Rabu, Februari 03, 2010

MALAYSIA PERLUKAN LEBIH RAMAI TEOH CHING KIM DAN TEO KOK SEONG - UTUSAN MALAYSIA 14 JANUARI 2010

Terima kasih kepada Saudara Zaini Hassan kerana sudi berkongsi surat yang diterimanya daripada Teoh Ching Kim dalam ruangan Cuit Utusan Malaysia 13 Januari 2009. Saya pasti ramai rakyat Malaysia keturunan Melayu terharu dengan isi kandungan surat tersebut. Antara lain surat itu menyedarkan kita tentang hakikat asal-usul masyarakat majmuk negara ini.

Selain Teoh Ching Kim (yang merupakan seorang saudara baru), seorang tokoh bahasawan yang nama keluarganya hampir sama, iaitu Prof. Dr. Teo Kok Seong, wajar juga diangkat sebagai ‘wira penyedar’ tentang hakikat tersebut.

Ironinya, satu ketika dahulu, seorang ahli politik yang ‘diberikan’ satu kerusi parlimen yang terletak tidak jauh dari tapak arkeologi Perak Man, telah tersilap menggarap fakta sejarah asal-usul orang Melayu. Sama ada beliau telah sedar atau tidak, saya tidak pasti. Jika masih tidak sedar, turunlah ke Lenggong untuk belajar sambil melawat rakyat dan pengundi.

Telah banyak fakta dikemukakan untuk menunjukkan bahawa kaum Cina dan India yang berada di negara ini telah diberikan hak sama rata dengan masyarakat Bumiputra dan Peribumi. Telah banyak juga dibandingkan keadaan ini dengan keadaan di negara-negara lain, yang kononnya lebih demokrasi daripada kita. Apa lagi agaknya yang dimahukan?

Sudah banyak kali, test market (meminjam ungkapan Saudara Zaini) dilakukan oleh kedua-dua kaum ini terutamanya semenjak Pilihanraya Umum Ke-12 dahulu. Mujurlah orang Melayu tetap dengan sikap toleransi melampaunya sehingga sanggup berbalah sesama sendiri demi kepentingan politik masing-masing. Jika tidak, barangkali sudah lama negara ini kucar-kacir. Banyak yang sudah digadai oleh orang Melayu termasuk tanah, harta, undi, bahasa, dan budaya. Mutakhir ini ketuanan dan agama orang Melayu juga turut diminta supaya diserahkan.

Namun demikian apabila sampai ke satu tahap, seperti kata pepatah China; ‘seekor cacing akan lari apabila dikejar naga, tetapi tatkala sampai di hujung lubang, sekecil-kecil cacing pun akan tetap berpatah balik untuk berhadapan dengan naga itu’! Orang Melayu kini sudah berada di hujung lubang.

Apa lagi selepas ini? Adakah lagi sisa-sisa hak dan maruah yang hendak dipertahankan? Barangkali satu-satunya yang masih berbaki bagi orang Melayu khususnya di Semenanjung ialah kuasa politik. Itupun dengan sokongan penuh Peribumi Sabah dan Sarawak. Pengundian meluluskan Bajet 2010 tempoh hari cemas-cemas melenyapkan kuasa tersebut. Sebaliknya, sebahagian pemimpin masih lagi leka mendendangkan lagu “Si Luncai terjun dengan labu-labunya! Biarkan, biarkan..!”.

Saya fikir, program 1 Malaysia dan Juara Rakyat yang sedang hangat sekarang ini wajar dimanfaatkan oleh para pemimpin Melayu untuk menyelitkan usaha menyatukan kembali orang Melayu dan setelah itu, kembali menjadi Juara Rakyat yang sebenar seperti semasa era menuntut kemerdekaan dahulu. Tidak banyak songel daripada orang Cina dan India ketika itu kerana orang Melayu benar-benar ikhlas berjuang untuk memakmurkan segenap lapisan masyarakat dan kaum di negara ini.
Itulah semangat yang cuba dihidupkan kembali oleh Teoh Ching Kim. Beliau baru pertama kali muncul. Mungkin ada yang sinikal kerana beliau sudah menganut Islam - sudah ‘masuk Melayu’. Ramai lagi rakyat yang seperti beliau termasuklah selebriti seperti Dr. Redhuan Tee. Jika begitu, kita ambillah contoh Prof Teo yang sudah sudah berkali-kali muncul di khalayak bagi memperkatakan semangat kemalaysiaan dengan berlatarbelakangkan kepakaran sosiolinguistiknya. Beliau tidak masuk Melayu tetapi cukup konsisten mendaulatkan ketuanan Melayu, dan menghormati agama orang Melayu.

Jika tidak cukup, tanya-tanyalah juga Prof Ding Choo Ming yang diberi ruang sangat luas untuk mengkaji orang Melayu, malah diberi tempat istimewa sebagai felo utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu.

Kalau dicadangkan nama Tan Sri Prof Emeritus Khoo Kay Kim mungkin ramai yang menganggapnya sebagai klise kerana beliau sudah lama bercakap tentang kesedaran yang sama.

Firman Allah yang bermaksud; “Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri”. Orang Melayu akan terus berhadapan dengan situasi test market selagi prinsip ‘penyapu lidi’ tidak dihayati semula. Usaha ini harus bermula dalam kalangan para pemimpin Melayu terlebih dahulu. Janganlah mengharapkan lagi sokongan politik kaum lain untuk mempertahankan maruah kita, ketuanan kita, malah agama kita. Tidak malukah kita apabila dunia menempelak; “kasihan orang Melayu, majoriti yang terancam di tanah airnya sendiri”!

Saya yakin, berdasarkan kenyataan Teoh Ching Kim dan segolongan masyarakat yang sependapat dengan beliau, kaum Cina dan India di negara ini rindukan kekuatan orang Melayu untuk memimpin mereka. Mereka tidak mahu kembali ke negara nenek moyang kerana kemakmuran dan kesejahteraan yang ada di sini. Namun apabila ada segelintir orang Melayu yang bersifat ‘kaduk naik junjung’, ‘lupa daratan’, dan ‘beraja di mata dan bersultan di hati’, maka itulah mereka test market.

Dr. Sharifudin Lubis.
Universiti Putra Malaysia.

Tiada ulasan: