Rabu, Julai 15, 2009

POLITIK MELAYU PERLU LEBIH BIJAKSANA

Melihat senario politik Melayu kini, saya ingin membawa pembaca mengimbas semula keadaan politik negara selepas Pilihanraya Umum Ke-10 pada 29 November 1999. Walaupun Barisan Nasional (BN) masih mampu membentuk kerajaan dengan majoriti melebihi dua pertiga, kuasa politik orang Melayu sudah terpecah tiga; UMNO, Pas, dan Parti Keadilan Rakyat. Anwar Ibrahim berjaya memporakperandakan status quo politik Melayu sehingga statistik menunjukkan jika tidak kerana sokongan kuat pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina, sudah tentu BN tumbang. Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga turut mengakui hakikat itu.

Dengan perakuan yang sedemikian, orang Melayu semakin lelah untuk bersaing dengan masyarakat lain di tanah air sendiri. Jika sebelum itu, kuasa ekonomi yang digenggam oleh kaum lain dapat diseimbangkan dengan kuasa politik Melayu, kini semuanya telah hilang. Lebih buruk lagi, ketuanan Melayu yang bersabit dengan agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan raja-raja Melayu, dan hak istimewa orang Melayu mulai dicabar dari semasa ke semasa, dan semakin menjadi-jadi semenjak akhir-akhir ini. Semuanya kerana kaum lain tahu, orang Melayu sudah tidak ada taring lagi.

Beberapa pilihanraya kecil terbaru, termasuklah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau baru-baru ini mengesahkan lagi bahawa kuasa undi orang Melayu sahaja tidak memadai untuk memastikan kemenangan BN. Setelah disahkan oleh pemimpin Melayu melalui Pilihanraya Umum 1999 itu, kaum Cina dan India semakin bijak menggunakan kesempatan ‘kuasa’ melalui undi mereka untuk mencabar kuasa politik dan sekali gus ketuanan Melayu itu sendiri.
Sekarang orang Melayu menjadi ‘kambing hitam’ bagi segala masalah politik negara. Imej ini ditambahburukkan lagi dengan tuduhan-tuduhan amalan politik wang dalam kalangan para pemimpin sehingga menyebabkan rakyat terus hilang keyakinan. Walaupun beberapa pemimpin bukan Melayu turut dilihat ‘tidak bersih’ kerana terlibat dalam pelbagai skandal berkisar 3 ‘ta’ – takhta, harta, dan wanita, namun bersandarkan imej Melayu itu Islam, peri laku pemimpin Melayu kelihatan lebih ‘berdosa’! Dan rakyat menghukum serta-merta.

Faktor sentuhan terakhir Tun Mahathir sendiripun tidak mampu mengembalikan Bukit Selambau dan Bukit Gantang kepada BN, walaupun pakatan pembangkang tidaklah sekuat mana.

Justeru itu saya fikir pemimpin Melayu sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang, dan orang Melayu sendiri perlu membuat muhasabah yang sedalam-dalamnya dan sejujur-jujurnya. Melepaskan kuasa politik ke tangan bukan Melayu tidak menjanjikan keadaan yang lebih baik. Saya lihat, sekurang-kurangnya peribumi di Sabah dan Sarawak lebih matang berpolitik. Mereka menolak teori persepsi dan bijak menilai BN melalui hasil kerja, bukannya percaya kepada retorik semata-mata.

Apakah pemimpin Melayu dan orang Melayu masih selesa dengan sorak-sorai sedangkan kampung sudah hampir tergadai? Apakah pemimpin Melayu masih senang ‘berkokok tetapi ekor bergelumang najis’?

Kembalilah ke era politik matang dan bijaksana seperti yang pernah diamalkan pemimpin terdahulu terutamanya Tun Razak dan Tun Mahathir. Orang Melayu kuat di dalam kerajaan dan lantang sebagai pembangkang. Kebijaksanaan mereka membolehkan orang Melayu berpeluang keluar daripada kepompong kemiskinan. Pembangunan Islam menjadi agenda berterusan, dan ketuanan Melayu tidak tergugat. Namun pada masa yang sama wujud chemistry dalam hubungan antara Melayu dalam kerajaan dengan Melayu dalam pembangkang.

Takdir menentukan Datuk Seri Najib Tun Razak mewarisi kepemimpinan negara. Darah Tun Razak yang mengalir dalam tubuhnya diharap dapat mengembalikan semula era kegemilangan politik Melayu. Setelah banyak kerosakan yang berlaku, tugas ini sangatlah berat tetapi bukan sesuatu yang mustahil. Para pemimpin Melayu mesti tulus dan telus. Jika sebenar-benarnya mereka ikhlas mahu menjamin kelangsungan ketuanan dan survival Melayu, mereka bukan sahaja mesti bersih tetapi wajib kelihatan bersih.

Sebelum mengembalikan rakyat kepada BN, pemimpin Melayu perlu meyakinkan terlebih dahulu rakan-rakan pemimpin parti komponen bahawa mereka benar-benar ‘mahu’ membina semula integriti dan kematangan berpolitik. Gejala politik wang, sama ada hakikat atau hanya sekadar persepsi, mestilah dihapuskan sepenuhnya.

Kita tidak dapat menafikan bahawa ada keputusan pemilihan pemimpin dalam Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu, yang memberi kesan terhadap keputusan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau. UMNO belum benar-benar ‘dilihat bersih’.

Mujurlah Perdana Menteri bersikap bijaksana memilih saf kepemimpinannya. Para pemimpin Melayu yang digugurkan atau tidak terpilih perlulah menerima hakikat ini. Janganlah bersikap ‘lempar batu sembunyi tangan’. Bagi mereka yang ‘dibersarakan’, bersaralah dengan ikhlas dan janganlah ‘bersilat di luar gelanggang’.

Adalah diharapkan saf tersebut dapat mengembalikan keyakinan kaum bukan Melayu untuk menyokong kerajaan. Mereka bukan benci tetapi mereka hanya rindukan kepemimpinan yang ikhlas membangunkan Malaysia dengan bersandarkan slogan Satu Malaysia. Dahulukanlah rakyat.

TOLAK FALSAFAH PENDEKAR MUSTAR-UTUSAN MALAYSIA 19 MAC 2009

Memang ada kebenarannya apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Khalid Abdullah tentang mengubah semula nama UMNO kepada PEKEMBAR dalam Utusan Malaysia semalam. Penggunaan nama United Malay National Organisation telah secara dasarnya menyesatkan roh Melayu dan mengelirukan jati diri pertubuhan yang sepatutnya menyatukan orang Melayu.

Dari segi sejarahnya, dengan maksud Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), pertubuhan ini telah berjaya menyatukan seluruh parti Melayu semenjak pramerdeka. Justeru itu PEKEMBAR sebenarnya lebih relevan dalam usaha menyatukan orang Melayu tanpa mengira negeri, fahaman dan pegangan politik masing-masing. Malahan latar belakang akademik dan kecenderungan agama juga boleh dilangkau. Yang penting asalkan orang Melayu.

Dalam salah satu hasil masterpiece Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Pendekar Bujang Lapuk, saya teringat satu dialog yang dituturkan oleh Sudin ketika mereka melintasi sekolah yang mengajar orang-orang tua. Justeru ketiga-tiga watak; Ramli, Sudin dan Ajis digambarkan sebagai buta huruf, mereka cuba meneka tulisan pada papan tanda sekolah itu. Dialog itu lebih kurang berbunyi begini: “Alif (A) mim (M) nun (N) wau (U/O), alif (A) tendang wau (U/O); SARKAS!”

Sama ada di sedari atau tidak, ejaan itu jika dibunyikan akan disebut “AMNU/O” (= UMNO!). Jika benar itulah yang tersirat di sebalik dialog tersebut, pada waktu itu lagi P. Ramlee sudah dapat meramalkan, jika orang Melayu gagal ‘membaca’ alif mim nun wau, dan apabila alif tendang wau, yang tinggal hanyalah huruf alif (A), mim (M) dan nun (N) yang boleh diterjemahkan sebagai “Akhirnya Melayu Nazak”. Walau bagaimanapun, sebelum sampai ke tahap nazak itu, orang Melayu akan menjadi bahan tontonan seperti dalam persembahan sarkas.

Itulah yang dilihat sedang berlaku dalam kalangan orang Melayu sekarang. Belum selesai masalah kemiskinan tegar, penguasaan ekonomi, penyalahgunaan dadah, ajaran sesat, hedonisme, merempit dan sebagainya, muncul lagi aksi-aksi perebutan kuasa, politik wang, fitnah-memfitnah, penderhakaan, saman-menyaman, lompat-melompat dan macam-macam lagi.
Dari luar lingkungan itu, semua aksi tersebut sangat menarik untuk ditonton, dan saya yakin jangkauan penonton bukan sahaja terhad setakat dalam negeri tetapi juga penonton antarabangsa. Saya juga yakin, ramai penonton yang ‘membayar’ untuk memastikan aksi-aksi ngeri itu tetap berlanjutan!

Masihkah pemimpin-pemimpin Melayu tidak sedar akan falsafah tersirat di sebalik dialog Pendekar Bujang Lapuk itu? Rakyat nampaknya lebih arif tentang hal tersebut, barangkali kerana mereka ada banyak masa untuk menonton filem berkenaan yang tidak jemu-jemu ditayangkan media elektronik kerana rating penonton masih tetap tinggi.

Atau apakah Ketuanan Melayu hanya memegang falsafah Pendekar Mustar; “hantam sajalah”, walaupun langkah anak muridnya sumbang? Jika boleh diterjemah ketuanan itu sebagai para raja dan para rakyat yang menjadi mengundi, saya fikir golongan pembesar (pemimpin) Melayu perlu segera sedar bahawa raja-raja telah melafazkan kegusaran mereka, manakala rakyat telah bersuara dalam pilihanraya umum dan dua pilihanraya kecil yang lalu. Perlukah menunggu pula beberapa pilihanraya kecil lagi yang bakal berlangsung?

Buat kesekian kalinya, suara-suara dan harapan penyatuan orang Melayu khususnya yang diwakili oleh UMNO dan Pas mulai kedengaran lagi. Adalah diharapkan para pemimpin Melayu akan tulus dan telus menyahut seruan ini dengan mengetepikan ego masing-masing. Jangan lagi asyik beretorika kerana itu hanya akan lebih mengelirukan rakyat. Jika berlaku percanggahan hukum-hakam dan perundang-undangan seperti yang melanda negeri Perak sekarang ini, kembalilah kepada satu lagi sumber yang kita wajib percaya; iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Akhirnya para pemimpin Melayu juga harus sentiasa insaf bahawa sebagai Muslim, kita wajib percaya bahawa setiap pemimpin akan ditanya akan kepemimpinannya. Jadi sewajarnyalah kita kembalikan citra Melayu Muslim itu dalam segala tindak-tanduk kita supaya perjuangan kita diberkati Allah. Keberkatan itulah yang dinantikan oleh setiap umat Melayu kini. Dengan paksi ini sahajalah kita akan kembali disegani kaum lain dan tidak lagi diperkotak-katikkan seperti sekarang ini. Tutupilah segala pekung dengan musyawarah. Janganlah terus-terusan bersorak kerana kita khuatir kampung halaman akan tergadai. Janganlah juga kita ‘biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya’ sambil bernyanyi “biarkan, biarkan!”

Dr. Sharifudin Lubis
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.

HENTIKAN RETORIKA-UTUSAN MALAYSIA 27 FEBRUARI 2009

Tiga berita kecil dalam Utusan Malaysia, Khamis 26 Februari 2009 telah menarik minat saya untuk mengutarakan pandangan dalam satu wacana yang dinamakan sosiolinguistik. Pertama, gesaan Chong Eng (Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam supaya kerajaan membenarkan penggunaan pelbagai bahasa termasuk Mandarin dalam urusan pentadbiran kerajaan. Kedua, amaran Karpal Singh (DAP Bukit Gelugor) kepada Pemuda UMNO supaya jangan main-main dengannya kerana “Singh is King”, dan yang ketiga; peringatan Datuk Dr. Firdaus Abdullah (mantan Ketua Pengarah DBP) bahawa PPSMI bukan saja membawa ‘padah’ tetapi juga bakal mengundang ‘musibah’ kepada orang Melayu.

Dalam situasi terkini, semua orang harus menerima hakikat bahawa orang Melayu sedang berpecah. Kita juga harus mengakui bahawa perpecahan ini adalah akibat persaingan untuk berkuasa. Bukan untuk agama, bangsa dan negara, walaupun retorikanya dilaung-laungkan begitu. Untuk apa sebenarnya kuasa itu, kita juga arif dan faham jawapannya.

Rakyat Melayu bawahan sedang resah dan keliru. Rakyat hanya ada ‘kuasa’ empat tahun sekali. Jadi apakah tempoh tiga tahun yang akan datang ini, padah yang sedang berlaku dapat menyelamatkan rakyat daripada ditimpa musibah? Siapakah pemimpin Melayu yang dapat memberikan harapan optimistik? Persoalan ini timbul kerana rakyat sedar bahawa banyak pihak yang sedang menganga bagai jerung untuk membaham, dan bersedia ‘menangguk di air keruh’. Dua kenyataan Chong Eng dan Karpal itu sudahpun membuktikan musibah yang mungkin akan berlaku.

Gesaan Chong Eng itu saya akui harus diberi perhatian kerana beliau mewakili etnik kedua terbesar di negara ini. Orang Melayu perlu menerima hakikat bahawa bahasa Mandarin berguna khususnya dari segi ekonomi. Untuk bersaing di pasaran kerja tempatan sekarang ini, bahasa itu lebih diperlukan berbanding bahasa Inggeris. Jika kita mahu mencuba nasib di luar negara pula, dengan dasar terbuka negara Cina sekarang ini, bahasa Mandarin juga amat berguna. Kita tahu bahawa pasaran Cina berjumlah lebih dua billion dan berpotensi sebagai lubuk laba. Jadi, perpecahan Melayu nampaknya ada manfaatnya kerana ‘memberanikan’ Chong Eng membuat gesaan itu. Masyarakat Cina juga mudah-mudahan akan menjadi lebih telus dan tulus jika orang Melayu menguasai bahasa mereka!

Amaran Karpal itu dan ‘pengisytiharan’ bahawa keturunan beliau adalah raja, saya fikir adalah kenyataan yang melucukan dan barangkali ‘nyanyuk’. Berapa ramaikah keturunan Singh di negara ini? Jika DAP tidak wujud, di perahu yang manakah Karpal mahu menumpang? MIC? Saya fikir, sudah-sudahlah media melayan beliau kerana tutur kata pemimpin seusia beliau hanya semakin mengelirukan. Tidak perlu lagi diperlihatkan ‘bahasa celupar’ dan ‘bahasa biadab’ Karpal di Parlimen kerana ‘lawaknya’ semakin slapstick dan sarkastik! Ingat lagi beberapa minggu lalu beliau menyuruh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertaubat. Saya tertawa berdekah-dekah.

Berbalik kepada ramalan Datuk Firdaus bahawa padah akan bertukar musibah jika pemimpin Melayu terus bertelagah tentang kedaulatan bahasa Melayu, kesannya sedang melanda sekarang ini. Kemuncak kemelut ini dimanifestasikan melalui kekeliruan tentang konseptual derhaka yang berlaku di Perak. Setakat ini dua rujukan perundang-undangan; Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, belum mampu menyelesaikan kemelut ini. Jika merujuk filem Hang Tuah, salah satu dialog yang boleh dibandingkan ialah; “Tuahkah benar, Jebatkah benar?”. Monolog ini sudah terlambat kerana tatkala itu, Jebat sudah mati ditikam Hang Tuah. Jadi sebelum ‘nasi menjadi bubur’, wajarlah secara serius dan ikhlas kekeramatan bahasa Melayu dikembalikan supaya semua orang Melayu faham bahasanya.

Beberapa rakan dalam kalangan peguam menyimpulkan bahawa bahasa perundangan-undangan yang digunakan sebagai rujukan di negara kita tidak mampu menangani kemelut ini. Belumpun isu PPSMI diputuskan, orang Melayu sudah berantakan sesama sendiri, malahan bukan setakat sesama rakyat tetapi juga dengan sultan. Dengarnya, sudah menular ke Kedah. Apakah orang Melayu suka makan ‘bubur’?

Barangkali alim-ulamak bersetuju jika saya katakan bahawa sebenarnya sebagai orang Melayu beragama Islam, ada satu lagi sumber perundang-undangan yang boleh dirujuk, iaitu Al-Qur’an. Bukankah Allah telah memerintahkan jika sekiranya berlaku perbalahan sesama kita, rujuklah kitab suci itu untuk mendapat pedoman dan petunjuk? Orang Melayu Islam wajib mengimani ayat-ayat Allah. Justeru itu, pemimpin Melayu perlulah menghentikan segala bentuk bahasa retorika, dan sebaliknya kembalilah ke akar untuk menyuburkan semula ukhwah sesama kita.

Dr. Sharifudin Lubis
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.

Khamis, Februari 12, 2009

NIZAR MEMALUKAN ORANG MELAYU-UTUSAN MALAYSIA 12 FEBRUARI 2009

PENDERHAKAAN Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan satu lagi episod yang amat memalukan orang Melayu. Pengisytiharan "mohon derhaka" secara terbuka, tidak pernah tercatat dalam sejarah Melayu. Sejak perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun di Bukit Siguntang, tidak pernah orang Melayu memohon untuk derhaka.

Menurut beberapa kitab historiografi Melayu, sepanjang zaman feudal, hanya dua kali orang Melayu derhaka. Itu pun tanpa bongkak membuat pengisytiharan terbuka. Sekali oleh Sang Rajuna Tapa di Singapura dan sekali lagi penderhakaan Hang Jebat di Melaka.

Apa pun sebab yang membawa kepada penderhakaan itu, kesannya membawa kepada keruntuhan empayar Melayu. Tindakan Sang Rajuna bersubahat dengan Majapahit menyebabkan kerajaan Temasik runtuh. Sehingga kini, Singapura terus terlepas ke tangan bukan Melayu. Tindakan Hang Jebat pula membawa kepada perpecahan orang Melayu di Melaka sehingga menyebabkan kerajaan menjadi lemah dan akhirnya dijajah Portugis. Peristiwa itu membuka kepada episod penjajahan Barat. Sehingga kini, Melaka kehilangan sultan.

Kini, wujud satu lagi penderhakaan oleh orang Melayu. Alasannya bukan sahaja sangat memalukan, malahan memperlihatkan kerakusan dan ketamakan serta membuktikan Nizar tidak sedar diri. Beliau lupa parti yang diwakilinya menang jumlah kerusi paling sedikit tetapi beliau melaung-laungkan bahawa dirinya mendapat mandat majoriti rakyat?

Jika tidak kerana ehsan Sultan Azlan Shah serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Nizar tidak akan merasa menjadi Menteri Besar. Sikap Nizar kononnya Pas mendapat sokongan majoriti sangatlah memalukan. Sultan berkuasa untuk melantik Menteri Besar. Jika kabur bahasa undang-undang sekalipun, daripada segi adab, Nizar memberi gambaran betapa biadapnya orang Melayu terhadap Sultan.

Saya yakin, insiden Nizar menderhaka akan terpahat sebagai sesuatu yang sangat memalukan dalam sejarah orang Melayu. Segala ciri kesantunan, kerendahan hati dan tatasusila Melayu yang menjadi kebanggaan bangsa sudah dipalit arang.

Alasan penderhakaan Sang Rajuna dan Hang Jebat kini telah dirasionalkan oleh orang Melayu. Tetapi penderhakaan Nizar tetap tidak akan diterima oleh orang Melayu sehingga akhir zaman.

Sedarlah Nizar, Allah telah mentakdirkan sedemikian. Apabila Allah menarik balik rezeki itu, anggaplah Dia memberi kesempatan untuk bermuhasabah dan jika perlu, bertaubat. Sepanjang 11 bulan berkuasa, Nizar banyak melukakan hati Sultan dan orang Melayu. Beliau terikut-ikut dengan rentak biadab sahabat-sahabat yang tidak berkenaan dengan perjanjian Bukit Siguntang itu.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM

Isnin, Januari 19, 2009

USAHA PENYATUAN PALESTIN PERLU DIDAHULUKAN

SUDAH lebih 60 tahun Palestin sengsara akibat perang dengan Israel dan belum ada tanda-tanda keadaan akan berubah. Ratusan ribu yang telah terkorban, manakala yang masih bernyawa pula hidup sebagai pelarian; ada yang di bumi sendiri, dan jutaan lagi di bumi asing.

Setelah begitu lama - dengan pemimpin mereka yang silih berganti, timbul satu persoalan; mengapakah Palestin tidak pernah menang atau mengapakah mereka masih tidak dapat menyelesaikan masalah mereka?

Senario yang kita tonton dan kita baca saban hari semenjak berpuluh-puluh tahun itu masih yang sama sehinggakan seolah-olah mereka mengulang tayang kesengsaraan dan penderitaan yang tidak kunjung padam. Seperti telah menjadi citra dan budaya negara dan rakyat Palestin!

Kita masih melihat anak-anak Palestin membaling batu ke arah kereta kebal Israel. Setelah 60 tahun hanya itu sahajakah yang termampu mereka lakukan? Sekurang-kurangnya tidakkah mereka terfikir untuk membuat lastik yang boleh digunakan untuk melastik batu-batu lebih jauh ke arah tentera Israel berbanding membaling dengan tangan sahaja.

Tidakkah dalam tempoh yang begitu panjang, mereka mampu memiliki senjata yang lebih sesuai untuk menembak kereta kebal itu?

Semenjak pencerobohan terbaru ini, hari-hari kita melihat lelaki-lelaki Palestin hanya bergegas-gegas ke sana ke mari, mengerumuni jenazah saudara mereka yang kecundang atau berebut-rebut mengusung yang cedera ke hospital.

Selain itu mereka juga kelihatan melepak di tepi-tepi dinding atau menyelongkar bangunan-bangunan yang runtuh dibom Israel. Sekali-sekala mereka berarak mengusung jenazah sambil melaungkan kalimat Allah Maha Besar. Tidakkah mereka itu boleh berperang kerana 'alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan'! Itu belum lagi menyebut hal sayap Fatah yang terus berpeluk tubuh.

Timbul pertanyaan apakah ini satu peperangan atau pencerobohan? Jika berperang, kenapa hanya kelihatan tentera, kereta kebal dan jet Israel sahaja? Mana pejuang Palestin? Hanya sekali-sekala dilaporkan Hamas melancarkan roket ke kawasan Israel tetapi tidak menyebabkan kemalangan dan kerosakan besar kerana tidak kena pada sasaran manusia atau bangunan.

Setelah 60 tahun, tidakkah lelaki-lelaki Palestin yang melepak-lepak itu mahu bangkit berjihad? Atau adakah mereka menganggap itu kerja tentera sahaja? Jika pun benar itu memang kerja tentera, setelah 60 tahun tidakkah mereka tahu untuk menembak tepat ke sasaran?

Dalam pada itu seluruh dunia kecuali Amerika Syarikat (AS), terus melemparkan kutukan demi kutukan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga begitu. Tetapi tidakkah itu semua umpamanya 'anjing menyalak bukit sahaja'? Dalam al-Quran ada menggambarkan betapa bangsa Israel itu adalah bangsa yang paling banyak menerima kutukan Allah. Sedang kutukan Allah pun mereka tidak ambil peduli, apatah pula kutukan sesama manusia.

Satu perkara lagi yang harus kita fikirkan semula ialah bantuan apakah sebenarnya yang paling diperlukan oleh Palestin sekarang. Setelah berpuluh tahun masyarakat dunia termasuk yang paling pemurah, iaitu rakyat negara kita sendiri memberi sumbangan kewangan, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya, tetapi nampaknya semua kelihatan seperti tidak ada kesudahannya.

Setiap kali Israel menceroboh, kita akan sibuk menubuhkan pelbagai bentuk tabung sumbangan. Sudah tidak terhitung rasanya nilai bantuan kemanusiaan yang telah disumbangkan. Semenjak pencerobohan yang sedang berlaku ini pula, rakyat Palestin seakan-akan sudah tidak segan silu lagi memohon dunia memberikan bantuan. Hal ini turut dilihat di Malaysia, justeru kita memang terkenal sebagai negara yang amat pemurah.

Apa yang paling wajar masyarakat dunia lakukan sekarang ialah mencari usaha untuk menyatukan rakyat Palestin khususnya menerusi dua pertubuhan utama mereka; iaitu Hamas dan Fatah.

Di samping itu lelaki-lelaki Palestin itu hendaklah disedarkan bahawa jihad bermaksud pergi berperang, dan bukannya berpeluk tubuh dan bersembunyi di sebalik runtuhan bangunan, sambil melihat tentera mereka diganyang Israel. Bagaimana melakukannya terserahlah kepada bijak pandai, alim ulama, malahan jika perlu - pakar motivasi.
Jangan lagi dibiarkan ahli politik sahaja yang memberi pandangan dan merangka apa-apa pelan penyelesaian kerana itulah kegagalan yang telah dilakukan selama 60 tahun ini.
Bagi umat Islam pula, amat wajar meneruskan usaha melalui doa, solat hajat dan membaca surah-surah tertentu dari al-Quran, dengan niat utamanya memohon supaya Allah menyatukan hati-hati rakyat Palestin, dan memberikan kemenangan dalam setiap pertempuran.
Janganlah terlalu mengharap pada batu sahaja untuk menyekat kemaraan tentera Israel. Siapalah kita untuk mengharap mukjizat sedemikian.
Jangan sampai kita pula yang terdakwa pada kemudian hari, hanya kerana kita terlalu bersimpati tetapi tidak berusaha dengan setulus dan seikhlas hati untuk menyatukan mereka.
DR. SHARIFUDIN LUBIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.