TINGKATKAN KEYAKINAN DAN KEKAYAAN BAHASA MELAYU - UTUSAN MALAYSIA 12 OKTOBER 2009
Dua peristiwa besar berkaitan bahasa Melayu telah berlaku dalam tempoh dua minggu yang lalu. Pertama, di Johor Baharu telah bergema laungan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dalam Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia. Kedua, di Kuching telah dilancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 dengan tema Bahasa Jiwa Bangsa.
Seperti komentar Datuk Dr. Firdaus Abdullah, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Utusan Malaysia 9 Oktober 2009; kedua-dua peristiwa bahasa itu dapat dinilai secara sinikal dan konstruktif. Sinikal kerana peristiwa di Johor Baharu mendahului peristiwa di Kuching! Kita mahu menjadikan bahasa Melayu bahasa dunia, tetapi selepas itu kita seolah-olah ‘tersedar’ bahawa terlebih dahulu kita wajib mengembalikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan seterusnya menjadikannya bahasa dunia perlu bermula dengan niat yang luhur dan tulus. Perjuangan ini adalah perjuangan setiap lapisan dan anggota masyarakat di negara ini, tanpa mengira keturunan, budaya, status ekonomi, ideologi politik, dan agama. Kita perlu yakin bahawa bermula amal adalah dengan niat. Setiap anggota masyarakat perlu fokus bahawa perjuangan bahasa adalah demi bahasa dan bangsa. Jika dicampuradukkan dengan agenda yang lain, maka akan tercemarlah amal perjuangan itu kelak.
Keadaan inilah yang telah berlaku dalam kalangan masyarakat sehingga memperlihatkan sikap tidak yakin terhadap bahasa Melayu. Sewaktu di Johor Baharu itu, dua kejadian kebetulan sempat dialami. Pertama, terserempak dengan seseorang yang kelihatan seperti tokoh korporat di dalam lif sewaktu menuju tempat persidangan. Beliau terperanjat dan kagum apabila dimaklumkan bahawa persidangan itu dihadiri oleh beberapa sarjana termasuk dari Rusia, China, dan Jepun yang membentangkan makalah mereka dalam bahasa Melayu.
Kedua, terdengar seseorang merungut bahawa terdapat beberapa tokoh dan pejuang bahasa Melayu tempatan yang banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka.
Kedua-dua kebetulan ini memperlihatkan masalah krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu yang dialami oleh masyarakat negara ini sehingga menimbulkan banyak situasi ‘cakap tidak serupa bikin’. Keadaan sedemikian menjadi salah satu punca bahasa Melayu dicemuh dan diperlekeh. Ada pula individu yang rajin menyiasat dengan lebih mendalam lagi lalu mendapati segelintir tokoh pejuang bahasa Melayu yang menghantar anak mereka belajar di luar negara, seolah-olah tidak yakin dengan kemampuan universiti tempatan yang berlatarbelakangkan bahasa Melayu.
Satu lagi punca hilangan keyakinan itu adalah berkaitan dengan cara pengayaan korpus bahasa Melayu yang membabitkan kosa kata dan penciptaan istilah. Dari segi kosa kata, fenomena bahasa rojak seolah-olah menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu kekurangan perkataan untuk digunakan sekalipun dalam keadaan yang tidak rasmi. Tanpa berusaha untuk ‘menelaah’ kamus umum dan juga menggali sumber-sumber dialek, bahasa sukuan dan bahasa serumpun, jalan pintas diambil ialah dengan meminjam daripada bahasa asing. Ingat lagi artis yang tergamak mengakui bahawa ‘saya berbunyi bodoh jika bertutur dalam bahasa Melayu’!
Satu lagi korpus yang telah dibangunkan dengan begitu dinamik sekali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya, dan oleh sarjana-sarjana bahasa Melayu amnya ialah dari segi peristilahan. Walaupun sudah hampir satu juta istilah diwujudkan meliputi semua bidang tamadun dunia dan teknologi terkini, masyarakat pengguna masih gagal memanfaatkannya sehingga timbulnya dasar PPSMI dahulu. Syukur kerajaan sudi mendengar suara-suara rakyat yang sayangkan bahasa Melayu lalu memansuhkan dasar itu.
Namun demikian kini kedengaran pula suara-suara sumbang mengatakan bahawa kekayaan istilah bahasa Melayu itu adalah hasil pinjaman bahasa Inggeris. Bagi mereka kekayaan itu tidak patut dibanggakan kerana diibaratkan berlagak menggunakan kereta mewah yang dibeli menggunakan wang pinjaman! Mereka tidak tahu bahawa bahasa Inggeris yang hendak diagung-agungkan itu meminjam lebih 60% bahasa Latin. Mujurlah bahasa Latin itu sudah tidak ada penggunanya; jika tidak, bahasa Inggeris juga harus malu mengakui sebagai bahasa dunia.
Dengan penangguhan pemansuhan PPSMI ke tahun 2012, masa yang ada ini hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh agensi bahasa, sarjana bahasa, dan masyarakat negara ini untuk membina semula keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa dunia sekali gus.
Satu cara yang paling ampuh ialah dengan menyelongkar, mendokumentasi, memasyarakat, dan membudayakan segala khazanah kosa kata dialek, bahasa sukuan dan bahasa serumpun yang ada untuk memperlihatkan kekayaan bahasa Melayu. Dengan itu, bahasa Melayu akan dinamik dan layak diangkat semula martabatnya dan akan mampu bersaing sebagai salah satu bahasa utama dunia.
Persidangan di Johor Baharu itu mencatatkan rekod kewujudan 129 pusat yang menawarkan pengajian bahasa Melayu di seluruh dunia. Semuanya menanti untuk mengeksploitasi kekayaan khazanah bahasa Melayu yang tidak disedari oleh masyarakat penuturnya sendiri. Kalau tak kita, siapa lagi? Kalau tak sekarang, bila lagi?
Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan