Rabu, Julai 15, 2009

HENTIKAN RETORIKA-UTUSAN MALAYSIA 27 FEBRUARI 2009

Tiga berita kecil dalam Utusan Malaysia, Khamis 26 Februari 2009 telah menarik minat saya untuk mengutarakan pandangan dalam satu wacana yang dinamakan sosiolinguistik. Pertama, gesaan Chong Eng (Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam supaya kerajaan membenarkan penggunaan pelbagai bahasa termasuk Mandarin dalam urusan pentadbiran kerajaan. Kedua, amaran Karpal Singh (DAP Bukit Gelugor) kepada Pemuda UMNO supaya jangan main-main dengannya kerana “Singh is King”, dan yang ketiga; peringatan Datuk Dr. Firdaus Abdullah (mantan Ketua Pengarah DBP) bahawa PPSMI bukan saja membawa ‘padah’ tetapi juga bakal mengundang ‘musibah’ kepada orang Melayu.

Dalam situasi terkini, semua orang harus menerima hakikat bahawa orang Melayu sedang berpecah. Kita juga harus mengakui bahawa perpecahan ini adalah akibat persaingan untuk berkuasa. Bukan untuk agama, bangsa dan negara, walaupun retorikanya dilaung-laungkan begitu. Untuk apa sebenarnya kuasa itu, kita juga arif dan faham jawapannya.

Rakyat Melayu bawahan sedang resah dan keliru. Rakyat hanya ada ‘kuasa’ empat tahun sekali. Jadi apakah tempoh tiga tahun yang akan datang ini, padah yang sedang berlaku dapat menyelamatkan rakyat daripada ditimpa musibah? Siapakah pemimpin Melayu yang dapat memberikan harapan optimistik? Persoalan ini timbul kerana rakyat sedar bahawa banyak pihak yang sedang menganga bagai jerung untuk membaham, dan bersedia ‘menangguk di air keruh’. Dua kenyataan Chong Eng dan Karpal itu sudahpun membuktikan musibah yang mungkin akan berlaku.

Gesaan Chong Eng itu saya akui harus diberi perhatian kerana beliau mewakili etnik kedua terbesar di negara ini. Orang Melayu perlu menerima hakikat bahawa bahasa Mandarin berguna khususnya dari segi ekonomi. Untuk bersaing di pasaran kerja tempatan sekarang ini, bahasa itu lebih diperlukan berbanding bahasa Inggeris. Jika kita mahu mencuba nasib di luar negara pula, dengan dasar terbuka negara Cina sekarang ini, bahasa Mandarin juga amat berguna. Kita tahu bahawa pasaran Cina berjumlah lebih dua billion dan berpotensi sebagai lubuk laba. Jadi, perpecahan Melayu nampaknya ada manfaatnya kerana ‘memberanikan’ Chong Eng membuat gesaan itu. Masyarakat Cina juga mudah-mudahan akan menjadi lebih telus dan tulus jika orang Melayu menguasai bahasa mereka!

Amaran Karpal itu dan ‘pengisytiharan’ bahawa keturunan beliau adalah raja, saya fikir adalah kenyataan yang melucukan dan barangkali ‘nyanyuk’. Berapa ramaikah keturunan Singh di negara ini? Jika DAP tidak wujud, di perahu yang manakah Karpal mahu menumpang? MIC? Saya fikir, sudah-sudahlah media melayan beliau kerana tutur kata pemimpin seusia beliau hanya semakin mengelirukan. Tidak perlu lagi diperlihatkan ‘bahasa celupar’ dan ‘bahasa biadab’ Karpal di Parlimen kerana ‘lawaknya’ semakin slapstick dan sarkastik! Ingat lagi beberapa minggu lalu beliau menyuruh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertaubat. Saya tertawa berdekah-dekah.

Berbalik kepada ramalan Datuk Firdaus bahawa padah akan bertukar musibah jika pemimpin Melayu terus bertelagah tentang kedaulatan bahasa Melayu, kesannya sedang melanda sekarang ini. Kemuncak kemelut ini dimanifestasikan melalui kekeliruan tentang konseptual derhaka yang berlaku di Perak. Setakat ini dua rujukan perundang-undangan; Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, belum mampu menyelesaikan kemelut ini. Jika merujuk filem Hang Tuah, salah satu dialog yang boleh dibandingkan ialah; “Tuahkah benar, Jebatkah benar?”. Monolog ini sudah terlambat kerana tatkala itu, Jebat sudah mati ditikam Hang Tuah. Jadi sebelum ‘nasi menjadi bubur’, wajarlah secara serius dan ikhlas kekeramatan bahasa Melayu dikembalikan supaya semua orang Melayu faham bahasanya.

Beberapa rakan dalam kalangan peguam menyimpulkan bahawa bahasa perundangan-undangan yang digunakan sebagai rujukan di negara kita tidak mampu menangani kemelut ini. Belumpun isu PPSMI diputuskan, orang Melayu sudah berantakan sesama sendiri, malahan bukan setakat sesama rakyat tetapi juga dengan sultan. Dengarnya, sudah menular ke Kedah. Apakah orang Melayu suka makan ‘bubur’?

Barangkali alim-ulamak bersetuju jika saya katakan bahawa sebenarnya sebagai orang Melayu beragama Islam, ada satu lagi sumber perundang-undangan yang boleh dirujuk, iaitu Al-Qur’an. Bukankah Allah telah memerintahkan jika sekiranya berlaku perbalahan sesama kita, rujuklah kitab suci itu untuk mendapat pedoman dan petunjuk? Orang Melayu Islam wajib mengimani ayat-ayat Allah. Justeru itu, pemimpin Melayu perlulah menghentikan segala bentuk bahasa retorika, dan sebaliknya kembalilah ke akar untuk menyuburkan semula ukhwah sesama kita.

Dr. Sharifudin Lubis
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.

Tiada ulasan: