Rabu, Julai 15, 2009

MANEK URAI: ANTARA TUAN GURU NIK AZIZ DENGAN TUAN AZIZ

Saya fikir dalam senario satu lawan satu di DUN Manek Urai, pertembungan sebenarnya adalah antara dua Aziz bin Mat; seorang memiliki nama rasmi Tuan Aziz Tuan Mat, dan yang seorang lagi walaupun diwakili oleh calon yang bernama Mohd Fauzi Abdullah tetapi dibayangi oleh tokoh yang digelar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Satu fakta yang menarik dalam pertembungan pengaruh ini ialah perbezaan umur yang begitu ketara iaitu sekitar 40 tahun – Tuan Aziz 39, dan Tuan Guru Nik Aziz 78 tahun. Tuan Aziz daripada golongan muda yang cergas dan cerdas. Secara adatnya, beliau mempunyai masa yang masih panjang untuk memikul amanah dan tanggungjawab jika diberi peluang mewakili penduduk Manek Urai.

Tuan Guru Nik Aziz pula walaupun secara adatnya tidak mempunyai masa yang panjang lagi, namun impak pengaruhnya masih menjadi perhatian dan pedoman rakyat. Memang ada orang mengatakan apalah yang ada pada angka. Namun dalam konteks tabii, usia tua dan lanjut ada kaitannya dengan sindrom yang dipanggil ‘nyanyuk’ oleh orang Melayu.

Dalam Kamus Dewan, nyanyuk bermaksud ‘berkelakuan seperti kanak-kanak (berkenaan orang yang sudah terlalu tua), tidak berapa betul lagi (berkenaan fikiran orang yang sangat tua), atau raban.

Dalam bahasa Inggeris (Merriam-Webster Online Dictionary) nyanyuk disebut senile. Senile berasal dari perkataan Latin senilis yang bermaksud exhibiting or characteristic of old age, exhibiting a loss of cognitive abilities (as memory) associated with old age.

Dalam MedicineNet.com, senile dikaitkan dengan tiga keadaan; pertaining to old age, pertaining to the physical decline associated with old age dan pertaining to the mental decline once associated with old age but now known to be due to dementia.

MSN Encarta Dictionary pula mendefinisikan senile sebagai mentally less acute in later life; forgetful, confused, or otherwise mentally less acute in later life dan relating to later life: occurring in or believed to be characteristic of later life, especially the period after the age of 65 years.

Dalam kalangan orang Melayu umumnya, orang nyanyuk digambarkan sebagai orang tua yang pelupa, tidak mampu mengurus diri dari segi kebersihan dan makan-minum, dan bercakap tanpa sedar apa yang diperkatakan.

Sindrom ini melanda tanpa mengira kelas dan kedudukan, malahan sejak akhir-akhir ini masyarakat dimomokkan dengan beberapa tokoh politik yang sudah seperti dihinggapi sindrom ini. Ada yang menuduh orang lain sebagai komunis dan mengamalkan ajaran sesat tetapi segera menyatakan bahawa itu hanyalah kiasan sahaja. Selepas beberapa hari, tokoh yang sama mengulangi semula pertuduhan itu.
Ada yang secara keras dan nyata menolak untuk berbincang tentang perpaduan, tetapi selepas itu berhajat untuk berdebat tentang hal yang sama. Lebih kelihatan lucu lagi, tidak lama dulu ada seorang tokoh politik bukan Islam yang menyuruh rakan seperjuangannya yang beragama Islam supaya bertaubat.

Mereka sudah tua, tetapi masih rancak bercakap sesedap rasa, tanpa memikirkan kesan percakapan mereka itu boleh mengharubirukan rakyat, apatah lagi pihak-pihak yang ditujukan percakapan itu. Masalah ini menjadi lebih besar kerana ada rakyat yang menjadi pengikut setia dan taksub. Apa sahaja yang dilontarkan dianggap sebagai ‘fatwa’ dan kesannya sangat buruk.

Kita sedar, para pemimpin Malaysia ini kebanyakannya ‘dituakan sebelum waktunya’ (malah Siti Norhaliza pun sudah dituakan dengan gelaran Datuk!). ‘Badi tua’ itu menyebabkan beberapa pemimpin veteran menghamburkan kritikan dan tekanan sesuka hati.

Selagi dikejar media, selagi itulah pandangan yang sudah tidak rasional dan tidak relevan akan menjadi tatapan rakyat. Keadaan ini boleh menimbulkan lebih banyak ‘dosa berbanding pahala’!

Rakyat harus bijak menelaah setiap kenyataan yang dibuat. Setiap luncuran perkataan mereka sudah tidak boleh dianggap sebagai fatwa lagi kerana telah dihantui sindrom nyanyuk itu. Cuma sayangnya, ada yang tidak sedar akan hal itu atas faktor ‘keotaian’ mereka!

1 ulasan:

dynac3064 berkata...

Permasalahannya, mata dikaburi dengan unsur-unsur kehebatan. Kehebatan itu adalah hal keagamaan. Siapa yang berani tegakkan agama dipandang hebat. Maka duduklah ia di dalam kelompok penegak agama itu. Segala hal perkataan yang dihambur 'pengetua' adalah benar.

Hal ini boleh dikaitkan dengan cerita berikut.

Ali peminat sukan Gusti. Abu peminat sukan gimnastik. Suatu hari mereka berjumpa. Mereka berbual rancak tentang aktiviti di hujung minggu. Mereka gembira. Mereka rancak berbual pula tentang pekerjaan, mereka juga gembira. Apabila datang si Hasan, Hasan mencelah, dan menceritakan tentang aktivitinya yang kurang disenanginya. Hasan bercerita tentang bgaimana dia berasa kurang senang dengan perkara yang berlaku ketika sedang menonton tayangan gusti. Sedang ashik menonton, tiba-tiba anak perempuannya menukar channel lain untuk melihat aksi sukan gimnastik. Maka si Abu pula menyatakan pendapat bahawa sukan gimnastik baik untuk ditonton. Si Ali pula mencelah, dan tidak menyetujui Abu. Akhirnya mereka berdebat dan kegembiraan terus hilang.

Apa yang dapat dicungkil dari cerita yang saya reka itu ialah, individu biasanya akan taksub dengan apa yang dia pandang sebagai terbaik untuk dirinya sehingga mengenepikan hal-hal yang baik untuk dijadikan pedoman dalam membenarkan atau tidak membenarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh 'pengetuanya'.

Mereka yang tergolong dalam golongan ini mempunyai daya akal yang terbatas dan saya fikir itu bukan kesilapan mereka. Itu adalah kelemahan, dan mereka akan terbiar dengan cara mereka selagi tidak ada yang menyedarkan.