ORANG MELAYU DAN PERBANDINGAN CUCUR KODOK - UTUSAN MALAYSIA 6 OGOS 2009
Semenjak dua-tiga tahun kebelakangan ini saya agak kerap berkunjung ke Indonesia atas urusan kerja dan juga peribadi. Tempat-tempat yang sempat saya kunjungi termasuklah Jakarta, Jogjakarta, Bandung, Solo, Medan, Aceh dan Padang. Kekerapan ke Jakarta dan Jogjakarta adalah yang paling tinggi.
Membaca tajuk besar muka hadapan Utusan Malaysia semalam tentang kemungkinan ‘peserta’ demonstrasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman Sabtu lalu, diupah untuk turut serta, saya teringat pengalaman yang disaksikan sendiri di Indonesia dan diakui oleh teman-teman saya di sana, bahawa ada segelintir warga kota-kota besar itu yang bertugas sebagai ‘demonstran’ – peserta demonstrasi sepenuh masa.
Mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap, sebaliknya gemar berhimpun di tempat-tempat strategik terutama yang ramai pengunjungnya seperti tugu-tugu peringatan dan taman-taman awam. Apabila ada individu atau badan-badan tertentu yang mahu memprotes sesuatu atau mengetengahkan sesuatu isu, para demonstran itu akan diberi upah dalam bentuk wang tunai serta makanan dan minuman secara gratis (percuma).
Lilitan kepala (bandana/semutar), poster, sepanduk dan gegantung disediakan oleh penganjur dan mereka hanya perlu berarak ke sana ke mari sambil melaung-laungkan pelbagai slogan ciptaan penganjur. Satu ketika secara kebetulan saya berada tidak jauh dari Tugu Monas. Teman pengiring saya membisikkan ada tanda-tanda demonstrasi akan berlaku sebentar lagi. Ternyata, tidak berapa lama berlakulah apa yang dibisikkannya. Secara tiba-tiba saja gerombolan manusia berarak lengkap dengan lilitan kepala, poster, sepanduk dan gegantung.
Antara tanda-tanda demonstrasi akan berlaku ialah apabila kelihatan ada beberapa orang mundar-mandir mengedarkan ‘sedekah’ sambil turut menyerahkan poster, dan kain lilitan kepala. Ternyata mereka memang profesional! Asal dapat makan, itu sudah cukup buat mereka.
Itukah agaknya yang terjadi di bandaraya Kuala Lumpur? Jika benar pengakuan bahawa mereka menerima upah untuk berarak, maka pada fikiran saya amat sesuailah komen spontan Perdana Menteri yang antara lain mencadangkan supaya disediakan tempat yang khas untuk mereka berdemonstrasi! Kata PM; “bertempiklah sampai subuh tapi jangan kacau jalan dan lalu lintas orang ramai”.
Inilah yang dikatakan ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’. Jika benar itulah nilai dan budaya baru yang digemari oleh sebilangan rakyat yang diwarisi dari pemimpin-pemimpin tertentu, maka wajarlah sebagai kerajaan yang prihatin dan ‘mengutamakan rakyat’, memikirkan untuk memprofesionalkan tradisi demonstrasi. Buatlah seperti mana yang berlaku di Indonesia itu; mereka tidak menyusahkan orang ramai malah para peniaga mengaut keuntungan kerana ramai yang datang menyaksikan demonstrasi itu.
Sebagai orang Melayu memanglah kita berasa sedih dengan apa yang berlaku. Namun begitu, hakikat yang perlu diterima ialah bahawa sebahagian orang Melayu mahu mengubah ‘kemelayuan’ mereka dengan menunjukkan nilai-nilai garang dan berani melawan. Saya teringat juga kata-kata beberapa teman di Indonesia; “orang Melayu di Malaysia itu, ibarat cucur udang tapi enggak ada udangnya”! Maksud mereka, orang Melayu di Malaysia hanyalah pengikut setia pemerintah dan tidak berani memprotes sebarang isu yang timbul dari semasa ke semasa.
Setelah beberapa kali kenyataan yang sama saya dengar, akhirnya saya terfikir untuk menjawab begini; “Pak, kalau cucur kodok, kodoknya mahu diletak di mana?” Akhirnya mereka diam.
Satu-satunya yang saya fikir positif tentang kehadiran beribu-ribu orang Melayu berbanding dua-tiga kerat kaum lain dalam demonstrasi itu ialah mereka memang ingin menunjukkan bahawa mereka benar-benar ‘cucur kodok yang ada kodoknya’! Jadi berhati-hatilah, jika ada orang lain terutama pesaing-pesaing rasis yang berhajat untuk ‘memamah’ cucur kodok itu, mereka harus bersedia memamah kodoknya sekali.
Episod demonstrasi jalanan sudah selesai; sekurang-kurangnya untuk kali ini. Episod susulan ialah ‘perarakan’ ke mahkamah. Sudah tiga hari berlalu dan baru kini kita lihat kaum-kaum lain mendominasi perarakan-perarakan itu. Mereka nampaknya memilih perarakan yang selamat, nyaman, bersih, tidak berpanas, tidak basah disembur air dan tidak pedih mata ditembak gas. Mereka melilih perarakan yang boleh mendatang keuntungan wang ringgit kerana yuran guaman dan sebagainya. Wahai Melayu, fikir-fikirkanlah!
Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan