Selasa, Ogos 26, 2008

CIRI-CIRI PEMIMPIN MELAYUMESTI DIPELIHARA

Meneliti senario politik Melayu semasa, saya terpanggil untuk berkongsi pandangan berdasarkan sebuah buku yang ditulis oleh Pak Tenas Effendy. Pak Tenas atau nama sebenarnya Tengku Nasarudin Said Effendy ialah tokoh budayawan Melayu Riau yang banyak menghabiskan usianya menggali dan meneliti ciri-ciri kebudayaan Melayu. Kini beliau bertaraf pakar rujuk dan banyak menghasilkan tulisan tentang pelbagai ciri kebudayaan Melayu.

Salah satu tulisan penting beliau berjudul Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu terbitan DBP tahun 2004. Buku ini menghimpun dan menganalisis 194 jenis pemimpin berdasarkan tradisi silam ketuanan Melayu. Penyampaian dibuat secara ungkapan yang diikuti maksud dan huraian. Selain itu pengarangnya juga menghuraikan kedudukan, fungsi, tanggungjawab, keperibadian yang seharusnya ada pada seorang yang bergelar pemimpin. Sebagai sempadan, Pak Tenas juga menghuraikan ciri-ciri buruk yang seharusnya dihindari oleh seseorang yang mahu digelar pemimpin.

Pak Tenas memulakan perbincangannya dengan menyatakan, “bila pemimpin tak tahu diri, umat binasa rosaklah negeri”. Merujuk latar politik Melayu terkini, ternyata keresahan dalam kalangan orang Melayu sudah mulai meruap-ruap sehingga banyak “terbuka pekung di dada”. Permainan fitnah dalam kalangan pemimpin Melayu seolah-olah sudah menjadi suatu kebiasaan yang tidak ada penghujungnya. Semenjak zaman Melaka lagi, orang Melayu berpecah dan akhirnya runtuh di tangan penjajah angkara fitnah. Yang berkuasa ingin mempertahankan kuasa kerana agenda pembangunan yang masih belum selesai. Yang ingin berkuasa pula, melakukan apa sahaja usaha untuk memastikan kuasa beralih ke tangan mereka. Amat malang sekali dalam persaingan seperti ini, “ibarat gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah”.

Bagi yang sudah bergelar pemimpin, mereka seharusnya; “memakai syarak lahir dan batin, imannya tebal adat pun kental, takwanya nampak ilmu pun banyak.” Tuntutan ini adalah sesuatu yang logik bagi seorang pemimpin Melayu kerana sinonim Melayu itu ialah Islam. Selagi mereka dapat menyerlahkan keperibadian Islamik, selagi itu orang Melayu wajar memberikan kuasa kepada mereka kerana ungkapan Melayu menyebut seseorang pemimpin mestilah; “adil menjadi hakim, bijak dalam bertindak, cermat dalam melihat, teliti dalam berjanji, amanah dalam bersumpah.” Bagi pemimpin yang telah diberikan kuasa secara majoriti, ini adalah masa untuk memenuhi segala perancangan yang telah dijanjikan untuk bangsa dan negara.

Bagi pemimpin yang sedang berusaha untuk berkuasa pula, buku ini menasihatkan supaya; “tahu diri dengan perinya, tahu duduk dengan tegaknya, tahu atur dengan patutnya.” Majoriti rakyat negara ini telah memberi mandat kepada kepemimpinan yang ada untuk memerintah sehingga pilihan raya yang akan datang. Justeru itu, pemimpin yang gagal tidak seharusnya menjadi; “hati berbulu fikiran busuk, kerja menyalah niatnya buruk, halal dan haram semua dipeluk, harta tamak pangkat kemaruk, budi rendah akal pun bengkok, negeri kacau rakyat beramuk.” Jika dibiarkan keadaan ini berpanjangan dan sekiranya ditakdirkan mereka diberikan kuasa memerintah, maka akan berlakulah; “dijadikan pemimpin terjual kampung, dijadikan tua umat menanggung, dijadikan induk celakalah untung, negeri rosak rakyat pun bingung.”

Saya pasti ramai pengundi terutama daripada kalangan Melayu yang ‘cuba-cuba’ memberi kuasa kepada pembangkang Melayu terutama dalam PKR semasa pilihan raya lalu, sekarang ini amat menyesal dengan tindakan itu. Orang Melayu mengharapkan perubahan yang positif tanpa menyangka bahawa sedikit kuasa yang diberikan itu menjadikan pemimpin pembangkang Melayu berkenaan kemaruk kuasa dan masih bertindak seolah-olah mewakili rakyat majoriti. Mereka ibarat; “sebagai pemimpin ianya cacat, kerjanya banyak pada yang jahat, fikiran kotor hati pun sesat, memimpin tidak menuruti adat.” Pemimpin sebegini tidak wajar diberikan ruang untuk berkuasa kerana; “niatnya mencari untung sendiri, merebut kuasa memerintah negeri, budi buruk tak tahu diri, kesalahan orang dicari-cari, halal dan haram tiada peduli, puasnya untuk diri sendiri.”

Berasaskan mandat majoriti yang telah diberikan, kepemimpinan Melayu sekarang diharapkan akan tabah dan sabar menempuh segala macam ujian yang ditimbulkan oleh kumpulan minoriti itu. Saya yakin dan percaya bahawa jika dapat bertahan, lambat laun rakyat akan mengenal “mana intan dan mana kaca”. Syaratnya; “janji diikut sumpah dijaga, menjalankan tugas hatinya rela, memikul beban bermanis muka, negeri dibina rakyat dipelihara, bekerja keras sehabis daya, tuahnya nampak hidup berjaya.”

Rakyat sekarang sudah semakin cerdik dalam menggunakan hak mengundi mereka. Berasaskan keadaan politik Melayu semasa juga, rakyat sudah mengenal pasti siapa yang; “menjadi pemimpin bagai bayang-bayang, tidak jelas dilihat orang, walaupun ada tak dapat dipegang, bekerja selalu main belakang, bila dicari ia menghilang, akalnya licin fikirannya panjang, salah-salah menjatuhkan orang.” Imej dan kedaulatan negara tercemar kerana dijaja ke seluruh dunia. Pemimpin berkenaan tidak segan silu melaung-laungkan ketidakpercayaannya kepada hampir semua sistem dan jentera pentadbiran kerajaan yang memerintah. Bukan setakat itu sahaja, malahan beliau juga kelihatan tidak mempercayai ‘penasihat-penasihat’ daripada kalangan bangsanya sendiri, sehinggakan setiap kali kemunculannya di khalayak, beliau dikelilingi penasihat-penasihat bangsa lain.

Pemimpin sebegini jika; “menjadi pemimpin berbuat gaduh, hati berkurap akal tak senonoh, ke sana menipu ke mari mengecoh, ke laut merosak ke darat menggocoh, janji dikubur aman dibunuh, rakyat sengsara negeri pun lumpuh.”. Berapa lama lagi rakyat mahu disusahkan dengan sekatan jalanraya yang menyebabkan kesesakan teruk? Berapa banyak lagi masa, wang ringgit dan tenaga yang harus dihabiskan oleh rakyat untuk berarak dari satu destinasi ke destinasi yang lain untuk mendengar pidato-pidato klise yang menjengkelkan? Pemimpin sebegini digambarkan oleh tradisi ketuanan Melayu; “sebagai pemimpin lakunya galak, ke sana memukul ke mari membentak, ke laut menganiaya ke darat menginjak, hati busuk perangai tak cedak, orang membenci musuh pun banyak, rakyat sengsara negeri pun rosak.”

Sudah banyak pihak yang tampil untuk meleraikan keadaan politik kepemimpinan Melayu ini. Muzakarah yang dibayangkan semenjak kebelakangan ini wajib direalisasikan jika para pemimpin Melayu benar-benar beramanah. Dalam apa keadaan sekalipun hakikat ketuanan Melayu seharusnya dipertahankan demi bangsa, negara dan agama. Jangan sampai, “menang sorak, kampung tergadai.”