Jumaat, November 21, 2008

MELAYU PERLU HORMATI DIRI SENDIRI DAHULU

Saya fikir dalam isu hak peribumi khususnya orang Melayu yang tidak lagi dihormati kaum-kaum lain sebenarnya berpunca daripada orang Melayu sendiri. Sejak akhir-akhir ini, orang Melayu membiarkan diri mereka kehilangan kehormatan dengan pihak-pihak dalam kalangan orang Melayu sendiri meruntuhkan satu demi satu maruah dan ciri kedaulatan jati diri mereka. Tidak perlu kaum lain mencuba untuk merosakkan imej Melayu. Ini bertepatan dengan firman Allah yang antara lain menyebut tidak ada bangsa lain yang menentukan nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu sendiri.

Orang Melayu perlu bermuhasabah diri. Tidak perlu menuding jari ke arah orang lain, kerana dengan satu jari menunjuk ke arah pihak lain, tiga jari lagi menunjuk ke arah diri sendiri. Orang Melayu mempunyai beberapa ciri kehormatan. Ciri paling utama ialah bahawasanya Melayu itu beragama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa pengislaman Melayu yang dikesan semenjak abad ke-13 Masehi telah membentuk citra Melayu yang amat hebat sehingga mampu membina empayar yang menyatukan seluruh etnik Melayu. Empayar Melayu Melaka menjadi mercu tanda kegemilangan ini.

Namun sejarah juga telah membuktikan bahawa keruntuhan Melayu pada zaman itu adalah disebabkan orang Melayu sendiri telah mula menyeleweng daripada ciri-ciri keislaman sejati. Para pemimpin Melayu yang banyak terlibat dengan perdagangan bersifat rakus dan tamakkan kekayaan. Tindas-menindas mulai menjadi budaya. Keadaan ini menimbulkan pula gejala rasuah dan perpecahan dalam kalangan pembesar. Kezaliman dan fitnah memfitnah menjadi sesuatu yang lumrah. Pada saat inilah Portugis meruntuhkan kegemilangan yang telah dibina. Dan selama beratus-ratus tahun berikutnya, orang Melayu terjajah di bumi sendiri.

Pada abad ke-19 dan ke-20, orang Melayu bangkit semula membina negara bangsa yang bersifat metropolitan dek dasar penjajah. Kali ini orang Melayu perlu menerima hakikat bahawa negara ini bukan milik mereka sendiri sahaja tetapi terpaksa berkongsi dengan dua bangsa utama yang lain iaitu Cina dan India. Sudah tentulah persaingan menjadi lebih hebat dan kompleks. Justeru masing-masing mempunyai kesamaan dan perbezaan dalam pelbagai aspek termasuk budaya dan sistem kepercayaan, orang Melayu seolah-olah gagal menyesuaikan diri membina ketamadunan baru berasaskan ciri yang heterogenus. Malahan ada kalangan sarjana bukan Melayu yang kehairanan melihat orang Melayu yang seperti cacing kepanasan berjuang dan berusaha mempertahankan hak seolah-olah mereka bersifat minoriti dan pendatang.

Keliru dengan persekitaran persaingan yang lebih mencabar, orang Melayu mulai melihat agama sebagai adat; hanya wajib dipegang apabila hendak bernikah, jika berlaku kematian, atau pada musim perayaan sahaja. Dalam aspek kehidupan yang lain; rasuah menjadi-jadi sama ada kecil atau besar, sama ada secara terang atau sembunyi, sama ada secara ‘halal’ atau secara haram. Masalah dadah tidak pernah selesai malah bertambah buruk. Budaya hedonism semakin menular dan tambah melampau apabila diharuskan atas pelbagai alasan termasuk amal jariah. Budaya fitnah-memfitnah tidak pernah surut sehingga terpaksa bersumpah junjung Qur’an. Politik wang, sistem kehakiman yang culas dan ketirisan sistem penyampaian kerajaan pimpinan Melayu telah menjadi rahsia awam. Semuanya amat mengjengkelkan.

Orang Melayu secara terang-terangan berkelahi sesama sendiri dalam banyak gelanggang. Segala keburukan ini mendapat liputan media pimpinan Melayu sendiri yang bertindak seolah-olah membuka pekung di dada. Jadi, bagaimanakah kita mahu memaksa orang lain menghormati kita jika segala pekung yang berkudis, bernanah, berulat, dan amat busuk itu telah didedahkan kepada kaum lain? Seingat saya, semenjak musim PRU Ke-12 dahulu lagi, media tidak pernah gagal menghidu berita keburukan perangai orang Melayu. malahan ada juga ‘siaran langsung’ pergaduhan suami isteri selebriti melalui media elektronik.

Orang Melayu wajib kembali kepada citra ‘Melayu itu Islam’. Islam bermaksud sejahtera dan selamat. Apabila kita buang citra ini, selamanyalah orang Melayu akan terus berantakan dan hilang kehormatan diri. Dalam situasi begini, tidak perlulah kita merayu orang lain menghormati kita. Lebih daripada itu, belajarlah daripada sejarah Melaka jika kita mahu terus berdiri sebagai satu bangsa yang bermaruah. Janganlah kita terlalu bodoh mengulang kembali kesilapan yang telah dilakukan oleh orang Melayu ketika itu.

Kepemimpinan Melayu perlu segera mengambil langkah muhasabah diri sebelum mengajak orang Melayu melakukannya. Tidak sukar sebenarnya memimpin bangsa Melayu kerana masih ramai orang Melayu yang berpegang kepada wa’adat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang dimeterai di Bukit Siguntang Mahameru. Pihak istana telah memberi isyarat supaya orang Melayu segera bangkit daripada kekalutan yang sudah semakin menular. Malahan orang bukan Melayu juga kini sudah semakin resah, dan keresahan mereka itu sebenarnya menunjukkan bahawa mereka masih mempunyai keyakinan bahawa kejayaan negara ini amat bergantung kepada kestabilan dan kedaulatan bangsa Melayu.

Tafsirkanlah sejujurnya pesanan Hang Tuah bahawa takkan Melayu hilang di dunia. Usahlah beretorika lagi kerana kini masanya untuk menterjemah kedaulatan bangsa kepada ketamadunan akal dan hati budi. Keharmonian dan kejayaan membina tamadun baru itulah yang akan menjadi manifestasi kedaulatan Melayu yang sebenar-benarnya. Apabila tercapai nanti, bangsa Melayu dan segala hak peribuminya akan dihormati dan tidak lagi diperkotak-katikkan.

1 ulasan:

Shayna Rose berkata...

Salam dr,

Tahniah di atas keberanian menulis rencana "Dasar PPSMI bukan jaminan masa depan bahasa Melayu" yang disiarkan di Berita Harian (8 Januari 2009). Saya kira rencana ini amat pedas dan panas. Syabas dan tahniah. Semoga maruah bahasa Melayu yang melambangkan maruah bangsa Melayu itu senantiasa terpelihara.