Jumaat, Julai 18, 2008

PROGRAM DEBAT PERLU DIMANFAATKAN

Rakyat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan debat secara langsung kelmarin. Secara umumnya, kita boleh simpulkan bahawa masih terdapat ruang yang bertamadun untuk berbahas tentang pelbagai isu yang dihadapi negara. Saya katakan demikian kerana semenjak diwujudkan peluang kepada ahli Parlimen untuk berhujah di dewan yang mulia itu secara langsung melalui kaca televisyen, seringkali peluang itu disalahgunakan. Kesempatan diambil untuk menunjukkan kelakuan-kelakuan yang tidak beretika sehingga rakyat keliru kerana yang berbahas itu ialah ahli-ahli yang berhormat dan individu terpilih.

Di pihak kerajaan, debat kelmarin menunjukkan ketelusan kepemimpinan Pak Lah. Tiada apa yang hendak disembunyikan. Segala yang dilakukan kerajaan adalah berasaskan tuntutan dan keperluan semasa. Di samping itu, kerajaan terpaksa berhati-hati melaksanakan segala agenda pembangunan material dan rakyat kerana itu sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan. Banyak perkara yang perlu diambil kira dan tidak semua keputusan kerajaan itu popular.

Debat itu juga turut memperlihatkan ketulusan kerajaan dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu yang berbangkit. Jika forum di dalam Parlimen lewat dan kemungkinan gagal menerbitkan sebarang pandangan positif, debat sedemikian sekurang-kurangnya bersifat lebih rasional dan pragmatik. Pandangan-pandangan yang bernas dapat dijadikan dasar untuk menyemak dasar dan keputusan yang telah dibuat dan seterusnya membuat pembetulan.

Secara tersirat, kerajaan juga menampakkan keberanian untuk berbahas secara terbuka. Ini menunjukkan tidak ada apa yang hendak disembunyikan kerana pengadil perbahasan bukan sekadar barisan pembangkang atau pemerhati seperti di dalam dewan Parlimen semata-mata. Seluruh negara menilai hujah-hujah yang disampaikan oleh kedua-dua belah pihak. Terpulang kepada rakyat untuk mempercayai yang mana lebih bernas dan benar.

Kerajaan juga memperlihatkan sikap sporting dengan kesediaan menerima pandangan-pandangan pihak lain, walau wakil pembangkang sekalipun demi kepentingan rakyat dan negara. Sikap sedemikian sukar terdapat pada mana-mana kerajaan di dunia, kecuali seperti yang sering ditampilkan oleh kerajaan Amerika. Ini menandakan, kerajaan dan rakyat Malaysia sudah semakin matang dan ‘bertamadun’ kerana boleh berbahas secara terbuka tetapi terkawal.

Kesimpulannya, debat sedemikian sangat wajar diadakan dari semasa ke semasa supaya demokrasi hidup lebih subur di negara ini.

Walau bagaimanapun, jika ada sebarang hajat untuk meneruskan perdebatan sedemikian pada masa-masa akan datang wajarlah beberapa perkara di ambil kira supaya menjadikannya lebih diterima tanpa prejudis atau persepsi yang negatif.

Pertama sekali, yang menggerakkan debat itu ialah moderatornya. Pada bahagian awal, Datuk Johan Jaafar (DJJ) telah menyatakan syarat-syarat perdebatan dan antaranya menegaskan supaya kedua-dua pendebat tidak melakukan serangan peribadi. Namun demikian, DJJ tidak melaksanakan perintah itu kerana banyak kali membiarkan Datuk Ahmad Shabery Cheek (DASC) melanggar arahan dengan mengungkit keperibadian Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) malahan sehingga ke tahun-tahun 1970-an dahulu.

Justeru sudah diperingatkan, DJJ perlu menegur kerana apabila dibiarkan begitu, penonton merasakan bahawa seolah-olah beliau sengaja membuka ruang atau membiarkan cubaan menyentuh sikap dan keperibadian lampau dengan niat yang hanya beliau mengetahuinya. Ada dua andaian saya tentang ‘kesengajaan’ itu; satu, untuk menyerlahkan keburukan masa lampau DSAI dan dengan itu dapat menunjukkan kepada rakyat bahawa DSAI tidak sesuai diberi kuasa memerintah. Kedua, sengaja membuka ‘pekung’ kerajaan berkaitan kesilapan menaikkan harga minyak secara mendadak sehingga menutup kelemahan DASC kerana ketidakmampuannya memberikan penjelasan yang lebih konkrit dan bernas. Sebaliknya, lebih gemar menyerlahkan keperibadian lawan.

Perkara kedua yang saya fikir perlu dipertimbangkan ialah kewujudan dua ‘pembantu’ DJJ untuk bertanyakan soalan tambahan. Ruang itu tidak perlu, apatah lagi telah disalahgunakan oleh kedua-duanya dari segi masa. Mereka berlengah-lengah dengan melontarkan pandangan mereka sehingga pada satu ketika terpaksa DSAI menanyakan soalannya. Lebih wajar jika peluang bertanya itu diberikan secara spontan kepada kalangan khalayak yang hadir dan soalan tidak berdasarkan skrip. Penganjur masih boleh mengawal jika ada yang tidak kena dengan cara memadamkan audio atau sebagainya.

Perkara ketiga saya tujukan kepada DASC. Beliau pada pemerhatian saya tidak cukup bersedia dengan fakta yang kemas dan huraian yang mendalam. DASC hanya banyak mematahkan hujah DSAI dengan fakta-fakta yang disebut berulang-ulang dan membidas dengan berkata; “bercakap memang senang!”. Memanglah ‘lidah tidak bertulang’, tetapi bukankah bidasan begitu yang dimaksudkan sebagai pernyataan retorika semata-mata. Rakyat mahukan sesuatu yang konkrit dan difahami, bukan retorika dan kabur.

DASC yang menyanggupi tugasan itu bagi pihak kerajaan sepatutnya mempunyai fakta dan data yang paling kemas supaya tidaklah nampak ‘pekung’ kerajaan. Lantaran tidak bersedia dari segi itu, DASC lebih gemar menyerang peribadi DSAI seperti beberapa kali merujuk peristiwa demonstrasi 1974. Apabila situasi begitu, fakta perbandingan keadaan di Venezuela, Iran dan sebagainya itu yang dikemukakan oleh DASC tidak lagi mendapat perhatian penonton kerana kegoyahan DASC sudah terserlah.

Sayang sekali, DASC memang bersedia untuk berdebat tetapi tidak bersedia secukupnya. Lebih malang lagi kerana beliau juga tersilap menilai ketangkasan dan kepetahan DSAI berdebat. DASC lupa bahawa seumur hidup DSAI dihabiskan dalam gelanggang perdebatan aras tinggi. Aura beliau masih belum hilang, malahan kalau digantikankan DASC dengan pendebat yang lain pun, saya fikir mereka akan tewas jika tidak tidak bersedia dengan fakta yang meyakinkan.

Perkara keempat yang ingin saya bangkitkan ialah tentang DSAI. Saya fikir beliau tidak ikhlas menyertai perdebatan itu. Niat sebenar beliau ialah untuk meraih populariti dan ‘melepas gian’ sudah begitu lama tidak muncul berpidato secara langsung di televisyen. DSAI lupa bahawa apabila gelanggang debat itu diuar-uarkan, rakyat (sama ada penyokong mahupun pembangkang) menanti-nantikan formula bernas dan praktikal bagi membendung isu kenaikan harga minyak dan inflasi.

DSAI juga memerangkap dirinya dengan beberapa kali berkata bahawa harga minyak tidak sepatutnya dinaikkan begitu tinggi secara mendadak. Kenyataan ini boleh bermakna bahawa beliau setuju harga minyak dinaikkan tetapi secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit. Yang bermakna, lama-lama akan naik juga! Ini samalah seperti kenyataan Datuk Seri Khir Toyo tentang isu pembinaan kandang oleh Kerajaan Negeri Selangor. Beliau menafikan kerajaan negeri pimpinan beliau dahulu pernah meluluskan pembinaan babi sehingga 100 hektar seperti rancangan kerajaan sekarang. Namun demikian, maksud sebenar di sebaliknya ialah kerajaan negeri dahulu telah meluluskan projek itu tetapi sehingga 60 hektar sahaja. Pernyataan seperti ini juga hanyalah retorika semata-mata; sedap didengar tetapi amat meragukan.

Kesimpulannya, debat bersejarah tempoh hari tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Peluang yang disediakan ternyata telah dipersia-siakan oleh semua pihak; baik penganjur, pendebat, mahupun moderatornya. Adalah diharapkan, jika dilaksanakan pada masa-masa akan datang, hal-hal yang dinyatakan di atas tadi diambil kira supaya forum yang disediakan itu benar-benar dimanfaat. Apapun, usaha ini amat wajar diteruskan supaya dapat menyerlahkan lagi kematangan berpolitik rakyat Malaysia setanding dengan Amerika. Semoga dengan itu juga, rakyat Malaysia akan mengurangkan demonstrasi jalanan yang ternyata memberikan imej negatif kepada negara dan bangsa.

Tiada ulasan: