Rabu, Februari 03, 2010

NASIB BAHASA MELAYU DI BUMI SENDIRI - UTUSAN MALAYSIA 29 DISEMBER 2009


Akhbar Utusan Malaysia semalam menyiarkan satu berita yang perlu dilihat sebagai sinikal kepada pengamal media yang mencemburui perkembangan dan kedudukan bahasa Melayu. Berita yang dimaksudkan ialah mengenai usaha mewujudkan stesen Radio Kampungku di Kanada yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan turut menyiarkan lagu-lagu artis-artis popular Malaysia seperti Tan Sri P. Ramlee, Datuk Siti Nurhaliza dan sebagainya.

Situasi ini boleh diumpamakan sebagai “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik juga negeri sendiri”. Seorang wanita rakyat Malaysia keturunan India yang berkahwin dengan seorang lelaki rakyat Kanada telah memprakarsakan stesen dan program-program berbahasa Melayu yang siarannya dapat diikuti di Toronto, Vancouver, dan Calgary malahan sehingga di Amerika Syarikat.

Bersusah payah pasangan suami isteri tersebut memperkenalkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu sehinggakan sisuami yang berbangsa bukan Melayu itu turut menguasai bahasa Melayu dengan begitu petah sekali.

Selain Kanada, Siaran Bahasa Melayu juga sebenarnya telah mantap di Radio Antarabangsa China yang berpangkalan di Beijing semenjak tahun 1959 lagi. Usaha di China ini telah membuahkan hasil yang amat signifikan dengan wujudnya Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University yang menawarkan Jurusan Bahasa Melayu.

Terkini, Pusat Pengajian Melayu juga telah diwujudkan di wilayah Guangxi pada 2008 dan akan muncul pada tahun 2010 nanti pusat yang serupa di wilayah Yunnan.

Usaha tersebut jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu tidaklah bersifat kampungan tetapi sebaliknya dapat diterima dengan baik oleh bangsa-bangsa dunia yang lain. Usaha ini juga membuktikan bahawa media penyiaran seperti radio sangat luas jangkauan pengaruhnya dalam melestari sesuatu bahasa.

Satu contoh lain ialah penggunaan bahasa Melayu sebutan baku di Bahagian Melayu Perbadanan Televisyen Singapura dan Perbadanan Radio Singapura.

Namun demikian, kembali kepada senario tempatan, usaha memartabatkan bahasa Melayu nampaknya bersifat sambil lewa dan bermusim. Tanpa mengambil kira stesen radio swasta yang terikat dengan prinsip ‘mengutamakan pelanggan’ dan bermatlamatkan keuntungan, stesen radio kerajaan yang berbahasa Melayu juga nampaknya ‘keliru’ dalam peranannya memartabatkan bahasa Melayu.

Saya fikir jika Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sempat mendengar siaran radio kerajaan, beliau juga akan pening kepala dengan karenah anak buahnya di RTM. Selain masalah kesalahan sebutan yang merupakan gejala turun-temurun, pengawal stesen radio juga nampaknya gagal ‘mengawal’ penyiaran iklan yang yang sungguh menyakitkan telinga.

Sebagai contoh, semenjak beberapa minggu kebelakangan ini kerap diputarkan siaran iklan “Y.E.S” (dengan maksud year end sale), dan iklan berbunyi “ K.L. Sunday One Malaysia Family Fair”.

Pendengar faham bahawa iklan-iklan itu bukan dihasilkan oleh RTM tetapi tidakkah ada peraturan atau kuasa untuk tidak menyiarkannya di radio? Kekerapan putarannya menyebabkan banyak kesan buruk terhadap bahasa Melayu. Tidak bolehkah disebut “Jualan Hujung Tahun” atau “Pesta Ria Keluarga Satu Malaysia Ahad Kuala Lumpur”?

Rakyat Malaysia perlu segera bangkit daripada sindrom ‘jangan jaga tepi kain orang’. Segala usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan kerja pejuang bahasa itu semata-mata tetapi harus dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Bagi mereka yang berkuasa pula, hentikanlah segala retorika dan semangat yang bersifat musiman. Banyak mata menilai kejujuran dalam perjuangan yang belum selesai ini. Janganlah sampai nanti, orang lain lebih tahu bahasa kita daripada kita sendiri.

Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.
MALAYSIA PERLUKAN LEBIH RAMAI TEOH CHING KIM DAN TEO KOK SEONG - UTUSAN MALAYSIA 14 JANUARI 2010

Terima kasih kepada Saudara Zaini Hassan kerana sudi berkongsi surat yang diterimanya daripada Teoh Ching Kim dalam ruangan Cuit Utusan Malaysia 13 Januari 2009. Saya pasti ramai rakyat Malaysia keturunan Melayu terharu dengan isi kandungan surat tersebut. Antara lain surat itu menyedarkan kita tentang hakikat asal-usul masyarakat majmuk negara ini.

Selain Teoh Ching Kim (yang merupakan seorang saudara baru), seorang tokoh bahasawan yang nama keluarganya hampir sama, iaitu Prof. Dr. Teo Kok Seong, wajar juga diangkat sebagai ‘wira penyedar’ tentang hakikat tersebut.

Ironinya, satu ketika dahulu, seorang ahli politik yang ‘diberikan’ satu kerusi parlimen yang terletak tidak jauh dari tapak arkeologi Perak Man, telah tersilap menggarap fakta sejarah asal-usul orang Melayu. Sama ada beliau telah sedar atau tidak, saya tidak pasti. Jika masih tidak sedar, turunlah ke Lenggong untuk belajar sambil melawat rakyat dan pengundi.

Telah banyak fakta dikemukakan untuk menunjukkan bahawa kaum Cina dan India yang berada di negara ini telah diberikan hak sama rata dengan masyarakat Bumiputra dan Peribumi. Telah banyak juga dibandingkan keadaan ini dengan keadaan di negara-negara lain, yang kononnya lebih demokrasi daripada kita. Apa lagi agaknya yang dimahukan?

Sudah banyak kali, test market (meminjam ungkapan Saudara Zaini) dilakukan oleh kedua-dua kaum ini terutamanya semenjak Pilihanraya Umum Ke-12 dahulu. Mujurlah orang Melayu tetap dengan sikap toleransi melampaunya sehingga sanggup berbalah sesama sendiri demi kepentingan politik masing-masing. Jika tidak, barangkali sudah lama negara ini kucar-kacir. Banyak yang sudah digadai oleh orang Melayu termasuk tanah, harta, undi, bahasa, dan budaya. Mutakhir ini ketuanan dan agama orang Melayu juga turut diminta supaya diserahkan.

Namun demikian apabila sampai ke satu tahap, seperti kata pepatah China; ‘seekor cacing akan lari apabila dikejar naga, tetapi tatkala sampai di hujung lubang, sekecil-kecil cacing pun akan tetap berpatah balik untuk berhadapan dengan naga itu’! Orang Melayu kini sudah berada di hujung lubang.

Apa lagi selepas ini? Adakah lagi sisa-sisa hak dan maruah yang hendak dipertahankan? Barangkali satu-satunya yang masih berbaki bagi orang Melayu khususnya di Semenanjung ialah kuasa politik. Itupun dengan sokongan penuh Peribumi Sabah dan Sarawak. Pengundian meluluskan Bajet 2010 tempoh hari cemas-cemas melenyapkan kuasa tersebut. Sebaliknya, sebahagian pemimpin masih lagi leka mendendangkan lagu “Si Luncai terjun dengan labu-labunya! Biarkan, biarkan..!”.

Saya fikir, program 1 Malaysia dan Juara Rakyat yang sedang hangat sekarang ini wajar dimanfaatkan oleh para pemimpin Melayu untuk menyelitkan usaha menyatukan kembali orang Melayu dan setelah itu, kembali menjadi Juara Rakyat yang sebenar seperti semasa era menuntut kemerdekaan dahulu. Tidak banyak songel daripada orang Cina dan India ketika itu kerana orang Melayu benar-benar ikhlas berjuang untuk memakmurkan segenap lapisan masyarakat dan kaum di negara ini.
Itulah semangat yang cuba dihidupkan kembali oleh Teoh Ching Kim. Beliau baru pertama kali muncul. Mungkin ada yang sinikal kerana beliau sudah menganut Islam - sudah ‘masuk Melayu’. Ramai lagi rakyat yang seperti beliau termasuklah selebriti seperti Dr. Redhuan Tee. Jika begitu, kita ambillah contoh Prof Teo yang sudah sudah berkali-kali muncul di khalayak bagi memperkatakan semangat kemalaysiaan dengan berlatarbelakangkan kepakaran sosiolinguistiknya. Beliau tidak masuk Melayu tetapi cukup konsisten mendaulatkan ketuanan Melayu, dan menghormati agama orang Melayu.

Jika tidak cukup, tanya-tanyalah juga Prof Ding Choo Ming yang diberi ruang sangat luas untuk mengkaji orang Melayu, malah diberi tempat istimewa sebagai felo utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu.

Kalau dicadangkan nama Tan Sri Prof Emeritus Khoo Kay Kim mungkin ramai yang menganggapnya sebagai klise kerana beliau sudah lama bercakap tentang kesedaran yang sama.

Firman Allah yang bermaksud; “Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri”. Orang Melayu akan terus berhadapan dengan situasi test market selagi prinsip ‘penyapu lidi’ tidak dihayati semula. Usaha ini harus bermula dalam kalangan para pemimpin Melayu terlebih dahulu. Janganlah mengharapkan lagi sokongan politik kaum lain untuk mempertahankan maruah kita, ketuanan kita, malah agama kita. Tidak malukah kita apabila dunia menempelak; “kasihan orang Melayu, majoriti yang terancam di tanah airnya sendiri”!

Saya yakin, berdasarkan kenyataan Teoh Ching Kim dan segolongan masyarakat yang sependapat dengan beliau, kaum Cina dan India di negara ini rindukan kekuatan orang Melayu untuk memimpin mereka. Mereka tidak mahu kembali ke negara nenek moyang kerana kemakmuran dan kesejahteraan yang ada di sini. Namun apabila ada segelintir orang Melayu yang bersifat ‘kaduk naik junjung’, ‘lupa daratan’, dan ‘beraja di mata dan bersultan di hati’, maka itulah mereka test market.

Dr. Sharifudin Lubis.
Universiti Putra Malaysia.
BERHATI-HATI TIMBANG SYARAT LULUS BAHASA INGGERIS UNTUK SPM - Utusan Malaysia 3 Februari 2010


Kerajaan sedang mempertimbangkan syarat lulus bahasa Inggeris untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2012. Hal ini telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd Puad Zarkashi.

Pertimbangan ini selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menggantikan dasar PPSMI. Jika syarat tersebut diluluskan, untuk memperoleh SPM, pelajar-pelajar mesti lulus bahasa Inggeris. Ini adalah langkah yang terbaik untuk memastikan pelajar lepasan sekolah menengah kita menguasai bahasa tersebut yang akan berguna dalam kehidupan mereka selanjutnya.

Namun demikian, sebelum sebarang keputusan dibuat tentang hal tersebut, wajarlah di ambil kira beberapa perkara. Pertama, apakah matlamat sebenar kelulusan bahasa Inggeris itu diperlukan? Kedua, hendaklah dipastikan tidak ada pihak yang melatah-latah atau mengada-ngada untuk mewajibkan pula kelulusan bahasa Inggeris tanpa mengira keperluan bidang dan latar sektor pengajian atau pekerjaan yang bakal diceburi.

Secara umumnya terdapat dua matlamat penguasaan bahasa Inggeris; satu untuk tujuan komunikasi, dan kedua untuk tujuan akademik. Sebelum memutuskan kelulusan itu, kerajaan perlu terlebih dahulu menetapkan matlamat yang mana menjadi fokus. Hal ini kerana kedua-duanya akan menentukan ciri pedagogi yang akan diaplikasikan dalam bilik darjah. Matlamat akan menentukan jenis bahan, pendekatan, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang akan dilaksanakan dalam bilik darjah.

Sebagai perbandingan, jika untuk tujuan komunikasi isi kandungan pengajaran perlu lebih bersandarkan pengetahuan am, isu semasa dan bersifat pragmatik. Strategi sebegini akan menimbulkan minat pelajar kerana mereka dapat menghayati kepentingan menguasai bahasa itu. Mereka juga boleh menggunakan secara praktis dalam kehidupan sehari-harian. Sebenarnya ramai pelajar yang tertanya-tanya tentang keperluan menghafal segala macam hukum tatabahasa dan sistem-sistem bahasa itu yang diajarkan dalam kelas, tanpa mengetahui kegunaannya di luar bilik darjah.

Bagi tujuan akademik pula, secara umumnya kita melihat pelajar-pelajar yang menyambung pengajian di luar negara, tidak menghadapi masalah besar untuk menguasai bahasa Inggeris walaupun mereka mempelajari ilmu-ilmu asas di peringkat rendah dan menengah menggunakan bahasa Melayu. Tambahan pula dalam persekitaran yang memaksa mereka menguasai bahasa itu, bahasa Inggeris tidak menjadi halangan untuk mereka berjaya dalam pengajian mereka.

Kerajaan juga perlu bersedia mengawal pihak-pihak yang sengaja mengambil kesempatan atas kelulusan syarat tersebut dengan menetapkannya pula dalam sektor pekerjaan. Sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, tanpa mengira keperluan dan latar sesuatu pekerjaan kita telah melihat banyak majikan yang menetapkan kelulusan bahasa Inggeris sebagai salah satu syarat memohon pekerjaan. Malahan, ada pula majikan yang mengambil kesempatan dengan sengaja menetapkan keperluan bahasa selain daripada bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris untuk memohon pekerjaan di agensi mereka. Akibatnya, ramai dalam kalangan pelajar lepasan sekolah mahupun institusi pengajian tinggi yang gagal memohon pekerjaan walaupun memiliki kelayakan akademik yang sesuai, hanya kerana lemah atau tidak lulus bahasa Inggeris.

Jika para majikan ini mendesak juga, mereka perlu diminta supaya bersikap adil dengan mengklasifikasikan jenis kelulusan yang dikehendaki. Dengan itu, mereka bolehlah menentukan calon yang sesuai dengan latar bidang pekerjaan yang hendak ditawarkan.

Dalam pada itu, kerajaan juga mestilah memastikan bahawa tidak ada pihak yang ‘menahan lukah di pergentingan’ dengan mengambil kesempatan daripada keputusan yang dibuat. Selalunya apa sahaja dasar yang diputuskan akan ditafsirkan sehingga mendatangkan laba oleh para oportunis dan pihak yang bijak memanipulasi keadaan. Bertopengkan pelbagai program sokongan seperti penerbitan bahan pembelajaran, perbengkelan, kursus, ceramah, dan sebagainya, akhirnya ibu bapa yang menanggung beban, manakalah para pelajar pula kehilangan fokus dan menjadi semakin kalut.

Akhir sekali kerajaan sendiri juga perlu tidak terbawa-bawa dengan dasar tersebut sehingga melupakan pula bahasa Melayu. Pastikan ‘yang dikejar dapat, yang dikendong tidak berciciran’.

Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.

Rabu, Julai 15, 2009

YANG KURIK KUNDI, YANG MERAH SAGA, YANG KERAS TAKAL-UTUSAN MALAYSIA 16 JULAI 2009

Buat kesekian kalinya, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah lagi tentang orang Melayu. Ternyata baginda amat prihatin dengan perkembangan yang melanda orang Melayu kini. Dalam titah baginda di Majlis Perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009, baginda sekali lagi mengingatkan umat Melayu supaya berpijak kepada kenyataan dan berpandulah kepada akal fikiran.

Dengan kedaulatan baginda yang berasal daripada keturunan raja-raja Melayu Melaka, dan ditambah dengan keintelektualan baginda, orang Melayu harus benar-benar percaya akan titah baginda itu, dan benar-benar faham akan gejala kehancuran yang sedang melanda sekarang.

Mengulas tentang saranan baginda supaya orang Melayu menggunakan akal fikiran, saya ingin mengaitkan dengan serangkap pantun Melayu; “yang kurik kundi, yang merah saga; yang baik budi, yang indah bahasa”.

Dalam satu kajian, daripada seorang informan saya terjumpa baris ketiga pembayang dan baris keenam maksud pantun itu yang saya fikir sengaja dihilangkan. Baris ketiga pembayang ialah; “yang keras takal,” manakala baris keenam maksud pula berbunyi; “yang pantas akal”.

Kehilangan kedua-dua baris keramat itu saya jangka adalah sebahagian usaha orientalis dan penjajah British yang mahu memisahkan orang Melayu daripada dunia keintelektualan. Hal ini samalah dengan momokan British yang kononnya sebahagian besar naskah persuratan Melayu yang sarat dengan pemikiran dan unsur-unsur keintelektualan telah tenggelam bersama-sama kapal Raffles tatkala dibawa belayar ke Eropah.

Dengan demikian, walaupun setelah lebih separuh abad orang Melayu merdeka daripada penjajahan Barat, ternyata aspek kemerdekaan minda masih belum berlaku. Orang Melayu masih gagal membuat pertimbangan tanpa pengaruh emosi, assabiyah, dan dendam kesumat.

Orang Melayu masih terlalu hebat berbudi bahasa sehinggakan apabila sekali termakan budi, kita rela menggadai maruah dan menghambakan diri tanpa memikirkan masa depan bangsa sendiri. Kita rela berbantah-bantahan dengan saudara kita sendiri demi menyokong dan menegakkan orang lain.

Walaupun istilah Melayu itu bersinonim dengan Islam, tetapi nampaknya orang Melayu masih belum benar-benar mukmin. Jangan sekali-kali diperlekeh keislaman mereka walaupun mereka tidak solat, tidak puasa, atau melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak Islamik. Islam menuntut kita supaya bersatu padu tetapi kita tidak mahu. Islam menyuruh kita berfikir, tetapi kita lebih suka mengikut emosi dan nafsu.

Ternyatalah bahawa setelah dijajah selama 446 tahun, orang Melayu berjaya dipisahkan daripada akal mereka dan hanya hidup berpandukan budi bahasa semata-mata. Dalam kepompong budi bahasa itulah sebahagian orang Melayu leka dengan mimpi yang indah-indah tetapi bercanggah dengan realiti semasa.

Walaupun telah banyak kali diperingatkan dan diuji, sikap sebahagian orang Melayu masih tidak berubah menjadi manusia yang dinamik dan pragmatik. Keselesaan mereka dalam dimensi fatamorgana benar-benar berjaya meletakkan diri mereka dalam arus pemikiran bawah sedar. Mereka terpisah daripada rasional dan hanya bersifat pengikut yang taksub.

Siapa tidak tahu bahawa orang Melayu sangat suka berhasad dengki sehinggakan apabila ada orang Melayu yang naik tinggi, akan diusahakan supaya dijatuhkan. Apabila mengatur majlis, orang Melayu terkenal dengan ‘time Melayu’. Apabila dipujuk rayu misalnya oleh Pak-pak Arab, Mat-mat Indon, anak-anak Melayu mudah terlentuk dan hanyut.

Tidak lama dahulu banyak kes anak-anak Melayu yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila dijanjikan kemewahan hidup. Nampaknya dunia telah tahu bahawa orang Melayu sangat mudah digula-gulai kerana bangsa ini seolah-olah tidak berakal!

Setelah Raja Muda bertitah demikian, apakah pemimpin dan rakyat Melayu masih belum faham-faham lagi?

Yang kurik kundi,
yang merah saga,
yang keras takal;
yang baik budi,
yang indah bahasa,
yang pantas akal.

MANEK URAI: ANTARA TUAN GURU NIK AZIZ DENGAN TUAN AZIZ

Saya fikir dalam senario satu lawan satu di DUN Manek Urai, pertembungan sebenarnya adalah antara dua Aziz bin Mat; seorang memiliki nama rasmi Tuan Aziz Tuan Mat, dan yang seorang lagi walaupun diwakili oleh calon yang bernama Mohd Fauzi Abdullah tetapi dibayangi oleh tokoh yang digelar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Satu fakta yang menarik dalam pertembungan pengaruh ini ialah perbezaan umur yang begitu ketara iaitu sekitar 40 tahun – Tuan Aziz 39, dan Tuan Guru Nik Aziz 78 tahun. Tuan Aziz daripada golongan muda yang cergas dan cerdas. Secara adatnya, beliau mempunyai masa yang masih panjang untuk memikul amanah dan tanggungjawab jika diberi peluang mewakili penduduk Manek Urai.

Tuan Guru Nik Aziz pula walaupun secara adatnya tidak mempunyai masa yang panjang lagi, namun impak pengaruhnya masih menjadi perhatian dan pedoman rakyat. Memang ada orang mengatakan apalah yang ada pada angka. Namun dalam konteks tabii, usia tua dan lanjut ada kaitannya dengan sindrom yang dipanggil ‘nyanyuk’ oleh orang Melayu.

Dalam Kamus Dewan, nyanyuk bermaksud ‘berkelakuan seperti kanak-kanak (berkenaan orang yang sudah terlalu tua), tidak berapa betul lagi (berkenaan fikiran orang yang sangat tua), atau raban.

Dalam bahasa Inggeris (Merriam-Webster Online Dictionary) nyanyuk disebut senile. Senile berasal dari perkataan Latin senilis yang bermaksud exhibiting or characteristic of old age, exhibiting a loss of cognitive abilities (as memory) associated with old age.

Dalam MedicineNet.com, senile dikaitkan dengan tiga keadaan; pertaining to old age, pertaining to the physical decline associated with old age dan pertaining to the mental decline once associated with old age but now known to be due to dementia.

MSN Encarta Dictionary pula mendefinisikan senile sebagai mentally less acute in later life; forgetful, confused, or otherwise mentally less acute in later life dan relating to later life: occurring in or believed to be characteristic of later life, especially the period after the age of 65 years.

Dalam kalangan orang Melayu umumnya, orang nyanyuk digambarkan sebagai orang tua yang pelupa, tidak mampu mengurus diri dari segi kebersihan dan makan-minum, dan bercakap tanpa sedar apa yang diperkatakan.

Sindrom ini melanda tanpa mengira kelas dan kedudukan, malahan sejak akhir-akhir ini masyarakat dimomokkan dengan beberapa tokoh politik yang sudah seperti dihinggapi sindrom ini. Ada yang menuduh orang lain sebagai komunis dan mengamalkan ajaran sesat tetapi segera menyatakan bahawa itu hanyalah kiasan sahaja. Selepas beberapa hari, tokoh yang sama mengulangi semula pertuduhan itu.
Ada yang secara keras dan nyata menolak untuk berbincang tentang perpaduan, tetapi selepas itu berhajat untuk berdebat tentang hal yang sama. Lebih kelihatan lucu lagi, tidak lama dulu ada seorang tokoh politik bukan Islam yang menyuruh rakan seperjuangannya yang beragama Islam supaya bertaubat.

Mereka sudah tua, tetapi masih rancak bercakap sesedap rasa, tanpa memikirkan kesan percakapan mereka itu boleh mengharubirukan rakyat, apatah lagi pihak-pihak yang ditujukan percakapan itu. Masalah ini menjadi lebih besar kerana ada rakyat yang menjadi pengikut setia dan taksub. Apa sahaja yang dilontarkan dianggap sebagai ‘fatwa’ dan kesannya sangat buruk.

Kita sedar, para pemimpin Malaysia ini kebanyakannya ‘dituakan sebelum waktunya’ (malah Siti Norhaliza pun sudah dituakan dengan gelaran Datuk!). ‘Badi tua’ itu menyebabkan beberapa pemimpin veteran menghamburkan kritikan dan tekanan sesuka hati.

Selagi dikejar media, selagi itulah pandangan yang sudah tidak rasional dan tidak relevan akan menjadi tatapan rakyat. Keadaan ini boleh menimbulkan lebih banyak ‘dosa berbanding pahala’!

Rakyat harus bijak menelaah setiap kenyataan yang dibuat. Setiap luncuran perkataan mereka sudah tidak boleh dianggap sebagai fatwa lagi kerana telah dihantui sindrom nyanyuk itu. Cuma sayangnya, ada yang tidak sedar akan hal itu atas faktor ‘keotaian’ mereka!