Jumaat, November 21, 2008

SUKA HATILAH...

Sudah sekian lama pelbagai pihak berhujah mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ada yang menyokong dasar itu diteruskan, dan ramai pula yang membantah. Namun sehingga kini, kerajaan masih berteka-teki mengenai isu ini.

Saya fikir, sudah sampai masanya kita berhenti membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk berbahas kerana segala-galanya terletak di tangan menteri yang berkenaan. Hal ini samalah ketika dasar PPSMI itu hendak dilaksanakan dahulu; tidak perlu bersusah payah berbincang, terus sahaja umumkan dan laksanakan.

Rakyat kini memang telah benar-benar faham, bahawa segala sudut kehidupan di negara ini tidak dapat lari daripada agenda politik yang tersembunyi di sebalik segala dasar sosioekonominya. Laungkanlah apa sahaja pandangan tentang apa sahaja isu, keputusan muktamadnya terletak di tangan menteri. Biarpun ada antara dasar itu melanggar akta-akta dan perlembagaan negara, namun atas kuasa politik, segala-galanya menjadi halal.

Memang sudah jelas dan nyata bahawa Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 menetapkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Tidak cukup dengan itu, akta-akta pendidikan seperti Penyata Razak, Penyata Rahman, dan Akta Bahasa Kebangsaan sendiri telah dengan sejelas-jelasnya menetapkan bahasa pengantar dalam sistem pelajaran ialah bahasa Melayu. Apa lagi yang perlu dijadikan hujah?


Mulai sekarang, yang perlu difikirkan ialah bagaimana hendak membubarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana fungsinya sudah tidak relevan lagi. Berjuta-juta ringgit yang telah dibelanjakan oleh DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, membazir begitu sahaja. Malahan, fakta bahawa sehingga kini, sudah terbit 36 kamus istilah dan 222 glosari istilah mencakupi semua bidang peradaban manusia termasuk yang terbaru bidang aeroangkasa, masih tidak kukuh untuk mempertahankan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi. Bahasa Melayu sudah membuktikan kemampuannya sebagai bahasa asas penerokaan ilmu yang berjaya membawa rakyat Malaysia ke angkasa lepas. Sudah lebih 400 000 istilah dicipta. Semuanya tetap tidak cukup untuk dijadikan hujah bagi mempertahankan bahasa Melayu.

Fikirkanlah juga apa yang hendak dibuat dengan Institut Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia yang tersergam di Lembah Pantai itu. Paling mudah ialah gugurkan sahaja nama ‘Bahasa Melayu’ itu seperti mana mudahnya kerajaan menukarkan nama bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia tahun lalu. Kemudan, latihlah semahir-mahirnya bakal-bakal guru yang akan mengajarkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Persatuan Linguistik Malaysia lebih baik bubarkan sahaja kerana tidak ada faedahnya. Kewujudannya hanya meletihkan para sarjana linguistik bahasa Melayu kerana perlu datang bermesyuarat dan berbincang tentang entah apa-apa.

Jabatan-jabatan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi (IPTA) juga wajar ditransformasikan menjadi benda-benda lain; terpulang kepada pihak pengurusan masing-masing. Sesuai juga agaknya dijadikan arkib atau muzium warisan bangsa kerana bahasa Melayu hanya tinggal sebagai warisan untuk pameran dan kajian sahaja. Tidak perlu sebarang usaha pengembangan kerana dalam dunia yang bakal dikuasai sepenuhnya oleh sains dan teknologi, bahasa Melayu tidak perlu lagi. Beberapa IPTA yang berteraskan sains dan teknologi sudahpun mengisytiharkan hal ini beberapa tahun lalu. IPTS usah ditanya lagi.

Kemuncaknya, Universiti Kebangsaan Malaysia juga wajar dibubarkan kerana jika masih wujud, UKM akan menjadi monumen yang amat memalukan negara dan bangsa. Hal ini kerana UKM diwujudkan khusus untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Semaklah akta penubuhannya jika tidak percaya.

Akhir sekali, bagi seluruh kaum Melayu, marilah sama-sama kita mengisytiharkan bahawa nama kita kini ialah bangsa Malaysia, seperti mana tuntutan suara-suara politik itu. Kitalah yang perlu memulakan, dan akan diikuti oleh kaum-kaum lain yang ada di negara kita; jika mereka benar-benar ikhlas mahu menjadi rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: