Memang ada kebenarannya apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Khalid Abdullah tentang mengubah semula nama UMNO kepada PEKEMBAR dalam Utusan Malaysia semalam. Penggunaan nama United Malay National Organisation telah secara dasarnya menyesatkan roh Melayu dan mengelirukan jati diri pertubuhan yang sepatutnya menyatukan orang Melayu.
Dari segi sejarahnya, dengan maksud Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), pertubuhan ini telah berjaya menyatukan seluruh parti Melayu semenjak pramerdeka. Justeru itu PEKEMBAR sebenarnya lebih relevan dalam usaha menyatukan orang Melayu tanpa mengira negeri, fahaman dan pegangan politik masing-masing. Malahan latar belakang akademik dan kecenderungan agama juga boleh dilangkau. Yang penting asalkan orang Melayu.
Dalam salah satu hasil masterpiece Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Pendekar Bujang Lapuk, saya teringat satu dialog yang dituturkan oleh Sudin ketika mereka melintasi sekolah yang mengajar orang-orang tua. Justeru ketiga-tiga watak; Ramli, Sudin dan Ajis digambarkan sebagai buta huruf, mereka cuba meneka tulisan pada papan tanda sekolah itu. Dialog itu lebih kurang berbunyi begini: “Alif (A) mim (M) nun (N) wau (U/O), alif (A) tendang wau (U/O); SARKAS!”
Sama ada di sedari atau tidak, ejaan itu jika dibunyikan akan disebut “AMNU/O” (= UMNO!). Jika benar itulah yang tersirat di sebalik dialog tersebut, pada waktu itu lagi P. Ramlee sudah dapat meramalkan, jika orang Melayu gagal ‘membaca’ alif mim nun wau, dan apabila alif tendang wau, yang tinggal hanyalah huruf alif (A), mim (M) dan nun (N) yang boleh diterjemahkan sebagai “Akhirnya Melayu Nazak”. Walau bagaimanapun, sebelum sampai ke tahap nazak itu, orang Melayu akan menjadi bahan tontonan seperti dalam persembahan sarkas.
Itulah yang dilihat sedang berlaku dalam kalangan orang Melayu sekarang. Belum selesai masalah kemiskinan tegar, penguasaan ekonomi, penyalahgunaan dadah, ajaran sesat, hedonisme, merempit dan sebagainya, muncul lagi aksi-aksi perebutan kuasa, politik wang, fitnah-memfitnah, penderhakaan, saman-menyaman, lompat-melompat dan macam-macam lagi.
Dari luar lingkungan itu, semua aksi tersebut sangat menarik untuk ditonton, dan saya yakin jangkauan penonton bukan sahaja terhad setakat dalam negeri tetapi juga penonton antarabangsa. Saya juga yakin, ramai penonton yang ‘membayar’ untuk memastikan aksi-aksi ngeri itu tetap berlanjutan!
Masihkah pemimpin-pemimpin Melayu tidak sedar akan falsafah tersirat di sebalik dialog Pendekar Bujang Lapuk itu? Rakyat nampaknya lebih arif tentang hal tersebut, barangkali kerana mereka ada banyak masa untuk menonton filem berkenaan yang tidak jemu-jemu ditayangkan media elektronik kerana rating penonton masih tetap tinggi.
Atau apakah Ketuanan Melayu hanya memegang falsafah Pendekar Mustar; “hantam sajalah”, walaupun langkah anak muridnya sumbang? Jika boleh diterjemah ketuanan itu sebagai para raja dan para rakyat yang menjadi mengundi, saya fikir golongan pembesar (pemimpin) Melayu perlu segera sedar bahawa raja-raja telah melafazkan kegusaran mereka, manakala rakyat telah bersuara dalam pilihanraya umum dan dua pilihanraya kecil yang lalu. Perlukah menunggu pula beberapa pilihanraya kecil lagi yang bakal berlangsung?
Buat kesekian kalinya, suara-suara dan harapan penyatuan orang Melayu khususnya yang diwakili oleh UMNO dan Pas mulai kedengaran lagi. Adalah diharapkan para pemimpin Melayu akan tulus dan telus menyahut seruan ini dengan mengetepikan ego masing-masing. Jangan lagi asyik beretorika kerana itu hanya akan lebih mengelirukan rakyat. Jika berlaku percanggahan hukum-hakam dan perundang-undangan seperti yang melanda negeri Perak sekarang ini, kembalilah kepada satu lagi sumber yang kita wajib percaya; iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Akhirnya para pemimpin Melayu juga harus sentiasa insaf bahawa sebagai Muslim, kita wajib percaya bahawa setiap pemimpin akan ditanya akan kepemimpinannya. Jadi sewajarnyalah kita kembalikan citra Melayu Muslim itu dalam segala tindak-tanduk kita supaya perjuangan kita diberkati Allah. Keberkatan itulah yang dinantikan oleh setiap umat Melayu kini. Dengan paksi ini sahajalah kita akan kembali disegani kaum lain dan tidak lagi diperkotak-katikkan seperti sekarang ini. Tutupilah segala pekung dengan musyawarah. Janganlah terus-terusan bersorak kerana kita khuatir kampung halaman akan tergadai. Janganlah juga kita ‘biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya’ sambil bernyanyi “biarkan, biarkan!”
Dr. Sharifudin Lubis
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Melayu, sifat-sifat dan pemikiran mereka lemah kalau digunakan untuk tujuan perpaduan. Perpaduan memerlukan kerjasama. Kerjasama memerlukan kesefahaman. Kesefahaman tentang, sentiasa prihatin untuk melunaskan tanggungjawab, bukannya prihatin untuk meminta hak(meminta-minta).
Melayu, kepintaran mereka akan berhasil dan mendatangkan hasil jika hal meminta-minta itu dibuangkan.
Meminta di sini bermaksud, orang Melayu cenderung untuk memilih jalan singkat untuk kemudahan diri. Kajikan tentang maksud permintaan. Pada masa-masa yang tertentu, kita akan meminta. Kajikan kenapa saya berkata begini. Kenapa Melayu itu meminta? Lihat pada sejarah. Melayu meminta untuk tidak diganggu kerana cukuplah apa yang ada kerana yang demikian(cukupla) sudah memadai. Melayu di sini tidak memikirkan kemajuan(tidak semua). Terlalu banyak perkara lain yang tidak mampu diselitkan pada ulasan saya ini dan ini adalah secara luaran sahaja. Sekian
Catat Ulasan