Jumaat, November 21, 2008

SUKA HATILAH...

Sudah sekian lama pelbagai pihak berhujah mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ada yang menyokong dasar itu diteruskan, dan ramai pula yang membantah. Namun sehingga kini, kerajaan masih berteka-teki mengenai isu ini.

Saya fikir, sudah sampai masanya kita berhenti membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk berbahas kerana segala-galanya terletak di tangan menteri yang berkenaan. Hal ini samalah ketika dasar PPSMI itu hendak dilaksanakan dahulu; tidak perlu bersusah payah berbincang, terus sahaja umumkan dan laksanakan.

Rakyat kini memang telah benar-benar faham, bahawa segala sudut kehidupan di negara ini tidak dapat lari daripada agenda politik yang tersembunyi di sebalik segala dasar sosioekonominya. Laungkanlah apa sahaja pandangan tentang apa sahaja isu, keputusan muktamadnya terletak di tangan menteri. Biarpun ada antara dasar itu melanggar akta-akta dan perlembagaan negara, namun atas kuasa politik, segala-galanya menjadi halal.

Memang sudah jelas dan nyata bahawa Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 menetapkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Tidak cukup dengan itu, akta-akta pendidikan seperti Penyata Razak, Penyata Rahman, dan Akta Bahasa Kebangsaan sendiri telah dengan sejelas-jelasnya menetapkan bahasa pengantar dalam sistem pelajaran ialah bahasa Melayu. Apa lagi yang perlu dijadikan hujah?


Mulai sekarang, yang perlu difikirkan ialah bagaimana hendak membubarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana fungsinya sudah tidak relevan lagi. Berjuta-juta ringgit yang telah dibelanjakan oleh DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, membazir begitu sahaja. Malahan, fakta bahawa sehingga kini, sudah terbit 36 kamus istilah dan 222 glosari istilah mencakupi semua bidang peradaban manusia termasuk yang terbaru bidang aeroangkasa, masih tidak kukuh untuk mempertahankan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi. Bahasa Melayu sudah membuktikan kemampuannya sebagai bahasa asas penerokaan ilmu yang berjaya membawa rakyat Malaysia ke angkasa lepas. Sudah lebih 400 000 istilah dicipta. Semuanya tetap tidak cukup untuk dijadikan hujah bagi mempertahankan bahasa Melayu.

Fikirkanlah juga apa yang hendak dibuat dengan Institut Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia yang tersergam di Lembah Pantai itu. Paling mudah ialah gugurkan sahaja nama ‘Bahasa Melayu’ itu seperti mana mudahnya kerajaan menukarkan nama bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia tahun lalu. Kemudan, latihlah semahir-mahirnya bakal-bakal guru yang akan mengajarkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Persatuan Linguistik Malaysia lebih baik bubarkan sahaja kerana tidak ada faedahnya. Kewujudannya hanya meletihkan para sarjana linguistik bahasa Melayu kerana perlu datang bermesyuarat dan berbincang tentang entah apa-apa.

Jabatan-jabatan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi (IPTA) juga wajar ditransformasikan menjadi benda-benda lain; terpulang kepada pihak pengurusan masing-masing. Sesuai juga agaknya dijadikan arkib atau muzium warisan bangsa kerana bahasa Melayu hanya tinggal sebagai warisan untuk pameran dan kajian sahaja. Tidak perlu sebarang usaha pengembangan kerana dalam dunia yang bakal dikuasai sepenuhnya oleh sains dan teknologi, bahasa Melayu tidak perlu lagi. Beberapa IPTA yang berteraskan sains dan teknologi sudahpun mengisytiharkan hal ini beberapa tahun lalu. IPTS usah ditanya lagi.

Kemuncaknya, Universiti Kebangsaan Malaysia juga wajar dibubarkan kerana jika masih wujud, UKM akan menjadi monumen yang amat memalukan negara dan bangsa. Hal ini kerana UKM diwujudkan khusus untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Semaklah akta penubuhannya jika tidak percaya.

Akhir sekali, bagi seluruh kaum Melayu, marilah sama-sama kita mengisytiharkan bahawa nama kita kini ialah bangsa Malaysia, seperti mana tuntutan suara-suara politik itu. Kitalah yang perlu memulakan, dan akan diikuti oleh kaum-kaum lain yang ada di negara kita; jika mereka benar-benar ikhlas mahu menjadi rakyat Malaysia.

MELAYU PERLU HORMATI DIRI SENDIRI DAHULU

Saya fikir dalam isu hak peribumi khususnya orang Melayu yang tidak lagi dihormati kaum-kaum lain sebenarnya berpunca daripada orang Melayu sendiri. Sejak akhir-akhir ini, orang Melayu membiarkan diri mereka kehilangan kehormatan dengan pihak-pihak dalam kalangan orang Melayu sendiri meruntuhkan satu demi satu maruah dan ciri kedaulatan jati diri mereka. Tidak perlu kaum lain mencuba untuk merosakkan imej Melayu. Ini bertepatan dengan firman Allah yang antara lain menyebut tidak ada bangsa lain yang menentukan nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu sendiri.

Orang Melayu perlu bermuhasabah diri. Tidak perlu menuding jari ke arah orang lain, kerana dengan satu jari menunjuk ke arah pihak lain, tiga jari lagi menunjuk ke arah diri sendiri. Orang Melayu mempunyai beberapa ciri kehormatan. Ciri paling utama ialah bahawasanya Melayu itu beragama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa pengislaman Melayu yang dikesan semenjak abad ke-13 Masehi telah membentuk citra Melayu yang amat hebat sehingga mampu membina empayar yang menyatukan seluruh etnik Melayu. Empayar Melayu Melaka menjadi mercu tanda kegemilangan ini.

Namun sejarah juga telah membuktikan bahawa keruntuhan Melayu pada zaman itu adalah disebabkan orang Melayu sendiri telah mula menyeleweng daripada ciri-ciri keislaman sejati. Para pemimpin Melayu yang banyak terlibat dengan perdagangan bersifat rakus dan tamakkan kekayaan. Tindas-menindas mulai menjadi budaya. Keadaan ini menimbulkan pula gejala rasuah dan perpecahan dalam kalangan pembesar. Kezaliman dan fitnah memfitnah menjadi sesuatu yang lumrah. Pada saat inilah Portugis meruntuhkan kegemilangan yang telah dibina. Dan selama beratus-ratus tahun berikutnya, orang Melayu terjajah di bumi sendiri.

Pada abad ke-19 dan ke-20, orang Melayu bangkit semula membina negara bangsa yang bersifat metropolitan dek dasar penjajah. Kali ini orang Melayu perlu menerima hakikat bahawa negara ini bukan milik mereka sendiri sahaja tetapi terpaksa berkongsi dengan dua bangsa utama yang lain iaitu Cina dan India. Sudah tentulah persaingan menjadi lebih hebat dan kompleks. Justeru masing-masing mempunyai kesamaan dan perbezaan dalam pelbagai aspek termasuk budaya dan sistem kepercayaan, orang Melayu seolah-olah gagal menyesuaikan diri membina ketamadunan baru berasaskan ciri yang heterogenus. Malahan ada kalangan sarjana bukan Melayu yang kehairanan melihat orang Melayu yang seperti cacing kepanasan berjuang dan berusaha mempertahankan hak seolah-olah mereka bersifat minoriti dan pendatang.

Keliru dengan persekitaran persaingan yang lebih mencabar, orang Melayu mulai melihat agama sebagai adat; hanya wajib dipegang apabila hendak bernikah, jika berlaku kematian, atau pada musim perayaan sahaja. Dalam aspek kehidupan yang lain; rasuah menjadi-jadi sama ada kecil atau besar, sama ada secara terang atau sembunyi, sama ada secara ‘halal’ atau secara haram. Masalah dadah tidak pernah selesai malah bertambah buruk. Budaya hedonism semakin menular dan tambah melampau apabila diharuskan atas pelbagai alasan termasuk amal jariah. Budaya fitnah-memfitnah tidak pernah surut sehingga terpaksa bersumpah junjung Qur’an. Politik wang, sistem kehakiman yang culas dan ketirisan sistem penyampaian kerajaan pimpinan Melayu telah menjadi rahsia awam. Semuanya amat mengjengkelkan.

Orang Melayu secara terang-terangan berkelahi sesama sendiri dalam banyak gelanggang. Segala keburukan ini mendapat liputan media pimpinan Melayu sendiri yang bertindak seolah-olah membuka pekung di dada. Jadi, bagaimanakah kita mahu memaksa orang lain menghormati kita jika segala pekung yang berkudis, bernanah, berulat, dan amat busuk itu telah didedahkan kepada kaum lain? Seingat saya, semenjak musim PRU Ke-12 dahulu lagi, media tidak pernah gagal menghidu berita keburukan perangai orang Melayu. malahan ada juga ‘siaran langsung’ pergaduhan suami isteri selebriti melalui media elektronik.

Orang Melayu wajib kembali kepada citra ‘Melayu itu Islam’. Islam bermaksud sejahtera dan selamat. Apabila kita buang citra ini, selamanyalah orang Melayu akan terus berantakan dan hilang kehormatan diri. Dalam situasi begini, tidak perlulah kita merayu orang lain menghormati kita. Lebih daripada itu, belajarlah daripada sejarah Melaka jika kita mahu terus berdiri sebagai satu bangsa yang bermaruah. Janganlah kita terlalu bodoh mengulang kembali kesilapan yang telah dilakukan oleh orang Melayu ketika itu.

Kepemimpinan Melayu perlu segera mengambil langkah muhasabah diri sebelum mengajak orang Melayu melakukannya. Tidak sukar sebenarnya memimpin bangsa Melayu kerana masih ramai orang Melayu yang berpegang kepada wa’adat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang dimeterai di Bukit Siguntang Mahameru. Pihak istana telah memberi isyarat supaya orang Melayu segera bangkit daripada kekalutan yang sudah semakin menular. Malahan orang bukan Melayu juga kini sudah semakin resah, dan keresahan mereka itu sebenarnya menunjukkan bahawa mereka masih mempunyai keyakinan bahawa kejayaan negara ini amat bergantung kepada kestabilan dan kedaulatan bangsa Melayu.

Tafsirkanlah sejujurnya pesanan Hang Tuah bahawa takkan Melayu hilang di dunia. Usahlah beretorika lagi kerana kini masanya untuk menterjemah kedaulatan bangsa kepada ketamadunan akal dan hati budi. Keharmonian dan kejayaan membina tamadun baru itulah yang akan menjadi manifestasi kedaulatan Melayu yang sebenar-benarnya. Apabila tercapai nanti, bangsa Melayu dan segala hak peribuminya akan dihormati dan tidak lagi diperkotak-katikkan.

Rabu, November 12, 2008

TELITI ISU BAHASA MELAYU HINGGA KE AKAR UMBI

Isu cabaran dan penghinaan yang dihadapi bahasa Melayu nampaknya tidak pernah reda. Lepas satu isu, satu isu yang lain pula akan muncul. Setiap kali pula media tidak jemu memaparkannya apatah lagi apabila membabitkan kenyataan dan ulasan oleh para pemimpin negara.
Ada dua isu bahasa Melayu yang timbul setakat beberapa hari ini. Satu ialah berkenaan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan para peguam. Satu lagi ialah berkaitan papan tanda kawasan perumahan dan nama jalan sebuah taman perumahan di Ipoh.
Pada pendapat saya, kedua-dua isu terbaru ini dan isu-isu lain yang berkaitan dengan status bahasa Melayu boleh diselesaikan dengan mendiagnosis akar puncanya. Saya menarik perhatian kepada asas pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Negara, Fasal 152.
Masyarakat sering dikhabarkan bahawa kedudukan bahasa Melayu dijamin oleh Perlembagaan. Namun demikian ada sebahagian fasal tersebut yang dengan jelas menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain tidak boleh dilarang daripada digunakan, malah boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja terutama penutur jati masing- masing.
Walaupun banyak pihak (termasuk Datuk Azian Osman - seorang peguam, Senator, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur yang mempertikaikan papan tanda pelbagai bahasa di kawasannya) yang menyangka bahawa Fasal 152 itu begitu luhur dan dapat menjamin kedudukan bahasa Melayu, tetapi hakikatnya ialah bahasa Melayu terpaksa juga bersaing dengan bahasa-bahasa lain.
Dalam era dunia yang sangat dikuasai kapitalis, bahasa Melayu langsung tidak berdaya saing dari segi ekonomi dan menjadikannya bahasa yang tidak berkuasa apa-apa, walaupun seolah-olah selamat dalam Perlembagaan.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kuasa politik orang Melayu merudum semenjak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu. Ternampak jelas perkaitannya; apabila kuasa politik Melayu terjejas, daulat bahasa Melayu turut terheret ke lembah penghinaan.
Tiada sesiapa lagi yang peduli akan nasib bahasa ini kerana 'sudahlah miskin, hina pula'!
Sebelum kita menuding jari kepada pihak lain untuk dipersalahkan, saya fikir elok jika kita sendiri bermuhasabah diri. Kedudukan bahasa Melayu menjadi begitu goyah kerana akarnya tidak kemas. Akar yang dimaksudkan di sini ialah dari segi kedudukan sebenarnya dalam Perlembagaan. Fasal 152 itu menjadi rujukan asas kepada pelbagai dasar bahasa yang terbit kemudian.
Pelbagai pindaan dangkal (terutama beralaskan agenda politik) dibuat dan akhirnya menjadikan status bahasa Melayu tidak ubah seperti 'raja tanpa kuasa'. Jika kita benar-benar mahu memartabatkan bahasa Melayu, perkemaskan intipati fasal tersebut dan buat pindaan terhadap setiap perkataan, ungkapan atau ayat yang boleh menggugat status bahasa Melayu.
Secara sedar atau tidak, syarat yang dikenakan dalam fasal itu membolehkan sekolah beraliran jenis kebangsaan ditubuhkan. Para pemimpin pula tidak wajib menggunakan bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi. Banyak situasi majlis rasmi sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa (yang dihadiri oleh hanya seorang dua orang asing) yang memperlihatkan para pemimpin tertinggi negara tidak menggunakan bahasa Melayu.
Masih ramai pula peguam (rakyat Malaysia dan menerima pendidikan bidang guaman sepenuhnya di Malaysia) tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam perbicaraan di mahkamah. Kesemua mereka tidak boleh disabitkan sebagai melanggar Perlembagaan kerana Perlembagaan membolehkan bahasa lain selain bahasa Melayu digunakan.
Tidak cukup dengan itu, status bahasa Melayu sebagai akar perpaduan rakyat negara ini juga tidak dipedulikan, terutamanya yang membabitkan dasar-dasar sosial termasuk pendidikan.
Dalam keadaan yang goyah, diperkenalkan pula dasar PPSMI yang menjadikan bahasa Melayu terus terpinggir kerana kehilangan peranannya sebagai bahasa pengantar dominan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Sekali lagi para pemimpin tidak bersikap 'kepimpinan melalui teladan'. Bagaimanakah komunikasi antara rakyat berbilang kaum dapat 'dinyah prejudis' jika bahasa pertuturan mereka berlainan? Jurang komunikasi inilah yang menjadikan isu perpaduan kaum semakin parah.
Satu sahaja jalan bagi menyelesaikan kemelut ini iaitu menerusi jalan politik. Sementara kerajaan yang ada masih mempunyai kuasa majoriti, para pemimpin yang telah diberi mandat haruslah meneliti isu bahasa Melayu ini sehingga ke akar umbinya.
Janganlah bermain retorika politik lagi. Pilihlah; sama ada ikhlas untuk mendaulatkan bahasa Melayu atau 'alang-alang menyeluk pekasam' biarkan kita menjadi seperti Singapura.
Kami para pencinta bahasa Melayu sudah jemu bermain dengan perasaan; seperti kata pantun:
Apa diharap padi seberang,
entah berbuah entahkan tidak,
entah dimakan pipit melayang;
apa diharap bahasa tersayang,
entah bertuah entahkan tidak,
entah semakin bertambah hilang!

Selasa, September 16, 2008

MELAYU JANGAN LANGGAR DAULAT

Melihat kekalutan yang sedang melanda orang Melayu dewasa kini, saya fikir kita perlu bermuhasabah; menentukan apa sebenarnya yang menjadi masalah, dan mengapa masalah itu boleh berlaku sekarang.

Bangsa Melayu sudah wujud sejak zaman berzaman lagi. Hakikat bahawa bangsa Melayu pernah mencapai tamadun yang tersendiri khususnya pada zaman Kerajaan Melayu Melaka, membuktikan bahawa bangsa ini bukanlah bangsa yang baru berusia setahun jagung dan mudah gawat apabila dilanda masalah demi masalah.

Ketersebaran bangsa Melayu di kawasan induknya di Nusantara serta di wilayah-wilayah pinggiran yang digelar Melayu diaspora, juga menjadi bukti bahawa orang Melayu sesungguhnya ialah bangsa yang hebat kerana mampu menjangkau sebaran wilayah yang begitu luas, apatah lagi dengan merentas lautan. Tidak seperti orang Cina atau India, konsep ‘benua’ bagi orang Melayu terdiri daripada lautan yang maha luas. Badai dan gelombang apapun yang melanda, bangsa Melayu tetap tidak kelemasan atau hilang dari dunia, bersesuaian dengan sumpah Hang Tuah “Tak Melayu Hilang di Dunia”.

Namun sejak akhir-akhir ini, kehebatan dan kekuatan Melayu dilihat sudah mulai merapuh. Lantaran sedikit tsunami sosioekonomi dan sosiopolitik, orang Melayu berantakan sesama sendiri. Jika mengambil kira tarikh pilihanraya yang lalu, sudah masuk 6 bulan keadaan masih belum reda malahan bagaikan ‘retak menanti belah’.
Saya melihat kegawatan dalam kalangan orang Melayu kini adalah disebabkan oleh pelanggaran terhadap beberapa elemen penting yang menjadi tonggak kedaulatan bangsa Melayu itu sendiri. Yang pertama ialah berkenaan pencabulan hirarki purba bangsa Melayu. Dahulu orang Melayu hanya terbahagi kepada dua; raja sebagai pemerintah dan rakyat jelata sebagai yang menerima perintah. Tidak ada perantara. Tidak ada parti politik. Tidak ada wakil rakyat.

Kedua-dua pihak diikat oleh satu perjanjian (waadat) yang dimeterai oleh Sang Sapurba (dalam Sejarah Melayu) atau Seri Teri Buana (dalam Sulalatus Salatin) mewakili golongan pemerintah, dengan Demang Lebar Daun yang mewakili golongan rakyat. semuanya telus dan tulus.

Kandungan perjanjian itu antara lain mengikat pemerintah khususnya raja supaya tidak menzalimi rakyat dan rakyat pula hendaklah taat setia kepada raja. Semenjak itu, waadat tersebut menjadi perlembagaan orang Melayu. Raja kekal berdaulat kerana menerima ikrar taat setia rakyat. Manakala rakyat pula dinaungi kedaultan tersebut.

Hubungan sedemikian menjadikan orang Melayu begitu kukuh dan ampuh. Namun demikian, episod sejarah telah membuktikan apabila berlaku sahaja pelanggaran kepada perjanjian itu, orang Melayu akan menerima musibah. Antaranya; peristiwa Sang Rajuna Tapa di Singapura dan persaingan merebut pengaruh antara Raja Mendeliar dan Kitul di Melaka. Kemuncak kepada episod hitam itu ialah kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Selama 446 tahun berikutnya, orang Melayu dijajah silih berganti sehinggalah Merdeka pada 1957.

Kemerdekaan mewujudkan hirarki ketiga dalam kalangan orang Melayu; iaitu golongan wakil rakyat. Berdasarkan prinsip demokrasi moden dan sekular, golongan ini mengambil alih tampuk kuasa dan pemerintahan daripada raja-raja Melayu. Pada detik ini, salah satu ciri kedaulatan Melayu itu telah dilupuskan. Yang berkuasa kini ialah sesiapa sahaja dalam kalangan orang Melayu, sekalipun rakyat kebanyakan. Para wakil rakyat tidak sabit dengan perjanjian yang telah termeterai sebelumnya. Justeru itu, tiada pensabitan atas apa-apa saja yang boleh dianggap sebagai menzalimi rakyat. Tiada juga ketulahan kepada rakyat yang menderhaka.

Dengan hirarki baru ini, sumpahan rakyat dimanifestasikan melalui hanya satu undi dalam pilihanraya sahaja. Timbang tara tidak dapat dilaksanakan kerana kedua-dua pihak telah hilang pertanggungjawaban masing-masing. Bukan setakat itu, malahan pada penghujung 1980-an kekebalan raja-raja juga telah turut dimansuhkan. Semua golongan orang Melayu boleh didakwa-dakwi tetapi tidak menggunakan pertimbangan yang dicipta dan diamalkan oleh nenek moyang.

Penguraian ikatan tradisional ini menjadikan orang Melayu kehilangan pedoman. Tiada sesiapa pun yang dapat meleraikan kekusutan yang timbul; satu demi satu. Lalu ada yang berpaling ke luar lingkungan Melayu untuk meraih kekuatan. Senario seperti mana yang pernah berlaku di istana Melaka antara Raja Mendeliar dan Kitul, kini seolah-olah muncul kembali. Dan kita tahu natijahnya.

Satu lagi sumpahan yang telah dilanggar oleh bangsa Melayu ialah sumpahan “bahasa yang menunjukkan bangsa”. Kewujudan bangsa Melayu menjadi sirna kerana tidak lagi patuh menggunakan bahasanya. Benar, bahasa Melayu kekal dalam Perlembagaan Negara melalui Fasal 152 tetapi sejauh manakah kedaulatan bahasa itu mampu menaungi lagi bangsanya apabila bangsa itu sendiri menderhaka.

Pada tahun 2007 yang lalu, bahasa Melayu telah secara rasminya dilupuskan dan digantikan dengan bahasa Malaysia. Demi toleransi dan kompromi sosiopolitik, kita gadaikan kedaulatan bahasa itu. Beberapa tahun sebelum itu, kita juga telah mengabaikan bahasa Melayu apabila dipinggirkan dalam sistem pendidikan kita. Kita hina bahasa Melayu kerana dikatakan kolot lantaran tidak berupaya membawa bangsa Malaysia ke persada dunia yang berteraskan sains dan teknologi. Kita langgar ikrar yang kita maktubkan dalam perlembagaan bahawa bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Kita pilih bahasa Inggeris, bahasa bangsa yang pernah menjajah kita. Sekali lagi kita gadaikan maruah bahasa Melayu. Persoalannya; bahasa Inggeriskah yang membawa angkasawan kita ke angkasa lepas tempoh hari?

Satu demi satu sumpahan telah melanda bangsa Melayu. Lantaran terlalu banyak termakan sumpah, orang Melayu sudah tidak keruan lagi sehinggakan ‘Sumpah Saiful’ tempoh hari terpaksa bersaksikan Tuhan Yang Maha Esa. Kita sudah hilang kepercayaan kepada bangsa sendiri dek keterlaluan kita melanggar waadat nenek moyang. Namun demikian, masih ada waktu untuk kita segera insaf dan berusaha bersama-sama mengembalikan kedaulatan bangsa Melayu tanpa mengira kita daripada hirarki yang mana satu.

SURAT UNTUK PEMIMPIN MELAYU

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berbahagia Tun dan Toh Puan.
Yang Berbahagia Tan Sri dan Puan Sri.
Yang Amat Berhormat/Yang Berhormat Datuk-datuk dan Datin-datin.
Yang Dihormati seluruh tampuk kepemimpinan Melayu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Apa khabar tuan-tuan dan puan-puan semua? Diharapkan dalam kita melalui Ramadhan 1429 Hijrah ini, Allah S.W.T. mengurniakan kekuatan kepada kita untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan. Ingatlah, orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa - bukan pangkat, kuasa, atau kemuliaan dunia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang mulia. Kami rakyat Melayu jelata merasakan bahawa kedatangan Ramadhan kali ini amat berbeza daripada Ramadhan terdahulu. Kebetulan hari pertama Ramadhan jatuh betul-betul selesai sahaja kita menyambut ulangtahun Kemerdekaan ke-51. Seperti kesunyian dan kehambaran sambutan kemerdekaan tahun ini, Ramadhan kali ini datang tatkala orang Melayu sedang pilu dan dilanda perasaan resah gelisah memikirkan nasib dan masa depan bangsa.

Walaupun PRU Ke-12 sudah 6 bulan berlalu dan dalam serba kepayahan kepemimpinan Melayu terus diberi mandat memimpin negara ini, namun kuasa yang selalunya diharapkan daripada mandat pilihanraya tidak dapat benar-benar dipegang. Entah apalah agaknya musibah yang menimpa – tiba-tiba sahaja kuasa politik yang selama ini melambangkan ketuanan Melayu, tergugat dengan begitu teruk sekali. Kami para rakyat telah terkeliru dengan keadaan ini. Kami inginkan pembaharuan, kami inginkan kesejahteraan. Lantaran itu kami memberikan sedikit peringatan dengan melepaskan Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor. Kami tidak ganggu ketuanan Melayu yang bertapak kukuh di Kelantan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi. Kami hanya sekadar memberi peringatan sahaja kepada para pemimpin Melayu supaya sedar daripada mimpi era Mahathirisme. Banyak kemajuan dan pembangunan yang telah dibawa dalam era itu tetapi pada masa yang sama, orang Melayu yang miskin masih terus miskin, manakala orang Melayu yang kaya semakin bertambah kaya. Anak-anak Melayu masih teratas dalam penagihan dadah, dan kini sudah ‘ngetop’ pula dalam carta Mat Rempit.

Banjir makin teruk kerana bukit dan kawasan tadahan hujan telah diratakan dan diterangkan atas nama pembangunan. Kami tidak mahu lagi pembangunan. Apa yang penting sekarang ialah kualiti hidup yang lebih baik, harga barang yang kekal rendah, harga minyak terkawal dan peluang pekerjaan semakin terbuka untuk kami dan tidak perlu bersaing dengan pendatang asing.

Tuan-tuan dan puan-puan yang bijaksana. Segala yang sudah berlalu di zaman Mahathirisme itu biarkanlah berlalu. Kita harus tabik kepada pemimpin era itu kerana mereka telah berjaya meletakkan Malaysia – negara yang berteraskan bangsa Melayu di peta dunia. Walaupun banyak ciri-ciri bangsa kita dilunturkan pada zaman itu, namun hakikatnya bangsa Melayu telah teruji dan terbukti kita tidak jauh ketinggalan berbanding bangsa besar dunia.
Cuma, apa yang kami harapkan sekarang ialah; ‘buangkanlah yang keruh dan ambillah yang jernih’. Kepemimpin Melayu yang baru telah memperkenalkan tema pembangunan modal insan. Payah sangatkah tuan-tuan dan puan-puan memahami tema tersebut? Kami dapati bahawa banyak tafsiran salah yang tuan-tuan dan puan-puan terjemahkan daripada hasrat tersebut. Tuan-tuan dan puan-puan masih melagukan pembangunan material dan dengan rakusnya atas kelembutan pucuk kepemimpinan Melayu, tuan-tuan dan puan-puan meneruskan agenda pembangunan yang telah kuno. Tuan-tuan dan puan-puan masih menyogokkan agenda sedemikian termasuklah yang terakhirnya di Permatang Pauh tempoh hari.

Tuan-tuan dan puan-puan yang arif. Masihkah tuan-tuan dan puan-puan tidak faham mesej yang ingin kami sampaikan pada PRU Ke-12 dahulu? Kepada pemimpin yang berjaya membentuk kerajaan, mesej kami ialah kami mahukan usaha meningkatkan kualiti hidup dan bukan lagi pembangunan material. Tapi mengapakah tuan-tuan dan puan-puan bersusah payah memperkenalkan awah demi awah? Tuan-tuan dan puan-puan tahukah maksud ‘awah’ itu? Awah bermaksud corridor, dalam bahasa Kayan, Kenyah, Bidayuh, Lun Bawang dan Kelabit. Barangkali kerana sudah lama ‘memandang bintang di langit’, tuan-tuan dan puan-puan sudah ‘lupa rumput di bumi’.

Pembangunan material menyebabkan lebih banyak hutan dan bukit digondolkan. Lebih banyak sungai menjadi keruh dan cetek. Dan lebih banyak banjir akan berlaku sehinggakan terowong SMART pun sudah ketinggalan zaman – tidak dapat menyelesaikan masalah banjir di Lembah Kelang. Pembangunan material bermakna lebih ramai orang Melayu menjadi kaya tetapi berperwatakan Ali Baba dan persaingan untuk mendapatkan peluang-peluang itu akan menimbulkan lebih ramai koruptor Melayu.

Pembangunan material bermakna keluarga Melayu akan menjadi lebih porak-peranda kerana ibu bapa terus sibuk membina kerjaya tetapi di rumah, moral anak-anak diruntuhkan oleh asuhan bibik dan media massa. Tercemar sedikit rezeki oleh unsur-unsur haram, maka lahirlah generasi yang sukar dididik menjadi baik dan soleh. Lalu semakin ramailah penagih dadah dan Mat Rempit. Banggakah tuan-tuan dan puan-puan dengan rekod sedemikian?

Kepemimpinan pascaMahathirisme telah memperkenalkan tema pembangunan modal insan untuk membina jati diri Melayu khususnya yang lebih progresif. Susah sangatkah tema ini diterima dan dihayati oleh tuan-tuan dan puan-puan para pemimpin Melayu? Orang Cina sendiri nampak hal ini begitu dinamik kerana masyarakat akan menjadi lebih baik, jujur, tidak suka mencuri dan merompak, tidak suka berdemonstrasi, dan dengan itu berniaga akan lebih aman dan untung akan lebih banyak. Semua akan lebih kuat bekerja dan dengan itu akan beroleh lebih laba.

Tetapi mengapa pemimpin Melayu tidak nampak hal itu? Mengapa tuan-tuan dan puan-puan semakin bercakaran lalu membuka ‘pekung demi pekung di dada’? Selama, ini, semua bangsa hormat kepada orang Melayu; mereka kepingin hendak masuk MRSM dan UITM, mereka berusaha keras untuk belajar di UIA, mereka setuju dengan perbankan Islam dan menyokong sistem kewangan Islam yang diperkenalkan oleh para ekonomis Melayu. Akhir-akhir ini, pajak gadai Islam juga menerima kunjungan bukan Melayu.
Mengapakah para pemimpin Melayu seolah-olah tidak faham dan tidak menyokong agenda pembangunan sebegini? Mengapakah luka-luka lama mahu diungkit lagi dan lantas mengharu-birukan rakyat Melayu? Bukankah setelah ‘biduk berlalu, kiambang akan bertaut semula’? Bukankah ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’? Tuan-tuan dan puan-puan terus beretorika. Kami cemburu dengan orang Cina kerana kini merekalah yang menghayati bidalan-bidalan Melayu itu (setelah dipelopori oleh Karam Singh Walia!).

Tuan-tuan dan puan-puan para pemimpin yang dihormati. Tidakkah tuan-tuan dan puan-puan sedar bahawa seratus kali orang bukan Melayu mempertikaikan hak dan ketuanan Melayu, kita toleransi. Tetapi sekali orang Melayu tersilap cakap bangsa Cina sebagai penumpang, seluruh orang Cina bangun membentak. Tanpa mengira parti dalam kerajaan, pembangkang, mahupun badan bukan kerajaan, mereka bersatu mengecam orang kita. Malahan ada yang mengancam juga untuk keluar dari permuafakatan yang ada.

Orang kita itu pun satu hal, tidak tahukah hendak berkias ibarat lagi dalam berkata-kata? Tidak tahukah hendak ‘berkelahi cara Melayu; menikam dengan pantun, menyanggah dengan senyum, marah dengan diam’ (meminjam konsep ‘Melayu’ oleh Usman Awang). Tuan-tuan dan puan-puan sedarkah bahawa semenjak zaman dialog P. Ramlee dalam filem-filemnya, tidak pernah kedengaran orang Melayu bersumpah “wallahi…”! Kawan-kawan kami orang India pun takut bermain sumpah.

Tuan-tuan dan puan-puan yang berbahagia. Kami telah memberi ruang kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk membuat refleksi diri dalam PRU Ke-12 enam bulan lalu. Tetapi setakat kini, belum nampak sebarang tanda ‘bulu ayam akan bercantum’, malahan sebaliknya menjadi lebih carik. Setiap hari semakin banyak citra negatif pemimpin Melayu dibongkar. Baru pemilihan peringkat cawangan dan bahagian, sudah terdengar banyak amalan sogokan wang rasuah. Pemilihan MCA dan Gerakan tidak kedengaranpun hal tesebut. Kami rakyat jelata fikir, apabila BPR diberi kuasa menyelongkar segala amalan tidak beretika itu, ramailah orang Cina atau India akan ‘popular’, tetapi sungguh mengejutkan orang Melayu pula yang nampaknya lebih hebat. Sedarkah tuan-tuan dan puan-puan, ‘kepemimpinan sebeginilah yang menjadi teladan’ anak muda Melayu supaya berkelakuan lebih hebat lagi dengan merempit dan menghisap dadah? Berpuluh-puluh tahun sudah berlalu, cerita dadah dalam kalangan anak Melayu masih belum reda. Apa sudah jadi dengan kepemimpinan Melayu – kepemimpinan tuan-tuan dan puan-puan?

Tuan-tuan dan puan-puan para pemimpin Melayu yang disayangi. Segeralah kembali ke pangkal jalan. Bersatulah kembali. Renungkanlah nasib kami rakyat jelata dan generasi Melayu yang akan datang. Janganlah memandang enteng sumpah keramat Hang Tuah; “takkan Melayu hilang di dunia”. Kami rakyat jelata khuatir ‘nasi akan menjadi bubur’. Kalau tak sekarang, bila lagi? Kalau tak tuan-tuan dan puan-puan, siapa lagi? Lupakanlah nikmat kuasa yang tidak boleh dibawa mati. Segalanya bersifat sementara tetapi kesilapan akibat ‘mabuk kuasa’ dan ‘gila kuasa’ akan menghancurkan bangsa seluruh keturunan. Janganlah sampai rakyat; “jika marah tak nampak telinga, musuh dicari ke lubang cacing, tak dapat tanduk telinga dijinjing, maruah dan agama dihina jangan, hebat amuknya tak kenal lawan” (Usman Awang).