Jumaat, Julai 04, 2008

UMNO PERLUKAN TENAGA DAN CITRA BARU

Dari segi budi bahasa, orang Melayu amnya dan ahli UMNO khususnya tentu bersimpati dengan Datuk Johari Baharom yang dahulunya amat rapat dengan mantan Perdana Menteri dan keluarganya, tetapi kini sudah disisih; bukan sahaja oleh Tun Mahathir sendiri, malahan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Sehinggakan sampai hati Tun Siti Hasmah tidak menyambut huluran tangan Datuk Johari untuk bersalaman.

Siapa menyangka bahawa insiden seperti itu boleh berlaku hanya kerana antara mereka sudah tidak bersefahaman lagi dari segi pandangan dan pegangan politik masing-masing. Sia-sia rasanya kesetiaaan Datuk Johari selama ini; empat tahun sebagai Setiausaha Politik Tun Mahathir dan bertahun-tahun sebagai anggota dan penyokong kuat UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan negeri yang sama. Jika peristiwa ini berlaku pada zaman Melaka dahulu, pembesar yang tidak dipedulikan Sultan sudah tentu membunuh diri kerana malu dan kerana memikirkan diri sudah tidak relevan lagi!

Walau bagaimanapun, dalam senario semasa, kita berharap supaya Datuk Johari bersabar dan bertenang. Anggaplah kedua-dua negarawan suami isteri itu ‘tidak perasan’ akan kehadiran Datuk atau barangkali memang sudah ‘tidak kasihan’ lagi kepada Datuk dan ahli-ahli UMNO lainnya. Buktinya, mereka tergamak keluar dari UMNO hanya kerana tidak gemar dengan cara Pak Lah. Anak mereka yang berstatus orang Melayu ketiga terkaya, turut mengisytiharkan diri keluar UMNO. Tidak mengapalah Datuk Mokhzani keluar kerana barangkali UMNO sudah tidak relevan lagi kepadanya dalam usaha menambahkan lagi kekayaan yang ada.

Kini tinggallah seorang lagi anak mereka yang mewarisi sifat ‘duri dalam daging’ dalam UMNO. Jika Datuk Mukhriz juga merasakan bahawa penyakit dalam UMNO sudah tidak dapat dipulihkan lagi, dalam persidangan dan pemilihan peringkat cawangan yang akan datang beliau juga boleh pergi. Jika ada lagi adik beradik mereka yang lain, yang juga sependapat bahawa UMNO sudah tidak relevan lagi bagi keluarga mereka, elok juga kita persilakan supaya mereka keluar (itupun jika mereka ahli UMNO). Hanya dengan cara terhormat begitu sahaja mereka boleh mengekalkan status quo sebagai keluarga negarawan dan juga keluarga konglomerat Melayu terhebat.

Berbalik kepada mauduk tulisan ini, kepemimpinan UMNO di semua peringkat kini tentu menyedari bahawa UMNO sudah tidak sekuat dahulu lagi. Telah banyak ‘sokong yang membawa rebah’, malahan ada yang telah mula ‘membakar jambatan’ dan ‘meninggalkan kapal yang seolah-olah akan tenggelam’. Penyokong-penyokong yang masih setia pun sudah agak keletihan kerana sudah begitu lama berjuang memastikan UMNO terus relevan. Masih ramai dalam kalangan mereka yang tetap berpegang kepada prinsip perjuangan yang ideal; ‘jangan tanyakan apa yang negara boleh beri kepada kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh beri kepada negara’.

Namun demikian terdapat sebilangan daripada penyokong-penyokong ini yang kesetiaan mereka dapat disangsikan. Kecuali Datuk Johari yang sudah ternyata tiada pilihan lain selain daripada meneruskan perjuangan dalam UMNO bersama Pak Lah, yang lain itu masih belum diuji kesetiaan mereka. Itulah sebabnya PKR masih mampu ‘berangan-angan’ yang sebilangan anggota parlimen pihak kerajaan khususnya daripada kalangan ahli UMNO akan melompat parti menjelang Ogos dan September yang akan datang.

Berasaskan keadaan yang sedang melanda ahli-ahli UMNO sekarang, satu usaha drastik dan bersifat iklas perlu dibuat oleh kepemimpinan UMNO – merekrut anggota baru yang segar dan bertenaga bagi menyuntik kekuatan kepada UMNO. Bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Noor sudah dikhabarkan akan menyertai UMNO. Jika UMNO ikhlas menerima beliau, saya yakin akan lebih ramai lagi orang Melayu khususnya dalam kalangan golongan menengah, yang selama ini bersifat pemerhati di luar gelanggang, akan terbuka hati untuk menyertai UMNO.

Selaras dengan itu saya juga berkeyakinan jika kerajaan yang masih berkuasa sekarang ini, sudi menarik balik dasar tidak boleh berpolitik secara aktif kepada golongan menengah ini, kemasukan beramai-ramai ke dalam UMNO akan berlaku. Golongan ini yang selama ini dinafikan hak mereka untuk berpolitik secara aktif, banyak bertindak menyusahkan UMNO dengan pandangan-pandangan kritis dan tindakan-tindakan yang seakan-akan menyokong pembangkang. Sayang sekali kerana UMNO tidak dapat memanfaatkan pemikiran dan sokongan sebilangan daripada mereka sedangkan pencapaian mereka dalam status sosial dan ekonomi adalah hasil perjuangan UMNO selama ini.

Kita tidak boleh menafikan bahawa golongan inilah yang selama ini bertindak melalui pelbagai badan bukan kerajaan sebagai pihak yang melakukan ‘check and balance’. Sudah tiba masanya; sebelum golongan ini benar-benar ‘memakai baju pembangkang’, UMNO membuka ruang dan peluang kepada mereka. Menggunakan ungkapan bahasa Inggeris; “there`s nothing to lose”, UMNO tidak perlu khuatir kerana jika berlaku di sebalik apa yang kita harapkan, UMNO memang sudahpun berada dalam keadaan yang goyang.

Jika selama ini UMNO dilihat sebagai parti kampungan, sudah tiba masanya persepsi terhadap UMNO diubah. Sejak sekian lama kita sudah mendengar seruan tentang anjakan paradigma, tetapi kita tidak sedar UMNO sendiri tidak melakukannya. Pada hemat saya, inilah masa yang paling sesuai kerana kepemimpinan tertinggi sudahpun mengisytiharkan dasar keterbukaan UMNO. Jadi kita menyeru kepada kepemimpinan semua peringkat; ‘cakaplah serupa bikin’.

Tanpa menafikan sokongan yang tidak berbelah bagi pada peringkat akar umbi terutama oleh kalangan pengundi kampung, dan satu lagi fragmen iaitu golongan teknokrat dan konglomerat selama ini, sudah tiba masanya UMNO menerima suntikan baru daripada golongan menengah ini. Pengalaman berada di luar gelanggang menjadikan persepsi mereka lebih adil, tulen, rasional dan objektif. Mereka menaakul sesuatu isu dengan minda yang positif; jika benar dan bagus, mereka menyokong. Tetapi jika palsu dan buruk, mereka menegur secara berhemah. Jadi keterbukaan yang ada dalam UMNO sekarang ini perlu memanfaatkan golongan ini supaya UMNO akan kembali segar dan bermaya.

Dalam masa yang sama, UMNO hendaklah membuang semua ‘kudis’ yang terdapat di badan parti ini selama ini. Saya yakin hasil pencapaian dalam pilihan raya umum yang lalu, pucuk pimpinan parti sekarang sudah dapat memastikan siapa yang dimaksudkan. Terimalah nasihat pakar bedah; sebelum kudis menjadi gangren, baiklah anggota tubuh itu dipotong. Golongan inilah yang sebenar-benarnya menjadi ‘duri dalam daging’ semenjak sekian lama.

Beberapa analisis yang dibuat tentang pilihan raya lalu menunjukkan golongan ini telah menyampaikan maklumat palsu kepada kepemimpinan tertinggi tentang kekuatan dan kestabilan UMNO di peringkat akar umbi. Mereka menyorokkan ‘luka-luka’ yang berpotensi menjadi gangren kerana mereka sendiri terleka lantaran corak kehidupan yang penuh ‘kemanisan’.

Ada kemungkinan juga lantaran ketrampilan minda yang tidak tercabar oleh kehadiran golongan mengengah, menyebabkan golongan yang berpotensi untuk terus menimbulkan masalah kepada UMNO ini tidak dapat memahami aspirasi perubahan yang ditelah diisyaratkan oleh akar umbi. Contohnya, tidak ramai yang menyalahkan Tun Mahathir sebagai punca kekalahan teruk yang dialami UMNO.

Kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap kepemimpinan Pak Lah oleh Tun Mahathir menyebabkan pengundi marah; marah kerana Pak Lah menanganinya dengan penuh kelembutan. Mereka mahu Pak Lah bangun melawan. Tetapi, sekali bernama Pak Lah, beliau akan terus bersikap sedemikian. Itulah hakikatya; bagi orang Melayu, cara Pak Lah itulah yang paling bertepatan dengan citra bangsa Melayu. Dan untuk memastikan UMNO terus relevan, bukankah citra itu yang wajib dipertahankan?

Sudah tiba masanya untuk UMNO melaungkan kempen “Jom Masuk UMNO” kepada golongan menengah Melayu yang selama ini tidak dibenarkan berpolitik secara aktif. Mudah-mudahan UMNO akan terus relevan; DAHULU, KINI DAN SELAMANYA.

Tiada ulasan: