Sambutan Hari Bapa baru sahaja berlalu. Namun demikian, harus diingat bahawa tugas dan tanggungjawab seorang lelaki bergelar bapa mestilah terus dilaksanakan. Secara khususnya dari perspektif Islam, tugas seorang bapa terhadap anak-anaknya hanya selesai setelah anak-anak itu berkahwin.
Dari sudut pandangan budaya Melayu, takrif bapa boleh dirujuk seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan. Bapa bermaksud ayah, abah, abi (jika mahu kedengaran Islamik), serta ‘papa’ dan daddy (jika mengamalkan budaya keinggerisan).
Selain itu bapa juga merupakan panggilan kepada orang yang lebih tua dan dihormati. Gelaran bapa amat biasa bagi seorang lelaki dewasa di Indonesia. Malahan menteri-menteri mereka juga di gelar ‘bapa’ sahaja dan berbunyi lebih muda berbanding dengan gelaran ‘datuk’ bagi menteri Malaysia!
Satu lagi kemuliaan dan penghormatan bagi seorang bapa boleh dirujuk kepada takrif bapa sebagai perintis jalan atau pelopor dan pemimpin masyarakat. Di negara kita, kesemua mantan Perdana Menteri diberikan gelaran-gelaran khusus seperti Bapa Kemerdekaan (Tunku Abdul Rahman), Bapa Pembangunan (Tun Abdul Razak), Bapa Perpaduan (Tun Hussein Onn), Bapa Pemodenan (Tun Mahathir), dan Bapa Demokrasi/Bapa Pembangunan Modal Insan (Tun Abdullah).
Di sebalik pengiktirafan dan kemuliaan yang diberikan, gelaran bapa juga digunakan dalam masyarakat Melayu untuk maksud yang cela seperti bapa ayam, bapa penipu, bapa penyamun, bapa gangster, dan sebagainya. Gelaran cela ini diberikan kepada lelaki dewasa yang memiliki reputasi negatif menurut rujukan norma dan nilai dalam masyarakat.
Sama ada baik atau cela gelaran yang akan diberikan kepada seorang lelaki, segalanya bergantung kepada penampilan diri mereka. Jika mereka berpenampilan positif seperti bertanggungjawab terhadap anak isteri, menjaga kebajikan dan keselamatan keluarga, dan sentiasa berbudi bahasa apabila berada dalam lingkungan keluarga dan masyarakat, seorang bapa akan disanjung dan dilihat sebagai idola oleh anak-anaknya.
Sehubungan itu status quo citra seorang bapa seperti itu tetap utuh terpelihara, malahan dijadikan rujukan norma masyarakat Melayu. Jika seorang bapa gagal memenuhi tuntutan norma itu, maka hilanglah rasa hormat anak terhadap bapa mereka dan sekali gus akan menerima gelaran-gelaran bapa tercela.
Namun demikian, norma yang kukuh dalam budaya Melayu itu sudah semakin tergugat. Sempena sambutan Hari Bapa yang baru lalu, terpampang di dada sebuah akhbar tabloid gambar seorang bapa memimpin tangan anak perempuannya yang masih kecil. Tidak ada apa-apa kesalahan dalam gambar itu itu kecuali kuku panjang pada jari kelingking tangan kiri si bapa. Sama-samalah kita fikirkan kewajaran hal itu.
Semenjak akhir-akhir ini juga semakin banyak kisah ‘haruan makan anak’ dipaparkan terutamanya di media cetak. Di samping itu ada pula cerita-cerita sumbang mahram dalam keluarga, bapa dan anak menjalankan usahasama memproses dadah dan sebagainya.
Tidak cukup dengan itu, muncul pula perlakuan-perlakuan beberapa orang bapa yang bergelar Yang Berhormat yang mempamerkan aksi-aksi biadap tanpa mengira tempat dan khalayak. Ada yang terang-terang mengaku derhaka kepada sultan. Ada yang berdemonstrasi, malahan sanggup berbaring di jalanraya dan menghalang laluan raja.
Ada yang macam budak-budak terjerit-jerit dalam dewan persidangan. Ada yang lengkap berpakaian rasmi – berkot, bertali leher, dan bersongkok tetapi bermesyuarat di bawah pokok. Tidak cukup dengan itu, setelah baru sahaja selesai mengangkat sumpah taat setia di Parlimen, ada bapa yang sanggup menunjukkan aksi terlaung-laung menuntut itu dan ini dan berlagak hero.
Tingkah laku bapa-bapa sebegini adalah yang paling memalukan kerana mereka adalah orang yang dihormati dan telah diberi kepercayaan untuk menjadi idola oleh rakyat. Banyak cara lain lagi untuk menunjukkan kejagoan atas apa juga alasan. Begitukah caranya seorang yang dikatakan dewasa dan matang beraksi? Begitukah caranya menjalankan tanggungjawab?
Akhir sekali, apakah itu tingkahlaku yang mahu dilihat dilakukan oleh anak-anak mereka kelak? Jika benar begitu, sudah sedemikian jauh berubahnya norma dan nilai masyarakat kita.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan