Jumaat, Julai 04, 2008

UNIVERSITI BUKAN TEMPAT BULAN MADU

Tahniah dan selamat datang kepada mahasiswa baru institusi pengajian tinggi. Di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja dianggarkan seramai hampir 50 000 mahasiswa baru mulai mendaftar pada penghujung minggu yang lalu. Puluhan, malahan ratusan ribu yang lain mengikuti program diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang jumlahnya melebihi 400 buah.

Universiti menurut makna rasminya ialah institusi yang memberikan ilmu dalam pelbagai bidang, menjalankan penyelidikan ilmiah, dan menganugerahkan pelbagai peringkat ijazah. Secara harfiahnya, perkataan universiti juga berupa gabungan perkataan ‘universe’ dan ‘city’, yang terjemahannya bermaksud ‘bandar raya jagat’ atau ‘bandar raya dunia’. Ini boleh membawa maksud, universiti sebagai institusi yang di dalamnya terkandung segala ilmu keduniaan termasuklah sains, teknologi, sosial, kemanusiaan, dan pelbagai ilmu lain yang dapat diterbitkan oleh akal manusia. Dengan reputasi yang sebegitu tinggi, mereka yang terpilih memasukinya hendaklah menyedari bahawa universiti bukanlah tempat untuk ‘bermain-main’. Mulai hari pertama lagi, mahasiswa perlulah menginsafi bahawa mereka adalah insan terpilih daripada ratusan ribu lepasan sekolah. Jadi sewajarnya mereka menanamkan tekad tidak mensia-siakan peluang yang diberikan, apatah lagi mengambil kira amanah dan harapan ibu bapa.

Justeru itu juga, mahasiswa perlu dengan serta-merta mengadaptasi corak penghidupan yang baru sebagai anggota alam intelektual. Seperti yang disebut terdahulu, di dalam kampus segala-galanya perlu dilihat sebagai sumber ilmu. Persoalan akademia bukan sekadar terjawab dalam bilik kuliah, bilik tutorial atau makmal semata-mata. Daripada ilmu bercorak falsafah tinggi sehinggalah kepada ilmu yang diperoleh dengan hanya menyaksikan gelagat pengguna jalan raya di dalam kampus misalnya, semuanya mampu memberi maklumat jika digarap dengan teliti. Mahasiswa yang dapat menggarap pengalaman alamiah seperti ini akan berhasil sebagai mahasiswa cemerlang, gemilang dan terbilang.

Dunia akademia bukan lagi tempat untuk berleka-lekaan dan bermanja-manjaan. Mahasiswa perlu segera bersikap profesional dan ‘berani buat berani tanggung’. Mereka perlu mencorak sendiri masa depan sebagai seorang intelektual. Sebagai manusia terpilih, mereka hadir dengan kelayakan akademik yang hebat. Oleh itu, kesempatan untuk berada di dalam lingkungan yang hebat, sepatutnya digunakan untuk menjadi mahasiswa yang hebat dan bergraduat dengan kelulusan Kelas Pertama atau sekurang-kurangnya Kepujian Kelas Kedua Atas. Tidak wajar ada mahasiswa yang menerima GB (gagal dan diberhentikan). Alangkah ruginya diri sendiri, keluarga dan negara!

Kebanyakan IPTA telah bertungkus-lumus menyediakan persekitaran yang paling kondusif dalam bandar raya jagat masing-masing. Segalanya siap siaga untuk dimanfaatkan oleh mahasiswa. Mahasiswa perlu bersaing secara paraleli; bersaing dengan rakan mahasiswa, dan bersaing dengan ilmu yang digali itu sendiri. Persaingan sebegini menuntut mahasiswa sentiasa dinamik dan bersedia. Semua program yang ditawarkan telah distrukturkan sedemikian rupa bagi membolehkan mahasiswa menyusun strategi masing-masing untuk menguasai komponen-komponen kursus yang telah ditetapkan. Tidak ada lagi zaman spoon feeding.

Satu realiti lain yang mesti sentiasa disedari oleh mahasiswa ialah bahawa persaingan tidak terhenti setakat di universiti sahaja. Selepas bergraduat persaingan untuk memasarkan kepakaran masing-masing adalah lebih sengit lagi. Anggaran seramai kira-kira 50 000 mahasiswa menganggur setiap tahun menunjukkan, peluang pekerjaan adalah sangat terhad. Hanya graduan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik sahaja yang mampu bersaing jika dipanggil temuduga.

Justeru itu, mahasiswa perlu memastikan mereka memberi tumpuan kepada kursus-kursus yang mampu mereka kuasai dan menunjukkan pencapaian yang terbaik. Tidak semua kursus di universiti bersifat teoritikal semata-mata. Terdapat banyak juga kursus bersifat vokasional dan hands-on yang jika dikuasai, akan membantu mahasiswa berketrampilan dan berkelayakan memohon pekerjaan tertentu. Kursus-kursus seperti Pengucapan Awam dan Kemahiran Bahasa Asing misalnya amat berguna dalam persaingan mendapatkan pekerjaan.

Kebanyakan IPTA turut menawarkan kursus-kursus kemahiran bahasa asing sebagai bahasa ketiga. Walaupun kursus-kursus tersebut tidak berstatus wajib, tetapi adalah wajar jika mahasiswa mengambil kesempatan untuk menguasai mana-mana bahasa yang ditawarkan. Hal ini akan menjadi nilai tambah kepada ketrampilan mereka.

Dalam era globalisasi sekarang ini, bahasa-bahasa Arab, Mandarin, Spanish, German, Perancis, Vietnam, Thai, Russia dan beberapa bahasa lain yang dahulunya tidak bersifat komersil, telah mula mendapat tempat. Sekurang-kurangnya, penguasaan bahasa asing itu akan membolehkan mahasiswa memperluaskan horizon pekerjaan selepas tamat belajar. Mereka boleh meneroka pasaran kerja di negara-negara yang bahasanya telah dipelajari. Misalnya, banyak peluang pekerjaan terdapat di negara-negara berbahasa Arab yang meliputi Semenanjung Arab, dan Afrika Utara. Dasar pasaran terbuka di China dan kebangkitan Vietnam turut menjanjikan peluang pekerjaan bagi mereka yang menguasai bahasa China dan Vietnam.

Bersesuaian dengan peningkatan usia, mahasiswa harus menyedari juga bahawa mereka perlu segera menjadi matang. Mereka bukan budak-budak sekolah lagi. Tanganilah sebarang krisis identiti sebelum mula mengikuti kuliah. Mahasiswa sudah memasuki alam dewasa yang penuh pertanggungjawaban. Atas kurniaan akal fikiran yang terbaik, mahasiswa perlu memanfaatkan masa, tenaga dan fokus mereka terhadap usaha menggarap ilmu.

Masyarakat tidak mahu melihat mahasiswa yang masih keliru; merempit, menghisap dadah, menjadi teman sosial, dan terlibat dalam pelbagai gejala sosial yang lain. Masyarakat tahu bahawa sebahagian besar hasil pendapatan negara dibelanjakan untuk menyediakan dan meningkatkan kemudahan pendidikan kepada anak bangsa. Sebarang tingkah laku yang melanggar aspirasi masyarakat, hanya akan menimbulkan rasa tidak senang kepada semua pihak. Jadi sudah sepatutnyalah mahasiswa menginsafi hal ini dan tidak melakukan ‘tugasan’ selain daripada yang diberikan oleh para pensyarah mereka.

Tiada ulasan: