Melihat senario politik Melayu kini, saya ingin membawa pembaca mengimbas semula keadaan politik negara selepas Pilihanraya Umum Ke-10 pada 29 November 1999. Walaupun Barisan Nasional (BN) masih mampu membentuk kerajaan dengan majoriti melebihi dua pertiga, kuasa politik orang Melayu sudah terpecah tiga; UMNO, Pas, dan Parti Keadilan Rakyat. Anwar Ibrahim berjaya memporakperandakan status quo politik Melayu sehingga statistik menunjukkan jika tidak kerana sokongan kuat pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina, sudah tentu BN tumbang. Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga turut mengakui hakikat itu.
Dengan perakuan yang sedemikian, orang Melayu semakin lelah untuk bersaing dengan masyarakat lain di tanah air sendiri. Jika sebelum itu, kuasa ekonomi yang digenggam oleh kaum lain dapat diseimbangkan dengan kuasa politik Melayu, kini semuanya telah hilang. Lebih buruk lagi, ketuanan Melayu yang bersabit dengan agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan raja-raja Melayu, dan hak istimewa orang Melayu mulai dicabar dari semasa ke semasa, dan semakin menjadi-jadi semenjak akhir-akhir ini. Semuanya kerana kaum lain tahu, orang Melayu sudah tidak ada taring lagi.
Beberapa pilihanraya kecil terbaru, termasuklah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau baru-baru ini mengesahkan lagi bahawa kuasa undi orang Melayu sahaja tidak memadai untuk memastikan kemenangan BN. Setelah disahkan oleh pemimpin Melayu melalui Pilihanraya Umum 1999 itu, kaum Cina dan India semakin bijak menggunakan kesempatan ‘kuasa’ melalui undi mereka untuk mencabar kuasa politik dan sekali gus ketuanan Melayu itu sendiri.
Sekarang orang Melayu menjadi ‘kambing hitam’ bagi segala masalah politik negara. Imej ini ditambahburukkan lagi dengan tuduhan-tuduhan amalan politik wang dalam kalangan para pemimpin sehingga menyebabkan rakyat terus hilang keyakinan. Walaupun beberapa pemimpin bukan Melayu turut dilihat ‘tidak bersih’ kerana terlibat dalam pelbagai skandal berkisar 3 ‘ta’ – takhta, harta, dan wanita, namun bersandarkan imej Melayu itu Islam, peri laku pemimpin Melayu kelihatan lebih ‘berdosa’! Dan rakyat menghukum serta-merta.
Faktor sentuhan terakhir Tun Mahathir sendiripun tidak mampu mengembalikan Bukit Selambau dan Bukit Gantang kepada BN, walaupun pakatan pembangkang tidaklah sekuat mana.
Justeru itu saya fikir pemimpin Melayu sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang, dan orang Melayu sendiri perlu membuat muhasabah yang sedalam-dalamnya dan sejujur-jujurnya. Melepaskan kuasa politik ke tangan bukan Melayu tidak menjanjikan keadaan yang lebih baik. Saya lihat, sekurang-kurangnya peribumi di Sabah dan Sarawak lebih matang berpolitik. Mereka menolak teori persepsi dan bijak menilai BN melalui hasil kerja, bukannya percaya kepada retorik semata-mata.
Apakah pemimpin Melayu dan orang Melayu masih selesa dengan sorak-sorai sedangkan kampung sudah hampir tergadai? Apakah pemimpin Melayu masih senang ‘berkokok tetapi ekor bergelumang najis’?
Kembalilah ke era politik matang dan bijaksana seperti yang pernah diamalkan pemimpin terdahulu terutamanya Tun Razak dan Tun Mahathir. Orang Melayu kuat di dalam kerajaan dan lantang sebagai pembangkang. Kebijaksanaan mereka membolehkan orang Melayu berpeluang keluar daripada kepompong kemiskinan. Pembangunan Islam menjadi agenda berterusan, dan ketuanan Melayu tidak tergugat. Namun pada masa yang sama wujud chemistry dalam hubungan antara Melayu dalam kerajaan dengan Melayu dalam pembangkang.
Takdir menentukan Datuk Seri Najib Tun Razak mewarisi kepemimpinan negara. Darah Tun Razak yang mengalir dalam tubuhnya diharap dapat mengembalikan semula era kegemilangan politik Melayu. Setelah banyak kerosakan yang berlaku, tugas ini sangatlah berat tetapi bukan sesuatu yang mustahil. Para pemimpin Melayu mesti tulus dan telus. Jika sebenar-benarnya mereka ikhlas mahu menjamin kelangsungan ketuanan dan survival Melayu, mereka bukan sahaja mesti bersih tetapi wajib kelihatan bersih.
Sebelum mengembalikan rakyat kepada BN, pemimpin Melayu perlu meyakinkan terlebih dahulu rakan-rakan pemimpin parti komponen bahawa mereka benar-benar ‘mahu’ membina semula integriti dan kematangan berpolitik. Gejala politik wang, sama ada hakikat atau hanya sekadar persepsi, mestilah dihapuskan sepenuhnya.
Kita tidak dapat menafikan bahawa ada keputusan pemilihan pemimpin dalam Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu, yang memberi kesan terhadap keputusan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau. UMNO belum benar-benar ‘dilihat bersih’.
Mujurlah Perdana Menteri bersikap bijaksana memilih saf kepemimpinannya. Para pemimpin Melayu yang digugurkan atau tidak terpilih perlulah menerima hakikat ini. Janganlah bersikap ‘lempar batu sembunyi tangan’. Bagi mereka yang ‘dibersarakan’, bersaralah dengan ikhlas dan janganlah ‘bersilat di luar gelanggang’.
Adalah diharapkan saf tersebut dapat mengembalikan keyakinan kaum bukan Melayu untuk menyokong kerajaan. Mereka bukan benci tetapi mereka hanya rindukan kepemimpinan yang ikhlas membangunkan Malaysia dengan bersandarkan slogan Satu Malaysia. Dahulukanlah rakyat.
Rabu, Julai 15, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan