Rabu, Julai 15, 2009

HENTIKAN RETORIKA-UTUSAN MALAYSIA 27 FEBRUARI 2009

Tiga berita kecil dalam Utusan Malaysia, Khamis 26 Februari 2009 telah menarik minat saya untuk mengutarakan pandangan dalam satu wacana yang dinamakan sosiolinguistik. Pertama, gesaan Chong Eng (Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam supaya kerajaan membenarkan penggunaan pelbagai bahasa termasuk Mandarin dalam urusan pentadbiran kerajaan. Kedua, amaran Karpal Singh (DAP Bukit Gelugor) kepada Pemuda UMNO supaya jangan main-main dengannya kerana “Singh is King”, dan yang ketiga; peringatan Datuk Dr. Firdaus Abdullah (mantan Ketua Pengarah DBP) bahawa PPSMI bukan saja membawa ‘padah’ tetapi juga bakal mengundang ‘musibah’ kepada orang Melayu.

Dalam situasi terkini, semua orang harus menerima hakikat bahawa orang Melayu sedang berpecah. Kita juga harus mengakui bahawa perpecahan ini adalah akibat persaingan untuk berkuasa. Bukan untuk agama, bangsa dan negara, walaupun retorikanya dilaung-laungkan begitu. Untuk apa sebenarnya kuasa itu, kita juga arif dan faham jawapannya.

Rakyat Melayu bawahan sedang resah dan keliru. Rakyat hanya ada ‘kuasa’ empat tahun sekali. Jadi apakah tempoh tiga tahun yang akan datang ini, padah yang sedang berlaku dapat menyelamatkan rakyat daripada ditimpa musibah? Siapakah pemimpin Melayu yang dapat memberikan harapan optimistik? Persoalan ini timbul kerana rakyat sedar bahawa banyak pihak yang sedang menganga bagai jerung untuk membaham, dan bersedia ‘menangguk di air keruh’. Dua kenyataan Chong Eng dan Karpal itu sudahpun membuktikan musibah yang mungkin akan berlaku.

Gesaan Chong Eng itu saya akui harus diberi perhatian kerana beliau mewakili etnik kedua terbesar di negara ini. Orang Melayu perlu menerima hakikat bahawa bahasa Mandarin berguna khususnya dari segi ekonomi. Untuk bersaing di pasaran kerja tempatan sekarang ini, bahasa itu lebih diperlukan berbanding bahasa Inggeris. Jika kita mahu mencuba nasib di luar negara pula, dengan dasar terbuka negara Cina sekarang ini, bahasa Mandarin juga amat berguna. Kita tahu bahawa pasaran Cina berjumlah lebih dua billion dan berpotensi sebagai lubuk laba. Jadi, perpecahan Melayu nampaknya ada manfaatnya kerana ‘memberanikan’ Chong Eng membuat gesaan itu. Masyarakat Cina juga mudah-mudahan akan menjadi lebih telus dan tulus jika orang Melayu menguasai bahasa mereka!

Amaran Karpal itu dan ‘pengisytiharan’ bahawa keturunan beliau adalah raja, saya fikir adalah kenyataan yang melucukan dan barangkali ‘nyanyuk’. Berapa ramaikah keturunan Singh di negara ini? Jika DAP tidak wujud, di perahu yang manakah Karpal mahu menumpang? MIC? Saya fikir, sudah-sudahlah media melayan beliau kerana tutur kata pemimpin seusia beliau hanya semakin mengelirukan. Tidak perlu lagi diperlihatkan ‘bahasa celupar’ dan ‘bahasa biadab’ Karpal di Parlimen kerana ‘lawaknya’ semakin slapstick dan sarkastik! Ingat lagi beberapa minggu lalu beliau menyuruh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertaubat. Saya tertawa berdekah-dekah.

Berbalik kepada ramalan Datuk Firdaus bahawa padah akan bertukar musibah jika pemimpin Melayu terus bertelagah tentang kedaulatan bahasa Melayu, kesannya sedang melanda sekarang ini. Kemuncak kemelut ini dimanifestasikan melalui kekeliruan tentang konseptual derhaka yang berlaku di Perak. Setakat ini dua rujukan perundang-undangan; Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, belum mampu menyelesaikan kemelut ini. Jika merujuk filem Hang Tuah, salah satu dialog yang boleh dibandingkan ialah; “Tuahkah benar, Jebatkah benar?”. Monolog ini sudah terlambat kerana tatkala itu, Jebat sudah mati ditikam Hang Tuah. Jadi sebelum ‘nasi menjadi bubur’, wajarlah secara serius dan ikhlas kekeramatan bahasa Melayu dikembalikan supaya semua orang Melayu faham bahasanya.

Beberapa rakan dalam kalangan peguam menyimpulkan bahawa bahasa perundangan-undangan yang digunakan sebagai rujukan di negara kita tidak mampu menangani kemelut ini. Belumpun isu PPSMI diputuskan, orang Melayu sudah berantakan sesama sendiri, malahan bukan setakat sesama rakyat tetapi juga dengan sultan. Dengarnya, sudah menular ke Kedah. Apakah orang Melayu suka makan ‘bubur’?

Barangkali alim-ulamak bersetuju jika saya katakan bahawa sebenarnya sebagai orang Melayu beragama Islam, ada satu lagi sumber perundang-undangan yang boleh dirujuk, iaitu Al-Qur’an. Bukankah Allah telah memerintahkan jika sekiranya berlaku perbalahan sesama kita, rujuklah kitab suci itu untuk mendapat pedoman dan petunjuk? Orang Melayu Islam wajib mengimani ayat-ayat Allah. Justeru itu, pemimpin Melayu perlulah menghentikan segala bentuk bahasa retorika, dan sebaliknya kembalilah ke akar untuk menyuburkan semula ukhwah sesama kita.

Dr. Sharifudin Lubis
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.

Khamis, Februari 12, 2009

NIZAR MEMALUKAN ORANG MELAYU-UTUSAN MALAYSIA 12 FEBRUARI 2009

PENDERHAKAAN Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan satu lagi episod yang amat memalukan orang Melayu. Pengisytiharan "mohon derhaka" secara terbuka, tidak pernah tercatat dalam sejarah Melayu. Sejak perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun di Bukit Siguntang, tidak pernah orang Melayu memohon untuk derhaka.

Menurut beberapa kitab historiografi Melayu, sepanjang zaman feudal, hanya dua kali orang Melayu derhaka. Itu pun tanpa bongkak membuat pengisytiharan terbuka. Sekali oleh Sang Rajuna Tapa di Singapura dan sekali lagi penderhakaan Hang Jebat di Melaka.

Apa pun sebab yang membawa kepada penderhakaan itu, kesannya membawa kepada keruntuhan empayar Melayu. Tindakan Sang Rajuna bersubahat dengan Majapahit menyebabkan kerajaan Temasik runtuh. Sehingga kini, Singapura terus terlepas ke tangan bukan Melayu. Tindakan Hang Jebat pula membawa kepada perpecahan orang Melayu di Melaka sehingga menyebabkan kerajaan menjadi lemah dan akhirnya dijajah Portugis. Peristiwa itu membuka kepada episod penjajahan Barat. Sehingga kini, Melaka kehilangan sultan.

Kini, wujud satu lagi penderhakaan oleh orang Melayu. Alasannya bukan sahaja sangat memalukan, malahan memperlihatkan kerakusan dan ketamakan serta membuktikan Nizar tidak sedar diri. Beliau lupa parti yang diwakilinya menang jumlah kerusi paling sedikit tetapi beliau melaung-laungkan bahawa dirinya mendapat mandat majoriti rakyat?

Jika tidak kerana ehsan Sultan Azlan Shah serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Nizar tidak akan merasa menjadi Menteri Besar. Sikap Nizar kononnya Pas mendapat sokongan majoriti sangatlah memalukan. Sultan berkuasa untuk melantik Menteri Besar. Jika kabur bahasa undang-undang sekalipun, daripada segi adab, Nizar memberi gambaran betapa biadapnya orang Melayu terhadap Sultan.

Saya yakin, insiden Nizar menderhaka akan terpahat sebagai sesuatu yang sangat memalukan dalam sejarah orang Melayu. Segala ciri kesantunan, kerendahan hati dan tatasusila Melayu yang menjadi kebanggaan bangsa sudah dipalit arang.

Alasan penderhakaan Sang Rajuna dan Hang Jebat kini telah dirasionalkan oleh orang Melayu. Tetapi penderhakaan Nizar tetap tidak akan diterima oleh orang Melayu sehingga akhir zaman.

Sedarlah Nizar, Allah telah mentakdirkan sedemikian. Apabila Allah menarik balik rezeki itu, anggaplah Dia memberi kesempatan untuk bermuhasabah dan jika perlu, bertaubat. Sepanjang 11 bulan berkuasa, Nizar banyak melukakan hati Sultan dan orang Melayu. Beliau terikut-ikut dengan rentak biadab sahabat-sahabat yang tidak berkenaan dengan perjanjian Bukit Siguntang itu.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM

Isnin, Januari 19, 2009

USAHA PENYATUAN PALESTIN PERLU DIDAHULUKAN

SUDAH lebih 60 tahun Palestin sengsara akibat perang dengan Israel dan belum ada tanda-tanda keadaan akan berubah. Ratusan ribu yang telah terkorban, manakala yang masih bernyawa pula hidup sebagai pelarian; ada yang di bumi sendiri, dan jutaan lagi di bumi asing.

Setelah begitu lama - dengan pemimpin mereka yang silih berganti, timbul satu persoalan; mengapakah Palestin tidak pernah menang atau mengapakah mereka masih tidak dapat menyelesaikan masalah mereka?

Senario yang kita tonton dan kita baca saban hari semenjak berpuluh-puluh tahun itu masih yang sama sehinggakan seolah-olah mereka mengulang tayang kesengsaraan dan penderitaan yang tidak kunjung padam. Seperti telah menjadi citra dan budaya negara dan rakyat Palestin!

Kita masih melihat anak-anak Palestin membaling batu ke arah kereta kebal Israel. Setelah 60 tahun hanya itu sahajakah yang termampu mereka lakukan? Sekurang-kurangnya tidakkah mereka terfikir untuk membuat lastik yang boleh digunakan untuk melastik batu-batu lebih jauh ke arah tentera Israel berbanding membaling dengan tangan sahaja.

Tidakkah dalam tempoh yang begitu panjang, mereka mampu memiliki senjata yang lebih sesuai untuk menembak kereta kebal itu?

Semenjak pencerobohan terbaru ini, hari-hari kita melihat lelaki-lelaki Palestin hanya bergegas-gegas ke sana ke mari, mengerumuni jenazah saudara mereka yang kecundang atau berebut-rebut mengusung yang cedera ke hospital.

Selain itu mereka juga kelihatan melepak di tepi-tepi dinding atau menyelongkar bangunan-bangunan yang runtuh dibom Israel. Sekali-sekala mereka berarak mengusung jenazah sambil melaungkan kalimat Allah Maha Besar. Tidakkah mereka itu boleh berperang kerana 'alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan'! Itu belum lagi menyebut hal sayap Fatah yang terus berpeluk tubuh.

Timbul pertanyaan apakah ini satu peperangan atau pencerobohan? Jika berperang, kenapa hanya kelihatan tentera, kereta kebal dan jet Israel sahaja? Mana pejuang Palestin? Hanya sekali-sekala dilaporkan Hamas melancarkan roket ke kawasan Israel tetapi tidak menyebabkan kemalangan dan kerosakan besar kerana tidak kena pada sasaran manusia atau bangunan.

Setelah 60 tahun, tidakkah lelaki-lelaki Palestin yang melepak-lepak itu mahu bangkit berjihad? Atau adakah mereka menganggap itu kerja tentera sahaja? Jika pun benar itu memang kerja tentera, setelah 60 tahun tidakkah mereka tahu untuk menembak tepat ke sasaran?

Dalam pada itu seluruh dunia kecuali Amerika Syarikat (AS), terus melemparkan kutukan demi kutukan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga begitu. Tetapi tidakkah itu semua umpamanya 'anjing menyalak bukit sahaja'? Dalam al-Quran ada menggambarkan betapa bangsa Israel itu adalah bangsa yang paling banyak menerima kutukan Allah. Sedang kutukan Allah pun mereka tidak ambil peduli, apatah pula kutukan sesama manusia.

Satu perkara lagi yang harus kita fikirkan semula ialah bantuan apakah sebenarnya yang paling diperlukan oleh Palestin sekarang. Setelah berpuluh tahun masyarakat dunia termasuk yang paling pemurah, iaitu rakyat negara kita sendiri memberi sumbangan kewangan, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya, tetapi nampaknya semua kelihatan seperti tidak ada kesudahannya.

Setiap kali Israel menceroboh, kita akan sibuk menubuhkan pelbagai bentuk tabung sumbangan. Sudah tidak terhitung rasanya nilai bantuan kemanusiaan yang telah disumbangkan. Semenjak pencerobohan yang sedang berlaku ini pula, rakyat Palestin seakan-akan sudah tidak segan silu lagi memohon dunia memberikan bantuan. Hal ini turut dilihat di Malaysia, justeru kita memang terkenal sebagai negara yang amat pemurah.

Apa yang paling wajar masyarakat dunia lakukan sekarang ialah mencari usaha untuk menyatukan rakyat Palestin khususnya menerusi dua pertubuhan utama mereka; iaitu Hamas dan Fatah.

Di samping itu lelaki-lelaki Palestin itu hendaklah disedarkan bahawa jihad bermaksud pergi berperang, dan bukannya berpeluk tubuh dan bersembunyi di sebalik runtuhan bangunan, sambil melihat tentera mereka diganyang Israel. Bagaimana melakukannya terserahlah kepada bijak pandai, alim ulama, malahan jika perlu - pakar motivasi.
Jangan lagi dibiarkan ahli politik sahaja yang memberi pandangan dan merangka apa-apa pelan penyelesaian kerana itulah kegagalan yang telah dilakukan selama 60 tahun ini.
Bagi umat Islam pula, amat wajar meneruskan usaha melalui doa, solat hajat dan membaca surah-surah tertentu dari al-Quran, dengan niat utamanya memohon supaya Allah menyatukan hati-hati rakyat Palestin, dan memberikan kemenangan dalam setiap pertempuran.
Janganlah terlalu mengharap pada batu sahaja untuk menyekat kemaraan tentera Israel. Siapalah kita untuk mengharap mukjizat sedemikian.
Jangan sampai kita pula yang terdakwa pada kemudian hari, hanya kerana kita terlalu bersimpati tetapi tidak berusaha dengan setulus dan seikhlas hati untuk menyatukan mereka.
DR. SHARIFUDIN LUBIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Jumaat, November 21, 2008

SUKA HATILAH...

Sudah sekian lama pelbagai pihak berhujah mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ada yang menyokong dasar itu diteruskan, dan ramai pula yang membantah. Namun sehingga kini, kerajaan masih berteka-teki mengenai isu ini.

Saya fikir, sudah sampai masanya kita berhenti membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk berbahas kerana segala-galanya terletak di tangan menteri yang berkenaan. Hal ini samalah ketika dasar PPSMI itu hendak dilaksanakan dahulu; tidak perlu bersusah payah berbincang, terus sahaja umumkan dan laksanakan.

Rakyat kini memang telah benar-benar faham, bahawa segala sudut kehidupan di negara ini tidak dapat lari daripada agenda politik yang tersembunyi di sebalik segala dasar sosioekonominya. Laungkanlah apa sahaja pandangan tentang apa sahaja isu, keputusan muktamadnya terletak di tangan menteri. Biarpun ada antara dasar itu melanggar akta-akta dan perlembagaan negara, namun atas kuasa politik, segala-galanya menjadi halal.

Memang sudah jelas dan nyata bahawa Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 menetapkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Tidak cukup dengan itu, akta-akta pendidikan seperti Penyata Razak, Penyata Rahman, dan Akta Bahasa Kebangsaan sendiri telah dengan sejelas-jelasnya menetapkan bahasa pengantar dalam sistem pelajaran ialah bahasa Melayu. Apa lagi yang perlu dijadikan hujah?


Mulai sekarang, yang perlu difikirkan ialah bagaimana hendak membubarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana fungsinya sudah tidak relevan lagi. Berjuta-juta ringgit yang telah dibelanjakan oleh DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, membazir begitu sahaja. Malahan, fakta bahawa sehingga kini, sudah terbit 36 kamus istilah dan 222 glosari istilah mencakupi semua bidang peradaban manusia termasuk yang terbaru bidang aeroangkasa, masih tidak kukuh untuk mempertahankan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi. Bahasa Melayu sudah membuktikan kemampuannya sebagai bahasa asas penerokaan ilmu yang berjaya membawa rakyat Malaysia ke angkasa lepas. Sudah lebih 400 000 istilah dicipta. Semuanya tetap tidak cukup untuk dijadikan hujah bagi mempertahankan bahasa Melayu.

Fikirkanlah juga apa yang hendak dibuat dengan Institut Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia yang tersergam di Lembah Pantai itu. Paling mudah ialah gugurkan sahaja nama ‘Bahasa Melayu’ itu seperti mana mudahnya kerajaan menukarkan nama bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia tahun lalu. Kemudan, latihlah semahir-mahirnya bakal-bakal guru yang akan mengajarkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Persatuan Linguistik Malaysia lebih baik bubarkan sahaja kerana tidak ada faedahnya. Kewujudannya hanya meletihkan para sarjana linguistik bahasa Melayu kerana perlu datang bermesyuarat dan berbincang tentang entah apa-apa.

Jabatan-jabatan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi (IPTA) juga wajar ditransformasikan menjadi benda-benda lain; terpulang kepada pihak pengurusan masing-masing. Sesuai juga agaknya dijadikan arkib atau muzium warisan bangsa kerana bahasa Melayu hanya tinggal sebagai warisan untuk pameran dan kajian sahaja. Tidak perlu sebarang usaha pengembangan kerana dalam dunia yang bakal dikuasai sepenuhnya oleh sains dan teknologi, bahasa Melayu tidak perlu lagi. Beberapa IPTA yang berteraskan sains dan teknologi sudahpun mengisytiharkan hal ini beberapa tahun lalu. IPTS usah ditanya lagi.

Kemuncaknya, Universiti Kebangsaan Malaysia juga wajar dibubarkan kerana jika masih wujud, UKM akan menjadi monumen yang amat memalukan negara dan bangsa. Hal ini kerana UKM diwujudkan khusus untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Semaklah akta penubuhannya jika tidak percaya.

Akhir sekali, bagi seluruh kaum Melayu, marilah sama-sama kita mengisytiharkan bahawa nama kita kini ialah bangsa Malaysia, seperti mana tuntutan suara-suara politik itu. Kitalah yang perlu memulakan, dan akan diikuti oleh kaum-kaum lain yang ada di negara kita; jika mereka benar-benar ikhlas mahu menjadi rakyat Malaysia.

MELAYU PERLU HORMATI DIRI SENDIRI DAHULU

Saya fikir dalam isu hak peribumi khususnya orang Melayu yang tidak lagi dihormati kaum-kaum lain sebenarnya berpunca daripada orang Melayu sendiri. Sejak akhir-akhir ini, orang Melayu membiarkan diri mereka kehilangan kehormatan dengan pihak-pihak dalam kalangan orang Melayu sendiri meruntuhkan satu demi satu maruah dan ciri kedaulatan jati diri mereka. Tidak perlu kaum lain mencuba untuk merosakkan imej Melayu. Ini bertepatan dengan firman Allah yang antara lain menyebut tidak ada bangsa lain yang menentukan nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu sendiri.

Orang Melayu perlu bermuhasabah diri. Tidak perlu menuding jari ke arah orang lain, kerana dengan satu jari menunjuk ke arah pihak lain, tiga jari lagi menunjuk ke arah diri sendiri. Orang Melayu mempunyai beberapa ciri kehormatan. Ciri paling utama ialah bahawasanya Melayu itu beragama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa pengislaman Melayu yang dikesan semenjak abad ke-13 Masehi telah membentuk citra Melayu yang amat hebat sehingga mampu membina empayar yang menyatukan seluruh etnik Melayu. Empayar Melayu Melaka menjadi mercu tanda kegemilangan ini.

Namun sejarah juga telah membuktikan bahawa keruntuhan Melayu pada zaman itu adalah disebabkan orang Melayu sendiri telah mula menyeleweng daripada ciri-ciri keislaman sejati. Para pemimpin Melayu yang banyak terlibat dengan perdagangan bersifat rakus dan tamakkan kekayaan. Tindas-menindas mulai menjadi budaya. Keadaan ini menimbulkan pula gejala rasuah dan perpecahan dalam kalangan pembesar. Kezaliman dan fitnah memfitnah menjadi sesuatu yang lumrah. Pada saat inilah Portugis meruntuhkan kegemilangan yang telah dibina. Dan selama beratus-ratus tahun berikutnya, orang Melayu terjajah di bumi sendiri.

Pada abad ke-19 dan ke-20, orang Melayu bangkit semula membina negara bangsa yang bersifat metropolitan dek dasar penjajah. Kali ini orang Melayu perlu menerima hakikat bahawa negara ini bukan milik mereka sendiri sahaja tetapi terpaksa berkongsi dengan dua bangsa utama yang lain iaitu Cina dan India. Sudah tentulah persaingan menjadi lebih hebat dan kompleks. Justeru masing-masing mempunyai kesamaan dan perbezaan dalam pelbagai aspek termasuk budaya dan sistem kepercayaan, orang Melayu seolah-olah gagal menyesuaikan diri membina ketamadunan baru berasaskan ciri yang heterogenus. Malahan ada kalangan sarjana bukan Melayu yang kehairanan melihat orang Melayu yang seperti cacing kepanasan berjuang dan berusaha mempertahankan hak seolah-olah mereka bersifat minoriti dan pendatang.

Keliru dengan persekitaran persaingan yang lebih mencabar, orang Melayu mulai melihat agama sebagai adat; hanya wajib dipegang apabila hendak bernikah, jika berlaku kematian, atau pada musim perayaan sahaja. Dalam aspek kehidupan yang lain; rasuah menjadi-jadi sama ada kecil atau besar, sama ada secara terang atau sembunyi, sama ada secara ‘halal’ atau secara haram. Masalah dadah tidak pernah selesai malah bertambah buruk. Budaya hedonism semakin menular dan tambah melampau apabila diharuskan atas pelbagai alasan termasuk amal jariah. Budaya fitnah-memfitnah tidak pernah surut sehingga terpaksa bersumpah junjung Qur’an. Politik wang, sistem kehakiman yang culas dan ketirisan sistem penyampaian kerajaan pimpinan Melayu telah menjadi rahsia awam. Semuanya amat mengjengkelkan.

Orang Melayu secara terang-terangan berkelahi sesama sendiri dalam banyak gelanggang. Segala keburukan ini mendapat liputan media pimpinan Melayu sendiri yang bertindak seolah-olah membuka pekung di dada. Jadi, bagaimanakah kita mahu memaksa orang lain menghormati kita jika segala pekung yang berkudis, bernanah, berulat, dan amat busuk itu telah didedahkan kepada kaum lain? Seingat saya, semenjak musim PRU Ke-12 dahulu lagi, media tidak pernah gagal menghidu berita keburukan perangai orang Melayu. malahan ada juga ‘siaran langsung’ pergaduhan suami isteri selebriti melalui media elektronik.

Orang Melayu wajib kembali kepada citra ‘Melayu itu Islam’. Islam bermaksud sejahtera dan selamat. Apabila kita buang citra ini, selamanyalah orang Melayu akan terus berantakan dan hilang kehormatan diri. Dalam situasi begini, tidak perlulah kita merayu orang lain menghormati kita. Lebih daripada itu, belajarlah daripada sejarah Melaka jika kita mahu terus berdiri sebagai satu bangsa yang bermaruah. Janganlah kita terlalu bodoh mengulang kembali kesilapan yang telah dilakukan oleh orang Melayu ketika itu.

Kepemimpinan Melayu perlu segera mengambil langkah muhasabah diri sebelum mengajak orang Melayu melakukannya. Tidak sukar sebenarnya memimpin bangsa Melayu kerana masih ramai orang Melayu yang berpegang kepada wa’adat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang dimeterai di Bukit Siguntang Mahameru. Pihak istana telah memberi isyarat supaya orang Melayu segera bangkit daripada kekalutan yang sudah semakin menular. Malahan orang bukan Melayu juga kini sudah semakin resah, dan keresahan mereka itu sebenarnya menunjukkan bahawa mereka masih mempunyai keyakinan bahawa kejayaan negara ini amat bergantung kepada kestabilan dan kedaulatan bangsa Melayu.

Tafsirkanlah sejujurnya pesanan Hang Tuah bahawa takkan Melayu hilang di dunia. Usahlah beretorika lagi kerana kini masanya untuk menterjemah kedaulatan bangsa kepada ketamadunan akal dan hati budi. Keharmonian dan kejayaan membina tamadun baru itulah yang akan menjadi manifestasi kedaulatan Melayu yang sebenar-benarnya. Apabila tercapai nanti, bangsa Melayu dan segala hak peribuminya akan dihormati dan tidak lagi diperkotak-katikkan.