Rabu, April 23, 2008

MENGANGKAT TARAF BAHASA MELAYU

Ruangan Surat dan E-mel Berita Harian semalam buat kesekian kalinya memaparkan kepiluan Prof Teo Kok Seong mengenangkan nasib malang yang menimpa bahasa Melayu hari demi hari. Entah berapa kali lagi beliau akan berasa pilu begitu bergantung kepada berapa banyak lagi tindak-tanduk songsang yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang tidak yakin dengan ketinggian martabat bahasa kebangsaan itu.

Ironinya, orang yang berasa pilu ini bukanlah orang Melayu! Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang tulen; di tapak kakinya bumi Melayu dan di atas kepalanya pula langit Melayu, hati Prof Teo begitu tersentuh apabila melihat bahasa yang telah dimaktubkan sebagai bahasa kebangsaan, dan bahasa rasmi, tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Isu menggantikan nama Bank Pertanian kepada Agrobank adalah satu daripada sedemikian banyak penderhakaan bahasa yang menggugat bahasa yang berdaulat itu.

Ini satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa golongan teknokrat, ekonomis, malahan sebahagian pemimpin negara sendiri tidak yakin akan kemampuan bahasa Melayu untuk membawa negara ke taraf dunia. Mereka begitu sinikal tentang kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa negara Malaysia yang maju. Seolah-olah bagi mereka jika mahu diiktiraf sebagai negara maju, segalanya mesti ditukar sehingga menyamai citra bangsa yang telah mencapai status itu.

Saya sungguh hairan, setelah sekian lama Prof Teo khususnya dan pahlawan-pahlawan bahasa kebangsaan amnya, meluahkan pandangan-pandangan melalui pelbagai media dan forum, sebilangan rakyat Malaysia, malahan sebilangan orang Melayu sendiri masih belum celik bahasa! Seharusnya, sebagai manusia yang berperasaan, sekurang-kurangnya orang Melayu akan berasa cemburu atau malu apabila orang lain pula yang berusaha keras mempertahankan bahasa Melayu.

Sejak sekian lama, Bank Pertanian menjadi tumpuan sebilangan besar petani Melayu untuk mendapatkan bantuan bagi mengembang dan meningkatkan lagi ekonomi mereka. Iklan televisyen bank tersebut yang disiarkan secara agresif sejak beberapa hari lalu, memaparkan anak petani Melayu yang kehairanan kerana bank tersebut dipindahkan ke lokasi baru dan memiliki nama baru. Anak itu dibantu oleh seorang penjual ikan keturunan Cina dan seorang wanita tua juga keturunan Cina untuk sampai ke bank tersebut.

Apakah adegan yang sudah tentu jalan cerita dan skripnya itu dihasilkan oleh pihak pengurusan bank tersebut, tidak dihayati oleh mereka sendiri? Barangkali ramai yang sudah menjadi seperti burung kakak tua; tahu berkata-kata tetapi tidak memahami apa yang diperkatakan. Tidak mengapalah jika falsafah yang tersirat di sebalik watak anak Melayu, dan bantuan yang dihulurkan oleh lelaki serta wanita Cina itu tidak difahami, tetapi sekurang-kurangnya fahamilah kekeliruan anak itu akibat perubahan yang telah dilakukan. Kekeliruan sebeginilah yang memilukan Prof Teo dan sebilangan besar pewaris bahasa Melayu.

Kita tidak menafikan bahawa untuk maju, kita perlu berubah. Hal ini telah banyak kali dirujuk sebagai tuntutan melakukan anjakan paradigma. Namun demikian, saya melihat kefahaman tentang anjakan paradigma yang perlu dibuat itu hanya sekadar retorika tanpa memahami persoalan-persoalan asas iaitu; apa, dan bagaimana. Kita dituntut supaya berganjak dengan maksud bahawa kita perlu meletakkan diri bangsa kita pada tahap yang lebih tinggi tanpa mengubah ciri identiti bangsa. Kita bukan disuruh berpindah atau berubah menjadi bangsa lain. Kita hanya perlu melakukan reformasi; ciri jati diri masih kelihatan tetapi sudah berkembang dari pelbagai sudut termasuk sosioekonomi, sosiopolitik dan sebagainya. Dengan perkataan lain, kulit masih sawo matang dan mata masih berwarna hitam atau perang tua.

Timbalan Perdana Menteri telah beberapa kali menyarankan supaya bangsa Melayu khususnya dan bangsa Malaysia amnya, bersedia menjadi bangsa yang bersifat glokal. Glokalisasi atau proses pewatanan perlu dilakukan sebelum Wawasan 2020 dicapai. Kita mempunyai visi untuk maju berdasarkan acuan kita sendiri. Slogan-slogan ini menunjukkan bahawa hasrat kerajaan ialah untuk membawa bangsa Malaysia menjadi jaguh kelas dunia dalam semua bidang.

Untuk mencapai tahap jaguh dunia itu, kita patut sedar bahawa segala ciri jati diri bangsa kita hendaklah diperkukuhkan termasuklah mengangkat bahasa kebangsaan kita sendiri ke tahap dunia juga. Jika tidak, tatkala kita mahu mengisytiharkan negara kita sudah maju, dunia akan memandang sinis apabila ‘pengisytiharan’ itu kelak dilafazkan menggunakan bahasa asing. Ingatkah betapa kagumnya kita dan terkejutnya dunia tatkala Tan Sri Razali Ismail berucap di PBB menggunakan bahasa Melayu? Pada hal, sebelum itu telah berkali-kali beliau menyampaikan ucapan di forum tersebut, tetapi tidak sebegitu impaknya kerana menggunakan bahasa Inggeris.

Kehadiran Malaysia pada mata dunia sudah menjadi begitu ketara, dan segala langkah menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan kita dalam sebarang penjenamaan semula atau sebagainya adalah dianggap sebagai langkah yang mengundur, sedangkan kita mahu maju.

1 ulasan:

DR MUHAMMAD SAIFUL HAQ berkata...

Tahniah, teruskan agenda perjuangan yang dalam kerangka "PERJUANGAN YANG TAK AKAN SELESAI".