Rabu, Februari 03, 2010

MELAYU BERMIMPI DALAM KEPOMPONG BUDU BAHASA - UTUSAN MALAYSIA 16 JULAI 2009

Buat kesekian kalinya, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah lagi tentang orang Melayu. Ternyata baginda amat prihatin dengan perkembangan yang melanda orang Melayu kini. Dalam titah baginda di Majlis Perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009, baginda sekali lagi mengingatkan umat Melayu supaya berpijak kepada kenyataan dan berpandulah kepada akal fikiran.

Dengan kedaulatan baginda yang berasal daripada keturunan raja-raja Melayu Melaka, dan ditambah dengan keintelektualan baginda, orang Melayu harus benar-benar percaya akan titah baginda itu, dan benar-benar faham akan gejala kehancuran yang sedang melanda sekarang.

Mengulas tentang saranan baginda supaya orang Melayu menggunakan akal fikiran, saya ingin mengaitkan dengan serangkap pantun Melayu; “yang kurik kundi, yang merah saga; yang baik budi, yang indah bahasa”.

Dalam satu kajian, daripada seorang informan saya terjumpa baris ketiga pembayang dan baris keenam maksud pantun itu yang saya fikir sengaja dihilangkan. Baris ketiga pembayang ialah; “yang keras takal,” manakala baris keenam maksud pula berbunyi; “yang pantas akal”.

Kehilangan kedua-dua baris keramat itu saya jangka adalah sebahagian usaha orientalis dan penjajah British yang mahu memisahkan orang Melayu daripada dunia keintelektualan. Hal ini samalah dengan momokan British yang kononnya sebahagian besar naskah persuratan Melayu yang sarat dengan pemikiran dan unsur-unsur keintelektualan telah tenggelam bersama-sama kapal Raffles tatkala dibawa belayar ke Eropah.

Dengan demikian, walaupun setelah lebih separuh abad orang Melayu merdeka daripada penjajahan Barat, ternyata aspek kemerdekaan minda masih belum berlaku. Orang Melayu masih gagal membuat pertimbangan tanpa pengaruh emosi, assabiyah, dan dendam kesumat.

Orang Melayu masih terlalu hebat berbudi bahasa sehinggakan apabila sekali termakan budi, kita rela menggadai maruah dan menghambakan diri tanpa memikirkan masa depan bangsa sendiri. Kita rela berbantah-bantahan dengan saudara kita sendiri demi menyokong dan menegakkan orang lain.

Walaupun istilah Melayu itu bersinonim dengan Islam, tetapi nampaknya orang Melayu masih belum benar-benar mukmin. Jangan sekali-kali diperlekeh keislaman mereka walaupun mereka tidak solat, tidak puasa, atau melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak Islamik. Islam menuntut kita supaya bersatu padu tetapi kita tidak mahu. Islam menyuruh kita berfikir, tetapi kita lebih suka mengikut emosi dan nafsu.

Ternyatalah bahawa setelah dijajah selama 446 tahun, orang Melayu berjaya dipisahkan daripada akal mereka dan hanya hidup berpandukan budi bahasa semata-mata. Dalam kepompong budi bahasa itulah sebahagian orang Melayu leka dengan mimpi yang indah-indah tetapi bercanggah dengan realiti semasa.

Walaupun telah banyak kali diperingatkan dan diuji, sikap sebahagian orang Melayu masih tidak berubah menjadi manusia yang dinamik dan pragmatik. Keselesaan mereka dalam dimensi fatamorgana benar-benar berjaya meletakkan diri mereka dalam arus pemikiran bawah sedar. Mereka terpisah daripada rasional dan hanya bersifat pengikut yang taksub.

Siapa tidak tahu bahawa orang Melayu sangat suka berhasad dengki sehinggakan apabila ada orang Melayu yang naik tinggi, akan diusahakan supaya dijatuhkan. Apabila mengatur majlis, orang Melayu terkenal dengan ‘time Melayu’. Apabila dipujuk rayu misalnya oleh Pak-pak Arab, Mat-mat Indon, anak-anak Melayu mudah terlentuk dan hanyut.

Tidak lama dahulu banyak kes anak-anak Melayu yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila dijanjikan kemewahan hidup. Nampaknya dunia telah tahu bahawa orang Melayu sangat mudah digula-gulai kerana bangsa ini seolah-olah tidak berakal!

Setelah Raja Muda bertitah demikian, apakah pemimpin dan rakyat Melayu masih belum faham-faham lagi?

Yang kurik kundi,
yang merah saga,
yang keras takal;
yang baik budi,
yang indah bahasa,
yang pantas akal.



Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.
GEMBLENG KEPAKARAN SARJANA, MARTABATKAN BAHASA MELAYU - UTUSAN MALAYSIA 23 JULAI 2009

Pengisytiharan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang pemansuhan dasar PPSMI baru-baru ini adalah satu langkah tepat berdasarkan keprihatinan para pencinta bahasa Melayu dan kehendak majoriti rakyat Malaysia. Walaupun beberapa badan bukan kerajaan mempersoalkan tarikh penguatkuasaannya, namun tahun 2012 itu dilihat sebagai tarikh yang amat sesuai atas beberapa faktor seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin.

Saya fikir penangguhan itu juga sangat mustahak untuk mengelakkan ‘dasar pemansuhan’ ini dilihat sebagai keputusan terburu-buru, seperti tatkala PPSMI dilaksanakan dahulu. Dengan penangguhan itu, sesiapa pun tidak boleh mempersoalkan kredibiliti keputusan yang diambil oleh kerajaan. Masa yang ada boleh digunakan untuk memperkemaskan pendekatan, kaedah, teknik dan strategi untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris di samping memastikan juga pelajar tidak tercicir dalam menguasai matapelajaran Matematik dan Sains.

Namun demikian, bagi kalangan para sarjana bahasa Melayu tempoh edah ini perlu digunakan untuk memperkukuhkan korpus bahasa itu setuntas-tuntasnya. Dari segi status, bahasa Melayu memang tidak goyah kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara. Namun kita tidak menolak bahawa salah satu punca PPSMI diperkenalkan ialah alasan kononnya bahasa Melayu tidak mampu mengungkap perkembangan pesat dunia ilmu terutama sekali yang berkaitan dengan sains dan teknologi.

Para sarjana bahasa Melayu perlu memastikan bahawa segala data korpus bahasa Melayu terutama yang telah didokumentasi, disebarluaskan dan dimasyarakatkan. Hal ini khususnya berkaitan dengan kosa kata dan istilah yang telah dikumpul, diuji dan didokumentasi selama ini. Pada akhir 2007 dahulu pernah diperdebatkan tentang kemandulan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam konteks menghasilkan kosa kata dan istilah yang mencukupi untuk digunakan dalam bidang ilmu.

Hal ini sebenarnya amat bertentangan dengan fakta bahawa telah begitu banyak penyelidikan dan pendokumentasian dibuat dan diterbitkan. Setakat ini, sudah diterbitkan 225 daftar kata dan glosari yang memperkenalkan 825 495 istilah dalam pelbagai bidang. Juga sudah diterbitkan 41 kamus istilah mengandungi 362 761 istilah untuk digunakan oleh masyarakat. Namun demikian entah di mana silapnya, masyarakat seolah-olah tidak tahu dan dengan itu tidak menggunakannya dalam situasi komunikasi sehari-harian dan keperluan khusus pengungkapan ilmu.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga kamus dialek seperti Dialek Kedah, Dialek Terengganu dan juga kamus bahasa sukuan seperti Kata Bahasa Sukuan yang boleh dimanfaatkan. Dalam kamus Bahasa Sukuan Sabah dan Sarawak misalnya terdapat perkataan ‘kisus’ untuk screw driver, ‘gadar’ untuk transparency, dan ‘tuhunan’ untuk cussion. Semua perkataan ini dengan sendirinya boleh diangkat menjadi istilah dalam bidang yang teknikal sifatnya.

Sumber bahasa-bahasa orang Asli seperti ‘rokak’ untuk biscuit, ‘gesek’ untuk radio dan sumber bahasa serumpun seperti ‘ngompol’ untuk terkencing ketika tidur dan ‘gombal’ untuk kain buruk, juga boleh dimanfaatkan sebegai kosa kata khusus atau istilah dalam memperkatakan topik-topik yang berkaitan.

Dari sudut makan, warisan bahasa Melayu menunjukkan bahawa orang Melayu tidaklah bersifat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Itu hanyalah momokan yang memperlekeh orang Melayu sehingga kita menerima sahaja seolah-olah benar. Ini kerana kita ada istilah-istilah khusus iaitu; ‘sahur’ (untuk makan sebelum mata hari terbit ketika berpuasa), ‘sarapan’ (makan pagi), ‘kudapan’ (minum pagi), ‘merarau’ (makan tengah hari), ‘mentong’ (minum petang), dan ‘menggabi’ (makan malam). Istilah-istilah tersebut menunjukkan orang Melayu makan lima kali sehari (jika tidak berpuasa), dan orang yang makan sebanyak itu tidaklah orang miskin! Harus diingat bahawa penciptaan istilah menunjukkan kewujudan sesuatu perlakuan, konsep, perkara atau benda.

Banyak lagi yang harus dilakukan oleh para sarjana dalam memperkenalkan istilah dan kosa kata bahasa Melayu kepada masyarakat. Kita harus tidak kedekut kerana kelak hanya kita yang kerugian. Jangan dipersalahkan orang lain jika mereka tidak sedar akan kekayaan bahasa Melayu kerana kita yang bersalah; hanya menyimpan dan ‘melindungi’ hasil kajian kita untuk apa tujuan sekalipun. Marilah kita ambil kesempatan penangguhan pemansuhan ini untuk memperkaya dan memperkenalkan kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa Malaysia yang bertaraf dunia.

Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.
ORANG MELAYU DAN PERBANDINGAN CUCUR KODOK - UTUSAN MALAYSIA 6 OGOS 2009

Semenjak dua-tiga tahun kebelakangan ini saya agak kerap berkunjung ke Indonesia atas urusan kerja dan juga peribadi. Tempat-tempat yang sempat saya kunjungi termasuklah Jakarta, Jogjakarta, Bandung, Solo, Medan, Aceh dan Padang. Kekerapan ke Jakarta dan Jogjakarta adalah yang paling tinggi.

Membaca tajuk besar muka hadapan Utusan Malaysia semalam tentang kemungkinan ‘peserta’ demonstrasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman Sabtu lalu, diupah untuk turut serta, saya teringat pengalaman yang disaksikan sendiri di Indonesia dan diakui oleh teman-teman saya di sana, bahawa ada segelintir warga kota-kota besar itu yang bertugas sebagai ‘demonstran’ – peserta demonstrasi sepenuh masa.

Mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap, sebaliknya gemar berhimpun di tempat-tempat strategik terutama yang ramai pengunjungnya seperti tugu-tugu peringatan dan taman-taman awam. Apabila ada individu atau badan-badan tertentu yang mahu memprotes sesuatu atau mengetengahkan sesuatu isu, para demonstran itu akan diberi upah dalam bentuk wang tunai serta makanan dan minuman secara gratis (percuma).

Lilitan kepala (bandana/semutar), poster, sepanduk dan gegantung disediakan oleh penganjur dan mereka hanya perlu berarak ke sana ke mari sambil melaung-laungkan pelbagai slogan ciptaan penganjur. Satu ketika secara kebetulan saya berada tidak jauh dari Tugu Monas. Teman pengiring saya membisikkan ada tanda-tanda demonstrasi akan berlaku sebentar lagi. Ternyata, tidak berapa lama berlakulah apa yang dibisikkannya. Secara tiba-tiba saja gerombolan manusia berarak lengkap dengan lilitan kepala, poster, sepanduk dan gegantung.

Antara tanda-tanda demonstrasi akan berlaku ialah apabila kelihatan ada beberapa orang mundar-mandir mengedarkan ‘sedekah’ sambil turut menyerahkan poster, dan kain lilitan kepala. Ternyata mereka memang profesional! Asal dapat makan, itu sudah cukup buat mereka.

Itukah agaknya yang terjadi di bandaraya Kuala Lumpur? Jika benar pengakuan bahawa mereka menerima upah untuk berarak, maka pada fikiran saya amat sesuailah komen spontan Perdana Menteri yang antara lain mencadangkan supaya disediakan tempat yang khas untuk mereka berdemonstrasi! Kata PM; “bertempiklah sampai subuh tapi jangan kacau jalan dan lalu lintas orang ramai”.

Inilah yang dikatakan ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’. Jika benar itulah nilai dan budaya baru yang digemari oleh sebilangan rakyat yang diwarisi dari pemimpin-pemimpin tertentu, maka wajarlah sebagai kerajaan yang prihatin dan ‘mengutamakan rakyat’, memikirkan untuk memprofesionalkan tradisi demonstrasi. Buatlah seperti mana yang berlaku di Indonesia itu; mereka tidak menyusahkan orang ramai malah para peniaga mengaut keuntungan kerana ramai yang datang menyaksikan demonstrasi itu.

Sebagai orang Melayu memanglah kita berasa sedih dengan apa yang berlaku. Namun begitu, hakikat yang perlu diterima ialah bahawa sebahagian orang Melayu mahu mengubah ‘kemelayuan’ mereka dengan menunjukkan nilai-nilai garang dan berani melawan. Saya teringat juga kata-kata beberapa teman di Indonesia; “orang Melayu di Malaysia itu, ibarat cucur udang tapi enggak ada udangnya”! Maksud mereka, orang Melayu di Malaysia hanyalah pengikut setia pemerintah dan tidak berani memprotes sebarang isu yang timbul dari semasa ke semasa.

Setelah beberapa kali kenyataan yang sama saya dengar, akhirnya saya terfikir untuk menjawab begini; “Pak, kalau cucur kodok, kodoknya mahu diletak di mana?” Akhirnya mereka diam.

Satu-satunya yang saya fikir positif tentang kehadiran beribu-ribu orang Melayu berbanding dua-tiga kerat kaum lain dalam demonstrasi itu ialah mereka memang ingin menunjukkan bahawa mereka benar-benar ‘cucur kodok yang ada kodoknya’! Jadi berhati-hatilah, jika ada orang lain terutama pesaing-pesaing rasis yang berhajat untuk ‘memamah’ cucur kodok itu, mereka harus bersedia memamah kodoknya sekali.

Episod demonstrasi jalanan sudah selesai; sekurang-kurangnya untuk kali ini. Episod susulan ialah ‘perarakan’ ke mahkamah. Sudah tiga hari berlalu dan baru kini kita lihat kaum-kaum lain mendominasi perarakan-perarakan itu. Mereka nampaknya memilih perarakan yang selamat, nyaman, bersih, tidak berpanas, tidak basah disembur air dan tidak pedih mata ditembak gas. Mereka melilih perarakan yang boleh mendatang keuntungan wang ringgit kerana yuran guaman dan sebagainya. Wahai Melayu, fikir-fikirkanlah!

Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.
TINGKATKAN KEYAKINAN DAN KEKAYAAN BAHASA MELAYU - UTUSAN MALAYSIA 12 OKTOBER 2009

Dua peristiwa besar berkaitan bahasa Melayu telah berlaku dalam tempoh dua minggu yang lalu. Pertama, di Johor Baharu telah bergema laungan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dalam Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia. Kedua, di Kuching telah dilancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 dengan tema Bahasa Jiwa Bangsa.

Seperti komentar Datuk Dr. Firdaus Abdullah, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Utusan Malaysia 9 Oktober 2009; kedua-dua peristiwa bahasa itu dapat dinilai secara sinikal dan konstruktif. Sinikal kerana peristiwa di Johor Baharu mendahului peristiwa di Kuching! Kita mahu menjadikan bahasa Melayu bahasa dunia, tetapi selepas itu kita seolah-olah ‘tersedar’ bahawa terlebih dahulu kita wajib mengembalikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan seterusnya menjadikannya bahasa dunia perlu bermula dengan niat yang luhur dan tulus. Perjuangan ini adalah perjuangan setiap lapisan dan anggota masyarakat di negara ini, tanpa mengira keturunan, budaya, status ekonomi, ideologi politik, dan agama. Kita perlu yakin bahawa bermula amal adalah dengan niat. Setiap anggota masyarakat perlu fokus bahawa perjuangan bahasa adalah demi bahasa dan bangsa. Jika dicampuradukkan dengan agenda yang lain, maka akan tercemarlah amal perjuangan itu kelak.

Keadaan inilah yang telah berlaku dalam kalangan masyarakat sehingga memperlihatkan sikap tidak yakin terhadap bahasa Melayu. Sewaktu di Johor Baharu itu, dua kejadian kebetulan sempat dialami. Pertama, terserempak dengan seseorang yang kelihatan seperti tokoh korporat di dalam lif sewaktu menuju tempat persidangan. Beliau terperanjat dan kagum apabila dimaklumkan bahawa persidangan itu dihadiri oleh beberapa sarjana termasuk dari Rusia, China, dan Jepun yang membentangkan makalah mereka dalam bahasa Melayu.

Kedua, terdengar seseorang merungut bahawa terdapat beberapa tokoh dan pejuang bahasa Melayu tempatan yang banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka.

Kedua-dua kebetulan ini memperlihatkan masalah krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu yang dialami oleh masyarakat negara ini sehingga menimbulkan banyak situasi ‘cakap tidak serupa bikin’. Keadaan sedemikian menjadi salah satu punca bahasa Melayu dicemuh dan diperlekeh. Ada pula individu yang rajin menyiasat dengan lebih mendalam lagi lalu mendapati segelintir tokoh pejuang bahasa Melayu yang menghantar anak mereka belajar di luar negara, seolah-olah tidak yakin dengan kemampuan universiti tempatan yang berlatarbelakangkan bahasa Melayu.

Satu lagi punca hilangan keyakinan itu adalah berkaitan dengan cara pengayaan korpus bahasa Melayu yang membabitkan kosa kata dan penciptaan istilah. Dari segi kosa kata, fenomena bahasa rojak seolah-olah menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu kekurangan perkataan untuk digunakan sekalipun dalam keadaan yang tidak rasmi. Tanpa berusaha untuk ‘menelaah’ kamus umum dan juga menggali sumber-sumber dialek, bahasa sukuan dan bahasa serumpun, jalan pintas diambil ialah dengan meminjam daripada bahasa asing. Ingat lagi artis yang tergamak mengakui bahawa ‘saya berbunyi bodoh jika bertutur dalam bahasa Melayu’!

Satu lagi korpus yang telah dibangunkan dengan begitu dinamik sekali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya, dan oleh sarjana-sarjana bahasa Melayu amnya ialah dari segi peristilahan. Walaupun sudah hampir satu juta istilah diwujudkan meliputi semua bidang tamadun dunia dan teknologi terkini, masyarakat pengguna masih gagal memanfaatkannya sehingga timbulnya dasar PPSMI dahulu. Syukur kerajaan sudi mendengar suara-suara rakyat yang sayangkan bahasa Melayu lalu memansuhkan dasar itu.

Namun demikian kini kedengaran pula suara-suara sumbang mengatakan bahawa kekayaan istilah bahasa Melayu itu adalah hasil pinjaman bahasa Inggeris. Bagi mereka kekayaan itu tidak patut dibanggakan kerana diibaratkan berlagak menggunakan kereta mewah yang dibeli menggunakan wang pinjaman! Mereka tidak tahu bahawa bahasa Inggeris yang hendak diagung-agungkan itu meminjam lebih 60% bahasa Latin. Mujurlah bahasa Latin itu sudah tidak ada penggunanya; jika tidak, bahasa Inggeris juga harus malu mengakui sebagai bahasa dunia.

Dengan penangguhan pemansuhan PPSMI ke tahun 2012, masa yang ada ini hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh agensi bahasa, sarjana bahasa, dan masyarakat negara ini untuk membina semula keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa dunia sekali gus.

Satu cara yang paling ampuh ialah dengan menyelongkar, mendokumentasi, memasyarakat, dan membudayakan segala khazanah kosa kata dialek, bahasa sukuan dan bahasa serumpun yang ada untuk memperlihatkan kekayaan bahasa Melayu. Dengan itu, bahasa Melayu akan dinamik dan layak diangkat semula martabatnya dan akan mampu bersaing sebagai salah satu bahasa utama dunia.

Persidangan di Johor Baharu itu mencatatkan rekod kewujudan 129 pusat yang menawarkan pengajian bahasa Melayu di seluruh dunia. Semuanya menanti untuk mengeksploitasi kekayaan khazanah bahasa Melayu yang tidak disedari oleh masyarakat penuturnya sendiri. Kalau tak kita, siapa lagi? Kalau tak sekarang, bila lagi?

Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.
JANGAN HANYA TINGGAL PANTUN, BERETORIK! -UTUSAN MALAYSIA 20 OKTOBER 2009

Alhamdulillah, Perhimpunan Agung UMNO Ke-60 telahpun selesai dengan jayanya. Setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak; daripada pemimpin tertinggi hinggalah kepada perwakilan dan anggota yang melata di akar umbi kerana telah mengemudi perhimpunan itu sehingga mencapai matlamatnya. Jelas nampaknya bahawa orang Melayu masih mampu memaparkan ciri-ciri Melayu sejati.

Satu hal yang sangat ketara dalam mana-mana perhimpunan agung UMNO ialah para pembahas tidak ketinggalan menggunakan pantun sebagai wadah penyampaian hasrat, sindiran, dan teguran. Ternyata, baik generasi tua mahupun muda, pantun tetap menjadi sebahagian pakaian orang Melayu. Hal ini sesuai dengan gurindam: “apa tanda Melayu jati, pantun-memantun ia mengerti; apa tanda Melayu beradat, di dalam pantun mengambil ibarat; apa tanda Melayu beriman, di dalam pantun memberi pedoman!”

Pantun digunakan untuk menyampaikan pandangan dan buah fikiran secara halus dan beralas tetapi mendalam maknanya dan panjang kesannya. Namun demikian harus diingat jangan sampai ‘membuang cakap’ seperti pesan Pak Tenas Effendy. Hal ini bermaksud pemantun perlu menguasai ciri-ciri pantun yang luhur agar penyampaiannya benar-benar menusuk kalbu dan akal pendengarnya.

Teguran Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Mohamad Abdul Aziz terhadap wakil Pahang, Datuk Mohamad Sahfri kerana pembayang dan maksud pantunnya tidak seragam sehingga mengelirukan, harus diambil perhatian. Begitu juga sebahagian pantun yang dilontarkan oleh Ketua Puteri Bahagian Tampin, Nur Amalina Abdul Wahab yang jelas kelihatan cacatnya. Namun demikian Nur Amalina harus diberi pujian kerana mengambil masa seminggu untuk mencipta, apatah lagi penyampaiannya disulam dengan dialek Negeri Sembilan

Barangkali, tokoh veteran UMNO Tan Sri Aziz Tapa yang tidak pernah kering dengan pantun spontan tetapi bernasnya harus dijadikan rujukan pada masa akan datang. Lihat sajalah pantun beliau: Pohon nyiur di tepi laut, dimakan kumbang pucuknya layu; kepada UMNO kita berpaut, UMNO tumbang hilanglah Melayu. Pantun ini menepati ciri-ciri pantun yang baik; harmoni dan tepat pilihan katanya, sama rima tengah dan rima akhir pembayang dan maksudnya, cukup bilangan suku katanya, berkaitan makna pembayang dengan maksudnya, dan yang paling penting, tepat dan padat maksud yang hendak disampaikan.

Bersenda-gurau dan usik-mengusik memang menjadi sebahagian ciri pantun. Namun demikian harus diingat, keramat pantun akan luntur jika keluhuran akal budi yang dimuatkan di dalamnya tidak kelihatan atau gagal dibaca oleh pendengar. Keadaan ini hanya mencerminkan kedangkalan pemantun, dan mencalar citra Melayu sejati. Jangan sampai dalam kita berjuang bermati-matian untuk mengangkat kembali martabat Melayu; ‘kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang najis’.

Dalam pada itu, kita harus mengucapkan syabas kepada Ketua Penerangan Pemuda Datuk Seri Reezal Merican, dan Ketua Pemuda Tenggara, Sdra Abd Halim Abd Jalil atas pantun-pantun yang baik. Penampilan pantun-pantun mereka dapat menyakinkan kita bahawa orang Melayu tidak ketandusan pemimpin yang memiliki ciri Melayu sejati.

Apa yang diharapkan oleh majoriti orang Melayu sekarang ialah pantun jangan hanya tinggal pantun. Hari-hari untuk beretorik sudah berlalu. Segala kata hendaklah dikota mulai usai perhimpunan itu. Slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan hendaklah dihadam dan dibudayai. Orang Melayu amnya tidak mahu lagi melihat unsur-unsur yang hanya bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Banyakkan lagi kem-kem seperti yang dilaksanakan di Janda Baik itu terutama untuk pemimpin cawangan dan bahagian kerana masih ramai dalam kalangan mereka yang seperti mahu mengekalkan status quo dan gagal mentafsir pantun-pantun yang dilontar di perhimpunan agung. Jangan lupa mengundang Tan Sri Aziz Tapa kerana beliau banyak tahu ‘yang tersirat di sebalik yang tersurat’. Itu sebabnya beliau yakin ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan datang dari teks ucapan, tetapi dari hatinya kerana beliau benar-benar menjiwai UMNO. Itulah roh yang wajib dihayati oleh para pemimpin UMNO khususnya dan pemimpin Melayu amnya.

Yang kurik kundi, yang merah saga, yang keras takal; yang baik budi, yang indah bahasa, yang pantas akal.

Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.
NASIB BAHASA MELAYU DI BUMI SENDIRI - UTUSAN MALAYSIA 29 DISEMBER 2009


Akhbar Utusan Malaysia semalam menyiarkan satu berita yang perlu dilihat sebagai sinikal kepada pengamal media yang mencemburui perkembangan dan kedudukan bahasa Melayu. Berita yang dimaksudkan ialah mengenai usaha mewujudkan stesen Radio Kampungku di Kanada yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan turut menyiarkan lagu-lagu artis-artis popular Malaysia seperti Tan Sri P. Ramlee, Datuk Siti Nurhaliza dan sebagainya.

Situasi ini boleh diumpamakan sebagai “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik juga negeri sendiri”. Seorang wanita rakyat Malaysia keturunan India yang berkahwin dengan seorang lelaki rakyat Kanada telah memprakarsakan stesen dan program-program berbahasa Melayu yang siarannya dapat diikuti di Toronto, Vancouver, dan Calgary malahan sehingga di Amerika Syarikat.

Bersusah payah pasangan suami isteri tersebut memperkenalkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu sehinggakan sisuami yang berbangsa bukan Melayu itu turut menguasai bahasa Melayu dengan begitu petah sekali.

Selain Kanada, Siaran Bahasa Melayu juga sebenarnya telah mantap di Radio Antarabangsa China yang berpangkalan di Beijing semenjak tahun 1959 lagi. Usaha di China ini telah membuahkan hasil yang amat signifikan dengan wujudnya Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University yang menawarkan Jurusan Bahasa Melayu.

Terkini, Pusat Pengajian Melayu juga telah diwujudkan di wilayah Guangxi pada 2008 dan akan muncul pada tahun 2010 nanti pusat yang serupa di wilayah Yunnan.

Usaha tersebut jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu tidaklah bersifat kampungan tetapi sebaliknya dapat diterima dengan baik oleh bangsa-bangsa dunia yang lain. Usaha ini juga membuktikan bahawa media penyiaran seperti radio sangat luas jangkauan pengaruhnya dalam melestari sesuatu bahasa.

Satu contoh lain ialah penggunaan bahasa Melayu sebutan baku di Bahagian Melayu Perbadanan Televisyen Singapura dan Perbadanan Radio Singapura.

Namun demikian, kembali kepada senario tempatan, usaha memartabatkan bahasa Melayu nampaknya bersifat sambil lewa dan bermusim. Tanpa mengambil kira stesen radio swasta yang terikat dengan prinsip ‘mengutamakan pelanggan’ dan bermatlamatkan keuntungan, stesen radio kerajaan yang berbahasa Melayu juga nampaknya ‘keliru’ dalam peranannya memartabatkan bahasa Melayu.

Saya fikir jika Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sempat mendengar siaran radio kerajaan, beliau juga akan pening kepala dengan karenah anak buahnya di RTM. Selain masalah kesalahan sebutan yang merupakan gejala turun-temurun, pengawal stesen radio juga nampaknya gagal ‘mengawal’ penyiaran iklan yang yang sungguh menyakitkan telinga.

Sebagai contoh, semenjak beberapa minggu kebelakangan ini kerap diputarkan siaran iklan “Y.E.S” (dengan maksud year end sale), dan iklan berbunyi “ K.L. Sunday One Malaysia Family Fair”.

Pendengar faham bahawa iklan-iklan itu bukan dihasilkan oleh RTM tetapi tidakkah ada peraturan atau kuasa untuk tidak menyiarkannya di radio? Kekerapan putarannya menyebabkan banyak kesan buruk terhadap bahasa Melayu. Tidak bolehkah disebut “Jualan Hujung Tahun” atau “Pesta Ria Keluarga Satu Malaysia Ahad Kuala Lumpur”?

Rakyat Malaysia perlu segera bangkit daripada sindrom ‘jangan jaga tepi kain orang’. Segala usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan kerja pejuang bahasa itu semata-mata tetapi harus dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Bagi mereka yang berkuasa pula, hentikanlah segala retorika dan semangat yang bersifat musiman. Banyak mata menilai kejujuran dalam perjuangan yang belum selesai ini. Janganlah sampai nanti, orang lain lebih tahu bahasa kita daripada kita sendiri.

Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.
MALAYSIA PERLUKAN LEBIH RAMAI TEOH CHING KIM DAN TEO KOK SEONG - UTUSAN MALAYSIA 14 JANUARI 2010

Terima kasih kepada Saudara Zaini Hassan kerana sudi berkongsi surat yang diterimanya daripada Teoh Ching Kim dalam ruangan Cuit Utusan Malaysia 13 Januari 2009. Saya pasti ramai rakyat Malaysia keturunan Melayu terharu dengan isi kandungan surat tersebut. Antara lain surat itu menyedarkan kita tentang hakikat asal-usul masyarakat majmuk negara ini.

Selain Teoh Ching Kim (yang merupakan seorang saudara baru), seorang tokoh bahasawan yang nama keluarganya hampir sama, iaitu Prof. Dr. Teo Kok Seong, wajar juga diangkat sebagai ‘wira penyedar’ tentang hakikat tersebut.

Ironinya, satu ketika dahulu, seorang ahli politik yang ‘diberikan’ satu kerusi parlimen yang terletak tidak jauh dari tapak arkeologi Perak Man, telah tersilap menggarap fakta sejarah asal-usul orang Melayu. Sama ada beliau telah sedar atau tidak, saya tidak pasti. Jika masih tidak sedar, turunlah ke Lenggong untuk belajar sambil melawat rakyat dan pengundi.

Telah banyak fakta dikemukakan untuk menunjukkan bahawa kaum Cina dan India yang berada di negara ini telah diberikan hak sama rata dengan masyarakat Bumiputra dan Peribumi. Telah banyak juga dibandingkan keadaan ini dengan keadaan di negara-negara lain, yang kononnya lebih demokrasi daripada kita. Apa lagi agaknya yang dimahukan?

Sudah banyak kali, test market (meminjam ungkapan Saudara Zaini) dilakukan oleh kedua-dua kaum ini terutamanya semenjak Pilihanraya Umum Ke-12 dahulu. Mujurlah orang Melayu tetap dengan sikap toleransi melampaunya sehingga sanggup berbalah sesama sendiri demi kepentingan politik masing-masing. Jika tidak, barangkali sudah lama negara ini kucar-kacir. Banyak yang sudah digadai oleh orang Melayu termasuk tanah, harta, undi, bahasa, dan budaya. Mutakhir ini ketuanan dan agama orang Melayu juga turut diminta supaya diserahkan.

Namun demikian apabila sampai ke satu tahap, seperti kata pepatah China; ‘seekor cacing akan lari apabila dikejar naga, tetapi tatkala sampai di hujung lubang, sekecil-kecil cacing pun akan tetap berpatah balik untuk berhadapan dengan naga itu’! Orang Melayu kini sudah berada di hujung lubang.

Apa lagi selepas ini? Adakah lagi sisa-sisa hak dan maruah yang hendak dipertahankan? Barangkali satu-satunya yang masih berbaki bagi orang Melayu khususnya di Semenanjung ialah kuasa politik. Itupun dengan sokongan penuh Peribumi Sabah dan Sarawak. Pengundian meluluskan Bajet 2010 tempoh hari cemas-cemas melenyapkan kuasa tersebut. Sebaliknya, sebahagian pemimpin masih lagi leka mendendangkan lagu “Si Luncai terjun dengan labu-labunya! Biarkan, biarkan..!”.

Saya fikir, program 1 Malaysia dan Juara Rakyat yang sedang hangat sekarang ini wajar dimanfaatkan oleh para pemimpin Melayu untuk menyelitkan usaha menyatukan kembali orang Melayu dan setelah itu, kembali menjadi Juara Rakyat yang sebenar seperti semasa era menuntut kemerdekaan dahulu. Tidak banyak songel daripada orang Cina dan India ketika itu kerana orang Melayu benar-benar ikhlas berjuang untuk memakmurkan segenap lapisan masyarakat dan kaum di negara ini.
Itulah semangat yang cuba dihidupkan kembali oleh Teoh Ching Kim. Beliau baru pertama kali muncul. Mungkin ada yang sinikal kerana beliau sudah menganut Islam - sudah ‘masuk Melayu’. Ramai lagi rakyat yang seperti beliau termasuklah selebriti seperti Dr. Redhuan Tee. Jika begitu, kita ambillah contoh Prof Teo yang sudah sudah berkali-kali muncul di khalayak bagi memperkatakan semangat kemalaysiaan dengan berlatarbelakangkan kepakaran sosiolinguistiknya. Beliau tidak masuk Melayu tetapi cukup konsisten mendaulatkan ketuanan Melayu, dan menghormati agama orang Melayu.

Jika tidak cukup, tanya-tanyalah juga Prof Ding Choo Ming yang diberi ruang sangat luas untuk mengkaji orang Melayu, malah diberi tempat istimewa sebagai felo utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu.

Kalau dicadangkan nama Tan Sri Prof Emeritus Khoo Kay Kim mungkin ramai yang menganggapnya sebagai klise kerana beliau sudah lama bercakap tentang kesedaran yang sama.

Firman Allah yang bermaksud; “Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri”. Orang Melayu akan terus berhadapan dengan situasi test market selagi prinsip ‘penyapu lidi’ tidak dihayati semula. Usaha ini harus bermula dalam kalangan para pemimpin Melayu terlebih dahulu. Janganlah mengharapkan lagi sokongan politik kaum lain untuk mempertahankan maruah kita, ketuanan kita, malah agama kita. Tidak malukah kita apabila dunia menempelak; “kasihan orang Melayu, majoriti yang terancam di tanah airnya sendiri”!

Saya yakin, berdasarkan kenyataan Teoh Ching Kim dan segolongan masyarakat yang sependapat dengan beliau, kaum Cina dan India di negara ini rindukan kekuatan orang Melayu untuk memimpin mereka. Mereka tidak mahu kembali ke negara nenek moyang kerana kemakmuran dan kesejahteraan yang ada di sini. Namun apabila ada segelintir orang Melayu yang bersifat ‘kaduk naik junjung’, ‘lupa daratan’, dan ‘beraja di mata dan bersultan di hati’, maka itulah mereka test market.

Dr. Sharifudin Lubis.
Universiti Putra Malaysia.
BERHATI-HATI TIMBANG SYARAT LULUS BAHASA INGGERIS UNTUK SPM - Utusan Malaysia 3 Februari 2010


Kerajaan sedang mempertimbangkan syarat lulus bahasa Inggeris untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2012. Hal ini telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd Puad Zarkashi.

Pertimbangan ini selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menggantikan dasar PPSMI. Jika syarat tersebut diluluskan, untuk memperoleh SPM, pelajar-pelajar mesti lulus bahasa Inggeris. Ini adalah langkah yang terbaik untuk memastikan pelajar lepasan sekolah menengah kita menguasai bahasa tersebut yang akan berguna dalam kehidupan mereka selanjutnya.

Namun demikian, sebelum sebarang keputusan dibuat tentang hal tersebut, wajarlah di ambil kira beberapa perkara. Pertama, apakah matlamat sebenar kelulusan bahasa Inggeris itu diperlukan? Kedua, hendaklah dipastikan tidak ada pihak yang melatah-latah atau mengada-ngada untuk mewajibkan pula kelulusan bahasa Inggeris tanpa mengira keperluan bidang dan latar sektor pengajian atau pekerjaan yang bakal diceburi.

Secara umumnya terdapat dua matlamat penguasaan bahasa Inggeris; satu untuk tujuan komunikasi, dan kedua untuk tujuan akademik. Sebelum memutuskan kelulusan itu, kerajaan perlu terlebih dahulu menetapkan matlamat yang mana menjadi fokus. Hal ini kerana kedua-duanya akan menentukan ciri pedagogi yang akan diaplikasikan dalam bilik darjah. Matlamat akan menentukan jenis bahan, pendekatan, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang akan dilaksanakan dalam bilik darjah.

Sebagai perbandingan, jika untuk tujuan komunikasi isi kandungan pengajaran perlu lebih bersandarkan pengetahuan am, isu semasa dan bersifat pragmatik. Strategi sebegini akan menimbulkan minat pelajar kerana mereka dapat menghayati kepentingan menguasai bahasa itu. Mereka juga boleh menggunakan secara praktis dalam kehidupan sehari-harian. Sebenarnya ramai pelajar yang tertanya-tanya tentang keperluan menghafal segala macam hukum tatabahasa dan sistem-sistem bahasa itu yang diajarkan dalam kelas, tanpa mengetahui kegunaannya di luar bilik darjah.

Bagi tujuan akademik pula, secara umumnya kita melihat pelajar-pelajar yang menyambung pengajian di luar negara, tidak menghadapi masalah besar untuk menguasai bahasa Inggeris walaupun mereka mempelajari ilmu-ilmu asas di peringkat rendah dan menengah menggunakan bahasa Melayu. Tambahan pula dalam persekitaran yang memaksa mereka menguasai bahasa itu, bahasa Inggeris tidak menjadi halangan untuk mereka berjaya dalam pengajian mereka.

Kerajaan juga perlu bersedia mengawal pihak-pihak yang sengaja mengambil kesempatan atas kelulusan syarat tersebut dengan menetapkannya pula dalam sektor pekerjaan. Sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, tanpa mengira keperluan dan latar sesuatu pekerjaan kita telah melihat banyak majikan yang menetapkan kelulusan bahasa Inggeris sebagai salah satu syarat memohon pekerjaan. Malahan, ada pula majikan yang mengambil kesempatan dengan sengaja menetapkan keperluan bahasa selain daripada bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris untuk memohon pekerjaan di agensi mereka. Akibatnya, ramai dalam kalangan pelajar lepasan sekolah mahupun institusi pengajian tinggi yang gagal memohon pekerjaan walaupun memiliki kelayakan akademik yang sesuai, hanya kerana lemah atau tidak lulus bahasa Inggeris.

Jika para majikan ini mendesak juga, mereka perlu diminta supaya bersikap adil dengan mengklasifikasikan jenis kelulusan yang dikehendaki. Dengan itu, mereka bolehlah menentukan calon yang sesuai dengan latar bidang pekerjaan yang hendak ditawarkan.

Dalam pada itu, kerajaan juga mestilah memastikan bahawa tidak ada pihak yang ‘menahan lukah di pergentingan’ dengan mengambil kesempatan daripada keputusan yang dibuat. Selalunya apa sahaja dasar yang diputuskan akan ditafsirkan sehingga mendatangkan laba oleh para oportunis dan pihak yang bijak memanipulasi keadaan. Bertopengkan pelbagai program sokongan seperti penerbitan bahan pembelajaran, perbengkelan, kursus, ceramah, dan sebagainya, akhirnya ibu bapa yang menanggung beban, manakalah para pelajar pula kehilangan fokus dan menjadi semakin kalut.

Akhir sekali kerajaan sendiri juga perlu tidak terbawa-bawa dengan dasar tersebut sehingga melupakan pula bahasa Melayu. Pastikan ‘yang dikejar dapat, yang dikendong tidak berciciran’.

Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.

Rabu, Julai 15, 2009

YANG KURIK KUNDI, YANG MERAH SAGA, YANG KERAS TAKAL-UTUSAN MALAYSIA 16 JULAI 2009

Buat kesekian kalinya, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah lagi tentang orang Melayu. Ternyata baginda amat prihatin dengan perkembangan yang melanda orang Melayu kini. Dalam titah baginda di Majlis Perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009, baginda sekali lagi mengingatkan umat Melayu supaya berpijak kepada kenyataan dan berpandulah kepada akal fikiran.

Dengan kedaulatan baginda yang berasal daripada keturunan raja-raja Melayu Melaka, dan ditambah dengan keintelektualan baginda, orang Melayu harus benar-benar percaya akan titah baginda itu, dan benar-benar faham akan gejala kehancuran yang sedang melanda sekarang.

Mengulas tentang saranan baginda supaya orang Melayu menggunakan akal fikiran, saya ingin mengaitkan dengan serangkap pantun Melayu; “yang kurik kundi, yang merah saga; yang baik budi, yang indah bahasa”.

Dalam satu kajian, daripada seorang informan saya terjumpa baris ketiga pembayang dan baris keenam maksud pantun itu yang saya fikir sengaja dihilangkan. Baris ketiga pembayang ialah; “yang keras takal,” manakala baris keenam maksud pula berbunyi; “yang pantas akal”.

Kehilangan kedua-dua baris keramat itu saya jangka adalah sebahagian usaha orientalis dan penjajah British yang mahu memisahkan orang Melayu daripada dunia keintelektualan. Hal ini samalah dengan momokan British yang kononnya sebahagian besar naskah persuratan Melayu yang sarat dengan pemikiran dan unsur-unsur keintelektualan telah tenggelam bersama-sama kapal Raffles tatkala dibawa belayar ke Eropah.

Dengan demikian, walaupun setelah lebih separuh abad orang Melayu merdeka daripada penjajahan Barat, ternyata aspek kemerdekaan minda masih belum berlaku. Orang Melayu masih gagal membuat pertimbangan tanpa pengaruh emosi, assabiyah, dan dendam kesumat.

Orang Melayu masih terlalu hebat berbudi bahasa sehinggakan apabila sekali termakan budi, kita rela menggadai maruah dan menghambakan diri tanpa memikirkan masa depan bangsa sendiri. Kita rela berbantah-bantahan dengan saudara kita sendiri demi menyokong dan menegakkan orang lain.

Walaupun istilah Melayu itu bersinonim dengan Islam, tetapi nampaknya orang Melayu masih belum benar-benar mukmin. Jangan sekali-kali diperlekeh keislaman mereka walaupun mereka tidak solat, tidak puasa, atau melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak Islamik. Islam menuntut kita supaya bersatu padu tetapi kita tidak mahu. Islam menyuruh kita berfikir, tetapi kita lebih suka mengikut emosi dan nafsu.

Ternyatalah bahawa setelah dijajah selama 446 tahun, orang Melayu berjaya dipisahkan daripada akal mereka dan hanya hidup berpandukan budi bahasa semata-mata. Dalam kepompong budi bahasa itulah sebahagian orang Melayu leka dengan mimpi yang indah-indah tetapi bercanggah dengan realiti semasa.

Walaupun telah banyak kali diperingatkan dan diuji, sikap sebahagian orang Melayu masih tidak berubah menjadi manusia yang dinamik dan pragmatik. Keselesaan mereka dalam dimensi fatamorgana benar-benar berjaya meletakkan diri mereka dalam arus pemikiran bawah sedar. Mereka terpisah daripada rasional dan hanya bersifat pengikut yang taksub.

Siapa tidak tahu bahawa orang Melayu sangat suka berhasad dengki sehinggakan apabila ada orang Melayu yang naik tinggi, akan diusahakan supaya dijatuhkan. Apabila mengatur majlis, orang Melayu terkenal dengan ‘time Melayu’. Apabila dipujuk rayu misalnya oleh Pak-pak Arab, Mat-mat Indon, anak-anak Melayu mudah terlentuk dan hanyut.

Tidak lama dahulu banyak kes anak-anak Melayu yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila dijanjikan kemewahan hidup. Nampaknya dunia telah tahu bahawa orang Melayu sangat mudah digula-gulai kerana bangsa ini seolah-olah tidak berakal!

Setelah Raja Muda bertitah demikian, apakah pemimpin dan rakyat Melayu masih belum faham-faham lagi?

Yang kurik kundi,
yang merah saga,
yang keras takal;
yang baik budi,
yang indah bahasa,
yang pantas akal.

MANEK URAI: ANTARA TUAN GURU NIK AZIZ DENGAN TUAN AZIZ

Saya fikir dalam senario satu lawan satu di DUN Manek Urai, pertembungan sebenarnya adalah antara dua Aziz bin Mat; seorang memiliki nama rasmi Tuan Aziz Tuan Mat, dan yang seorang lagi walaupun diwakili oleh calon yang bernama Mohd Fauzi Abdullah tetapi dibayangi oleh tokoh yang digelar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Satu fakta yang menarik dalam pertembungan pengaruh ini ialah perbezaan umur yang begitu ketara iaitu sekitar 40 tahun – Tuan Aziz 39, dan Tuan Guru Nik Aziz 78 tahun. Tuan Aziz daripada golongan muda yang cergas dan cerdas. Secara adatnya, beliau mempunyai masa yang masih panjang untuk memikul amanah dan tanggungjawab jika diberi peluang mewakili penduduk Manek Urai.

Tuan Guru Nik Aziz pula walaupun secara adatnya tidak mempunyai masa yang panjang lagi, namun impak pengaruhnya masih menjadi perhatian dan pedoman rakyat. Memang ada orang mengatakan apalah yang ada pada angka. Namun dalam konteks tabii, usia tua dan lanjut ada kaitannya dengan sindrom yang dipanggil ‘nyanyuk’ oleh orang Melayu.

Dalam Kamus Dewan, nyanyuk bermaksud ‘berkelakuan seperti kanak-kanak (berkenaan orang yang sudah terlalu tua), tidak berapa betul lagi (berkenaan fikiran orang yang sangat tua), atau raban.

Dalam bahasa Inggeris (Merriam-Webster Online Dictionary) nyanyuk disebut senile. Senile berasal dari perkataan Latin senilis yang bermaksud exhibiting or characteristic of old age, exhibiting a loss of cognitive abilities (as memory) associated with old age.

Dalam MedicineNet.com, senile dikaitkan dengan tiga keadaan; pertaining to old age, pertaining to the physical decline associated with old age dan pertaining to the mental decline once associated with old age but now known to be due to dementia.

MSN Encarta Dictionary pula mendefinisikan senile sebagai mentally less acute in later life; forgetful, confused, or otherwise mentally less acute in later life dan relating to later life: occurring in or believed to be characteristic of later life, especially the period after the age of 65 years.

Dalam kalangan orang Melayu umumnya, orang nyanyuk digambarkan sebagai orang tua yang pelupa, tidak mampu mengurus diri dari segi kebersihan dan makan-minum, dan bercakap tanpa sedar apa yang diperkatakan.

Sindrom ini melanda tanpa mengira kelas dan kedudukan, malahan sejak akhir-akhir ini masyarakat dimomokkan dengan beberapa tokoh politik yang sudah seperti dihinggapi sindrom ini. Ada yang menuduh orang lain sebagai komunis dan mengamalkan ajaran sesat tetapi segera menyatakan bahawa itu hanyalah kiasan sahaja. Selepas beberapa hari, tokoh yang sama mengulangi semula pertuduhan itu.
Ada yang secara keras dan nyata menolak untuk berbincang tentang perpaduan, tetapi selepas itu berhajat untuk berdebat tentang hal yang sama. Lebih kelihatan lucu lagi, tidak lama dulu ada seorang tokoh politik bukan Islam yang menyuruh rakan seperjuangannya yang beragama Islam supaya bertaubat.

Mereka sudah tua, tetapi masih rancak bercakap sesedap rasa, tanpa memikirkan kesan percakapan mereka itu boleh mengharubirukan rakyat, apatah lagi pihak-pihak yang ditujukan percakapan itu. Masalah ini menjadi lebih besar kerana ada rakyat yang menjadi pengikut setia dan taksub. Apa sahaja yang dilontarkan dianggap sebagai ‘fatwa’ dan kesannya sangat buruk.

Kita sedar, para pemimpin Malaysia ini kebanyakannya ‘dituakan sebelum waktunya’ (malah Siti Norhaliza pun sudah dituakan dengan gelaran Datuk!). ‘Badi tua’ itu menyebabkan beberapa pemimpin veteran menghamburkan kritikan dan tekanan sesuka hati.

Selagi dikejar media, selagi itulah pandangan yang sudah tidak rasional dan tidak relevan akan menjadi tatapan rakyat. Keadaan ini boleh menimbulkan lebih banyak ‘dosa berbanding pahala’!

Rakyat harus bijak menelaah setiap kenyataan yang dibuat. Setiap luncuran perkataan mereka sudah tidak boleh dianggap sebagai fatwa lagi kerana telah dihantui sindrom nyanyuk itu. Cuma sayangnya, ada yang tidak sedar akan hal itu atas faktor ‘keotaian’ mereka!

MANEK URAI: PERSIMPANGAN DILEMA MELAYU-UTUSAN MALAYSIA 30 JUN 2009

Manek Urai hanyalah sebuah kampung di daerah Kuala Krai, Kelantan tetapi dengan hampir seluruh 31 000 penduduknya orang Melayu, ada sesuatu yang perlu diperhatikan tentang kampung ini dalam seminggu dua yang akan datang ini.

Statusnya sebagai salah sebuah kawasan dewan undangan negeri Kelantan dan dengan jumlah pengundi seramai 12, 292 yang memperlihatkan pengundi Melayu seramai 99.25%, menjadikan pilihanraya kecil DUN Manek Urai yang akan berlangsung pada 14 Julai nanti sebagai titik tolak kepada proses evolusi nilai budaya Melayu.

Di tangan para pengundi Manek Urai terletaknya pembentukan citra bangsa Melayu masa depan. Semua orang tahu bahawa kedudukan bangsa Melayu ketika ini amat goyah kerana sedang berhadapan dengan krisis identiti atas faktor dalaman mahupun akibat faktor luaran.

Semenjak sekian lama, terdapat orang Melayu yang hanya sibuk memperkaya diri sendiri dan kaum keluarga serta sahabat handai tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu bangsanya sendiri yang ketinggalan. Akibatnya sebahagian orang Melayu memprotes keadaan itu pada Pilihanraya Umum Ke-12 lalu. Kuasa politik yang selama ini menjadi tunjang pertahanan orang Melayu mulai goyah dan terhakis sedikit demi sedikit.

Demi kuasa, ada orang Melayu yang sudah tergamak membelakangkan simbol tradisi ketuanan Melayu dan sebaliknya lebih rela tunduk kepada kehendak orang lain. Baru sahaja digertak, sebahagian orang Melayu sudah menolak hasrat untuk bersatu walaupun sebelum itu mereka sendiri yang mengacah-acah untuk mewujudkan perpaduan Melayu.

Ada orang Melayu yang sudah tergamak mengumpamakan saudara sebangsa dan seagama sebagai komunis, sosialis dan mengamalkan ajaran sesat, sedangkan pada masa yang sama saling bermesraan dengan rakan seperjuangan yang secara terang-terangan menolak Islam.

Ketika orang-orang ‘dewasa’ Melayu asyik dengan sepak-terajang politik, masalah remaja Melayu yang terlibat dengan dadah, lumba haram dan budaya hedonisme masih tidak selesai malahan semakin berleluasa.

Sedarkah orang Melayu bahawa ketika ini kita sedang leka bertandak mengikut rentak paluan gendang orang lain yang tidak jemu-jemu berusaha melelahkan kita?

Pengundi Manek Urai akan menjadi penentu citra yang menjadi pilihan orang Melayu untuk masa depan. Walaupun hanya pilihanraya kecil, pengundi Melayu di DUN ini akan memilih kumpulan pemimpin mana yang akan mewakili mereka.

Satu kumpulan pemimpin mewakili golongan orang Melayu yang sudah sedar dan bersedia mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Manakala satu golongan lagi nampaknya masih leka berpolitiking dan bermain retorik.

Satu kumpulan pemimpin Melayu sudah bersedia untuk berbincang tentang perpaduan Melayu, manakala satu kumpulan lagi menjadikan agenda perpaduan Melayu sekadar ‘test market’.

Satu kumpulan pemimpin sedang berusaha keras untuk mengembalikan keyakinan penyokong Melayu, manakala satu kumpulan sedang menagih simpati dan sokongan kaum lain dan rela memburuk-burukkan bangsa dan agama sendiri.

Satu kumpulan pemimpin sudah mulai turun padang untuk meninjau sendiri masalah rakyat, tetapi satu golongan lagi juga sudah turun malah hingga ke jalanan tetapi untuk berdemonstrasi.

Setiap tingkah itu ditontoni oleh orang Melayu. Pengundi Manek Urai akan menterjemah pendirian Melayu melalui kuasa satu undi apabila tiba masanya. Jika mereka memilih golongan pemimpin yang sudah sedar dan sudah bersedia membela nasib rakyat, bermakna mereka mahu mengekalkan status quo nilai Melayu yang dibudayai selama ini.

Sebaliknya, jika mereka memilih golongan pemimpin yang sudah berani membuang tongkat dan bersedia menjadi Malaysian, orang Melayu lain harus bersedia juga dari semua sudut supaya tidak lemas dalam arus persaingan membangunkan bangsa Malaysia itu nanti.

Justeru itu, para pengundi Melayu Manek Urai perlu berfikiran bijak dan rasional kerana undi mereka menjadi penentu kepada citra bangsa Melayu masa depan.

PENCEMARAN KONSEP BAPA DALAM BUDAYA MELAYU-UTUSAN MALAYSIA 23 JUN 2009

Sambutan Hari Bapa baru sahaja berlalu. Namun demikian, harus diingat bahawa tugas dan tanggungjawab seorang lelaki bergelar bapa mestilah terus dilaksanakan. Secara khususnya dari perspektif Islam, tugas seorang bapa terhadap anak-anaknya hanya selesai setelah anak-anak itu berkahwin.

Dari sudut pandangan budaya Melayu, takrif bapa boleh dirujuk seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan. Bapa bermaksud ayah, abah, abi (jika mahu kedengaran Islamik), serta ‘papa’ dan daddy (jika mengamalkan budaya keinggerisan).

Selain itu bapa juga merupakan panggilan kepada orang yang lebih tua dan dihormati. Gelaran bapa amat biasa bagi seorang lelaki dewasa di Indonesia. Malahan menteri-menteri mereka juga di gelar ‘bapa’ sahaja dan berbunyi lebih muda berbanding dengan gelaran ‘datuk’ bagi menteri Malaysia!

Satu lagi kemuliaan dan penghormatan bagi seorang bapa boleh dirujuk kepada takrif bapa sebagai perintis jalan atau pelopor dan pemimpin masyarakat. Di negara kita, kesemua mantan Perdana Menteri diberikan gelaran-gelaran khusus seperti Bapa Kemerdekaan (Tunku Abdul Rahman), Bapa Pembangunan (Tun Abdul Razak), Bapa Perpaduan (Tun Hussein Onn), Bapa Pemodenan (Tun Mahathir), dan Bapa Demokrasi/Bapa Pembangunan Modal Insan (Tun Abdullah).

Di sebalik pengiktirafan dan kemuliaan yang diberikan, gelaran bapa juga digunakan dalam masyarakat Melayu untuk maksud yang cela seperti bapa ayam, bapa penipu, bapa penyamun, bapa gangster, dan sebagainya. Gelaran cela ini diberikan kepada lelaki dewasa yang memiliki reputasi negatif menurut rujukan norma dan nilai dalam masyarakat.

Sama ada baik atau cela gelaran yang akan diberikan kepada seorang lelaki, segalanya bergantung kepada penampilan diri mereka. Jika mereka berpenampilan positif seperti bertanggungjawab terhadap anak isteri, menjaga kebajikan dan keselamatan keluarga, dan sentiasa berbudi bahasa apabila berada dalam lingkungan keluarga dan masyarakat, seorang bapa akan disanjung dan dilihat sebagai idola oleh anak-anaknya.

Sehubungan itu status quo citra seorang bapa seperti itu tetap utuh terpelihara, malahan dijadikan rujukan norma masyarakat Melayu. Jika seorang bapa gagal memenuhi tuntutan norma itu, maka hilanglah rasa hormat anak terhadap bapa mereka dan sekali gus akan menerima gelaran-gelaran bapa tercela.

Namun demikian, norma yang kukuh dalam budaya Melayu itu sudah semakin tergugat. Sempena sambutan Hari Bapa yang baru lalu, terpampang di dada sebuah akhbar tabloid gambar seorang bapa memimpin tangan anak perempuannya yang masih kecil. Tidak ada apa-apa kesalahan dalam gambar itu itu kecuali kuku panjang pada jari kelingking tangan kiri si bapa. Sama-samalah kita fikirkan kewajaran hal itu.

Semenjak akhir-akhir ini juga semakin banyak kisah ‘haruan makan anak’ dipaparkan terutamanya di media cetak. Di samping itu ada pula cerita-cerita sumbang mahram dalam keluarga, bapa dan anak menjalankan usahasama memproses dadah dan sebagainya.

Tidak cukup dengan itu, muncul pula perlakuan-perlakuan beberapa orang bapa yang bergelar Yang Berhormat yang mempamerkan aksi-aksi biadap tanpa mengira tempat dan khalayak. Ada yang terang-terang mengaku derhaka kepada sultan. Ada yang berdemonstrasi, malahan sanggup berbaring di jalanraya dan menghalang laluan raja.

Ada yang macam budak-budak terjerit-jerit dalam dewan persidangan. Ada yang lengkap berpakaian rasmi – berkot, bertali leher, dan bersongkok tetapi bermesyuarat di bawah pokok. Tidak cukup dengan itu, setelah baru sahaja selesai mengangkat sumpah taat setia di Parlimen, ada bapa yang sanggup menunjukkan aksi terlaung-laung menuntut itu dan ini dan berlagak hero.
Tingkah laku bapa-bapa sebegini adalah yang paling memalukan kerana mereka adalah orang yang dihormati dan telah diberi kepercayaan untuk menjadi idola oleh rakyat. Banyak cara lain lagi untuk menunjukkan kejagoan atas apa juga alasan. Begitukah caranya seorang yang dikatakan dewasa dan matang beraksi? Begitukah caranya menjalankan tanggungjawab?

Akhir sekali, apakah itu tingkahlaku yang mahu dilihat dilakukan oleh anak-anak mereka kelak? Jika benar begitu, sudah sedemikian jauh berubahnya norma dan nilai masyarakat kita.

BERFIKIR DI LUAR KOTAK – KENAPA BAHASA INGGERIS?

Ahli fikir dan pakar motivasi selalu mengesyorkan supaya kita ‘berfikir di luar kotak’. Maksudnya, keupayaan berfikir perlu digembleng semaksimum mungkin supaya kita dapat lari daripada klise. Dikatakan juga oleh para bijak pandai; jika semua orang berfikir tentang perkara yang sama, sebenarnya tidak ada sesiapa yang sedang berfikir!

Saya berhasrat membawa perhatian pembaca kepada cadangan mewajibkan lulus bahasa Inggeris dalam sistem penilaian pendidikan kebangsaan. Sudah kedengaran keluhan; belumpun selesai isu PPSMI, timbul pula ‘cadangan dasar’ yang lain yang boleh menggambarkan betapa melatah dan caca marbanya pemikiran kita apabila memperkatakan dasar pendidikan negara.

Saya tidak faham kenapa kita tidak boleh lari daripada mendewa-dewakan bahasa Inggeris. Setelah sedemikian banyak bukti dan hujah tentang kedaifan bahasa itu diketengahkan, masih lagi kita menganggap bahawa bahasa Inggerislah segala-galanya. Hasil cerakinan yang dibuat oleh Datuk Hassan Ahmad mendapati bahawa bahasa Inggeris hanyalah a borrowed language yang memperlihatkan kosa kata asli bahasa itu adalah paling sedikit jumlahnya berbanding kosa kata bahasa lain yang dipinjam.

Datuk Hassan turut memetik kajian David Crystal bahawa bahasa Inggeris meminjam kosa kata daripada 350 bahasa, dan hanya satu perempat sahaja kosa kata asal. Jika tiada kata pinjaman terutamanya daripada bahasa Latin dan Greek, bahasa Inggeris tidak bergunapun untuk menjadi bahasa ilmu, bahasa sains, bahasa matematik dan bahasa teknologi!
Kini, menurut Ismail Salleh yang memetik David A. Jolliffe yang memperkatakan English as Global Language, kedudukan bahasa Inggeris hanyalah di tangga kedua dari segi bahasa yang paling banyak dituturkan di dunia, dengan bilangan penutur sebanyak 510 juta orang. Sebaliknya, bahasa Mandarin meninggalkan jauh kedudukan bahasa Inggeris itu dengan 1051 juta penutur, menjadikannya bahasa yang paling banyak difahami manusia. Bahasa Melayu di tangga kesembilan dengan 175 juta penutur.

Walaupun angka-angka itu boleh diperhalusi; terutama berkaitan dengan bahasa Melayu yang jika diambil kira jumlah penutur bahasa Melayu Indonesia sahaja sudah melebihi 260 juta, hakikatnya ialah bahawa bahasa Inggeris bukanlah bahasa yang begitu besar sangat. Sebaliknya, bahasa Mandarinlah yang paling wajar diwajibkan dalam sistem pendidikan kita kerana dengan bilangan seramai itu, bayangkanlah betapa besar potensi pasaran pengguna jika ditinjau dari sudut sosioekonomi dan perkembangan dunia masa depan.

Di samping bilangannya yang besar itu, siapapun tidak dapat menafikan peradaban tamadun China lebih terkehadapan berbanding tamadun Inggeris (jika ada). Ia lebih tulen dan jauh lebih tua. Fakta sejarah membuktikan tamadun China purba telah menghasilkan kompas, serbuk letupan, kertas dan pencetakan. Sehingga kini, berbanding tamadun Mesir, India, Babylon dan sebagainya, tamadun China adalah satu-satunya yang masih kekal.

Justeru tamadun hanya boleh diungkapkan secara pragmatik oleh bahasa, maka kedudukan bahasa Mandarin adalah ternyata sangat penting sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia. Dalam konteks tempatan, bahasa Mandarin sangat berguna khususnya dalam menghayatikan konsep negara bangsa yang dinamakan Malaysia. Dengan bilangan kaum Cina sebagai kedua terbesar di negara ini, dan dengan dasar “bahasa lain tidak boleh dilarang daripada dipelajari dan dikembangkan” seperti yang termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Negara, bahasa Mandarinlah yang sepatutnya diangkat sebagai kedua negara.

Penguasaan bahasa Mandarin akan menjadikan majoriti masyarakat Malaysia lebih memahami antara satu sama lain dan dengan itu juga akan bersifat lebih telus dan tulus dalam usaha meningkat perpaduan kaum. Sedikit banyak perasaan syak wasangka akan keikhlasan antara kaum dapat dikurangkan dan dengan itu tiada lagi agenda yang boleh dikatakan tersembunyi. Sikap cauvinisme yang begitu menebal sehingga menyukarkan pencapaian matlamat perpaduan akan dapat diliberalisasikan.

Masyarakat Malaysia perlu segera sedar bahawa untuk memenuhi hasrat 1 Malaysia, kita tidak boleh lagi ‘tidur sebantal tapi mimpi lain-lain’. Perbuatan tidur sebantal boleh ditafsir dan difahami melalui tingkah laku tetapi untuk mentafsir dan memahami mimpi, kita perlukan bahasa yang saling faham. Jika dibiarkan perbezaan kefahaman berlarutan, akhirnya ‘satu ke utara, satu ke selatan’. Bagaimana hendak bersatu?

Bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa Malaysia. Semua rakyat memahaminya dan dengan itu segala niat dan perbuatan orang Melayu lebih mudah difahami. Orang Melayu telah terpaksa lebih telus dan tulus tetapi bagaimana pula dengan kaum-kaum lain? Fahamkah orang Melayu akan hasrat dan kehendak mereka? Justeru kekeliruan tafsiran inilah yang menyebabkan perpaduan sebenar tidak dapat dirasai walaupun setelah lebih 50 tahun duduk setanah air.
Dalam mengharungi era globalisasi yang bersandarkan falsafah dunia tanpa sempadan dan langit terbuka, sistem pendidikan kita harus lebih relevan dan realistik. Berkiblatkan Barat melalui bahasa Inggeris secara keterlaluan telah menjadikan kita kesirnaan nilai dan jati diri ketimuran. Banyak gejala keruntuhan moral dan kegawatan sosial sekarang ini berkait rapat dengan kecenderungan kita menggali ilmu dari sudut dunia yang berlatarkan bahasa Inggeris.

Seorang kenalan pensyarah bahasa Inggeris pernah berkata; “to acquire a language, one must also acquire the culture”. Itulah yang kita lihat terjadi kepada sebilangan anak-anak kita yang merantau ke Barat berbekalkan bahasa Inggeris untuk mengutip ilmu. Tidak cukup dengan perubahan pandangan sarwa, mereka turut mentransformasi diri menjadi lebih Inggeris daripada Inggeris. Pemikiran, falsafah, dan teori Barat yang sudah terbukti mengharubirukan masyarakat di sana dibawa pulang dan diserapkan ke dalam pelbagai sistem sosial kita terutama sistem pendidikan. Hasilnya masalah demi masalah timbul dan tidak pernah ada jalan penyelesaian yang tuntas.

Saya fikir, sudah-sudahlah kita taksub dengan bahasa Inggeris dan tamadun Barat semata-mata sebagai sumber untuk maju. Banyak feng shui China, tamadun Jepun, pencapaian Korea, dan kebangkitan India yang boleh dijadikan sumber khazanah ilmu pengetahuan. Angkasawan kita pun telah membuktikan bahawa untuk sampai ke angkasa lepas, beliau tidak memerlukan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya bahasa Rusia. Sikap pragmatik begitulah yang seharusnya diterapkan kepada seluruh rakyat Malaysia jika ingin ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ dengan bangsa-bangsa besar yang lain.

GAGASAN 1 MALAYSIA PERLU FORMULA BM=2T-UTUSAN MALAYSIA 26 MEI 2009

Rupa-rupanya setelah 52 Merdeka, Malaysia masih belum benar-benar berjaya menyatukan pelbagai kaum yang menjadi rakyatnya, sehinggakan terpaksa Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia. Berbeza dengan perjuangan Malaysian-Malaysia yang cuba dibawakan oleh satu pihak lain, konsep 1 Malaysia bermatlamatkan perpaduan nasional dan bukannya ruang cauvinis untuk membuat tuntutan yang bukan-bukan.

Jika selama ini perpaduan hanya berasaskan konsep toleransi, kini ia dilihat perlu ditingkatkan kepada konsep penerimaan. Hal ini bermaksud rakyat berbilang kaum di negara ini, harus menerima hakikat sejarah, dan sosiobudaya yang menjadi latar kepada konsep negara bangsa yang dinamakan Malaysia.

Namun demikian, persoalan paling asas bagi penghayatan konsep penerimaan ini ialah sejauh manakah ketelusan dan ketulusan (2T) kesemua kaum itu. Sejauh manakah orang Melayu dapat menerima orang Cina, orang India, dan suku-suku peribumi di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, sebagai sebahagian daripada Malaysian? Sejauh manakah pula orang Cina, orang India dan suku-suku peribumi itu dapat mengiktiraf orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini?

Persoalan-persoalan ini hanya dapat dijawab dengan setelus-telus dan setulus-tulusnya jika kesemua rakyat bertutur dalam bahasa yang sama. Walaupun termaktub dalam Perlembagaan Malaysia bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan oleh itu menjadi bahasa pemersatu, namun kebanyakan rakyat, malahan dalam kalangan para pemimpin negara juga masih tidak menghayatinya. Masing-masing leka dengan status quo dan bersikap prejudis terhadap kaum lain. Masih ada kepercayaan di dalam hati bahawa kelainan akan menimbulkan persaingan ‘hidup-mati’. Justeru itu, apa yang masih ada perlu dipertahankan. Kelainan gagal menimbulkan minat untuk perkongsian, malahan sebaliknya menebalkan lagi bibit-bibit perkauman.

Justeru itu, faktor Formula BM=2T – Bahasa Malaysia=Telus dan Tulus, perlu dijadikan akar Gagasan 1 Malaysia jika mahu melihat matlamat perpaduan tulen tercapai. Formula ini hanya boleh diuji apabila semua kaum bercakap dalam satu bahasa yang sama. Secara psikologi, jika dua pihak sedang berbual dalam satu bahasa yang sama, tiba-tiba menyampuk pihak ketiga yang menggunakan bahasa lain yang hanya difahami oleh salah satu pihak itu, sudah tentu pihak yang satu lagi akan terasa. Keterasaan inilah yang menimbulkan prejudis dan seterusnya membawa kepada kerenggangan hubungan.

Begitulah analogi bagi fungsi bahasa sebagai alat komunikasi bagi mencapai matlamat perpaduan. Bagaimana mungkin pelbagai kaum boleh disatukan jika masing-masing masih dibenarkan bercakap dalam bahasa yang saling tidak difahami. Hal ini menyebabkan jurang komunikasi yang membawa kepada kegagalan untuk rapat dan bersatu padu. Bagaimana boleh diukur kefahaman seseorang jika ciri bahasa tidak dikongsi bersama? Bolehkah orang Melayu faham jika orang Cina bertanya; “ni hau ma?”. Atau bagaimanakah orang Cina mahu menjawab sapaan bahasa Tamil; “vannakam”?

Kontrak sosial negara telah menyarankan bahasa yang difahami oleh semua dijadikan sebagai bahasa kebangsaan yakni bahasa pemersatu. Terbukti bahawa bahasa tersebut adalah bahasa Melayu. Malangnya, tidak semua dapat menerimanya walaupun kononnya berpegang teguh kepada konsep toleransi dan demokrasi. Dalam kalangan orang Melayu sendiri termasuk para pemimpin, masih ada yang tidak yakin dengan martabat yang telah disepakati bersama itu. Justeru, dengan demikian itu; “apalah diharap padi seberang?”.

Slogan “bahasa menunjukkan bangsa” perlulah dihayati dengan setulus-tulusnya. Konsep ‘bangsa’ itu pula perlu dilihat secara menyeluruh – bangsa Malaysia, dan bukannya terhad kepada bangsa Melayu sahaja. Bangsa Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, serta kaum peribumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Jangan lupa juga beberapa kaum minoriti yang lain termasuklah Sikh, Siam, dan Portugis. Kepelbagaian kaum ini sudah tentu memperlihatkan variasi bahasa yang rencam. Malaysia harus cemburu dengan kejayaan Indonesia menggunakan bahasa Indonesia untuk mempersatu ribuan etnik yang bertaburan di kepulauannya.

Jika selama ini semua kaum di Malaysia sudah bertoleransi dalam pelbagai perkara, kini sudah tiba masanya kita menghayati konsep penerimaan. Kita perlu faham bahawa toleransi mengandung dua semangat; memberi dan menerima. Tidak selamanya sesuatu kaum itu boleh memberi sahaja. Di sebaliknya pula, tidak selamanya sesuatu kaum itu boleh menerima sahaja. Semenjak 2007, bahasa Melayu telah diubah menjadi bahasa Malaysia. Pengorbanan ‘mematikan’ bahasa Melayu supaya ia tidak dilihat milik orang Melayu sahaja, harus dihargai oleh semua kaum demi mencapai hasrat 1 Malaysia. Gunakanlah bahasa Malaysia supaya kita semua telus dan tulus.

KHAYALAN PENERBIT DRAMA DAN FILEM MELAYU-UTUSAN MALAYSIA 5 MEI 2009

Sudah saban kali penerbit drama dan filem Melayu dikritik kerana gagal memartabatkan slogan ‘filem kita wajah kita’. Terbaru, dalam Utusan Malaysia 4 Mei yang lalu mereka ditegur lagi kerana kegagalan memartabatkan bahasa Melayu yang baik. Sebaliknya mereka memilih menggunakan ‘bahasa longkang’ (meminjam ungkapan Ku Seman Ku Hussain) sebagai medium persembahan mereka.

Sebahagian penerbit drama dan filem Melayu memang buta hati. Mereka terlalu asyik dengan fatamorgana pandangan mata sehingga mereka terkeliru dan gagal membezakan khayalan dengan kenyataan. Sebagai karyawan yang duduk di ‘alam bawah sedar’, mereka gagal melihat sesuatu kenyataan itu secara objektif. Beberapa tahun lalu, seorang produser Melayu mempertahankan gambaran aksi gadis Melayu berbikini di pantai kerana katanya itulah realiti masyarakat Melayu apabila berkelah di pantai. Benarkah begitu?

Jika benar begitu, di manakah pula letaknya falsafah ‘seni sebagai cerminan hidup masyarakat’? Berdasarkan intipati ‘cerminan’, bukankah falsafah itu bermaksud; jika ‘kanan dalam realiti, maka ia akan menjadi kiri dalam seni’? Jika bukan demikian, maknanya drama dan filem itu bukanlah karya seni yang sebenarnya dan tidak seharusnya mendapat apa-apa pengiktirafan kecuali barangkali pencapaian ‘box office’ sahaja.

Soal penggunaan bahasa Melayu dalam drama dan filem Melayu memang telah lama memualkan pencinta bahasa Melayu. Bahasa yang ditegur oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim sebagai ‘sekerat ular sekerat belut’, bukan semakin diperbaiki tetapi sebaliknya semakin menjadi-jadi. Jika menonton drama-drama Melayu di mana-mana rangkaian televisyen sekalipun, adakalanya kita keliru sama ada yang ditonton itu drama Melayukah atau soap opera-kah! Soalnya, realitikah itu?

Para produser sebenarnya cuba ‘memaksa’ masyarakat supaya menerima bentuk bahasa Melayu yang sedemikian kerana itulah bahasa yang mereka gunakan dalam kalangan karyawan. Dalam keadaan masyarakat yang memang mudah terpengaruh, bahasa longkang itulah yang menjadi ikutan dan akhirnya bahasa Melayu tercemar dengan begitu teruk sekali. Ingat lagikah kita dengan isu istilah sure heboh dahulu?

Dengan kembalinya Dr. Rais Yatim menerajui kementerian yang pernah beliau ketuai dahulu, wajar beliau melihat semula pemikiran lapuk yang masih melingkari sebahagian karyawan drama dan filem kita. Bersesuaian dengan semangat 1 Malaysia, slogan filem kita wajah kita wajib dihayati supaya drama dan filem kita tetap relevan dan terus berfungsi mengikut arus perubahan yang bakal melanda masyarakat. Jika hal ini gagal dilakukan, industri drama dan filem kita akan kembali menempuhi zaman malap seperti di era 70-an dan awal 80-an dahulu.

Selain isu bahasa, satu lagi isu yang saya fikir wajib ditangani oleh Datuk Rais ialah drama dan filem tahyul yang sangat menular dalam kalangan penerbit. Jika filem-filem Barat berusaha mencipta wirawan baru seperti menerusi siri filem X-men dan wirawan revival seperti siri televisyen Smallville dan siri filem Spiderman, penerbit drama dan filem Melayu sibuk pula mengangkat semula hantu jembalang Melayu untuk dijual kepada penonton. Maka lahirlah semula hantu, puntianak, polong, pelesit, pocong, di samping watak baru seperti ceplos dan sebagainya.

Persoalan berat seperti akidah dan persoalan ‘industri perbomohan’ perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa kerana sudah kembali menular dalam kalangan masyarakat Melayu. Utusan Malaysia 4 Mei turut melaporkan bahawa Menteri Besar Perak dituduh ‘membenarkan dewan persidangan dimasuki bomoh untuk menjampi kerusi Speaker’! Satu waktu dahulu, seorang wakil rakyat terkorban secara sadis akibat amalan khurafat itu. Itukah yang kita mahu kembalikan?

Persoalan anak-anak tidak mahu dipisahkan tempat tidur mereka daripada ibu bapa, juga harus diberi perhatian kerana Islam mengingatkan supaya anak-anak yang berusia tujuh tahun ke atas perlu dipisahkan tempat tidur mereka daripada ibu bapa.

Lebih jauh daripada persoalan-persoalan itu, orang Melayu yang sememangnya sedang dilanda krisis politik dan ekonomi, diburukkan lagi oleh para karyawan drama dan filem yang menampilkan kelemahan orang Melayu dari segi roh dan semangat. Betapa lemahnya orang Melayu sehingga digambarkan mereka terpaksa ‘membeli mimpi’ dan ‘bergantung idealisme palsu pemikiran bawah sedar melalui alam tahyul’ itu.

Wahai orang-orang Melayu! Sudah-sudahlah membuka pekung di dada.

POLITIK MELAYU PERLU LEBIH BIJAKSANA

Melihat senario politik Melayu kini, saya ingin membawa pembaca mengimbas semula keadaan politik negara selepas Pilihanraya Umum Ke-10 pada 29 November 1999. Walaupun Barisan Nasional (BN) masih mampu membentuk kerajaan dengan majoriti melebihi dua pertiga, kuasa politik orang Melayu sudah terpecah tiga; UMNO, Pas, dan Parti Keadilan Rakyat. Anwar Ibrahim berjaya memporakperandakan status quo politik Melayu sehingga statistik menunjukkan jika tidak kerana sokongan kuat pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina, sudah tentu BN tumbang. Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga turut mengakui hakikat itu.

Dengan perakuan yang sedemikian, orang Melayu semakin lelah untuk bersaing dengan masyarakat lain di tanah air sendiri. Jika sebelum itu, kuasa ekonomi yang digenggam oleh kaum lain dapat diseimbangkan dengan kuasa politik Melayu, kini semuanya telah hilang. Lebih buruk lagi, ketuanan Melayu yang bersabit dengan agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan raja-raja Melayu, dan hak istimewa orang Melayu mulai dicabar dari semasa ke semasa, dan semakin menjadi-jadi semenjak akhir-akhir ini. Semuanya kerana kaum lain tahu, orang Melayu sudah tidak ada taring lagi.

Beberapa pilihanraya kecil terbaru, termasuklah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau baru-baru ini mengesahkan lagi bahawa kuasa undi orang Melayu sahaja tidak memadai untuk memastikan kemenangan BN. Setelah disahkan oleh pemimpin Melayu melalui Pilihanraya Umum 1999 itu, kaum Cina dan India semakin bijak menggunakan kesempatan ‘kuasa’ melalui undi mereka untuk mencabar kuasa politik dan sekali gus ketuanan Melayu itu sendiri.
Sekarang orang Melayu menjadi ‘kambing hitam’ bagi segala masalah politik negara. Imej ini ditambahburukkan lagi dengan tuduhan-tuduhan amalan politik wang dalam kalangan para pemimpin sehingga menyebabkan rakyat terus hilang keyakinan. Walaupun beberapa pemimpin bukan Melayu turut dilihat ‘tidak bersih’ kerana terlibat dalam pelbagai skandal berkisar 3 ‘ta’ – takhta, harta, dan wanita, namun bersandarkan imej Melayu itu Islam, peri laku pemimpin Melayu kelihatan lebih ‘berdosa’! Dan rakyat menghukum serta-merta.

Faktor sentuhan terakhir Tun Mahathir sendiripun tidak mampu mengembalikan Bukit Selambau dan Bukit Gantang kepada BN, walaupun pakatan pembangkang tidaklah sekuat mana.

Justeru itu saya fikir pemimpin Melayu sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang, dan orang Melayu sendiri perlu membuat muhasabah yang sedalam-dalamnya dan sejujur-jujurnya. Melepaskan kuasa politik ke tangan bukan Melayu tidak menjanjikan keadaan yang lebih baik. Saya lihat, sekurang-kurangnya peribumi di Sabah dan Sarawak lebih matang berpolitik. Mereka menolak teori persepsi dan bijak menilai BN melalui hasil kerja, bukannya percaya kepada retorik semata-mata.

Apakah pemimpin Melayu dan orang Melayu masih selesa dengan sorak-sorai sedangkan kampung sudah hampir tergadai? Apakah pemimpin Melayu masih senang ‘berkokok tetapi ekor bergelumang najis’?

Kembalilah ke era politik matang dan bijaksana seperti yang pernah diamalkan pemimpin terdahulu terutamanya Tun Razak dan Tun Mahathir. Orang Melayu kuat di dalam kerajaan dan lantang sebagai pembangkang. Kebijaksanaan mereka membolehkan orang Melayu berpeluang keluar daripada kepompong kemiskinan. Pembangunan Islam menjadi agenda berterusan, dan ketuanan Melayu tidak tergugat. Namun pada masa yang sama wujud chemistry dalam hubungan antara Melayu dalam kerajaan dengan Melayu dalam pembangkang.

Takdir menentukan Datuk Seri Najib Tun Razak mewarisi kepemimpinan negara. Darah Tun Razak yang mengalir dalam tubuhnya diharap dapat mengembalikan semula era kegemilangan politik Melayu. Setelah banyak kerosakan yang berlaku, tugas ini sangatlah berat tetapi bukan sesuatu yang mustahil. Para pemimpin Melayu mesti tulus dan telus. Jika sebenar-benarnya mereka ikhlas mahu menjamin kelangsungan ketuanan dan survival Melayu, mereka bukan sahaja mesti bersih tetapi wajib kelihatan bersih.

Sebelum mengembalikan rakyat kepada BN, pemimpin Melayu perlu meyakinkan terlebih dahulu rakan-rakan pemimpin parti komponen bahawa mereka benar-benar ‘mahu’ membina semula integriti dan kematangan berpolitik. Gejala politik wang, sama ada hakikat atau hanya sekadar persepsi, mestilah dihapuskan sepenuhnya.

Kita tidak dapat menafikan bahawa ada keputusan pemilihan pemimpin dalam Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu, yang memberi kesan terhadap keputusan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau. UMNO belum benar-benar ‘dilihat bersih’.

Mujurlah Perdana Menteri bersikap bijaksana memilih saf kepemimpinannya. Para pemimpin Melayu yang digugurkan atau tidak terpilih perlulah menerima hakikat ini. Janganlah bersikap ‘lempar batu sembunyi tangan’. Bagi mereka yang ‘dibersarakan’, bersaralah dengan ikhlas dan janganlah ‘bersilat di luar gelanggang’.

Adalah diharapkan saf tersebut dapat mengembalikan keyakinan kaum bukan Melayu untuk menyokong kerajaan. Mereka bukan benci tetapi mereka hanya rindukan kepemimpinan yang ikhlas membangunkan Malaysia dengan bersandarkan slogan Satu Malaysia. Dahulukanlah rakyat.

TOLAK FALSAFAH PENDEKAR MUSTAR-UTUSAN MALAYSIA 19 MAC 2009

Memang ada kebenarannya apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Khalid Abdullah tentang mengubah semula nama UMNO kepada PEKEMBAR dalam Utusan Malaysia semalam. Penggunaan nama United Malay National Organisation telah secara dasarnya menyesatkan roh Melayu dan mengelirukan jati diri pertubuhan yang sepatutnya menyatukan orang Melayu.

Dari segi sejarahnya, dengan maksud Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), pertubuhan ini telah berjaya menyatukan seluruh parti Melayu semenjak pramerdeka. Justeru itu PEKEMBAR sebenarnya lebih relevan dalam usaha menyatukan orang Melayu tanpa mengira negeri, fahaman dan pegangan politik masing-masing. Malahan latar belakang akademik dan kecenderungan agama juga boleh dilangkau. Yang penting asalkan orang Melayu.

Dalam salah satu hasil masterpiece Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Pendekar Bujang Lapuk, saya teringat satu dialog yang dituturkan oleh Sudin ketika mereka melintasi sekolah yang mengajar orang-orang tua. Justeru ketiga-tiga watak; Ramli, Sudin dan Ajis digambarkan sebagai buta huruf, mereka cuba meneka tulisan pada papan tanda sekolah itu. Dialog itu lebih kurang berbunyi begini: “Alif (A) mim (M) nun (N) wau (U/O), alif (A) tendang wau (U/O); SARKAS!”

Sama ada di sedari atau tidak, ejaan itu jika dibunyikan akan disebut “AMNU/O” (= UMNO!). Jika benar itulah yang tersirat di sebalik dialog tersebut, pada waktu itu lagi P. Ramlee sudah dapat meramalkan, jika orang Melayu gagal ‘membaca’ alif mim nun wau, dan apabila alif tendang wau, yang tinggal hanyalah huruf alif (A), mim (M) dan nun (N) yang boleh diterjemahkan sebagai “Akhirnya Melayu Nazak”. Walau bagaimanapun, sebelum sampai ke tahap nazak itu, orang Melayu akan menjadi bahan tontonan seperti dalam persembahan sarkas.

Itulah yang dilihat sedang berlaku dalam kalangan orang Melayu sekarang. Belum selesai masalah kemiskinan tegar, penguasaan ekonomi, penyalahgunaan dadah, ajaran sesat, hedonisme, merempit dan sebagainya, muncul lagi aksi-aksi perebutan kuasa, politik wang, fitnah-memfitnah, penderhakaan, saman-menyaman, lompat-melompat dan macam-macam lagi.
Dari luar lingkungan itu, semua aksi tersebut sangat menarik untuk ditonton, dan saya yakin jangkauan penonton bukan sahaja terhad setakat dalam negeri tetapi juga penonton antarabangsa. Saya juga yakin, ramai penonton yang ‘membayar’ untuk memastikan aksi-aksi ngeri itu tetap berlanjutan!

Masihkah pemimpin-pemimpin Melayu tidak sedar akan falsafah tersirat di sebalik dialog Pendekar Bujang Lapuk itu? Rakyat nampaknya lebih arif tentang hal tersebut, barangkali kerana mereka ada banyak masa untuk menonton filem berkenaan yang tidak jemu-jemu ditayangkan media elektronik kerana rating penonton masih tetap tinggi.

Atau apakah Ketuanan Melayu hanya memegang falsafah Pendekar Mustar; “hantam sajalah”, walaupun langkah anak muridnya sumbang? Jika boleh diterjemah ketuanan itu sebagai para raja dan para rakyat yang menjadi mengundi, saya fikir golongan pembesar (pemimpin) Melayu perlu segera sedar bahawa raja-raja telah melafazkan kegusaran mereka, manakala rakyat telah bersuara dalam pilihanraya umum dan dua pilihanraya kecil yang lalu. Perlukah menunggu pula beberapa pilihanraya kecil lagi yang bakal berlangsung?

Buat kesekian kalinya, suara-suara dan harapan penyatuan orang Melayu khususnya yang diwakili oleh UMNO dan Pas mulai kedengaran lagi. Adalah diharapkan para pemimpin Melayu akan tulus dan telus menyahut seruan ini dengan mengetepikan ego masing-masing. Jangan lagi asyik beretorika kerana itu hanya akan lebih mengelirukan rakyat. Jika berlaku percanggahan hukum-hakam dan perundang-undangan seperti yang melanda negeri Perak sekarang ini, kembalilah kepada satu lagi sumber yang kita wajib percaya; iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Akhirnya para pemimpin Melayu juga harus sentiasa insaf bahawa sebagai Muslim, kita wajib percaya bahawa setiap pemimpin akan ditanya akan kepemimpinannya. Jadi sewajarnyalah kita kembalikan citra Melayu Muslim itu dalam segala tindak-tanduk kita supaya perjuangan kita diberkati Allah. Keberkatan itulah yang dinantikan oleh setiap umat Melayu kini. Dengan paksi ini sahajalah kita akan kembali disegani kaum lain dan tidak lagi diperkotak-katikkan seperti sekarang ini. Tutupilah segala pekung dengan musyawarah. Janganlah terus-terusan bersorak kerana kita khuatir kampung halaman akan tergadai. Janganlah juga kita ‘biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya’ sambil bernyanyi “biarkan, biarkan!”

Dr. Sharifudin Lubis
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.

HENTIKAN RETORIKA-UTUSAN MALAYSIA 27 FEBRUARI 2009

Tiga berita kecil dalam Utusan Malaysia, Khamis 26 Februari 2009 telah menarik minat saya untuk mengutarakan pandangan dalam satu wacana yang dinamakan sosiolinguistik. Pertama, gesaan Chong Eng (Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam supaya kerajaan membenarkan penggunaan pelbagai bahasa termasuk Mandarin dalam urusan pentadbiran kerajaan. Kedua, amaran Karpal Singh (DAP Bukit Gelugor) kepada Pemuda UMNO supaya jangan main-main dengannya kerana “Singh is King”, dan yang ketiga; peringatan Datuk Dr. Firdaus Abdullah (mantan Ketua Pengarah DBP) bahawa PPSMI bukan saja membawa ‘padah’ tetapi juga bakal mengundang ‘musibah’ kepada orang Melayu.

Dalam situasi terkini, semua orang harus menerima hakikat bahawa orang Melayu sedang berpecah. Kita juga harus mengakui bahawa perpecahan ini adalah akibat persaingan untuk berkuasa. Bukan untuk agama, bangsa dan negara, walaupun retorikanya dilaung-laungkan begitu. Untuk apa sebenarnya kuasa itu, kita juga arif dan faham jawapannya.

Rakyat Melayu bawahan sedang resah dan keliru. Rakyat hanya ada ‘kuasa’ empat tahun sekali. Jadi apakah tempoh tiga tahun yang akan datang ini, padah yang sedang berlaku dapat menyelamatkan rakyat daripada ditimpa musibah? Siapakah pemimpin Melayu yang dapat memberikan harapan optimistik? Persoalan ini timbul kerana rakyat sedar bahawa banyak pihak yang sedang menganga bagai jerung untuk membaham, dan bersedia ‘menangguk di air keruh’. Dua kenyataan Chong Eng dan Karpal itu sudahpun membuktikan musibah yang mungkin akan berlaku.

Gesaan Chong Eng itu saya akui harus diberi perhatian kerana beliau mewakili etnik kedua terbesar di negara ini. Orang Melayu perlu menerima hakikat bahawa bahasa Mandarin berguna khususnya dari segi ekonomi. Untuk bersaing di pasaran kerja tempatan sekarang ini, bahasa itu lebih diperlukan berbanding bahasa Inggeris. Jika kita mahu mencuba nasib di luar negara pula, dengan dasar terbuka negara Cina sekarang ini, bahasa Mandarin juga amat berguna. Kita tahu bahawa pasaran Cina berjumlah lebih dua billion dan berpotensi sebagai lubuk laba. Jadi, perpecahan Melayu nampaknya ada manfaatnya kerana ‘memberanikan’ Chong Eng membuat gesaan itu. Masyarakat Cina juga mudah-mudahan akan menjadi lebih telus dan tulus jika orang Melayu menguasai bahasa mereka!

Amaran Karpal itu dan ‘pengisytiharan’ bahawa keturunan beliau adalah raja, saya fikir adalah kenyataan yang melucukan dan barangkali ‘nyanyuk’. Berapa ramaikah keturunan Singh di negara ini? Jika DAP tidak wujud, di perahu yang manakah Karpal mahu menumpang? MIC? Saya fikir, sudah-sudahlah media melayan beliau kerana tutur kata pemimpin seusia beliau hanya semakin mengelirukan. Tidak perlu lagi diperlihatkan ‘bahasa celupar’ dan ‘bahasa biadab’ Karpal di Parlimen kerana ‘lawaknya’ semakin slapstick dan sarkastik! Ingat lagi beberapa minggu lalu beliau menyuruh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertaubat. Saya tertawa berdekah-dekah.

Berbalik kepada ramalan Datuk Firdaus bahawa padah akan bertukar musibah jika pemimpin Melayu terus bertelagah tentang kedaulatan bahasa Melayu, kesannya sedang melanda sekarang ini. Kemuncak kemelut ini dimanifestasikan melalui kekeliruan tentang konseptual derhaka yang berlaku di Perak. Setakat ini dua rujukan perundang-undangan; Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, belum mampu menyelesaikan kemelut ini. Jika merujuk filem Hang Tuah, salah satu dialog yang boleh dibandingkan ialah; “Tuahkah benar, Jebatkah benar?”. Monolog ini sudah terlambat kerana tatkala itu, Jebat sudah mati ditikam Hang Tuah. Jadi sebelum ‘nasi menjadi bubur’, wajarlah secara serius dan ikhlas kekeramatan bahasa Melayu dikembalikan supaya semua orang Melayu faham bahasanya.

Beberapa rakan dalam kalangan peguam menyimpulkan bahawa bahasa perundangan-undangan yang digunakan sebagai rujukan di negara kita tidak mampu menangani kemelut ini. Belumpun isu PPSMI diputuskan, orang Melayu sudah berantakan sesama sendiri, malahan bukan setakat sesama rakyat tetapi juga dengan sultan. Dengarnya, sudah menular ke Kedah. Apakah orang Melayu suka makan ‘bubur’?

Barangkali alim-ulamak bersetuju jika saya katakan bahawa sebenarnya sebagai orang Melayu beragama Islam, ada satu lagi sumber perundang-undangan yang boleh dirujuk, iaitu Al-Qur’an. Bukankah Allah telah memerintahkan jika sekiranya berlaku perbalahan sesama kita, rujuklah kitab suci itu untuk mendapat pedoman dan petunjuk? Orang Melayu Islam wajib mengimani ayat-ayat Allah. Justeru itu, pemimpin Melayu perlulah menghentikan segala bentuk bahasa retorika, dan sebaliknya kembalilah ke akar untuk menyuburkan semula ukhwah sesama kita.

Dr. Sharifudin Lubis
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.

Khamis, Februari 12, 2009

NIZAR MEMALUKAN ORANG MELAYU-UTUSAN MALAYSIA 12 FEBRUARI 2009

PENDERHAKAAN Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan satu lagi episod yang amat memalukan orang Melayu. Pengisytiharan "mohon derhaka" secara terbuka, tidak pernah tercatat dalam sejarah Melayu. Sejak perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun di Bukit Siguntang, tidak pernah orang Melayu memohon untuk derhaka.

Menurut beberapa kitab historiografi Melayu, sepanjang zaman feudal, hanya dua kali orang Melayu derhaka. Itu pun tanpa bongkak membuat pengisytiharan terbuka. Sekali oleh Sang Rajuna Tapa di Singapura dan sekali lagi penderhakaan Hang Jebat di Melaka.

Apa pun sebab yang membawa kepada penderhakaan itu, kesannya membawa kepada keruntuhan empayar Melayu. Tindakan Sang Rajuna bersubahat dengan Majapahit menyebabkan kerajaan Temasik runtuh. Sehingga kini, Singapura terus terlepas ke tangan bukan Melayu. Tindakan Hang Jebat pula membawa kepada perpecahan orang Melayu di Melaka sehingga menyebabkan kerajaan menjadi lemah dan akhirnya dijajah Portugis. Peristiwa itu membuka kepada episod penjajahan Barat. Sehingga kini, Melaka kehilangan sultan.

Kini, wujud satu lagi penderhakaan oleh orang Melayu. Alasannya bukan sahaja sangat memalukan, malahan memperlihatkan kerakusan dan ketamakan serta membuktikan Nizar tidak sedar diri. Beliau lupa parti yang diwakilinya menang jumlah kerusi paling sedikit tetapi beliau melaung-laungkan bahawa dirinya mendapat mandat majoriti rakyat?

Jika tidak kerana ehsan Sultan Azlan Shah serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Nizar tidak akan merasa menjadi Menteri Besar. Sikap Nizar kononnya Pas mendapat sokongan majoriti sangatlah memalukan. Sultan berkuasa untuk melantik Menteri Besar. Jika kabur bahasa undang-undang sekalipun, daripada segi adab, Nizar memberi gambaran betapa biadapnya orang Melayu terhadap Sultan.

Saya yakin, insiden Nizar menderhaka akan terpahat sebagai sesuatu yang sangat memalukan dalam sejarah orang Melayu. Segala ciri kesantunan, kerendahan hati dan tatasusila Melayu yang menjadi kebanggaan bangsa sudah dipalit arang.

Alasan penderhakaan Sang Rajuna dan Hang Jebat kini telah dirasionalkan oleh orang Melayu. Tetapi penderhakaan Nizar tetap tidak akan diterima oleh orang Melayu sehingga akhir zaman.

Sedarlah Nizar, Allah telah mentakdirkan sedemikian. Apabila Allah menarik balik rezeki itu, anggaplah Dia memberi kesempatan untuk bermuhasabah dan jika perlu, bertaubat. Sepanjang 11 bulan berkuasa, Nizar banyak melukakan hati Sultan dan orang Melayu. Beliau terikut-ikut dengan rentak biadab sahabat-sahabat yang tidak berkenaan dengan perjanjian Bukit Siguntang itu.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM

Isnin, Januari 19, 2009

USAHA PENYATUAN PALESTIN PERLU DIDAHULUKAN

SUDAH lebih 60 tahun Palestin sengsara akibat perang dengan Israel dan belum ada tanda-tanda keadaan akan berubah. Ratusan ribu yang telah terkorban, manakala yang masih bernyawa pula hidup sebagai pelarian; ada yang di bumi sendiri, dan jutaan lagi di bumi asing.

Setelah begitu lama - dengan pemimpin mereka yang silih berganti, timbul satu persoalan; mengapakah Palestin tidak pernah menang atau mengapakah mereka masih tidak dapat menyelesaikan masalah mereka?

Senario yang kita tonton dan kita baca saban hari semenjak berpuluh-puluh tahun itu masih yang sama sehinggakan seolah-olah mereka mengulang tayang kesengsaraan dan penderitaan yang tidak kunjung padam. Seperti telah menjadi citra dan budaya negara dan rakyat Palestin!

Kita masih melihat anak-anak Palestin membaling batu ke arah kereta kebal Israel. Setelah 60 tahun hanya itu sahajakah yang termampu mereka lakukan? Sekurang-kurangnya tidakkah mereka terfikir untuk membuat lastik yang boleh digunakan untuk melastik batu-batu lebih jauh ke arah tentera Israel berbanding membaling dengan tangan sahaja.

Tidakkah dalam tempoh yang begitu panjang, mereka mampu memiliki senjata yang lebih sesuai untuk menembak kereta kebal itu?

Semenjak pencerobohan terbaru ini, hari-hari kita melihat lelaki-lelaki Palestin hanya bergegas-gegas ke sana ke mari, mengerumuni jenazah saudara mereka yang kecundang atau berebut-rebut mengusung yang cedera ke hospital.

Selain itu mereka juga kelihatan melepak di tepi-tepi dinding atau menyelongkar bangunan-bangunan yang runtuh dibom Israel. Sekali-sekala mereka berarak mengusung jenazah sambil melaungkan kalimat Allah Maha Besar. Tidakkah mereka itu boleh berperang kerana 'alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan'! Itu belum lagi menyebut hal sayap Fatah yang terus berpeluk tubuh.

Timbul pertanyaan apakah ini satu peperangan atau pencerobohan? Jika berperang, kenapa hanya kelihatan tentera, kereta kebal dan jet Israel sahaja? Mana pejuang Palestin? Hanya sekali-sekala dilaporkan Hamas melancarkan roket ke kawasan Israel tetapi tidak menyebabkan kemalangan dan kerosakan besar kerana tidak kena pada sasaran manusia atau bangunan.

Setelah 60 tahun, tidakkah lelaki-lelaki Palestin yang melepak-lepak itu mahu bangkit berjihad? Atau adakah mereka menganggap itu kerja tentera sahaja? Jika pun benar itu memang kerja tentera, setelah 60 tahun tidakkah mereka tahu untuk menembak tepat ke sasaran?

Dalam pada itu seluruh dunia kecuali Amerika Syarikat (AS), terus melemparkan kutukan demi kutukan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga begitu. Tetapi tidakkah itu semua umpamanya 'anjing menyalak bukit sahaja'? Dalam al-Quran ada menggambarkan betapa bangsa Israel itu adalah bangsa yang paling banyak menerima kutukan Allah. Sedang kutukan Allah pun mereka tidak ambil peduli, apatah pula kutukan sesama manusia.

Satu perkara lagi yang harus kita fikirkan semula ialah bantuan apakah sebenarnya yang paling diperlukan oleh Palestin sekarang. Setelah berpuluh tahun masyarakat dunia termasuk yang paling pemurah, iaitu rakyat negara kita sendiri memberi sumbangan kewangan, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya, tetapi nampaknya semua kelihatan seperti tidak ada kesudahannya.

Setiap kali Israel menceroboh, kita akan sibuk menubuhkan pelbagai bentuk tabung sumbangan. Sudah tidak terhitung rasanya nilai bantuan kemanusiaan yang telah disumbangkan. Semenjak pencerobohan yang sedang berlaku ini pula, rakyat Palestin seakan-akan sudah tidak segan silu lagi memohon dunia memberikan bantuan. Hal ini turut dilihat di Malaysia, justeru kita memang terkenal sebagai negara yang amat pemurah.

Apa yang paling wajar masyarakat dunia lakukan sekarang ialah mencari usaha untuk menyatukan rakyat Palestin khususnya menerusi dua pertubuhan utama mereka; iaitu Hamas dan Fatah.

Di samping itu lelaki-lelaki Palestin itu hendaklah disedarkan bahawa jihad bermaksud pergi berperang, dan bukannya berpeluk tubuh dan bersembunyi di sebalik runtuhan bangunan, sambil melihat tentera mereka diganyang Israel. Bagaimana melakukannya terserahlah kepada bijak pandai, alim ulama, malahan jika perlu - pakar motivasi.
Jangan lagi dibiarkan ahli politik sahaja yang memberi pandangan dan merangka apa-apa pelan penyelesaian kerana itulah kegagalan yang telah dilakukan selama 60 tahun ini.
Bagi umat Islam pula, amat wajar meneruskan usaha melalui doa, solat hajat dan membaca surah-surah tertentu dari al-Quran, dengan niat utamanya memohon supaya Allah menyatukan hati-hati rakyat Palestin, dan memberikan kemenangan dalam setiap pertempuran.
Janganlah terlalu mengharap pada batu sahaja untuk menyekat kemaraan tentera Israel. Siapalah kita untuk mengharap mukjizat sedemikian.
Jangan sampai kita pula yang terdakwa pada kemudian hari, hanya kerana kita terlalu bersimpati tetapi tidak berusaha dengan setulus dan seikhlas hati untuk menyatukan mereka.
DR. SHARIFUDIN LUBIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.