SUDAH lebih 60 tahun Palestin sengsara akibat perang dengan Israel dan belum ada tanda-tanda keadaan akan berubah. Ratusan ribu yang telah terkorban, manakala yang masih bernyawa pula hidup sebagai pelarian; ada yang di bumi sendiri, dan jutaan lagi di bumi asing.
Setelah begitu lama - dengan pemimpin mereka yang silih berganti, timbul satu persoalan; mengapakah Palestin tidak pernah menang atau mengapakah mereka masih tidak dapat menyelesaikan masalah mereka?
Senario yang kita tonton dan kita baca saban hari semenjak berpuluh-puluh tahun itu masih yang sama sehinggakan seolah-olah mereka mengulang tayang kesengsaraan dan penderitaan yang tidak kunjung padam. Seperti telah menjadi citra dan budaya negara dan rakyat Palestin!
Kita masih melihat anak-anak Palestin membaling batu ke arah kereta kebal Israel. Setelah 60 tahun hanya itu sahajakah yang termampu mereka lakukan? Sekurang-kurangnya tidakkah mereka terfikir untuk membuat lastik yang boleh digunakan untuk melastik batu-batu lebih jauh ke arah tentera Israel berbanding membaling dengan tangan sahaja.
Tidakkah dalam tempoh yang begitu panjang, mereka mampu memiliki senjata yang lebih sesuai untuk menembak kereta kebal itu?
Semenjak pencerobohan terbaru ini, hari-hari kita melihat lelaki-lelaki Palestin hanya bergegas-gegas ke sana ke mari, mengerumuni jenazah saudara mereka yang kecundang atau berebut-rebut mengusung yang cedera ke hospital.
Selain itu mereka juga kelihatan melepak di tepi-tepi dinding atau menyelongkar bangunan-bangunan yang runtuh dibom Israel. Sekali-sekala mereka berarak mengusung jenazah sambil melaungkan kalimat Allah Maha Besar. Tidakkah mereka itu boleh berperang kerana 'alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan'! Itu belum lagi menyebut hal sayap Fatah yang terus berpeluk tubuh.
Timbul pertanyaan apakah ini satu peperangan atau pencerobohan? Jika berperang, kenapa hanya kelihatan tentera, kereta kebal dan jet Israel sahaja? Mana pejuang Palestin? Hanya sekali-sekala dilaporkan Hamas melancarkan roket ke kawasan Israel tetapi tidak menyebabkan kemalangan dan kerosakan besar kerana tidak kena pada sasaran manusia atau bangunan.
Setelah 60 tahun, tidakkah lelaki-lelaki Palestin yang melepak-lepak itu mahu bangkit berjihad? Atau adakah mereka menganggap itu kerja tentera sahaja? Jika pun benar itu memang kerja tentera, setelah 60 tahun tidakkah mereka tahu untuk menembak tepat ke sasaran?
Dalam pada itu seluruh dunia kecuali Amerika Syarikat (AS), terus melemparkan kutukan demi kutukan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga begitu. Tetapi tidakkah itu semua umpamanya 'anjing menyalak bukit sahaja'? Dalam al-Quran ada menggambarkan betapa bangsa Israel itu adalah bangsa yang paling banyak menerima kutukan Allah. Sedang kutukan Allah pun mereka tidak ambil peduli, apatah pula kutukan sesama manusia.
Satu perkara lagi yang harus kita fikirkan semula ialah bantuan apakah sebenarnya yang paling diperlukan oleh Palestin sekarang. Setelah berpuluh tahun masyarakat dunia termasuk yang paling pemurah, iaitu rakyat negara kita sendiri memberi sumbangan kewangan, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya, tetapi nampaknya semua kelihatan seperti tidak ada kesudahannya.
Setiap kali Israel menceroboh, kita akan sibuk menubuhkan pelbagai bentuk tabung sumbangan. Sudah tidak terhitung rasanya nilai bantuan kemanusiaan yang telah disumbangkan. Semenjak pencerobohan yang sedang berlaku ini pula, rakyat Palestin seakan-akan sudah tidak segan silu lagi memohon dunia memberikan bantuan. Hal ini turut dilihat di Malaysia, justeru kita memang terkenal sebagai negara yang amat pemurah.
Apa yang paling wajar masyarakat dunia lakukan sekarang ialah mencari usaha untuk menyatukan rakyat Palestin khususnya menerusi dua pertubuhan utama mereka; iaitu Hamas dan Fatah.
Di samping itu lelaki-lelaki Palestin itu hendaklah disedarkan bahawa jihad bermaksud pergi berperang, dan bukannya berpeluk tubuh dan bersembunyi di sebalik runtuhan bangunan, sambil melihat tentera mereka diganyang Israel. Bagaimana melakukannya terserahlah kepada bijak pandai, alim ulama, malahan jika perlu - pakar motivasi. Jangan lagi dibiarkan ahli politik sahaja yang memberi pandangan dan merangka apa-apa pelan penyelesaian kerana itulah kegagalan yang telah dilakukan selama 60 tahun ini. Bagi umat Islam pula, amat wajar meneruskan usaha melalui doa, solat hajat dan membaca surah-surah tertentu dari al-Quran, dengan niat utamanya memohon supaya Allah menyatukan hati-hati rakyat Palestin, dan memberikan kemenangan dalam setiap pertempuran. Janganlah terlalu mengharap pada batu sahaja untuk menyekat kemaraan tentera Israel. Siapalah kita untuk mengharap mukjizat sedemikian. Jangan sampai kita pula yang terdakwa pada kemudian hari, hanya kerana kita terlalu bersimpati tetapi tidak berusaha dengan setulus dan seikhlas hati untuk menyatukan mereka. DR. SHARIFUDIN LUBIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.