Rabu, Februari 03, 2010

GEMBLENG KEPAKARAN SARJANA, MARTABATKAN BAHASA MELAYU - UTUSAN MALAYSIA 23 JULAI 2009

Pengisytiharan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang pemansuhan dasar PPSMI baru-baru ini adalah satu langkah tepat berdasarkan keprihatinan para pencinta bahasa Melayu dan kehendak majoriti rakyat Malaysia. Walaupun beberapa badan bukan kerajaan mempersoalkan tarikh penguatkuasaannya, namun tahun 2012 itu dilihat sebagai tarikh yang amat sesuai atas beberapa faktor seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin.

Saya fikir penangguhan itu juga sangat mustahak untuk mengelakkan ‘dasar pemansuhan’ ini dilihat sebagai keputusan terburu-buru, seperti tatkala PPSMI dilaksanakan dahulu. Dengan penangguhan itu, sesiapa pun tidak boleh mempersoalkan kredibiliti keputusan yang diambil oleh kerajaan. Masa yang ada boleh digunakan untuk memperkemaskan pendekatan, kaedah, teknik dan strategi untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris di samping memastikan juga pelajar tidak tercicir dalam menguasai matapelajaran Matematik dan Sains.

Namun demikian, bagi kalangan para sarjana bahasa Melayu tempoh edah ini perlu digunakan untuk memperkukuhkan korpus bahasa itu setuntas-tuntasnya. Dari segi status, bahasa Melayu memang tidak goyah kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara. Namun kita tidak menolak bahawa salah satu punca PPSMI diperkenalkan ialah alasan kononnya bahasa Melayu tidak mampu mengungkap perkembangan pesat dunia ilmu terutama sekali yang berkaitan dengan sains dan teknologi.

Para sarjana bahasa Melayu perlu memastikan bahawa segala data korpus bahasa Melayu terutama yang telah didokumentasi, disebarluaskan dan dimasyarakatkan. Hal ini khususnya berkaitan dengan kosa kata dan istilah yang telah dikumpul, diuji dan didokumentasi selama ini. Pada akhir 2007 dahulu pernah diperdebatkan tentang kemandulan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam konteks menghasilkan kosa kata dan istilah yang mencukupi untuk digunakan dalam bidang ilmu.

Hal ini sebenarnya amat bertentangan dengan fakta bahawa telah begitu banyak penyelidikan dan pendokumentasian dibuat dan diterbitkan. Setakat ini, sudah diterbitkan 225 daftar kata dan glosari yang memperkenalkan 825 495 istilah dalam pelbagai bidang. Juga sudah diterbitkan 41 kamus istilah mengandungi 362 761 istilah untuk digunakan oleh masyarakat. Namun demikian entah di mana silapnya, masyarakat seolah-olah tidak tahu dan dengan itu tidak menggunakannya dalam situasi komunikasi sehari-harian dan keperluan khusus pengungkapan ilmu.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga kamus dialek seperti Dialek Kedah, Dialek Terengganu dan juga kamus bahasa sukuan seperti Kata Bahasa Sukuan yang boleh dimanfaatkan. Dalam kamus Bahasa Sukuan Sabah dan Sarawak misalnya terdapat perkataan ‘kisus’ untuk screw driver, ‘gadar’ untuk transparency, dan ‘tuhunan’ untuk cussion. Semua perkataan ini dengan sendirinya boleh diangkat menjadi istilah dalam bidang yang teknikal sifatnya.

Sumber bahasa-bahasa orang Asli seperti ‘rokak’ untuk biscuit, ‘gesek’ untuk radio dan sumber bahasa serumpun seperti ‘ngompol’ untuk terkencing ketika tidur dan ‘gombal’ untuk kain buruk, juga boleh dimanfaatkan sebegai kosa kata khusus atau istilah dalam memperkatakan topik-topik yang berkaitan.

Dari sudut makan, warisan bahasa Melayu menunjukkan bahawa orang Melayu tidaklah bersifat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Itu hanyalah momokan yang memperlekeh orang Melayu sehingga kita menerima sahaja seolah-olah benar. Ini kerana kita ada istilah-istilah khusus iaitu; ‘sahur’ (untuk makan sebelum mata hari terbit ketika berpuasa), ‘sarapan’ (makan pagi), ‘kudapan’ (minum pagi), ‘merarau’ (makan tengah hari), ‘mentong’ (minum petang), dan ‘menggabi’ (makan malam). Istilah-istilah tersebut menunjukkan orang Melayu makan lima kali sehari (jika tidak berpuasa), dan orang yang makan sebanyak itu tidaklah orang miskin! Harus diingat bahawa penciptaan istilah menunjukkan kewujudan sesuatu perlakuan, konsep, perkara atau benda.

Banyak lagi yang harus dilakukan oleh para sarjana dalam memperkenalkan istilah dan kosa kata bahasa Melayu kepada masyarakat. Kita harus tidak kedekut kerana kelak hanya kita yang kerugian. Jangan dipersalahkan orang lain jika mereka tidak sedar akan kekayaan bahasa Melayu kerana kita yang bersalah; hanya menyimpan dan ‘melindungi’ hasil kajian kita untuk apa tujuan sekalipun. Marilah kita ambil kesempatan penangguhan pemansuhan ini untuk memperkaya dan memperkenalkan kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa Malaysia yang bertaraf dunia.

Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.

Tiada ulasan: