Rabu, Februari 03, 2010

JANGAN HANYA TINGGAL PANTUN, BERETORIK! -UTUSAN MALAYSIA 20 OKTOBER 2009

Alhamdulillah, Perhimpunan Agung UMNO Ke-60 telahpun selesai dengan jayanya. Setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak; daripada pemimpin tertinggi hinggalah kepada perwakilan dan anggota yang melata di akar umbi kerana telah mengemudi perhimpunan itu sehingga mencapai matlamatnya. Jelas nampaknya bahawa orang Melayu masih mampu memaparkan ciri-ciri Melayu sejati.

Satu hal yang sangat ketara dalam mana-mana perhimpunan agung UMNO ialah para pembahas tidak ketinggalan menggunakan pantun sebagai wadah penyampaian hasrat, sindiran, dan teguran. Ternyata, baik generasi tua mahupun muda, pantun tetap menjadi sebahagian pakaian orang Melayu. Hal ini sesuai dengan gurindam: “apa tanda Melayu jati, pantun-memantun ia mengerti; apa tanda Melayu beradat, di dalam pantun mengambil ibarat; apa tanda Melayu beriman, di dalam pantun memberi pedoman!”

Pantun digunakan untuk menyampaikan pandangan dan buah fikiran secara halus dan beralas tetapi mendalam maknanya dan panjang kesannya. Namun demikian harus diingat jangan sampai ‘membuang cakap’ seperti pesan Pak Tenas Effendy. Hal ini bermaksud pemantun perlu menguasai ciri-ciri pantun yang luhur agar penyampaiannya benar-benar menusuk kalbu dan akal pendengarnya.

Teguran Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Mohamad Abdul Aziz terhadap wakil Pahang, Datuk Mohamad Sahfri kerana pembayang dan maksud pantunnya tidak seragam sehingga mengelirukan, harus diambil perhatian. Begitu juga sebahagian pantun yang dilontarkan oleh Ketua Puteri Bahagian Tampin, Nur Amalina Abdul Wahab yang jelas kelihatan cacatnya. Namun demikian Nur Amalina harus diberi pujian kerana mengambil masa seminggu untuk mencipta, apatah lagi penyampaiannya disulam dengan dialek Negeri Sembilan

Barangkali, tokoh veteran UMNO Tan Sri Aziz Tapa yang tidak pernah kering dengan pantun spontan tetapi bernasnya harus dijadikan rujukan pada masa akan datang. Lihat sajalah pantun beliau: Pohon nyiur di tepi laut, dimakan kumbang pucuknya layu; kepada UMNO kita berpaut, UMNO tumbang hilanglah Melayu. Pantun ini menepati ciri-ciri pantun yang baik; harmoni dan tepat pilihan katanya, sama rima tengah dan rima akhir pembayang dan maksudnya, cukup bilangan suku katanya, berkaitan makna pembayang dengan maksudnya, dan yang paling penting, tepat dan padat maksud yang hendak disampaikan.

Bersenda-gurau dan usik-mengusik memang menjadi sebahagian ciri pantun. Namun demikian harus diingat, keramat pantun akan luntur jika keluhuran akal budi yang dimuatkan di dalamnya tidak kelihatan atau gagal dibaca oleh pendengar. Keadaan ini hanya mencerminkan kedangkalan pemantun, dan mencalar citra Melayu sejati. Jangan sampai dalam kita berjuang bermati-matian untuk mengangkat kembali martabat Melayu; ‘kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang najis’.

Dalam pada itu, kita harus mengucapkan syabas kepada Ketua Penerangan Pemuda Datuk Seri Reezal Merican, dan Ketua Pemuda Tenggara, Sdra Abd Halim Abd Jalil atas pantun-pantun yang baik. Penampilan pantun-pantun mereka dapat menyakinkan kita bahawa orang Melayu tidak ketandusan pemimpin yang memiliki ciri Melayu sejati.

Apa yang diharapkan oleh majoriti orang Melayu sekarang ialah pantun jangan hanya tinggal pantun. Hari-hari untuk beretorik sudah berlalu. Segala kata hendaklah dikota mulai usai perhimpunan itu. Slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan hendaklah dihadam dan dibudayai. Orang Melayu amnya tidak mahu lagi melihat unsur-unsur yang hanya bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Banyakkan lagi kem-kem seperti yang dilaksanakan di Janda Baik itu terutama untuk pemimpin cawangan dan bahagian kerana masih ramai dalam kalangan mereka yang seperti mahu mengekalkan status quo dan gagal mentafsir pantun-pantun yang dilontar di perhimpunan agung. Jangan lupa mengundang Tan Sri Aziz Tapa kerana beliau banyak tahu ‘yang tersirat di sebalik yang tersurat’. Itu sebabnya beliau yakin ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan datang dari teks ucapan, tetapi dari hatinya kerana beliau benar-benar menjiwai UMNO. Itulah roh yang wajib dihayati oleh para pemimpin UMNO khususnya dan pemimpin Melayu amnya.

Yang kurik kundi, yang merah saga, yang keras takal; yang baik budi, yang indah bahasa, yang pantas akal.

Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.

Tiada ulasan: