Khamis, Februari 12, 2009

NIZAR MEMALUKAN ORANG MELAYU-UTUSAN MALAYSIA 12 FEBRUARI 2009

PENDERHAKAAN Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan satu lagi episod yang amat memalukan orang Melayu. Pengisytiharan "mohon derhaka" secara terbuka, tidak pernah tercatat dalam sejarah Melayu. Sejak perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun di Bukit Siguntang, tidak pernah orang Melayu memohon untuk derhaka.

Menurut beberapa kitab historiografi Melayu, sepanjang zaman feudal, hanya dua kali orang Melayu derhaka. Itu pun tanpa bongkak membuat pengisytiharan terbuka. Sekali oleh Sang Rajuna Tapa di Singapura dan sekali lagi penderhakaan Hang Jebat di Melaka.

Apa pun sebab yang membawa kepada penderhakaan itu, kesannya membawa kepada keruntuhan empayar Melayu. Tindakan Sang Rajuna bersubahat dengan Majapahit menyebabkan kerajaan Temasik runtuh. Sehingga kini, Singapura terus terlepas ke tangan bukan Melayu. Tindakan Hang Jebat pula membawa kepada perpecahan orang Melayu di Melaka sehingga menyebabkan kerajaan menjadi lemah dan akhirnya dijajah Portugis. Peristiwa itu membuka kepada episod penjajahan Barat. Sehingga kini, Melaka kehilangan sultan.

Kini, wujud satu lagi penderhakaan oleh orang Melayu. Alasannya bukan sahaja sangat memalukan, malahan memperlihatkan kerakusan dan ketamakan serta membuktikan Nizar tidak sedar diri. Beliau lupa parti yang diwakilinya menang jumlah kerusi paling sedikit tetapi beliau melaung-laungkan bahawa dirinya mendapat mandat majoriti rakyat?

Jika tidak kerana ehsan Sultan Azlan Shah serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Nizar tidak akan merasa menjadi Menteri Besar. Sikap Nizar kononnya Pas mendapat sokongan majoriti sangatlah memalukan. Sultan berkuasa untuk melantik Menteri Besar. Jika kabur bahasa undang-undang sekalipun, daripada segi adab, Nizar memberi gambaran betapa biadapnya orang Melayu terhadap Sultan.

Saya yakin, insiden Nizar menderhaka akan terpahat sebagai sesuatu yang sangat memalukan dalam sejarah orang Melayu. Segala ciri kesantunan, kerendahan hati dan tatasusila Melayu yang menjadi kebanggaan bangsa sudah dipalit arang.

Alasan penderhakaan Sang Rajuna dan Hang Jebat kini telah dirasionalkan oleh orang Melayu. Tetapi penderhakaan Nizar tetap tidak akan diterima oleh orang Melayu sehingga akhir zaman.

Sedarlah Nizar, Allah telah mentakdirkan sedemikian. Apabila Allah menarik balik rezeki itu, anggaplah Dia memberi kesempatan untuk bermuhasabah dan jika perlu, bertaubat. Sepanjang 11 bulan berkuasa, Nizar banyak melukakan hati Sultan dan orang Melayu. Beliau terikut-ikut dengan rentak biadab sahabat-sahabat yang tidak berkenaan dengan perjanjian Bukit Siguntang itu.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM

3 ulasan:

Unknown berkata...

"JIKA TIADA JEBAT MAKA AKAN LAHIRLAH LEBIH RAMAI PAHLAWAN MELAYU SENGKEK SEPERTI TUAH"

1. Siapakah yang memerdekakan Singapura dari Malaya dulu kalau bukan "UMNO".

2. Pemimpin UMNO kerap kali menghadapi kes salah laku, rasuah dan lain-lain lagi, adakah anda selalu dengar pemimpin PAS buat begitu. tentunya tidak kerana kepimpinan PAS mempunyai jati diri yang tinggi berbanding kepimpinan UMNO.

3. UMNO - United Malay National Organisation, tetapi kenapa banyak pemimpin dalam UMNO adalah dari bangsa INDIA MUSLIM atau lebih mudah difahami MAMAK?


4. Kalau Dato Seri ir Nizar memalukan melayu, Bagaimana dengan UMNO yang secara jelas nyata dan terang menghina institusi di raja di demonstrasi haram jalanan dengan perkataan "BINATANG"?

Nasihat saya, tidak perlulah Dr. mahu membela puak "UMNO" haprak ini.

"KEHANCURAN MALAYSIA BERMULA DENGAN UMNO"

Dr. Sharifudin Lubis berkata...

Assalamualaikum, Sdra Mohd Rujhan. Semoga saya dan Saudara sentiasa diberi hidayah oleh Allah.

Ternyata saudara melihat dengan mata kepala tidak dengan mata hati dan lebih utama lagi mata fikir. Janganlah melihat luaran sahaja.

Sengkek merujuk sifat fizikal; bangsat, papa, miskin. Tapi soal hati tidak boleh diukur dengan cara demikian.

Adakah tercatat di mana-mana dalam tulisan saya itu perkataan UMNO? Bila masa pula saya membela UMNO?

Islam melarang kita membuat tuduhan tanpa bukti dan saksi. Itu fitnah namanya, dan tajamnya melebihi mata pedang. Sungguh yakin nampaknya saudara bahawa kepimpinan PAS cukup bersih dan tinggi jati diri. Sedangkan saudara hanya bergantung kepada pendengaran semata-mata.

Saya setuju bahawa M dalam UMNO itu boleh dirujuk sebagai Mamak. Rujuk tulisan saya bertarikh 22 Mei 08 - BH, 26 Ogos 08 (UM), 22 Nov 08 (BH). Itupun salah PAS juga kerana mengeluarkan diri daripada UMNO dan membawa pemimpin-pemimpin Melayu yang hebat dan berwibawa bersama-sama. Yang tinggal...mamak sahajalah.

Sudin dalam Pendekar Bujang Lapok juga telah mengingatkan bahawa dalam ejaan Alif Mim Nun Wau (UMNO?), jika alif tendang wau ... akan jadi sarkas! Itulah yang terjadi dalam parti itu sekarang.

Pada bahagian awal tulisan itu saya catatkan "...satu lagi episod yang amat memalukan...". Maknanya, ada banyak episod lain (terutama yang saudara yakin dilakukan oleh UMNO). Jadi PAS janganlah melatah. Kenapa terikut-ikut dengan ketidakbaikan UMNO itu. Adakah PAS 'benci tapi rindu'?

Janganlah kita menzalimi diri sendiri. Allah mengurniakan akal kepada kita supaya kita berfikir dan bukan bergantung kepada persepsi semata-mata... "Firman Allah; La in syakartum la azidannakum, wa la in kafartum inna'azabi lasyadid..."

Wallahua'lam.

Unknown berkata...

Assalamualikum...
Tahniah
Sudah ada blog sekarang ..