Khamis, April 17, 2008

KAJI SEMULA HANTAR PELAJAR KE LUAR NEGARA

Ruangan Pendidikan akhbar saudara hari ini memaparkan berita penghantaran 100 lulusan matrikulasi untuk belajar di universiti berprestij di luar negara. Saban tahun kerajaan menghantar pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan awam tempatan untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah ke luar negara. Usaha ini membabitkan peruntukan kewangan yang sangat banyak dan menimbulkan pelbagai masalah sosial seperti kejutan budaya dan sebagainya. Di samping itu juga, banyak lagi peruntukan yang perlu dikeluarkan untuk memastikan mereka menguasai bahasa negara tempat mereka dihantar belajar. Malahan, kita terpaksa melanggar dasar bahasa kebangsaan kita sendiri dalam memastikan pelajar-pelajar kita menguasai bahasa asing sebagai prasyarat sebelum mereka layak dihantar ke luar negara.

Persoalan yang ingin saya timbulkan ialah apakah langkah yang telah menjadi tradisi ini benar-benar perlu lagi pada masa kini? Dengan kewujudan puluhan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan ratusan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), langkah penghantaran ke luar negara ini patut dikaji semula. Saya tidak dapat membayangkan betapa begitu banyaknya wang yang dapat dijimatkan jika dasar belajar dalam negara ini boleh dilaksanakan. Jikapun kita masih memandang tinggi prestij universiti luar negara, kita masih boleh mengusahakan supaya cawangan mereka diwujudkan di negara ini. Usaha ini telah banyak dilakukan terutamanya oleh IPTS melalui sistem pengajian program berkembar, program dua campur satu dan sebagainya. Yang terbaru misalnya, Universiti Al Azhar juga telah bersetuju untuk membuka cawangannya di sini dengan jaminan kualiti dan prestasi tetap pada aras tertinggi, setanding dengan yang belajar di kampus induk. Mungkin rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa tidak semua pelajar yang dihantar ke Universiti Al Azhar, belajar di kampus induk itu sendiri.

Secara logiknya, jika sistem penilaian kita telah mengesahkan bahawa pelajar-pelajar yang dihantar ke luar negara ini adalah yang terbaik, di manapun mereka melanjutkan pengajian, saya pasti pencapaian mereka tetap akan menunjukkan prestasi yang tinggi. Hal ini samalah dengan tradisi pemilihan pelajar terbaik untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh dalam negara. Setiap kali keputusan peperiksaan awam terutamanya SPM diumumkan, dengan bangganya sekolah-sekolah tersebut menggembar-gemburkan pencapaian mereka sehingga menimbulkan iri hati sekolah-sekolah harian. Maka pelbagai langkah diambil untuk memastikan sekolah harian juga mencapai tahap yang setanding dengan sekolah berasrama penuh. Ini tidak adil kerana pelajar yang terbaik telahpun disalurkan ke sekolah berasrama penuh, dan yang tinggal ialah pelajar-pelajar yang berprestasi sederhana dan rendah. Pihak sekolah dan guru terutamanya terpaksa bertungkus lumus berusaha memastikan pencapaian mereka tidak jauh ketinggalan. Lalu mereka terpaksa menerima tekanan ini dan berhadapan dengan pelbagai masalah lain yang memberi kesan pula terhadap prestasi mereka sendiri.

Seperti mana yang berlaku di sekolah, saya melihat tradisi penghantaran pelajar-pelajar terbaik ke luar negara ini juga memberi kesan kepada penarafan universiti-universiti tempatan. Oleh kerana yang terbaik telah dihantar ke luar negara, yang tinggal hanyalah pelajar-pelajar yang sederhana. Secara tidak langsung, pencapaian universiti tempatan kekal ditakuk lama atau semakin menurun, sedangkan pada masa yang sama, universiti terkenal luar negara yang menerima pelajar-pelajar terbaik kita, terus menguasai tempat teratas dalam penarafan itu. Jika di sekolah; guru yang tertekan tetapi di universiti, pensyarah pula yang tidak keruan dengan pelbagai dasar dan tekanan yang bertujuan meningkatkan taraf universiti tempatan di mata dunia. Ini juga tidak adil! Hal ini; umpama lain yang sakit, lain yang diubat.

Saya menyarankan supaya kerajaan mengkaji semula dasar yang telah menjadi tradisi ini. Dahulu memanglah kita perlu menghantar pelajar kita ke luar negara kerana universiti tempatan tidak banyak dan jika adapun tidak banyak bidang pengajian yang ditawarkan. Tenaga pengajar di universiti juga telah banyak yang mendapat latihan ilmu akademik dari pelbagai institusi terbaik luar negara. Dari semasa ke semasa, penghantaran pensyarah ke luar negara untuk menyambung pengajian peringkat sarjana atau doktor falsafah sentiasa dilakukan oleh pihak universiti tempatan. Mereka boleh mendatangkan impak berganda kepada generasi muda, tanpa perlu lagi menghantar pelajar-pelajar ke luar negara. Banyak wang boleh dijimatkan dan banyak juga masalah sosial boleh dielakkan. Pelajar-pelajar terbaik ini juga boleh menyumbang kepada prestasi universiti tempatan melalui pencapaian akademik mereka. Tidak guna kita berbangga apabila ada segelintir kecil mereka diisytiharkan sebagai pelajar terbaik di luar negara, sedangkan yang dapat nama ialah universiti asing itu. Kita hanya menang sorak, kampung tergadai!

Sudah sampai waktunya kita mengisytiharkan diri kita benar-benar Merdeka dengan menghasilkan sendiri graduan modal insan berprestasi tinggi yang dapat menjadi bukti bahawa sistem pendidikan kita adalah antara yang terbaik di dunia.

Tiada ulasan: