Rabu, Julai 15, 2009

GAGASAN 1 MALAYSIA PERLU FORMULA BM=2T-UTUSAN MALAYSIA 26 MEI 2009

Rupa-rupanya setelah 52 Merdeka, Malaysia masih belum benar-benar berjaya menyatukan pelbagai kaum yang menjadi rakyatnya, sehinggakan terpaksa Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia. Berbeza dengan perjuangan Malaysian-Malaysia yang cuba dibawakan oleh satu pihak lain, konsep 1 Malaysia bermatlamatkan perpaduan nasional dan bukannya ruang cauvinis untuk membuat tuntutan yang bukan-bukan.

Jika selama ini perpaduan hanya berasaskan konsep toleransi, kini ia dilihat perlu ditingkatkan kepada konsep penerimaan. Hal ini bermaksud rakyat berbilang kaum di negara ini, harus menerima hakikat sejarah, dan sosiobudaya yang menjadi latar kepada konsep negara bangsa yang dinamakan Malaysia.

Namun demikian, persoalan paling asas bagi penghayatan konsep penerimaan ini ialah sejauh manakah ketelusan dan ketulusan (2T) kesemua kaum itu. Sejauh manakah orang Melayu dapat menerima orang Cina, orang India, dan suku-suku peribumi di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, sebagai sebahagian daripada Malaysian? Sejauh manakah pula orang Cina, orang India dan suku-suku peribumi itu dapat mengiktiraf orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini?

Persoalan-persoalan ini hanya dapat dijawab dengan setelus-telus dan setulus-tulusnya jika kesemua rakyat bertutur dalam bahasa yang sama. Walaupun termaktub dalam Perlembagaan Malaysia bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan oleh itu menjadi bahasa pemersatu, namun kebanyakan rakyat, malahan dalam kalangan para pemimpin negara juga masih tidak menghayatinya. Masing-masing leka dengan status quo dan bersikap prejudis terhadap kaum lain. Masih ada kepercayaan di dalam hati bahawa kelainan akan menimbulkan persaingan ‘hidup-mati’. Justeru itu, apa yang masih ada perlu dipertahankan. Kelainan gagal menimbulkan minat untuk perkongsian, malahan sebaliknya menebalkan lagi bibit-bibit perkauman.

Justeru itu, faktor Formula BM=2T – Bahasa Malaysia=Telus dan Tulus, perlu dijadikan akar Gagasan 1 Malaysia jika mahu melihat matlamat perpaduan tulen tercapai. Formula ini hanya boleh diuji apabila semua kaum bercakap dalam satu bahasa yang sama. Secara psikologi, jika dua pihak sedang berbual dalam satu bahasa yang sama, tiba-tiba menyampuk pihak ketiga yang menggunakan bahasa lain yang hanya difahami oleh salah satu pihak itu, sudah tentu pihak yang satu lagi akan terasa. Keterasaan inilah yang menimbulkan prejudis dan seterusnya membawa kepada kerenggangan hubungan.

Begitulah analogi bagi fungsi bahasa sebagai alat komunikasi bagi mencapai matlamat perpaduan. Bagaimana mungkin pelbagai kaum boleh disatukan jika masing-masing masih dibenarkan bercakap dalam bahasa yang saling tidak difahami. Hal ini menyebabkan jurang komunikasi yang membawa kepada kegagalan untuk rapat dan bersatu padu. Bagaimana boleh diukur kefahaman seseorang jika ciri bahasa tidak dikongsi bersama? Bolehkah orang Melayu faham jika orang Cina bertanya; “ni hau ma?”. Atau bagaimanakah orang Cina mahu menjawab sapaan bahasa Tamil; “vannakam”?

Kontrak sosial negara telah menyarankan bahasa yang difahami oleh semua dijadikan sebagai bahasa kebangsaan yakni bahasa pemersatu. Terbukti bahawa bahasa tersebut adalah bahasa Melayu. Malangnya, tidak semua dapat menerimanya walaupun kononnya berpegang teguh kepada konsep toleransi dan demokrasi. Dalam kalangan orang Melayu sendiri termasuk para pemimpin, masih ada yang tidak yakin dengan martabat yang telah disepakati bersama itu. Justeru, dengan demikian itu; “apalah diharap padi seberang?”.

Slogan “bahasa menunjukkan bangsa” perlulah dihayati dengan setulus-tulusnya. Konsep ‘bangsa’ itu pula perlu dilihat secara menyeluruh – bangsa Malaysia, dan bukannya terhad kepada bangsa Melayu sahaja. Bangsa Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, serta kaum peribumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Jangan lupa juga beberapa kaum minoriti yang lain termasuklah Sikh, Siam, dan Portugis. Kepelbagaian kaum ini sudah tentu memperlihatkan variasi bahasa yang rencam. Malaysia harus cemburu dengan kejayaan Indonesia menggunakan bahasa Indonesia untuk mempersatu ribuan etnik yang bertaburan di kepulauannya.

Jika selama ini semua kaum di Malaysia sudah bertoleransi dalam pelbagai perkara, kini sudah tiba masanya kita menghayati konsep penerimaan. Kita perlu faham bahawa toleransi mengandung dua semangat; memberi dan menerima. Tidak selamanya sesuatu kaum itu boleh memberi sahaja. Di sebaliknya pula, tidak selamanya sesuatu kaum itu boleh menerima sahaja. Semenjak 2007, bahasa Melayu telah diubah menjadi bahasa Malaysia. Pengorbanan ‘mematikan’ bahasa Melayu supaya ia tidak dilihat milik orang Melayu sahaja, harus dihargai oleh semua kaum demi mencapai hasrat 1 Malaysia. Gunakanlah bahasa Malaysia supaya kita semua telus dan tulus.

KHAYALAN PENERBIT DRAMA DAN FILEM MELAYU-UTUSAN MALAYSIA 5 MEI 2009

Sudah saban kali penerbit drama dan filem Melayu dikritik kerana gagal memartabatkan slogan ‘filem kita wajah kita’. Terbaru, dalam Utusan Malaysia 4 Mei yang lalu mereka ditegur lagi kerana kegagalan memartabatkan bahasa Melayu yang baik. Sebaliknya mereka memilih menggunakan ‘bahasa longkang’ (meminjam ungkapan Ku Seman Ku Hussain) sebagai medium persembahan mereka.

Sebahagian penerbit drama dan filem Melayu memang buta hati. Mereka terlalu asyik dengan fatamorgana pandangan mata sehingga mereka terkeliru dan gagal membezakan khayalan dengan kenyataan. Sebagai karyawan yang duduk di ‘alam bawah sedar’, mereka gagal melihat sesuatu kenyataan itu secara objektif. Beberapa tahun lalu, seorang produser Melayu mempertahankan gambaran aksi gadis Melayu berbikini di pantai kerana katanya itulah realiti masyarakat Melayu apabila berkelah di pantai. Benarkah begitu?

Jika benar begitu, di manakah pula letaknya falsafah ‘seni sebagai cerminan hidup masyarakat’? Berdasarkan intipati ‘cerminan’, bukankah falsafah itu bermaksud; jika ‘kanan dalam realiti, maka ia akan menjadi kiri dalam seni’? Jika bukan demikian, maknanya drama dan filem itu bukanlah karya seni yang sebenarnya dan tidak seharusnya mendapat apa-apa pengiktirafan kecuali barangkali pencapaian ‘box office’ sahaja.

Soal penggunaan bahasa Melayu dalam drama dan filem Melayu memang telah lama memualkan pencinta bahasa Melayu. Bahasa yang ditegur oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim sebagai ‘sekerat ular sekerat belut’, bukan semakin diperbaiki tetapi sebaliknya semakin menjadi-jadi. Jika menonton drama-drama Melayu di mana-mana rangkaian televisyen sekalipun, adakalanya kita keliru sama ada yang ditonton itu drama Melayukah atau soap opera-kah! Soalnya, realitikah itu?

Para produser sebenarnya cuba ‘memaksa’ masyarakat supaya menerima bentuk bahasa Melayu yang sedemikian kerana itulah bahasa yang mereka gunakan dalam kalangan karyawan. Dalam keadaan masyarakat yang memang mudah terpengaruh, bahasa longkang itulah yang menjadi ikutan dan akhirnya bahasa Melayu tercemar dengan begitu teruk sekali. Ingat lagikah kita dengan isu istilah sure heboh dahulu?

Dengan kembalinya Dr. Rais Yatim menerajui kementerian yang pernah beliau ketuai dahulu, wajar beliau melihat semula pemikiran lapuk yang masih melingkari sebahagian karyawan drama dan filem kita. Bersesuaian dengan semangat 1 Malaysia, slogan filem kita wajah kita wajib dihayati supaya drama dan filem kita tetap relevan dan terus berfungsi mengikut arus perubahan yang bakal melanda masyarakat. Jika hal ini gagal dilakukan, industri drama dan filem kita akan kembali menempuhi zaman malap seperti di era 70-an dan awal 80-an dahulu.

Selain isu bahasa, satu lagi isu yang saya fikir wajib ditangani oleh Datuk Rais ialah drama dan filem tahyul yang sangat menular dalam kalangan penerbit. Jika filem-filem Barat berusaha mencipta wirawan baru seperti menerusi siri filem X-men dan wirawan revival seperti siri televisyen Smallville dan siri filem Spiderman, penerbit drama dan filem Melayu sibuk pula mengangkat semula hantu jembalang Melayu untuk dijual kepada penonton. Maka lahirlah semula hantu, puntianak, polong, pelesit, pocong, di samping watak baru seperti ceplos dan sebagainya.

Persoalan berat seperti akidah dan persoalan ‘industri perbomohan’ perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa kerana sudah kembali menular dalam kalangan masyarakat Melayu. Utusan Malaysia 4 Mei turut melaporkan bahawa Menteri Besar Perak dituduh ‘membenarkan dewan persidangan dimasuki bomoh untuk menjampi kerusi Speaker’! Satu waktu dahulu, seorang wakil rakyat terkorban secara sadis akibat amalan khurafat itu. Itukah yang kita mahu kembalikan?

Persoalan anak-anak tidak mahu dipisahkan tempat tidur mereka daripada ibu bapa, juga harus diberi perhatian kerana Islam mengingatkan supaya anak-anak yang berusia tujuh tahun ke atas perlu dipisahkan tempat tidur mereka daripada ibu bapa.

Lebih jauh daripada persoalan-persoalan itu, orang Melayu yang sememangnya sedang dilanda krisis politik dan ekonomi, diburukkan lagi oleh para karyawan drama dan filem yang menampilkan kelemahan orang Melayu dari segi roh dan semangat. Betapa lemahnya orang Melayu sehingga digambarkan mereka terpaksa ‘membeli mimpi’ dan ‘bergantung idealisme palsu pemikiran bawah sedar melalui alam tahyul’ itu.

Wahai orang-orang Melayu! Sudah-sudahlah membuka pekung di dada.

POLITIK MELAYU PERLU LEBIH BIJAKSANA

Melihat senario politik Melayu kini, saya ingin membawa pembaca mengimbas semula keadaan politik negara selepas Pilihanraya Umum Ke-10 pada 29 November 1999. Walaupun Barisan Nasional (BN) masih mampu membentuk kerajaan dengan majoriti melebihi dua pertiga, kuasa politik orang Melayu sudah terpecah tiga; UMNO, Pas, dan Parti Keadilan Rakyat. Anwar Ibrahim berjaya memporakperandakan status quo politik Melayu sehingga statistik menunjukkan jika tidak kerana sokongan kuat pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina, sudah tentu BN tumbang. Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga turut mengakui hakikat itu.

Dengan perakuan yang sedemikian, orang Melayu semakin lelah untuk bersaing dengan masyarakat lain di tanah air sendiri. Jika sebelum itu, kuasa ekonomi yang digenggam oleh kaum lain dapat diseimbangkan dengan kuasa politik Melayu, kini semuanya telah hilang. Lebih buruk lagi, ketuanan Melayu yang bersabit dengan agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan raja-raja Melayu, dan hak istimewa orang Melayu mulai dicabar dari semasa ke semasa, dan semakin menjadi-jadi semenjak akhir-akhir ini. Semuanya kerana kaum lain tahu, orang Melayu sudah tidak ada taring lagi.

Beberapa pilihanraya kecil terbaru, termasuklah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau baru-baru ini mengesahkan lagi bahawa kuasa undi orang Melayu sahaja tidak memadai untuk memastikan kemenangan BN. Setelah disahkan oleh pemimpin Melayu melalui Pilihanraya Umum 1999 itu, kaum Cina dan India semakin bijak menggunakan kesempatan ‘kuasa’ melalui undi mereka untuk mencabar kuasa politik dan sekali gus ketuanan Melayu itu sendiri.
Sekarang orang Melayu menjadi ‘kambing hitam’ bagi segala masalah politik negara. Imej ini ditambahburukkan lagi dengan tuduhan-tuduhan amalan politik wang dalam kalangan para pemimpin sehingga menyebabkan rakyat terus hilang keyakinan. Walaupun beberapa pemimpin bukan Melayu turut dilihat ‘tidak bersih’ kerana terlibat dalam pelbagai skandal berkisar 3 ‘ta’ – takhta, harta, dan wanita, namun bersandarkan imej Melayu itu Islam, peri laku pemimpin Melayu kelihatan lebih ‘berdosa’! Dan rakyat menghukum serta-merta.

Faktor sentuhan terakhir Tun Mahathir sendiripun tidak mampu mengembalikan Bukit Selambau dan Bukit Gantang kepada BN, walaupun pakatan pembangkang tidaklah sekuat mana.

Justeru itu saya fikir pemimpin Melayu sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang, dan orang Melayu sendiri perlu membuat muhasabah yang sedalam-dalamnya dan sejujur-jujurnya. Melepaskan kuasa politik ke tangan bukan Melayu tidak menjanjikan keadaan yang lebih baik. Saya lihat, sekurang-kurangnya peribumi di Sabah dan Sarawak lebih matang berpolitik. Mereka menolak teori persepsi dan bijak menilai BN melalui hasil kerja, bukannya percaya kepada retorik semata-mata.

Apakah pemimpin Melayu dan orang Melayu masih selesa dengan sorak-sorai sedangkan kampung sudah hampir tergadai? Apakah pemimpin Melayu masih senang ‘berkokok tetapi ekor bergelumang najis’?

Kembalilah ke era politik matang dan bijaksana seperti yang pernah diamalkan pemimpin terdahulu terutamanya Tun Razak dan Tun Mahathir. Orang Melayu kuat di dalam kerajaan dan lantang sebagai pembangkang. Kebijaksanaan mereka membolehkan orang Melayu berpeluang keluar daripada kepompong kemiskinan. Pembangunan Islam menjadi agenda berterusan, dan ketuanan Melayu tidak tergugat. Namun pada masa yang sama wujud chemistry dalam hubungan antara Melayu dalam kerajaan dengan Melayu dalam pembangkang.

Takdir menentukan Datuk Seri Najib Tun Razak mewarisi kepemimpinan negara. Darah Tun Razak yang mengalir dalam tubuhnya diharap dapat mengembalikan semula era kegemilangan politik Melayu. Setelah banyak kerosakan yang berlaku, tugas ini sangatlah berat tetapi bukan sesuatu yang mustahil. Para pemimpin Melayu mesti tulus dan telus. Jika sebenar-benarnya mereka ikhlas mahu menjamin kelangsungan ketuanan dan survival Melayu, mereka bukan sahaja mesti bersih tetapi wajib kelihatan bersih.

Sebelum mengembalikan rakyat kepada BN, pemimpin Melayu perlu meyakinkan terlebih dahulu rakan-rakan pemimpin parti komponen bahawa mereka benar-benar ‘mahu’ membina semula integriti dan kematangan berpolitik. Gejala politik wang, sama ada hakikat atau hanya sekadar persepsi, mestilah dihapuskan sepenuhnya.

Kita tidak dapat menafikan bahawa ada keputusan pemilihan pemimpin dalam Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu, yang memberi kesan terhadap keputusan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau. UMNO belum benar-benar ‘dilihat bersih’.

Mujurlah Perdana Menteri bersikap bijaksana memilih saf kepemimpinannya. Para pemimpin Melayu yang digugurkan atau tidak terpilih perlulah menerima hakikat ini. Janganlah bersikap ‘lempar batu sembunyi tangan’. Bagi mereka yang ‘dibersarakan’, bersaralah dengan ikhlas dan janganlah ‘bersilat di luar gelanggang’.

Adalah diharapkan saf tersebut dapat mengembalikan keyakinan kaum bukan Melayu untuk menyokong kerajaan. Mereka bukan benci tetapi mereka hanya rindukan kepemimpinan yang ikhlas membangunkan Malaysia dengan bersandarkan slogan Satu Malaysia. Dahulukanlah rakyat.

TOLAK FALSAFAH PENDEKAR MUSTAR-UTUSAN MALAYSIA 19 MAC 2009

Memang ada kebenarannya apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Khalid Abdullah tentang mengubah semula nama UMNO kepada PEKEMBAR dalam Utusan Malaysia semalam. Penggunaan nama United Malay National Organisation telah secara dasarnya menyesatkan roh Melayu dan mengelirukan jati diri pertubuhan yang sepatutnya menyatukan orang Melayu.

Dari segi sejarahnya, dengan maksud Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), pertubuhan ini telah berjaya menyatukan seluruh parti Melayu semenjak pramerdeka. Justeru itu PEKEMBAR sebenarnya lebih relevan dalam usaha menyatukan orang Melayu tanpa mengira negeri, fahaman dan pegangan politik masing-masing. Malahan latar belakang akademik dan kecenderungan agama juga boleh dilangkau. Yang penting asalkan orang Melayu.

Dalam salah satu hasil masterpiece Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Pendekar Bujang Lapuk, saya teringat satu dialog yang dituturkan oleh Sudin ketika mereka melintasi sekolah yang mengajar orang-orang tua. Justeru ketiga-tiga watak; Ramli, Sudin dan Ajis digambarkan sebagai buta huruf, mereka cuba meneka tulisan pada papan tanda sekolah itu. Dialog itu lebih kurang berbunyi begini: “Alif (A) mim (M) nun (N) wau (U/O), alif (A) tendang wau (U/O); SARKAS!”

Sama ada di sedari atau tidak, ejaan itu jika dibunyikan akan disebut “AMNU/O” (= UMNO!). Jika benar itulah yang tersirat di sebalik dialog tersebut, pada waktu itu lagi P. Ramlee sudah dapat meramalkan, jika orang Melayu gagal ‘membaca’ alif mim nun wau, dan apabila alif tendang wau, yang tinggal hanyalah huruf alif (A), mim (M) dan nun (N) yang boleh diterjemahkan sebagai “Akhirnya Melayu Nazak”. Walau bagaimanapun, sebelum sampai ke tahap nazak itu, orang Melayu akan menjadi bahan tontonan seperti dalam persembahan sarkas.

Itulah yang dilihat sedang berlaku dalam kalangan orang Melayu sekarang. Belum selesai masalah kemiskinan tegar, penguasaan ekonomi, penyalahgunaan dadah, ajaran sesat, hedonisme, merempit dan sebagainya, muncul lagi aksi-aksi perebutan kuasa, politik wang, fitnah-memfitnah, penderhakaan, saman-menyaman, lompat-melompat dan macam-macam lagi.
Dari luar lingkungan itu, semua aksi tersebut sangat menarik untuk ditonton, dan saya yakin jangkauan penonton bukan sahaja terhad setakat dalam negeri tetapi juga penonton antarabangsa. Saya juga yakin, ramai penonton yang ‘membayar’ untuk memastikan aksi-aksi ngeri itu tetap berlanjutan!

Masihkah pemimpin-pemimpin Melayu tidak sedar akan falsafah tersirat di sebalik dialog Pendekar Bujang Lapuk itu? Rakyat nampaknya lebih arif tentang hal tersebut, barangkali kerana mereka ada banyak masa untuk menonton filem berkenaan yang tidak jemu-jemu ditayangkan media elektronik kerana rating penonton masih tetap tinggi.

Atau apakah Ketuanan Melayu hanya memegang falsafah Pendekar Mustar; “hantam sajalah”, walaupun langkah anak muridnya sumbang? Jika boleh diterjemah ketuanan itu sebagai para raja dan para rakyat yang menjadi mengundi, saya fikir golongan pembesar (pemimpin) Melayu perlu segera sedar bahawa raja-raja telah melafazkan kegusaran mereka, manakala rakyat telah bersuara dalam pilihanraya umum dan dua pilihanraya kecil yang lalu. Perlukah menunggu pula beberapa pilihanraya kecil lagi yang bakal berlangsung?

Buat kesekian kalinya, suara-suara dan harapan penyatuan orang Melayu khususnya yang diwakili oleh UMNO dan Pas mulai kedengaran lagi. Adalah diharapkan para pemimpin Melayu akan tulus dan telus menyahut seruan ini dengan mengetepikan ego masing-masing. Jangan lagi asyik beretorika kerana itu hanya akan lebih mengelirukan rakyat. Jika berlaku percanggahan hukum-hakam dan perundang-undangan seperti yang melanda negeri Perak sekarang ini, kembalilah kepada satu lagi sumber yang kita wajib percaya; iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Akhirnya para pemimpin Melayu juga harus sentiasa insaf bahawa sebagai Muslim, kita wajib percaya bahawa setiap pemimpin akan ditanya akan kepemimpinannya. Jadi sewajarnyalah kita kembalikan citra Melayu Muslim itu dalam segala tindak-tanduk kita supaya perjuangan kita diberkati Allah. Keberkatan itulah yang dinantikan oleh setiap umat Melayu kini. Dengan paksi ini sahajalah kita akan kembali disegani kaum lain dan tidak lagi diperkotak-katikkan seperti sekarang ini. Tutupilah segala pekung dengan musyawarah. Janganlah terus-terusan bersorak kerana kita khuatir kampung halaman akan tergadai. Janganlah juga kita ‘biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya’ sambil bernyanyi “biarkan, biarkan!”

Dr. Sharifudin Lubis
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.

HENTIKAN RETORIKA-UTUSAN MALAYSIA 27 FEBRUARI 2009

Tiga berita kecil dalam Utusan Malaysia, Khamis 26 Februari 2009 telah menarik minat saya untuk mengutarakan pandangan dalam satu wacana yang dinamakan sosiolinguistik. Pertama, gesaan Chong Eng (Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam supaya kerajaan membenarkan penggunaan pelbagai bahasa termasuk Mandarin dalam urusan pentadbiran kerajaan. Kedua, amaran Karpal Singh (DAP Bukit Gelugor) kepada Pemuda UMNO supaya jangan main-main dengannya kerana “Singh is King”, dan yang ketiga; peringatan Datuk Dr. Firdaus Abdullah (mantan Ketua Pengarah DBP) bahawa PPSMI bukan saja membawa ‘padah’ tetapi juga bakal mengundang ‘musibah’ kepada orang Melayu.

Dalam situasi terkini, semua orang harus menerima hakikat bahawa orang Melayu sedang berpecah. Kita juga harus mengakui bahawa perpecahan ini adalah akibat persaingan untuk berkuasa. Bukan untuk agama, bangsa dan negara, walaupun retorikanya dilaung-laungkan begitu. Untuk apa sebenarnya kuasa itu, kita juga arif dan faham jawapannya.

Rakyat Melayu bawahan sedang resah dan keliru. Rakyat hanya ada ‘kuasa’ empat tahun sekali. Jadi apakah tempoh tiga tahun yang akan datang ini, padah yang sedang berlaku dapat menyelamatkan rakyat daripada ditimpa musibah? Siapakah pemimpin Melayu yang dapat memberikan harapan optimistik? Persoalan ini timbul kerana rakyat sedar bahawa banyak pihak yang sedang menganga bagai jerung untuk membaham, dan bersedia ‘menangguk di air keruh’. Dua kenyataan Chong Eng dan Karpal itu sudahpun membuktikan musibah yang mungkin akan berlaku.

Gesaan Chong Eng itu saya akui harus diberi perhatian kerana beliau mewakili etnik kedua terbesar di negara ini. Orang Melayu perlu menerima hakikat bahawa bahasa Mandarin berguna khususnya dari segi ekonomi. Untuk bersaing di pasaran kerja tempatan sekarang ini, bahasa itu lebih diperlukan berbanding bahasa Inggeris. Jika kita mahu mencuba nasib di luar negara pula, dengan dasar terbuka negara Cina sekarang ini, bahasa Mandarin juga amat berguna. Kita tahu bahawa pasaran Cina berjumlah lebih dua billion dan berpotensi sebagai lubuk laba. Jadi, perpecahan Melayu nampaknya ada manfaatnya kerana ‘memberanikan’ Chong Eng membuat gesaan itu. Masyarakat Cina juga mudah-mudahan akan menjadi lebih telus dan tulus jika orang Melayu menguasai bahasa mereka!

Amaran Karpal itu dan ‘pengisytiharan’ bahawa keturunan beliau adalah raja, saya fikir adalah kenyataan yang melucukan dan barangkali ‘nyanyuk’. Berapa ramaikah keturunan Singh di negara ini? Jika DAP tidak wujud, di perahu yang manakah Karpal mahu menumpang? MIC? Saya fikir, sudah-sudahlah media melayan beliau kerana tutur kata pemimpin seusia beliau hanya semakin mengelirukan. Tidak perlu lagi diperlihatkan ‘bahasa celupar’ dan ‘bahasa biadab’ Karpal di Parlimen kerana ‘lawaknya’ semakin slapstick dan sarkastik! Ingat lagi beberapa minggu lalu beliau menyuruh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertaubat. Saya tertawa berdekah-dekah.

Berbalik kepada ramalan Datuk Firdaus bahawa padah akan bertukar musibah jika pemimpin Melayu terus bertelagah tentang kedaulatan bahasa Melayu, kesannya sedang melanda sekarang ini. Kemuncak kemelut ini dimanifestasikan melalui kekeliruan tentang konseptual derhaka yang berlaku di Perak. Setakat ini dua rujukan perundang-undangan; Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, belum mampu menyelesaikan kemelut ini. Jika merujuk filem Hang Tuah, salah satu dialog yang boleh dibandingkan ialah; “Tuahkah benar, Jebatkah benar?”. Monolog ini sudah terlambat kerana tatkala itu, Jebat sudah mati ditikam Hang Tuah. Jadi sebelum ‘nasi menjadi bubur’, wajarlah secara serius dan ikhlas kekeramatan bahasa Melayu dikembalikan supaya semua orang Melayu faham bahasanya.

Beberapa rakan dalam kalangan peguam menyimpulkan bahawa bahasa perundangan-undangan yang digunakan sebagai rujukan di negara kita tidak mampu menangani kemelut ini. Belumpun isu PPSMI diputuskan, orang Melayu sudah berantakan sesama sendiri, malahan bukan setakat sesama rakyat tetapi juga dengan sultan. Dengarnya, sudah menular ke Kedah. Apakah orang Melayu suka makan ‘bubur’?

Barangkali alim-ulamak bersetuju jika saya katakan bahawa sebenarnya sebagai orang Melayu beragama Islam, ada satu lagi sumber perundang-undangan yang boleh dirujuk, iaitu Al-Qur’an. Bukankah Allah telah memerintahkan jika sekiranya berlaku perbalahan sesama kita, rujuklah kitab suci itu untuk mendapat pedoman dan petunjuk? Orang Melayu Islam wajib mengimani ayat-ayat Allah. Justeru itu, pemimpin Melayu perlulah menghentikan segala bentuk bahasa retorika, dan sebaliknya kembalilah ke akar untuk menyuburkan semula ukhwah sesama kita.

Dr. Sharifudin Lubis
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.