Khamis, Mei 22, 2008

MASA MENGEMBALIKAN CITRA MELAYU SEBENAR

Komen Tun Musa Hitam tentang pengunduran bersyarat Tun Mahathir daripada UMNO amat menarik untuk ditelusuri. Beliau dipetik sebagai berkata bahawa konsep Mahathirisme sudah berlalu. Dari sudut ilmu bahasa, ‘isme’ ialah kata akhiran asing yang dipinjam dan disesuaikan sebagai kata akhiran bahasa Melayu. Kata ini membawa pengertian ‘kepercayaan, gerakan politik atau keagamaan, dan juga sikap serta perlakuan’ seseorang atau sesebuah kelompok manusia. Dalam konteks ini Mahathirisme membawa gambaran kewujudan suatu era yang memperlihatkan orang Melayu begitu (atau terpaksa) percaya dengan cara, pemikiran, tindakan, diplomasi, dan corak pemerintahan Tun Mahathir yang berlaku selama lebih dua dekad yang lalu.

Dalam tempoh tersebut, pelbagai kejayaan telah dicapai oleh negara khususnya dalam bidang ekonomi dan hubungan antarabangsa. Sesiapapun tidak boleh menafikan bahawa selama 22 tahun memerintah, Tun Mahathir telah berjaya membangunkan Malaysia dalam pelbagai sektor. Malaysia telah mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara besar dan maju. Suara Malaysia kedengaran di mana-mana; dari Jepun hingga ke Amerika, malahan dalam kalangan negara-negara Islam, Malaysialah juara. Pada tempoh-tempoh akhir pemerintahannya, suara Malaysia juga turut didengari hingga ke Everest, benua Artik dan benua Antartika. Begitulah hebat Tun Mahathir. Kami rakyat Malaysia berasa amat berbangga kerana mendapat seorang negarawan yang seulung Tun.

Walau bagaimanapun kehebatan Tun Mahathir melalui pelbagai pencapaian tersebut tidak sejajar dengan kebijaksanaan Tun berpolitik cara Melayu. Tun yang telah terlibat dengan UMNO semenjak awal penubuhannya, gagal menyelami jiwa Melayu sedalam-dalamnya. Barangkali kerana Tun tidak berdarah Melayu setulen-tulennya, maka itu Tun tidak mampu menghayati hati budi Melayu serta gagal berfikir seperti orang Melayu umumnya. Tun telah diberi kuasa seluas-luasnya, dan saya yakin tidak akan ada perdana menteri selepas Tun yang akan berkuasa begitu lama seperti yang telah Tun capai.

Tun tidak sedar bahawa orang Melayu secara tradisinya telah memisahkan kuasa politik dengan kuasa daulat. Bagi orang Melayu, semenjak waadat antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba di Bukit Siguntang; rakyat jelata boleh berpolitik tetapi raja-raja Melayu tetap ditaati atas kuasa daulatnya. Jangan sekali-kali mencampuradukkan kedua-dua dimensi kuasa itu kerana jika itu dilakukan, bencana akan menimpa orang Melayu. Inilah yang telah Tun lakukan berkali-kali semasa berkuasa dahulu. Pada awal-awal lagi, Tun dilihat sebagai ultra Malay yang kelihatan seperti mahu mencabar ciri keramat Melayu sebagai manusia yang sederhana, taat dan patuh kepada rajanya.

Kemudian Tun mulai membentuk rejim Tun sendiri yang diperkukuhkan melalui pelbagai tindakan termasuklah berkonfrontasi dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein, Tengku Razaleigh, Tun Musa, Tun Ghafar, Datuk Seri Anuar, dan sekarang dengan Datuk Seri Abdullah pula. Malahan Tun tergamak mencabar kuasa daulat raja-raja Melayu sehinggakan orang bukan Melayu pun sudah terikut-ikut berani mencabar raja-raja Melayu.

Selama 22 tahun rejim Mahathirisme berkuasa mutlak, sehingga raja-raja Melayu pun tidak senang duduk tetapi tidak mampu bersuara. Setelah lama memendam rasa, Allah telah mentakdirkan sudah tiba masanya segala kesilapan Tun diperbetulkan. Pak Lah ditakdirkan menggantikan Tun sebagai Perdana Menteri. Zaman kekerasan telah berlalu, dan kini tiba pula zaman penuh kelembutan, tenang dan berhikmah. Segala kemarahan yang disimpan selama 22 tahun, kelihatan reda dengan pertukaran rejim pada PRU 11 (2004).

Rakyat amat mengharapkan agar kelembutan Pak Lah akan memadamkan api dendam yang membara selama ini. Tetapi Tun tidak menyenangi gaya Pak Lah lalu bangkit mengkritik. Tun tidak pun memberi peluang dan ruang yang selesa kepada Pak Lah untuk memerintah mengikut caranya. Tun tuduh Pak Lah mengamalkan kronisme dan nepotisme tanpa sedar bahawa istilah-istilah itu muncul pada zaman Tun. Kritikan demi kritikan yang Tun lemparkan tidak ubah seperti membuka pekung di dada atau menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri! Seperti kata beberapa pihak, Tun berada dalam state of insecurity apabila satu demi satu dasar baru diperkenalkan oleh Pak Lah menggantikan dasar-dasar keras Tun selama ini. Mahathirisme sepatutnya sudah berakhir tetapi Tun menyemarakkan semula rasa kebencian rakyat yang sudah reda selama 4 tahun selepas PRU 11. Orang Melayu bangun memprotes, tetapi bukan niat ditujukan kepada Pak Lah. Akibatnya, PRU 12 menyaksikan orang Melayu kehilangan kuasa politik mereka.

Kuasa ekonomi memang sudah lama terlepas daripada tangan orang Melayu khususnya akibat penjajahan demi penjajahan. Kini, kuasa politik yang dahulunya menjadi pengimbang kepada kuasa ekonomi, turut sudah terlepas daripada genggaman orang Melayu; sedikit demi sedikit. Buktinya, mulai pada PRU 10 (1999) kepemimpinan tertinggi Melayu (era Mahathirisme) sudah mengisytiharkan bahawa tanpa pengundi Cina, Barisan Nasional (BN) belum pasti mampu terus memerintah dengan majoriti 2/3. Maknanya, orang Cina sekarang sudah menjadi penentu kepada kebertahanan ‘ketuanan Melayu’. Semenjak dari itu, yang tinggal bagi orang Melayu hanyalah kuasa daulat raja-rajanya sahaja.

Memanglah UMNO kelihatan sangat lemah sekarang. Tetapi apakah faedahnya jika kita terus menimbulkan masalah demi masalah. Mujurlah Pak Lah yang jadi Presiden, jika orang lain, saya tidak boleh bayangkan berantakan yang lebih dahsyat lagi. Rakyat amat percaya, jika gajah sama gajah berjuang, yang mati ditengah-tengah ialah pelanduk. Jadi, wahai para pemimpin Melayu, janganlah lagi menimbulkan kegusaran di hati rakyat. Ingatlah, satu lagi keunikan ciri keramat Melayu ialah mengamuk. Sebelum rakyat bangkit mengamuk, lebih baik kita duduk bermusyawarah dan selesaikan kekusutan dengan cara baik. Amukan kecil sudah pun dimanifestasikan melalui PRU 12 yang lalu, dan kita sedar dengan amukan sedemikian pun orang Melayu sudah kehilangan maruah dan ketuanannya.

Tun Mahathir hendaklah sedar bahawa, era Mahathirisme telah berlalu. Segala yang berlaku sekarang harus dijadikan iktibar kepada seluruh umat Melayu. Jangan terlalu suka menuding jari ke sana dan ke mari menyalahkan orang lain kerana setiap kali satu jari telunjuk kita menunjuk orang lain sebagai bersalah, ada tiga jari yang lain menunjuk ke arah diri kita sendiri. Pak Lah, teruskanlah agenda membangun semula hati budi orang Melayu yang telah lama terkeliru. Belum terlambat untuk melakukan sesuatu, dan keluarnya Tun Mahathir daripada UMNO harus dilihat sebagai titik mula mengembalikan citra Melayu yang setulen-tulennya.