Jumaat, Julai 04, 2008

UMNO DAN POLITIK ALA MELAYU

Dari sudut bahasa, Kamus Dewan mendefinisikan politik kepada tiga makna; pertama, ilmu berkenaan pemerintahan, ilmu siasah, ilmu kenegaraan; kedua, segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain; dan ketiga, kelicikan, muslihat, tipu muslihat.

Luahan hati Saudara Embran Haramain dari Lekir, Sitiawan. melalui ruangan Rencana Berita Harian semalam, saya fikir amat tulus dan ikhlas. Dengan merujuk khusus kepada faktor kejatuhan Perak kepada pembangkang, Saudara Embran menyarankan supaya pemimpin UMNO membuang ego mereka dengan sudi berceramah di padang dan dewan orang ramai, serta perlu meyakinkan pengundi di Perak bahawa mengundi Pas dan PKR samalah dengan mengundi DAP.

Namun demikian, setelah tewaspun, pemimpin UMNO Perak masih menunjukkan keegoan mereka kerana Konvensyen UMNO Lumut yang dihadiri oleh Saudara Embran itu berlangsung di Resort Teluk Batik, yang ‘segan’ dikunjungi pengundi kampungan.

Inilah masalah yang dialami oleh pemimpin UMNO umumnya – tak faham bahasa! Walaupun sudah lama bergelumang dengan politik, kebanyakan pemimpin tidak betul-betul memahami konsep politik ala Melayu. Merujuk pengertian politik Kamus Dewan itu, tidak dinafikan para pemimpin UMNO memang bagus dari segi ilmu pemerintahan dan ilmu diplomatik. Buktinya, banyak pencapaian hebat telah dirancang dan dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin negara yang diterajui oleh UMNO. Hasilnya bukan sekadar kita syok sendiri tetapi memang diiktiraf oleh negara luar terutama negara dunia ketiga. Kita semakin menghampiri status negara maju. Malahan beberapa negeri seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang ternyata sudah boleh diisytiharkan sebagai negeri maju.

Namun dari segi politik ala Melayu, segala pencapaian negara yang diterajui para pemimpin UMNO seolah-olah tidak membawa apa-apa makna kerana rata-rata orang Melayu masih menumpang di negara sendiri. UMNO adalah parti keramat orang Melayu. Setelah mengalih perhatian daripada ketaatan dan kepatuhan mutlak terhadap kuasa Raja-raja Melayu kepada kuasa UMNO, orang Melayu mahukan supaya sebagai balasannya UMNO akan menaungi mereka. Setelah lebih enam dekad berlalu semenjak penyerahan kuasa itu dibuat, orang Melayu ternyata masih ketinggalan dalam segala segi kerana UMNO tidak berperanan seperti yang diharapkan.

Semua ini kerana kegagalan pemimpin UMNO memahami makna ketiga politik seperti yang tertulis dalam Kamus Dewan itu; iaitu kelicikan, muslihat, dan tipu muslihat. Di sebaliknya pula, ilmu inilah yang digunakan oleh PAS, PKR dan DAP Perak untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional di Perak. Sebelum ini, tidak siapapun menjangkakan kemustahilan sedemikian boleh berlaku!

Pemimpin UMNO Perak sudah semakin menjauhkan diri daripada orang Melayu. Seperti kata Saudara Embran, mereka tidak mahu berceramah di padang atau di dewan orang ramai. Sedangkan, di situlah orang Melayu selesa berhimpun dan mengumpul kekuatan untuk melawan pembangkang. Itulah tradisi dan nilai hati budi Melayu; santai, tidak terlalu serius tetapi fokus dalam menentukan suara mereka didengar oleh pemerintah.

Sifat kampungan orang Melayu bukan menunjukkan mereka antimodenisasi, antiurbanisasi atau antiglobalisasi. Tetapi kesederhanan tetap menjadi ciri Melayu yang utama dan mereka tidak mahu mengorbankannya kerana itu akan menjadikan mereka ‘bukan Melayu’. Banyak urusan kesejahteraan orang Melayu gagal diselesaikan apabila dibawa berunding dalam bilik berhawa dingin. Yang terbaru, Pulau Batu Putih terlepas dari genggaman. Sebaliknya kita diberi pulau yang dari segi geografinya, terletak lebih ke selatan daripada Pulau Batu Putih itu sendiri. Saya yakin hal ini tidak akan berlaku jika para pembuat keputusan itu turun padang bertanyakan hal itu kepada para nelayan yang sering ‘bermain’ di perairan tersebut.

Gelanggang tempur orang Melayu dalam apa sahaja bidang bukan di dalam dewan berdinding konkrit empat segi, berbumbung genting, dan berlantai mozek. Gelanggang orang Melayu ialah alam yang luas terbentang; berbumbungkan langit, berlantaikan tanah. Itulah muslihat yang gagal difahami oleh pemimpin UMNO. Barangkali kerana sudah terlalu lama duduk di atas merenung bintang, kebanyakan mereka sudah tidak nampak rumput di bumi.

Mengambil contoh DUN Behrang yang terlepas ke tangan PKR; kawasan yang ternyata majoriti orang Melayu telah secara ‘tidak rela’ diserahkan kepada MIC semenjak pilihanraya umum 2004. Ketika itu pengundi Behrang tidak protes atas semangat setiakawan. Namun demikian, setelah dijanjikan kerusi itu hanya untuk sepenggal sahaja milik MIC, pilihan raya yang lalu memperlihatkan amukan orang Behrang kerana pemimpin UMNO gagal mengembalikannya kepada orang Melayu. Pengundi Melayu DUN Behrang benar-benar ‘berang’!

Untuk pengetahuan pembaca, DUN Behrang adalah kawasan yang sangat nostalgik kerana di situlah letaknya pekan Tanjung Malim yang sinonim sebagai tempat lahirnya ramai tokoh pejuang, dan cendikia Melayu melalui penubuhan Sultan Idris Training College (MPSI) yang sekarang dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pekan ini juga berpotensi untuk menjadi salah sebuah bandar termaju di negara ini kerana di situlah Proton membangunkan kawasan kilang terbesarnya yang dinamakan Proton City. Di samping itu, tidak ada tempat lain di Malaysia yang menamakan bandarnya dengan mengambil sempena angka 2020 melainkan Behrang 2020.

Kini, Tanjung Malim dan kampung-kampung di sekitarnya dikuasai oleh pembangkang yang menang secara ‘tidak sengaja’. Mujur juga Tuanku Sultan Perak tidak berkenan melantik wakil rakyat PKR itu sebagai Menteri Besar tatkala DAP dan PAS ‘berebut’ jawatan itu tempoh hari. Jika tidak, pekan yang pernah melahirkan ramai pemimpin UMNO itu akan diperintah oleh pembesar dari kelompok pembangkang.

Soalnya, kedengarankah suara keramat Melayu itu di telinga para pemimpin UMNO Perak jika mereka tidak pandai bermain muslihat dan tidak bersedia turun ke padang?

Tiada ulasan: