Jumaat, Julai 04, 2008

TOLAK PENGAJARAN KESUSASTERAAN INGGERIS

Jumaat lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein menyatakan minatnya untuk mencadangkan Kesusasteraan Inggeris diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara bermula dari peringkat sekolah rendah lagi. Cadangan ini katanya sebagai usaha radikal untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.

Selain itu beliau juga mencadangkan supaya latihan perguruan dikendalikan menggunakan bahasa Inggeris supaya guru-guru terlebih dahulu menguasai bahasa itu sebelum ditempatkan untuk mengajar di sekolah.

Saya pasti pihak-pihak yang selama ini menunggu sahaja peluang untuk menangguk di air yang keruh, akan tersenyum dan mula memasang angan-angan untuk mendapat keuntungan daripada cadangan ini. Justeru, saya ingin menyarankan supaya pegawai-pegawai tertinggi kementerian berfikir sedalam-dalamnya sebelum menafsir cadangan Menteri mereka itu. Ambil kira buah fikiran dan pandangan pelbagai pihak yang tidak berkepentingan seperti para guru, ahli akademik dan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan. Jangan sekali-kali bertanya kepada orang politik, orang ekonomi atau sang cauvinis dan sang oportunis.

Saya melihat bahawa kesilapan besar telah dilakukan oleh kementerian apabila memperkenalkan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains, enam tahun lalu. Banyak kajian telah dibuat dan pelbagai pandangan telah dikemukakan tentang kesilapan dasar ini. Malahan, dalam kenyataan terbaru itu, Menteri telah berjanji untuk meneliti lagi perkara tersebut dengan mengambil kira kajian yang dibuat setelah selesai satu pusingan dasar itu tahun ini. Ini kerana kumpulan pertama yang menggunakan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains sepenuhnya semenjak Tahun Satu persekolahan mereka akan menduduki UPSR pada penghujung tahun ini.

Berbalik kepada minat Menteri yang saya sebutkan di atas, beliau menganggap bahawa pengajaran kesusasteraan Inggeris adalah satu pendekatan radikal dalam usaha mengatasi kelemahan penguasaan bahasa Inggeris. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Menteri sendiri telah membayangkan bahawa dasar yang digunakan terdahulu tidak mendatangkan hasil yang positif. Pengajaran Matematik dan Sains menggunakan bahasa Inggeris gagal menghasilkan pelajar yang mahir berbahasa Inggeris. Sebaliknya, penguasaan mereka dalam kedua-dua subjek itu pula yang terjejas. Hal ini juga membuktikan bahawa pegawai-pegawai kementerian telah tersilap menafsir kehendak kerajaan supaya penguasaan bahasa Inggeris ditingkatkan terutama dalam bidang sains dan teknologi. Akibatnya, mereka telah memberikan nasihat yang salah pula kepada Menteri, lalu dasar dan pendekatan yang salah diimplementasi di sekolah. Haru-biru sekolah akibat kesilapan ini. Buku teks ditukar, guru-guru dihantar berkursus, kelas tidak ada guru, pelajar-pelajar luar bandar terjejas teruk; adalah antara situasi-situasi sebenar yang dialami oleh pihak pelaksana dasar. Semua pihak termasuk ibu bapa juga tertekan tidak tentu pasal.

Saya tidak bersetuju dengan cadangan Menteri tentang pengajaran kesusasteraan Inggeris itu. Bagi saya, yang tetap paling perlu diperkasakan ialah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Tidak perlu diperkenalkan subjek lain untuk menyelesaikan masalah penguasan subjek yang lain pula. Jika selama ini bahasa Melayu terpaksa bersaing dengan bahasa Inggeris, kesan paling ketara yang akan muncul nanti ialah persaingan yang tidak perlu antara kesusasteraan Melayu dengan kesusasteraan Inggeris. Krisis kehilangan khalayak yang melanda kesusasteraan Melayu sekarangpun masih masih belum terungkai, apatah pula nanti terpaksa bersaing dengan kesusasteraan Inggeris. KOMSAS belum benar-benar menghasilkan impak yang besar. Itupun baru dilaksanakan di sekolah menengah. Jika terlaksana juga pengajaran Kesusasteraan Inggeris di sekolah rendah, maka akan terjajah lagilah sistem pendidikan kita kerana kesusasteraan Melayu pun belum dijadikan subjek sekolah rendah.

Saya harap agar pegawai-pegawai kementerian memberi fokus sepenuhnya terhadap memperbaiki pendekatan pengajaran Bahasa Inggeris dengan meilihat sekitar domain itu sahaja. Janganlah jeling-menjeling domain yang lain kerana usaha sedemikian tidak akan menyelesaikan masalah sebenar. Cukuplah siksa enam tahun yang telah dilalui oleh pelajar-pelajar kita apabila terpaksa belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Tiada ulasan: