asli ini sudah semakin pupus kerana pelbagai faktor termasuklah tiada usaha bersungguh-sungguh untuk memanfaatkan sumber kosa kata mereka. Jika pupus, hilanglah bangsa kerana ‘bahasa menunjukkan bangsa’.

Suatu waktu dahulu, kita sudah dibiasakan dengan kudapan dan merarau, bagi maksud ‘minum pagi’ dan ‘makan tengah hari’. Tetapi entah di mana silapnya, sudah tidak ada perkataan-perkataan itu dalam senarai atur cara walau anjuran DBP sekalipun (walaupun sudah masuk Kamus Dewan). Alangkah baiknya jika kita membiasakan sebutan mentong untuk hi-tea kerana masyarakat Jawa sudah lama menggunakannya. Begitu juga, untuk memudahkan kita memahami yang mana satu ‘kain buruk untuk mengelap air’ atau ‘membersihkan kekotoran di lantai’, dengan ‘kain buruk yang masih boleh dipakai’; kita boleh menggunakan gombal (dari bahasa Jawa) untuk maksud yang pertama itu. Yang mana pula ‘kencing malam di tempat tidur’ dengan ‘kencing di waktu malam di bilik air’? Bahasa Jawa juga sudah ada ngompol untuk maksud yang pertama. Kita marah apabila petugas kaunter di Shah Alam merojakkan bahasa Melayu dengan bahasa Jawa dalam urusan rasmi. Tetapi kita sewenang-wenangnya merojakkan bahasa Malaysia dengan bahasa Inggeris terutamanya, sehari-hari. DBP juga marah merojakkan bahasa Malaysia dengan bahasa Inggeris, tetapi kamusnya sendiri membenarkan! Itulah yang menyebabkan Ahli Parlimen Gerik jadi marah.

DBP perlu kembali ke landasan asal; menegakkan bahasa Malaysia. Dalam menempuh era globalisasi, bahasa Malaysia perlu dilihat dinamik dan tidak bersifat pengemis. Dalam episod angkasawan bangsa Melayu ke angkasa lepas baru-baru ini, kita berbangga kerana tidak menterjemahkan astronaut menjadi ‘astronot’ atau cosmonaut menjadi ‘kosmonot’, sebaliknya kita kekalkan perkataan kita sendiri, iaitu angkasawan. Lebih membanggakan lagi, perkataan angkasawan itu sendiri telah begitu lama kita gunakan, walaupun tanpa menyedari bahawa suatu hari nanti perkataan itu akan menjadi begitu bermakna kerana bangsa kita telah berjaya meneroka angkasa lepas. Begitulah juga dengan perkataan-perkataan bahasa Malaysia yang lain. Janganlah menganggap kosa kata bahasa kita sebagai bahasa kampungan dan tidak bersifat global. Yakinlah, dengan ciri jati diri kita sendiri, kita mampu bangkit bersaing dengan bangsa lain. Jepun, Korea, China, Perancis, Jerman, dan beberapa bangsa yang lain lagi telah membuktikannya, malahan negara jiran kita Thailand telahpun lebih maju dalam bidang pertanian berbanding kita, dan mereka hanya menggunakan bahasa mereka sendiri! Masihkah DBP tidak yakin?

Semoga dalam pembentangan belanjawan tahun hadapan, ‘bajet’ tidak digunakan lagi!