Sabtu, Jun 14, 2008

ELOK FIKIR SENDIRI KESAN KEGIATAN NEGATIF

Sudah sekian lama kita mendengar berita penahanan beberapa orang rakyat Malaysia yang kebanyakannya wanita di penjara di luar negara, kerana kesalahan menyeludup dadah ke Amerika Selatan, Eropah, dan beberapa negara di Asia sendiri.

Akhbar Berita Harian pernah mendedahkan laporan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bahawa angka rakyat Malaysia yang ditahan itu kini sudah mencecah 118 orang. Di Peru sahaja 12 rakyat Malaysia kini merengkok dalam penjara kerana kesalahan itu semenjak Januari 2007 yang lalu. 9 daripada mereka wanita. Hari ini Berita Harian turut mendedahkan lagi berita wanita Malaysia ditahan di Britain kerana isu yang sama.

Angka yang diumumkan oleh Pengarah JSJN itu ternyata besar dan amat memalukan negara khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Secara umumnya, kebanyakan yang ditahan dikatakan menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Malah dilaporkan juga bahawa negara ini dijadikan pusat merekrut penyeludup dadah yang akan dibawa ke negara kedua sebelum diarah menghantar dadah ke negara destinasi.

Saya ragu dengan alasan bahawa mereka yang ditahan itu menjadi ‘mangsa’ sindiket berkenaan. Mangsa bererti korban atau pihak yang menerima kesan akibat perbuatan jahat atau kejadian yang tidak dapat dikawal seperti kemalangan. Ini bermakna, mereka yang menjadi mangsa tidak mampu mengawal kejadian yang mereka alami. Kejadian yang menimpa pula berlaku secara tidak disangka-sangka. Dalam beberapa kes yang dapat dikesan, kebanyakan mereka yang ditahan mengaku tertarik dengan tawaran pendapatan lumayan jika mahu bekerja di luar negara, di samping tawaran dan peluang melancong ke destinasi tertentu. Maknanya, mereka secara sedar menerima tawaran pekerjaan itu tanpa memikirkan secara mendalam dan mengkaji atau menyiasat kesahihannya

Bagi saya, kejadian-kejadian malang sebegini berpunca daripada kelemahan berfikir seseorang. Secara logiknya, tidak mungkin kita boleh mendapat upah besar dengan hanya melakukan pekerjaan menghantar barang ke destinasi tertentu. Tambahan pula, dalam era komunikasi yang serba canggih kini, promosi dan penghantaran barangan tidak perlu lagi menggunakan kaedah-kaedah kuno seperti itu. Melainkan dalam keadaan terpukau atau diugut (black mail), tidak semudah itu kita boleh terpedaya oleh orang yang baru dikenali atau tidak dikenali sama sekali untuk melakukan tugas seperti itu.

Saya hairan kerana kebanyakan wanita yang terlibat, yang berusia dalam lingkungan 20-an, telahpun melalui sistem pendidikan kebangsaan yang menerapkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam semua subjek yang diajarkan di sekolah. Tahun ini, sudah masuk 10 tahun komponen ini diterapkan secara langsung dalam sistem persekolahan kita. Tidak cukup dengan itu, penerapan komponen ini turut dibuat di peringkat institisi pengajian tinggi juga sebagai kursus elektif.

Hal ini menunjukkan, kerajaan dan pelbagai pihak yang terlibat dalam menyediakan generasi pewaris negara, telah berusaha sedaya upaya untuk melahirkan rakyat yang mempunyai daya kecekapan berfikir pada aras tertinggi yang mampu dicapai oleh seseorang individu. Setelah melalui sistem pendidikan selama sekurang-kurangnya 11 tahun, kita merasa hairan bagaimana masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang tidak boleh berfikir untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan kejadian-kejadian seperti itu.

Akhbar Berita Harian pernah juga memaparkan kekesalan bapa kepada salah seorang mangsa kerana tiada pihak yang datang untuk menghulurkan bantuan. Pada waktu yang sama, beliau juga menyalahkan kelonggaran kawalan keselamatan IPTS tempat anaknya belajar, sebagai punca kejadian seperti ini. Beliau juga mahu kerajaan supaya lebih serius mengawal aktiviti dan keselamatan pelajar. Masihkah bapa berkenaan mahu menyalahkan pihak lain sahaja?

Saya fikir sikap bapa berkenaan agak kurang rasional. Beliau perlu sedar bahawa masyarakat (dan barangkali juga kerajaan) sudah ‘jemu’ mendengar kejadian-kejadian sebegini. Bukan sekali dua kejadian seperti ini berlaku, malahan saya yakin ada dalam kalangan anggota masyarakat yang mempertikaikan alasan bagaimana wanita-wanita itu boleh terperangkap dan melakukan kerja itu. Dalam kes bapa ini, beliau menambah dua lagi punca dan tidak menyalahkan anaknya seratus peratus.

Pihak keselamatan dimana-manapun hanya boleh menyekat gangguan yang datang secara fizikal. Tetapi jika anak itu berjaya dipengaruhi, hal ini bukan lagi berkaitan dengan keselamatan fizikal. Ini adalah soal kekuatan minda; sejauh mana seseorang itu mampu berfikir secara logik dan rasional. Tiada tembok sekukuh dan setinggi manapun dapat menghalang pencerobohan minda kerana hal itu tetap boleh berlaku melalui medium yang lain. Buktinya, kebanyakan mangsa mengakui terpedaya dengan tawaran-tawaran berkenaan melalui promosi dan iklan di internet.

Bapa berkenaan juga harus sedar, untuk menjaga seorang anak lebih sukar daripada menjaga sekandang lembu. Kita tidak boleh mengharapkan kepada kerajaan, IPTA atau IPTS semata-mata untuk mengawal aktiviti dan keselamatan pelajar. Setiap kita mesti mempunyai kekuatan minda untuk mengawal diri daripada gejala-gejala negatif seperti itu. Kita mesti menjaga diri kita sendiri. Jangan pula diharapkan kerajaan untuk memikirkan dan menggubal akta perlindungan orang dewasa, seperti yang diwujudkan untuk golongan kanak-kanak.

Iktibar daripada kejadian-kejadian seperti ini, masyarakat perlu segera menyedari bahawa kita memerlukan kekuatan minda untuk menghadapi cabaran-cabaran dunia yang semakin kalut. Pelbagai cara dilakukan untuk mengaut keuntungan segera tanpa usaha keras. Ingatlah sentiasa, tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Gejala-gejala sosial yang banyak berlaku sekarang ini, kebanyakannya berpunca daripada kelemahan kita berfikir. Pada hal, kita telah sama-sama melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang menerapkan elemen kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Kisah Sufiah Yusof, juga perlu menjadi iktibar bahawa setinggi mana pun IQ seseorang, jika minda tidak berfungsi dengan baik, kita masih boleh terjebak dalam kancah yang negatif. Apatah lagi jika IQ kita tidak secerdas itu. Hal ini kerana isu genius dan kemahiran minda untuk berfikir adalah dua perkara yang berlainan. Buktinya, masih ada berita yang menyatakan terdapatnya mahasiswa IPT yang merempit, menagih dadah, dan menjadi teman sosial. Jadi kesimpulannya, kita jangan terlalu percaya bahawa apabila anak-anak sudah mendapat pendidikan yang tinggi, mereka akan menjadi pemikir yang cekap. Selagi boleh, ibu bapa harus ambil tahu dan tidak lepas tangan apabila anak-anak sudah besar panjang.