Jumaat, November 21, 2008

SUKA HATILAH...

Sudah sekian lama pelbagai pihak berhujah mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ada yang menyokong dasar itu diteruskan, dan ramai pula yang membantah. Namun sehingga kini, kerajaan masih berteka-teki mengenai isu ini.

Saya fikir, sudah sampai masanya kita berhenti membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk berbahas kerana segala-galanya terletak di tangan menteri yang berkenaan. Hal ini samalah ketika dasar PPSMI itu hendak dilaksanakan dahulu; tidak perlu bersusah payah berbincang, terus sahaja umumkan dan laksanakan.

Rakyat kini memang telah benar-benar faham, bahawa segala sudut kehidupan di negara ini tidak dapat lari daripada agenda politik yang tersembunyi di sebalik segala dasar sosioekonominya. Laungkanlah apa sahaja pandangan tentang apa sahaja isu, keputusan muktamadnya terletak di tangan menteri. Biarpun ada antara dasar itu melanggar akta-akta dan perlembagaan negara, namun atas kuasa politik, segala-galanya menjadi halal.

Memang sudah jelas dan nyata bahawa Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 menetapkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Tidak cukup dengan itu, akta-akta pendidikan seperti Penyata Razak, Penyata Rahman, dan Akta Bahasa Kebangsaan sendiri telah dengan sejelas-jelasnya menetapkan bahasa pengantar dalam sistem pelajaran ialah bahasa Melayu. Apa lagi yang perlu dijadikan hujah?


Mulai sekarang, yang perlu difikirkan ialah bagaimana hendak membubarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana fungsinya sudah tidak relevan lagi. Berjuta-juta ringgit yang telah dibelanjakan oleh DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, membazir begitu sahaja. Malahan, fakta bahawa sehingga kini, sudah terbit 36 kamus istilah dan 222 glosari istilah mencakupi semua bidang peradaban manusia termasuk yang terbaru bidang aeroangkasa, masih tidak kukuh untuk mempertahankan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi. Bahasa Melayu sudah membuktikan kemampuannya sebagai bahasa asas penerokaan ilmu yang berjaya membawa rakyat Malaysia ke angkasa lepas. Sudah lebih 400 000 istilah dicipta. Semuanya tetap tidak cukup untuk dijadikan hujah bagi mempertahankan bahasa Melayu.

Fikirkanlah juga apa yang hendak dibuat dengan Institut Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia yang tersergam di Lembah Pantai itu. Paling mudah ialah gugurkan sahaja nama ‘Bahasa Melayu’ itu seperti mana mudahnya kerajaan menukarkan nama bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia tahun lalu. Kemudan, latihlah semahir-mahirnya bakal-bakal guru yang akan mengajarkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Persatuan Linguistik Malaysia lebih baik bubarkan sahaja kerana tidak ada faedahnya. Kewujudannya hanya meletihkan para sarjana linguistik bahasa Melayu kerana perlu datang bermesyuarat dan berbincang tentang entah apa-apa.

Jabatan-jabatan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi (IPTA) juga wajar ditransformasikan menjadi benda-benda lain; terpulang kepada pihak pengurusan masing-masing. Sesuai juga agaknya dijadikan arkib atau muzium warisan bangsa kerana bahasa Melayu hanya tinggal sebagai warisan untuk pameran dan kajian sahaja. Tidak perlu sebarang usaha pengembangan kerana dalam dunia yang bakal dikuasai sepenuhnya oleh sains dan teknologi, bahasa Melayu tidak perlu lagi. Beberapa IPTA yang berteraskan sains dan teknologi sudahpun mengisytiharkan hal ini beberapa tahun lalu. IPTS usah ditanya lagi.

Kemuncaknya, Universiti Kebangsaan Malaysia juga wajar dibubarkan kerana jika masih wujud, UKM akan menjadi monumen yang amat memalukan negara dan bangsa. Hal ini kerana UKM diwujudkan khusus untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Semaklah akta penubuhannya jika tidak percaya.

Akhir sekali, bagi seluruh kaum Melayu, marilah sama-sama kita mengisytiharkan bahawa nama kita kini ialah bangsa Malaysia, seperti mana tuntutan suara-suara politik itu. Kitalah yang perlu memulakan, dan akan diikuti oleh kaum-kaum lain yang ada di negara kita; jika mereka benar-benar ikhlas mahu menjadi rakyat Malaysia.

MELAYU PERLU HORMATI DIRI SENDIRI DAHULU

Saya fikir dalam isu hak peribumi khususnya orang Melayu yang tidak lagi dihormati kaum-kaum lain sebenarnya berpunca daripada orang Melayu sendiri. Sejak akhir-akhir ini, orang Melayu membiarkan diri mereka kehilangan kehormatan dengan pihak-pihak dalam kalangan orang Melayu sendiri meruntuhkan satu demi satu maruah dan ciri kedaulatan jati diri mereka. Tidak perlu kaum lain mencuba untuk merosakkan imej Melayu. Ini bertepatan dengan firman Allah yang antara lain menyebut tidak ada bangsa lain yang menentukan nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu sendiri.

Orang Melayu perlu bermuhasabah diri. Tidak perlu menuding jari ke arah orang lain, kerana dengan satu jari menunjuk ke arah pihak lain, tiga jari lagi menunjuk ke arah diri sendiri. Orang Melayu mempunyai beberapa ciri kehormatan. Ciri paling utama ialah bahawasanya Melayu itu beragama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa pengislaman Melayu yang dikesan semenjak abad ke-13 Masehi telah membentuk citra Melayu yang amat hebat sehingga mampu membina empayar yang menyatukan seluruh etnik Melayu. Empayar Melayu Melaka menjadi mercu tanda kegemilangan ini.

Namun sejarah juga telah membuktikan bahawa keruntuhan Melayu pada zaman itu adalah disebabkan orang Melayu sendiri telah mula menyeleweng daripada ciri-ciri keislaman sejati. Para pemimpin Melayu yang banyak terlibat dengan perdagangan bersifat rakus dan tamakkan kekayaan. Tindas-menindas mulai menjadi budaya. Keadaan ini menimbulkan pula gejala rasuah dan perpecahan dalam kalangan pembesar. Kezaliman dan fitnah memfitnah menjadi sesuatu yang lumrah. Pada saat inilah Portugis meruntuhkan kegemilangan yang telah dibina. Dan selama beratus-ratus tahun berikutnya, orang Melayu terjajah di bumi sendiri.

Pada abad ke-19 dan ke-20, orang Melayu bangkit semula membina negara bangsa yang bersifat metropolitan dek dasar penjajah. Kali ini orang Melayu perlu menerima hakikat bahawa negara ini bukan milik mereka sendiri sahaja tetapi terpaksa berkongsi dengan dua bangsa utama yang lain iaitu Cina dan India. Sudah tentulah persaingan menjadi lebih hebat dan kompleks. Justeru masing-masing mempunyai kesamaan dan perbezaan dalam pelbagai aspek termasuk budaya dan sistem kepercayaan, orang Melayu seolah-olah gagal menyesuaikan diri membina ketamadunan baru berasaskan ciri yang heterogenus. Malahan ada kalangan sarjana bukan Melayu yang kehairanan melihat orang Melayu yang seperti cacing kepanasan berjuang dan berusaha mempertahankan hak seolah-olah mereka bersifat minoriti dan pendatang.

Keliru dengan persekitaran persaingan yang lebih mencabar, orang Melayu mulai melihat agama sebagai adat; hanya wajib dipegang apabila hendak bernikah, jika berlaku kematian, atau pada musim perayaan sahaja. Dalam aspek kehidupan yang lain; rasuah menjadi-jadi sama ada kecil atau besar, sama ada secara terang atau sembunyi, sama ada secara ‘halal’ atau secara haram. Masalah dadah tidak pernah selesai malah bertambah buruk. Budaya hedonism semakin menular dan tambah melampau apabila diharuskan atas pelbagai alasan termasuk amal jariah. Budaya fitnah-memfitnah tidak pernah surut sehingga terpaksa bersumpah junjung Qur’an. Politik wang, sistem kehakiman yang culas dan ketirisan sistem penyampaian kerajaan pimpinan Melayu telah menjadi rahsia awam. Semuanya amat mengjengkelkan.

Orang Melayu secara terang-terangan berkelahi sesama sendiri dalam banyak gelanggang. Segala keburukan ini mendapat liputan media pimpinan Melayu sendiri yang bertindak seolah-olah membuka pekung di dada. Jadi, bagaimanakah kita mahu memaksa orang lain menghormati kita jika segala pekung yang berkudis, bernanah, berulat, dan amat busuk itu telah didedahkan kepada kaum lain? Seingat saya, semenjak musim PRU Ke-12 dahulu lagi, media tidak pernah gagal menghidu berita keburukan perangai orang Melayu. malahan ada juga ‘siaran langsung’ pergaduhan suami isteri selebriti melalui media elektronik.

Orang Melayu wajib kembali kepada citra ‘Melayu itu Islam’. Islam bermaksud sejahtera dan selamat. Apabila kita buang citra ini, selamanyalah orang Melayu akan terus berantakan dan hilang kehormatan diri. Dalam situasi begini, tidak perlulah kita merayu orang lain menghormati kita. Lebih daripada itu, belajarlah daripada sejarah Melaka jika kita mahu terus berdiri sebagai satu bangsa yang bermaruah. Janganlah kita terlalu bodoh mengulang kembali kesilapan yang telah dilakukan oleh orang Melayu ketika itu.

Kepemimpinan Melayu perlu segera mengambil langkah muhasabah diri sebelum mengajak orang Melayu melakukannya. Tidak sukar sebenarnya memimpin bangsa Melayu kerana masih ramai orang Melayu yang berpegang kepada wa’adat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang dimeterai di Bukit Siguntang Mahameru. Pihak istana telah memberi isyarat supaya orang Melayu segera bangkit daripada kekalutan yang sudah semakin menular. Malahan orang bukan Melayu juga kini sudah semakin resah, dan keresahan mereka itu sebenarnya menunjukkan bahawa mereka masih mempunyai keyakinan bahawa kejayaan negara ini amat bergantung kepada kestabilan dan kedaulatan bangsa Melayu.

Tafsirkanlah sejujurnya pesanan Hang Tuah bahawa takkan Melayu hilang di dunia. Usahlah beretorika lagi kerana kini masanya untuk menterjemah kedaulatan bangsa kepada ketamadunan akal dan hati budi. Keharmonian dan kejayaan membina tamadun baru itulah yang akan menjadi manifestasi kedaulatan Melayu yang sebenar-benarnya. Apabila tercapai nanti, bangsa Melayu dan segala hak peribuminya akan dihormati dan tidak lagi diperkotak-katikkan.

Rabu, November 12, 2008

TELITI ISU BAHASA MELAYU HINGGA KE AKAR UMBI

Isu cabaran dan penghinaan yang dihadapi bahasa Melayu nampaknya tidak pernah reda. Lepas satu isu, satu isu yang lain pula akan muncul. Setiap kali pula media tidak jemu memaparkannya apatah lagi apabila membabitkan kenyataan dan ulasan oleh para pemimpin negara.
Ada dua isu bahasa Melayu yang timbul setakat beberapa hari ini. Satu ialah berkenaan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan para peguam. Satu lagi ialah berkaitan papan tanda kawasan perumahan dan nama jalan sebuah taman perumahan di Ipoh.
Pada pendapat saya, kedua-dua isu terbaru ini dan isu-isu lain yang berkaitan dengan status bahasa Melayu boleh diselesaikan dengan mendiagnosis akar puncanya. Saya menarik perhatian kepada asas pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Negara, Fasal 152.
Masyarakat sering dikhabarkan bahawa kedudukan bahasa Melayu dijamin oleh Perlembagaan. Namun demikian ada sebahagian fasal tersebut yang dengan jelas menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain tidak boleh dilarang daripada digunakan, malah boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja terutama penutur jati masing- masing.
Walaupun banyak pihak (termasuk Datuk Azian Osman - seorang peguam, Senator, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur yang mempertikaikan papan tanda pelbagai bahasa di kawasannya) yang menyangka bahawa Fasal 152 itu begitu luhur dan dapat menjamin kedudukan bahasa Melayu, tetapi hakikatnya ialah bahasa Melayu terpaksa juga bersaing dengan bahasa-bahasa lain.
Dalam era dunia yang sangat dikuasai kapitalis, bahasa Melayu langsung tidak berdaya saing dari segi ekonomi dan menjadikannya bahasa yang tidak berkuasa apa-apa, walaupun seolah-olah selamat dalam Perlembagaan.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kuasa politik orang Melayu merudum semenjak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu. Ternampak jelas perkaitannya; apabila kuasa politik Melayu terjejas, daulat bahasa Melayu turut terheret ke lembah penghinaan.
Tiada sesiapa lagi yang peduli akan nasib bahasa ini kerana 'sudahlah miskin, hina pula'!
Sebelum kita menuding jari kepada pihak lain untuk dipersalahkan, saya fikir elok jika kita sendiri bermuhasabah diri. Kedudukan bahasa Melayu menjadi begitu goyah kerana akarnya tidak kemas. Akar yang dimaksudkan di sini ialah dari segi kedudukan sebenarnya dalam Perlembagaan. Fasal 152 itu menjadi rujukan asas kepada pelbagai dasar bahasa yang terbit kemudian.
Pelbagai pindaan dangkal (terutama beralaskan agenda politik) dibuat dan akhirnya menjadikan status bahasa Melayu tidak ubah seperti 'raja tanpa kuasa'. Jika kita benar-benar mahu memartabatkan bahasa Melayu, perkemaskan intipati fasal tersebut dan buat pindaan terhadap setiap perkataan, ungkapan atau ayat yang boleh menggugat status bahasa Melayu.
Secara sedar atau tidak, syarat yang dikenakan dalam fasal itu membolehkan sekolah beraliran jenis kebangsaan ditubuhkan. Para pemimpin pula tidak wajib menggunakan bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi. Banyak situasi majlis rasmi sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa (yang dihadiri oleh hanya seorang dua orang asing) yang memperlihatkan para pemimpin tertinggi negara tidak menggunakan bahasa Melayu.
Masih ramai pula peguam (rakyat Malaysia dan menerima pendidikan bidang guaman sepenuhnya di Malaysia) tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam perbicaraan di mahkamah. Kesemua mereka tidak boleh disabitkan sebagai melanggar Perlembagaan kerana Perlembagaan membolehkan bahasa lain selain bahasa Melayu digunakan.
Tidak cukup dengan itu, status bahasa Melayu sebagai akar perpaduan rakyat negara ini juga tidak dipedulikan, terutamanya yang membabitkan dasar-dasar sosial termasuk pendidikan.
Dalam keadaan yang goyah, diperkenalkan pula dasar PPSMI yang menjadikan bahasa Melayu terus terpinggir kerana kehilangan peranannya sebagai bahasa pengantar dominan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Sekali lagi para pemimpin tidak bersikap 'kepimpinan melalui teladan'. Bagaimanakah komunikasi antara rakyat berbilang kaum dapat 'dinyah prejudis' jika bahasa pertuturan mereka berlainan? Jurang komunikasi inilah yang menjadikan isu perpaduan kaum semakin parah.
Satu sahaja jalan bagi menyelesaikan kemelut ini iaitu menerusi jalan politik. Sementara kerajaan yang ada masih mempunyai kuasa majoriti, para pemimpin yang telah diberi mandat haruslah meneliti isu bahasa Melayu ini sehingga ke akar umbinya.
Janganlah bermain retorika politik lagi. Pilihlah; sama ada ikhlas untuk mendaulatkan bahasa Melayu atau 'alang-alang menyeluk pekasam' biarkan kita menjadi seperti Singapura.
Kami para pencinta bahasa Melayu sudah jemu bermain dengan perasaan; seperti kata pantun:
Apa diharap padi seberang,
entah berbuah entahkan tidak,
entah dimakan pipit melayang;
apa diharap bahasa tersayang,
entah bertuah entahkan tidak,
entah semakin bertambah hilang!

Selasa, September 16, 2008

MELAYU JANGAN LANGGAR DAULAT

Melihat kekalutan yang sedang melanda orang Melayu dewasa kini, saya fikir kita perlu bermuhasabah; menentukan apa sebenarnya yang menjadi masalah, dan mengapa masalah itu boleh berlaku sekarang.

Bangsa Melayu sudah wujud sejak zaman berzaman lagi. Hakikat bahawa bangsa Melayu pernah mencapai tamadun yang tersendiri khususnya pada zaman Kerajaan Melayu Melaka, membuktikan bahawa bangsa ini bukanlah bangsa yang baru berusia setahun jagung dan mudah gawat apabila dilanda masalah demi masalah.

Ketersebaran bangsa Melayu di kawasan induknya di Nusantara serta di wilayah-wilayah pinggiran yang digelar Melayu diaspora, juga menjadi bukti bahawa orang Melayu sesungguhnya ialah bangsa yang hebat kerana mampu menjangkau sebaran wilayah yang begitu luas, apatah lagi dengan merentas lautan. Tidak seperti orang Cina atau India, konsep ‘benua’ bagi orang Melayu terdiri daripada lautan yang maha luas. Badai dan gelombang apapun yang melanda, bangsa Melayu tetap tidak kelemasan atau hilang dari dunia, bersesuaian dengan sumpah Hang Tuah “Tak Melayu Hilang di Dunia”.

Namun sejak akhir-akhir ini, kehebatan dan kekuatan Melayu dilihat sudah mulai merapuh. Lantaran sedikit tsunami sosioekonomi dan sosiopolitik, orang Melayu berantakan sesama sendiri. Jika mengambil kira tarikh pilihanraya yang lalu, sudah masuk 6 bulan keadaan masih belum reda malahan bagaikan ‘retak menanti belah’.
Saya melihat kegawatan dalam kalangan orang Melayu kini adalah disebabkan oleh pelanggaran terhadap beberapa elemen penting yang menjadi tonggak kedaulatan bangsa Melayu itu sendiri. Yang pertama ialah berkenaan pencabulan hirarki purba bangsa Melayu. Dahulu orang Melayu hanya terbahagi kepada dua; raja sebagai pemerintah dan rakyat jelata sebagai yang menerima perintah. Tidak ada perantara. Tidak ada parti politik. Tidak ada wakil rakyat.

Kedua-dua pihak diikat oleh satu perjanjian (waadat) yang dimeterai oleh Sang Sapurba (dalam Sejarah Melayu) atau Seri Teri Buana (dalam Sulalatus Salatin) mewakili golongan pemerintah, dengan Demang Lebar Daun yang mewakili golongan rakyat. semuanya telus dan tulus.

Kandungan perjanjian itu antara lain mengikat pemerintah khususnya raja supaya tidak menzalimi rakyat dan rakyat pula hendaklah taat setia kepada raja. Semenjak itu, waadat tersebut menjadi perlembagaan orang Melayu. Raja kekal berdaulat kerana menerima ikrar taat setia rakyat. Manakala rakyat pula dinaungi kedaultan tersebut.

Hubungan sedemikian menjadikan orang Melayu begitu kukuh dan ampuh. Namun demikian, episod sejarah telah membuktikan apabila berlaku sahaja pelanggaran kepada perjanjian itu, orang Melayu akan menerima musibah. Antaranya; peristiwa Sang Rajuna Tapa di Singapura dan persaingan merebut pengaruh antara Raja Mendeliar dan Kitul di Melaka. Kemuncak kepada episod hitam itu ialah kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Selama 446 tahun berikutnya, orang Melayu dijajah silih berganti sehinggalah Merdeka pada 1957.

Kemerdekaan mewujudkan hirarki ketiga dalam kalangan orang Melayu; iaitu golongan wakil rakyat. Berdasarkan prinsip demokrasi moden dan sekular, golongan ini mengambil alih tampuk kuasa dan pemerintahan daripada raja-raja Melayu. Pada detik ini, salah satu ciri kedaulatan Melayu itu telah dilupuskan. Yang berkuasa kini ialah sesiapa sahaja dalam kalangan orang Melayu, sekalipun rakyat kebanyakan. Para wakil rakyat tidak sabit dengan perjanjian yang telah termeterai sebelumnya. Justeru itu, tiada pensabitan atas apa-apa saja yang boleh dianggap sebagai menzalimi rakyat. Tiada juga ketulahan kepada rakyat yang menderhaka.

Dengan hirarki baru ini, sumpahan rakyat dimanifestasikan melalui hanya satu undi dalam pilihanraya sahaja. Timbang tara tidak dapat dilaksanakan kerana kedua-dua pihak telah hilang pertanggungjawaban masing-masing. Bukan setakat itu, malahan pada penghujung 1980-an kekebalan raja-raja juga telah turut dimansuhkan. Semua golongan orang Melayu boleh didakwa-dakwi tetapi tidak menggunakan pertimbangan yang dicipta dan diamalkan oleh nenek moyang.

Penguraian ikatan tradisional ini menjadikan orang Melayu kehilangan pedoman. Tiada sesiapa pun yang dapat meleraikan kekusutan yang timbul; satu demi satu. Lalu ada yang berpaling ke luar lingkungan Melayu untuk meraih kekuatan. Senario seperti mana yang pernah berlaku di istana Melaka antara Raja Mendeliar dan Kitul, kini seolah-olah muncul kembali. Dan kita tahu natijahnya.

Satu lagi sumpahan yang telah dilanggar oleh bangsa Melayu ialah sumpahan “bahasa yang menunjukkan bangsa”. Kewujudan bangsa Melayu menjadi sirna kerana tidak lagi patuh menggunakan bahasanya. Benar, bahasa Melayu kekal dalam Perlembagaan Negara melalui Fasal 152 tetapi sejauh manakah kedaulatan bahasa itu mampu menaungi lagi bangsanya apabila bangsa itu sendiri menderhaka.

Pada tahun 2007 yang lalu, bahasa Melayu telah secara rasminya dilupuskan dan digantikan dengan bahasa Malaysia. Demi toleransi dan kompromi sosiopolitik, kita gadaikan kedaulatan bahasa itu. Beberapa tahun sebelum itu, kita juga telah mengabaikan bahasa Melayu apabila dipinggirkan dalam sistem pendidikan kita. Kita hina bahasa Melayu kerana dikatakan kolot lantaran tidak berupaya membawa bangsa Malaysia ke persada dunia yang berteraskan sains dan teknologi. Kita langgar ikrar yang kita maktubkan dalam perlembagaan bahawa bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Kita pilih bahasa Inggeris, bahasa bangsa yang pernah menjajah kita. Sekali lagi kita gadaikan maruah bahasa Melayu. Persoalannya; bahasa Inggeriskah yang membawa angkasawan kita ke angkasa lepas tempoh hari?

Satu demi satu sumpahan telah melanda bangsa Melayu. Lantaran terlalu banyak termakan sumpah, orang Melayu sudah tidak keruan lagi sehinggakan ‘Sumpah Saiful’ tempoh hari terpaksa bersaksikan Tuhan Yang Maha Esa. Kita sudah hilang kepercayaan kepada bangsa sendiri dek keterlaluan kita melanggar waadat nenek moyang. Namun demikian, masih ada waktu untuk kita segera insaf dan berusaha bersama-sama mengembalikan kedaulatan bangsa Melayu tanpa mengira kita daripada hirarki yang mana satu.

SURAT UNTUK PEMIMPIN MELAYU

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berbahagia Tun dan Toh Puan.
Yang Berbahagia Tan Sri dan Puan Sri.
Yang Amat Berhormat/Yang Berhormat Datuk-datuk dan Datin-datin.
Yang Dihormati seluruh tampuk kepemimpinan Melayu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Apa khabar tuan-tuan dan puan-puan semua? Diharapkan dalam kita melalui Ramadhan 1429 Hijrah ini, Allah S.W.T. mengurniakan kekuatan kepada kita untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan. Ingatlah, orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa - bukan pangkat, kuasa, atau kemuliaan dunia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang mulia. Kami rakyat Melayu jelata merasakan bahawa kedatangan Ramadhan kali ini amat berbeza daripada Ramadhan terdahulu. Kebetulan hari pertama Ramadhan jatuh betul-betul selesai sahaja kita menyambut ulangtahun Kemerdekaan ke-51. Seperti kesunyian dan kehambaran sambutan kemerdekaan tahun ini, Ramadhan kali ini datang tatkala orang Melayu sedang pilu dan dilanda perasaan resah gelisah memikirkan nasib dan masa depan bangsa.

Walaupun PRU Ke-12 sudah 6 bulan berlalu dan dalam serba kepayahan kepemimpinan Melayu terus diberi mandat memimpin negara ini, namun kuasa yang selalunya diharapkan daripada mandat pilihanraya tidak dapat benar-benar dipegang. Entah apalah agaknya musibah yang menimpa – tiba-tiba sahaja kuasa politik yang selama ini melambangkan ketuanan Melayu, tergugat dengan begitu teruk sekali. Kami para rakyat telah terkeliru dengan keadaan ini. Kami inginkan pembaharuan, kami inginkan kesejahteraan. Lantaran itu kami memberikan sedikit peringatan dengan melepaskan Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor. Kami tidak ganggu ketuanan Melayu yang bertapak kukuh di Kelantan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi. Kami hanya sekadar memberi peringatan sahaja kepada para pemimpin Melayu supaya sedar daripada mimpi era Mahathirisme. Banyak kemajuan dan pembangunan yang telah dibawa dalam era itu tetapi pada masa yang sama, orang Melayu yang miskin masih terus miskin, manakala orang Melayu yang kaya semakin bertambah kaya. Anak-anak Melayu masih teratas dalam penagihan dadah, dan kini sudah ‘ngetop’ pula dalam carta Mat Rempit.

Banjir makin teruk kerana bukit dan kawasan tadahan hujan telah diratakan dan diterangkan atas nama pembangunan. Kami tidak mahu lagi pembangunan. Apa yang penting sekarang ialah kualiti hidup yang lebih baik, harga barang yang kekal rendah, harga minyak terkawal dan peluang pekerjaan semakin terbuka untuk kami dan tidak perlu bersaing dengan pendatang asing.

Tuan-tuan dan puan-puan yang bijaksana. Segala yang sudah berlalu di zaman Mahathirisme itu biarkanlah berlalu. Kita harus tabik kepada pemimpin era itu kerana mereka telah berjaya meletakkan Malaysia – negara yang berteraskan bangsa Melayu di peta dunia. Walaupun banyak ciri-ciri bangsa kita dilunturkan pada zaman itu, namun hakikatnya bangsa Melayu telah teruji dan terbukti kita tidak jauh ketinggalan berbanding bangsa besar dunia.
Cuma, apa yang kami harapkan sekarang ialah; ‘buangkanlah yang keruh dan ambillah yang jernih’. Kepemimpin Melayu yang baru telah memperkenalkan tema pembangunan modal insan. Payah sangatkah tuan-tuan dan puan-puan memahami tema tersebut? Kami dapati bahawa banyak tafsiran salah yang tuan-tuan dan puan-puan terjemahkan daripada hasrat tersebut. Tuan-tuan dan puan-puan masih melagukan pembangunan material dan dengan rakusnya atas kelembutan pucuk kepemimpinan Melayu, tuan-tuan dan puan-puan meneruskan agenda pembangunan yang telah kuno. Tuan-tuan dan puan-puan masih menyogokkan agenda sedemikian termasuklah yang terakhirnya di Permatang Pauh tempoh hari.

Tuan-tuan dan puan-puan yang arif. Masihkah tuan-tuan dan puan-puan tidak faham mesej yang ingin kami sampaikan pada PRU Ke-12 dahulu? Kepada pemimpin yang berjaya membentuk kerajaan, mesej kami ialah kami mahukan usaha meningkatkan kualiti hidup dan bukan lagi pembangunan material. Tapi mengapakah tuan-tuan dan puan-puan bersusah payah memperkenalkan awah demi awah? Tuan-tuan dan puan-puan tahukah maksud ‘awah’ itu? Awah bermaksud corridor, dalam bahasa Kayan, Kenyah, Bidayuh, Lun Bawang dan Kelabit. Barangkali kerana sudah lama ‘memandang bintang di langit’, tuan-tuan dan puan-puan sudah ‘lupa rumput di bumi’.

Pembangunan material menyebabkan lebih banyak hutan dan bukit digondolkan. Lebih banyak sungai menjadi keruh dan cetek. Dan lebih banyak banjir akan berlaku sehinggakan terowong SMART pun sudah ketinggalan zaman – tidak dapat menyelesaikan masalah banjir di Lembah Kelang. Pembangunan material bermakna lebih ramai orang Melayu menjadi kaya tetapi berperwatakan Ali Baba dan persaingan untuk mendapatkan peluang-peluang itu akan menimbulkan lebih ramai koruptor Melayu.

Pembangunan material bermakna keluarga Melayu akan menjadi lebih porak-peranda kerana ibu bapa terus sibuk membina kerjaya tetapi di rumah, moral anak-anak diruntuhkan oleh asuhan bibik dan media massa. Tercemar sedikit rezeki oleh unsur-unsur haram, maka lahirlah generasi yang sukar dididik menjadi baik dan soleh. Lalu semakin ramailah penagih dadah dan Mat Rempit. Banggakah tuan-tuan dan puan-puan dengan rekod sedemikian?

Kepemimpinan pascaMahathirisme telah memperkenalkan tema pembangunan modal insan untuk membina jati diri Melayu khususnya yang lebih progresif. Susah sangatkah tema ini diterima dan dihayati oleh tuan-tuan dan puan-puan para pemimpin Melayu? Orang Cina sendiri nampak hal ini begitu dinamik kerana masyarakat akan menjadi lebih baik, jujur, tidak suka mencuri dan merompak, tidak suka berdemonstrasi, dan dengan itu berniaga akan lebih aman dan untung akan lebih banyak. Semua akan lebih kuat bekerja dan dengan itu akan beroleh lebih laba.

Tetapi mengapa pemimpin Melayu tidak nampak hal itu? Mengapa tuan-tuan dan puan-puan semakin bercakaran lalu membuka ‘pekung demi pekung di dada’? Selama, ini, semua bangsa hormat kepada orang Melayu; mereka kepingin hendak masuk MRSM dan UITM, mereka berusaha keras untuk belajar di UIA, mereka setuju dengan perbankan Islam dan menyokong sistem kewangan Islam yang diperkenalkan oleh para ekonomis Melayu. Akhir-akhir ini, pajak gadai Islam juga menerima kunjungan bukan Melayu.
Mengapakah para pemimpin Melayu seolah-olah tidak faham dan tidak menyokong agenda pembangunan sebegini? Mengapakah luka-luka lama mahu diungkit lagi dan lantas mengharu-birukan rakyat Melayu? Bukankah setelah ‘biduk berlalu, kiambang akan bertaut semula’? Bukankah ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’? Tuan-tuan dan puan-puan terus beretorika. Kami cemburu dengan orang Cina kerana kini merekalah yang menghayati bidalan-bidalan Melayu itu (setelah dipelopori oleh Karam Singh Walia!).

Tuan-tuan dan puan-puan para pemimpin yang dihormati. Tidakkah tuan-tuan dan puan-puan sedar bahawa seratus kali orang bukan Melayu mempertikaikan hak dan ketuanan Melayu, kita toleransi. Tetapi sekali orang Melayu tersilap cakap bangsa Cina sebagai penumpang, seluruh orang Cina bangun membentak. Tanpa mengira parti dalam kerajaan, pembangkang, mahupun badan bukan kerajaan, mereka bersatu mengecam orang kita. Malahan ada yang mengancam juga untuk keluar dari permuafakatan yang ada.

Orang kita itu pun satu hal, tidak tahukah hendak berkias ibarat lagi dalam berkata-kata? Tidak tahukah hendak ‘berkelahi cara Melayu; menikam dengan pantun, menyanggah dengan senyum, marah dengan diam’ (meminjam konsep ‘Melayu’ oleh Usman Awang). Tuan-tuan dan puan-puan sedarkah bahawa semenjak zaman dialog P. Ramlee dalam filem-filemnya, tidak pernah kedengaran orang Melayu bersumpah “wallahi…”! Kawan-kawan kami orang India pun takut bermain sumpah.

Tuan-tuan dan puan-puan yang berbahagia. Kami telah memberi ruang kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk membuat refleksi diri dalam PRU Ke-12 enam bulan lalu. Tetapi setakat kini, belum nampak sebarang tanda ‘bulu ayam akan bercantum’, malahan sebaliknya menjadi lebih carik. Setiap hari semakin banyak citra negatif pemimpin Melayu dibongkar. Baru pemilihan peringkat cawangan dan bahagian, sudah terdengar banyak amalan sogokan wang rasuah. Pemilihan MCA dan Gerakan tidak kedengaranpun hal tesebut. Kami rakyat jelata fikir, apabila BPR diberi kuasa menyelongkar segala amalan tidak beretika itu, ramailah orang Cina atau India akan ‘popular’, tetapi sungguh mengejutkan orang Melayu pula yang nampaknya lebih hebat. Sedarkah tuan-tuan dan puan-puan, ‘kepemimpinan sebeginilah yang menjadi teladan’ anak muda Melayu supaya berkelakuan lebih hebat lagi dengan merempit dan menghisap dadah? Berpuluh-puluh tahun sudah berlalu, cerita dadah dalam kalangan anak Melayu masih belum reda. Apa sudah jadi dengan kepemimpinan Melayu – kepemimpinan tuan-tuan dan puan-puan?

Tuan-tuan dan puan-puan para pemimpin Melayu yang disayangi. Segeralah kembali ke pangkal jalan. Bersatulah kembali. Renungkanlah nasib kami rakyat jelata dan generasi Melayu yang akan datang. Janganlah memandang enteng sumpah keramat Hang Tuah; “takkan Melayu hilang di dunia”. Kami rakyat jelata khuatir ‘nasi akan menjadi bubur’. Kalau tak sekarang, bila lagi? Kalau tak tuan-tuan dan puan-puan, siapa lagi? Lupakanlah nikmat kuasa yang tidak boleh dibawa mati. Segalanya bersifat sementara tetapi kesilapan akibat ‘mabuk kuasa’ dan ‘gila kuasa’ akan menghancurkan bangsa seluruh keturunan. Janganlah sampai rakyat; “jika marah tak nampak telinga, musuh dicari ke lubang cacing, tak dapat tanduk telinga dijinjing, maruah dan agama dihina jangan, hebat amuknya tak kenal lawan” (Usman Awang).

Selasa, Ogos 26, 2008

CIRI-CIRI PEMIMPIN MELAYUMESTI DIPELIHARA

Meneliti senario politik Melayu semasa, saya terpanggil untuk berkongsi pandangan berdasarkan sebuah buku yang ditulis oleh Pak Tenas Effendy. Pak Tenas atau nama sebenarnya Tengku Nasarudin Said Effendy ialah tokoh budayawan Melayu Riau yang banyak menghabiskan usianya menggali dan meneliti ciri-ciri kebudayaan Melayu. Kini beliau bertaraf pakar rujuk dan banyak menghasilkan tulisan tentang pelbagai ciri kebudayaan Melayu.

Salah satu tulisan penting beliau berjudul Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu terbitan DBP tahun 2004. Buku ini menghimpun dan menganalisis 194 jenis pemimpin berdasarkan tradisi silam ketuanan Melayu. Penyampaian dibuat secara ungkapan yang diikuti maksud dan huraian. Selain itu pengarangnya juga menghuraikan kedudukan, fungsi, tanggungjawab, keperibadian yang seharusnya ada pada seorang yang bergelar pemimpin. Sebagai sempadan, Pak Tenas juga menghuraikan ciri-ciri buruk yang seharusnya dihindari oleh seseorang yang mahu digelar pemimpin.

Pak Tenas memulakan perbincangannya dengan menyatakan, “bila pemimpin tak tahu diri, umat binasa rosaklah negeri”. Merujuk latar politik Melayu terkini, ternyata keresahan dalam kalangan orang Melayu sudah mulai meruap-ruap sehingga banyak “terbuka pekung di dada”. Permainan fitnah dalam kalangan pemimpin Melayu seolah-olah sudah menjadi suatu kebiasaan yang tidak ada penghujungnya. Semenjak zaman Melaka lagi, orang Melayu berpecah dan akhirnya runtuh di tangan penjajah angkara fitnah. Yang berkuasa ingin mempertahankan kuasa kerana agenda pembangunan yang masih belum selesai. Yang ingin berkuasa pula, melakukan apa sahaja usaha untuk memastikan kuasa beralih ke tangan mereka. Amat malang sekali dalam persaingan seperti ini, “ibarat gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah”.

Bagi yang sudah bergelar pemimpin, mereka seharusnya; “memakai syarak lahir dan batin, imannya tebal adat pun kental, takwanya nampak ilmu pun banyak.” Tuntutan ini adalah sesuatu yang logik bagi seorang pemimpin Melayu kerana sinonim Melayu itu ialah Islam. Selagi mereka dapat menyerlahkan keperibadian Islamik, selagi itu orang Melayu wajar memberikan kuasa kepada mereka kerana ungkapan Melayu menyebut seseorang pemimpin mestilah; “adil menjadi hakim, bijak dalam bertindak, cermat dalam melihat, teliti dalam berjanji, amanah dalam bersumpah.” Bagi pemimpin yang telah diberikan kuasa secara majoriti, ini adalah masa untuk memenuhi segala perancangan yang telah dijanjikan untuk bangsa dan negara.

Bagi pemimpin yang sedang berusaha untuk berkuasa pula, buku ini menasihatkan supaya; “tahu diri dengan perinya, tahu duduk dengan tegaknya, tahu atur dengan patutnya.” Majoriti rakyat negara ini telah memberi mandat kepada kepemimpinan yang ada untuk memerintah sehingga pilihan raya yang akan datang. Justeru itu, pemimpin yang gagal tidak seharusnya menjadi; “hati berbulu fikiran busuk, kerja menyalah niatnya buruk, halal dan haram semua dipeluk, harta tamak pangkat kemaruk, budi rendah akal pun bengkok, negeri kacau rakyat beramuk.” Jika dibiarkan keadaan ini berpanjangan dan sekiranya ditakdirkan mereka diberikan kuasa memerintah, maka akan berlakulah; “dijadikan pemimpin terjual kampung, dijadikan tua umat menanggung, dijadikan induk celakalah untung, negeri rosak rakyat pun bingung.”

Saya pasti ramai pengundi terutama daripada kalangan Melayu yang ‘cuba-cuba’ memberi kuasa kepada pembangkang Melayu terutama dalam PKR semasa pilihan raya lalu, sekarang ini amat menyesal dengan tindakan itu. Orang Melayu mengharapkan perubahan yang positif tanpa menyangka bahawa sedikit kuasa yang diberikan itu menjadikan pemimpin pembangkang Melayu berkenaan kemaruk kuasa dan masih bertindak seolah-olah mewakili rakyat majoriti. Mereka ibarat; “sebagai pemimpin ianya cacat, kerjanya banyak pada yang jahat, fikiran kotor hati pun sesat, memimpin tidak menuruti adat.” Pemimpin sebegini tidak wajar diberikan ruang untuk berkuasa kerana; “niatnya mencari untung sendiri, merebut kuasa memerintah negeri, budi buruk tak tahu diri, kesalahan orang dicari-cari, halal dan haram tiada peduli, puasnya untuk diri sendiri.”

Berasaskan mandat majoriti yang telah diberikan, kepemimpinan Melayu sekarang diharapkan akan tabah dan sabar menempuh segala macam ujian yang ditimbulkan oleh kumpulan minoriti itu. Saya yakin dan percaya bahawa jika dapat bertahan, lambat laun rakyat akan mengenal “mana intan dan mana kaca”. Syaratnya; “janji diikut sumpah dijaga, menjalankan tugas hatinya rela, memikul beban bermanis muka, negeri dibina rakyat dipelihara, bekerja keras sehabis daya, tuahnya nampak hidup berjaya.”

Rakyat sekarang sudah semakin cerdik dalam menggunakan hak mengundi mereka. Berasaskan keadaan politik Melayu semasa juga, rakyat sudah mengenal pasti siapa yang; “menjadi pemimpin bagai bayang-bayang, tidak jelas dilihat orang, walaupun ada tak dapat dipegang, bekerja selalu main belakang, bila dicari ia menghilang, akalnya licin fikirannya panjang, salah-salah menjatuhkan orang.” Imej dan kedaulatan negara tercemar kerana dijaja ke seluruh dunia. Pemimpin berkenaan tidak segan silu melaung-laungkan ketidakpercayaannya kepada hampir semua sistem dan jentera pentadbiran kerajaan yang memerintah. Bukan setakat itu sahaja, malahan beliau juga kelihatan tidak mempercayai ‘penasihat-penasihat’ daripada kalangan bangsanya sendiri, sehinggakan setiap kali kemunculannya di khalayak, beliau dikelilingi penasihat-penasihat bangsa lain.

Pemimpin sebegini jika; “menjadi pemimpin berbuat gaduh, hati berkurap akal tak senonoh, ke sana menipu ke mari mengecoh, ke laut merosak ke darat menggocoh, janji dikubur aman dibunuh, rakyat sengsara negeri pun lumpuh.”. Berapa lama lagi rakyat mahu disusahkan dengan sekatan jalanraya yang menyebabkan kesesakan teruk? Berapa banyak lagi masa, wang ringgit dan tenaga yang harus dihabiskan oleh rakyat untuk berarak dari satu destinasi ke destinasi yang lain untuk mendengar pidato-pidato klise yang menjengkelkan? Pemimpin sebegini digambarkan oleh tradisi ketuanan Melayu; “sebagai pemimpin lakunya galak, ke sana memukul ke mari membentak, ke laut menganiaya ke darat menginjak, hati busuk perangai tak cedak, orang membenci musuh pun banyak, rakyat sengsara negeri pun rosak.”

Sudah banyak pihak yang tampil untuk meleraikan keadaan politik kepemimpinan Melayu ini. Muzakarah yang dibayangkan semenjak kebelakangan ini wajib direalisasikan jika para pemimpin Melayu benar-benar beramanah. Dalam apa keadaan sekalipun hakikat ketuanan Melayu seharusnya dipertahankan demi bangsa, negara dan agama. Jangan sampai, “menang sorak, kampung tergadai.”

Jumaat, Julai 18, 2008

PROGRAM DEBAT PERLU DIMANFAATKAN

Rakyat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan debat secara langsung kelmarin. Secara umumnya, kita boleh simpulkan bahawa masih terdapat ruang yang bertamadun untuk berbahas tentang pelbagai isu yang dihadapi negara. Saya katakan demikian kerana semenjak diwujudkan peluang kepada ahli Parlimen untuk berhujah di dewan yang mulia itu secara langsung melalui kaca televisyen, seringkali peluang itu disalahgunakan. Kesempatan diambil untuk menunjukkan kelakuan-kelakuan yang tidak beretika sehingga rakyat keliru kerana yang berbahas itu ialah ahli-ahli yang berhormat dan individu terpilih.

Di pihak kerajaan, debat kelmarin menunjukkan ketelusan kepemimpinan Pak Lah. Tiada apa yang hendak disembunyikan. Segala yang dilakukan kerajaan adalah berasaskan tuntutan dan keperluan semasa. Di samping itu, kerajaan terpaksa berhati-hati melaksanakan segala agenda pembangunan material dan rakyat kerana itu sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan. Banyak perkara yang perlu diambil kira dan tidak semua keputusan kerajaan itu popular.

Debat itu juga turut memperlihatkan ketulusan kerajaan dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu yang berbangkit. Jika forum di dalam Parlimen lewat dan kemungkinan gagal menerbitkan sebarang pandangan positif, debat sedemikian sekurang-kurangnya bersifat lebih rasional dan pragmatik. Pandangan-pandangan yang bernas dapat dijadikan dasar untuk menyemak dasar dan keputusan yang telah dibuat dan seterusnya membuat pembetulan.

Secara tersirat, kerajaan juga menampakkan keberanian untuk berbahas secara terbuka. Ini menunjukkan tidak ada apa yang hendak disembunyikan kerana pengadil perbahasan bukan sekadar barisan pembangkang atau pemerhati seperti di dalam dewan Parlimen semata-mata. Seluruh negara menilai hujah-hujah yang disampaikan oleh kedua-dua belah pihak. Terpulang kepada rakyat untuk mempercayai yang mana lebih bernas dan benar.

Kerajaan juga memperlihatkan sikap sporting dengan kesediaan menerima pandangan-pandangan pihak lain, walau wakil pembangkang sekalipun demi kepentingan rakyat dan negara. Sikap sedemikian sukar terdapat pada mana-mana kerajaan di dunia, kecuali seperti yang sering ditampilkan oleh kerajaan Amerika. Ini menandakan, kerajaan dan rakyat Malaysia sudah semakin matang dan ‘bertamadun’ kerana boleh berbahas secara terbuka tetapi terkawal.

Kesimpulannya, debat sedemikian sangat wajar diadakan dari semasa ke semasa supaya demokrasi hidup lebih subur di negara ini.

Walau bagaimanapun, jika ada sebarang hajat untuk meneruskan perdebatan sedemikian pada masa-masa akan datang wajarlah beberapa perkara di ambil kira supaya menjadikannya lebih diterima tanpa prejudis atau persepsi yang negatif.

Pertama sekali, yang menggerakkan debat itu ialah moderatornya. Pada bahagian awal, Datuk Johan Jaafar (DJJ) telah menyatakan syarat-syarat perdebatan dan antaranya menegaskan supaya kedua-dua pendebat tidak melakukan serangan peribadi. Namun demikian, DJJ tidak melaksanakan perintah itu kerana banyak kali membiarkan Datuk Ahmad Shabery Cheek (DASC) melanggar arahan dengan mengungkit keperibadian Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) malahan sehingga ke tahun-tahun 1970-an dahulu.

Justeru sudah diperingatkan, DJJ perlu menegur kerana apabila dibiarkan begitu, penonton merasakan bahawa seolah-olah beliau sengaja membuka ruang atau membiarkan cubaan menyentuh sikap dan keperibadian lampau dengan niat yang hanya beliau mengetahuinya. Ada dua andaian saya tentang ‘kesengajaan’ itu; satu, untuk menyerlahkan keburukan masa lampau DSAI dan dengan itu dapat menunjukkan kepada rakyat bahawa DSAI tidak sesuai diberi kuasa memerintah. Kedua, sengaja membuka ‘pekung’ kerajaan berkaitan kesilapan menaikkan harga minyak secara mendadak sehingga menutup kelemahan DASC kerana ketidakmampuannya memberikan penjelasan yang lebih konkrit dan bernas. Sebaliknya, lebih gemar menyerlahkan keperibadian lawan.

Perkara kedua yang saya fikir perlu dipertimbangkan ialah kewujudan dua ‘pembantu’ DJJ untuk bertanyakan soalan tambahan. Ruang itu tidak perlu, apatah lagi telah disalahgunakan oleh kedua-duanya dari segi masa. Mereka berlengah-lengah dengan melontarkan pandangan mereka sehingga pada satu ketika terpaksa DSAI menanyakan soalannya. Lebih wajar jika peluang bertanya itu diberikan secara spontan kepada kalangan khalayak yang hadir dan soalan tidak berdasarkan skrip. Penganjur masih boleh mengawal jika ada yang tidak kena dengan cara memadamkan audio atau sebagainya.

Perkara ketiga saya tujukan kepada DASC. Beliau pada pemerhatian saya tidak cukup bersedia dengan fakta yang kemas dan huraian yang mendalam. DASC hanya banyak mematahkan hujah DSAI dengan fakta-fakta yang disebut berulang-ulang dan membidas dengan berkata; “bercakap memang senang!”. Memanglah ‘lidah tidak bertulang’, tetapi bukankah bidasan begitu yang dimaksudkan sebagai pernyataan retorika semata-mata. Rakyat mahukan sesuatu yang konkrit dan difahami, bukan retorika dan kabur.

DASC yang menyanggupi tugasan itu bagi pihak kerajaan sepatutnya mempunyai fakta dan data yang paling kemas supaya tidaklah nampak ‘pekung’ kerajaan. Lantaran tidak bersedia dari segi itu, DASC lebih gemar menyerang peribadi DSAI seperti beberapa kali merujuk peristiwa demonstrasi 1974. Apabila situasi begitu, fakta perbandingan keadaan di Venezuela, Iran dan sebagainya itu yang dikemukakan oleh DASC tidak lagi mendapat perhatian penonton kerana kegoyahan DASC sudah terserlah.

Sayang sekali, DASC memang bersedia untuk berdebat tetapi tidak bersedia secukupnya. Lebih malang lagi kerana beliau juga tersilap menilai ketangkasan dan kepetahan DSAI berdebat. DASC lupa bahawa seumur hidup DSAI dihabiskan dalam gelanggang perdebatan aras tinggi. Aura beliau masih belum hilang, malahan kalau digantikankan DASC dengan pendebat yang lain pun, saya fikir mereka akan tewas jika tidak tidak bersedia dengan fakta yang meyakinkan.

Perkara keempat yang ingin saya bangkitkan ialah tentang DSAI. Saya fikir beliau tidak ikhlas menyertai perdebatan itu. Niat sebenar beliau ialah untuk meraih populariti dan ‘melepas gian’ sudah begitu lama tidak muncul berpidato secara langsung di televisyen. DSAI lupa bahawa apabila gelanggang debat itu diuar-uarkan, rakyat (sama ada penyokong mahupun pembangkang) menanti-nantikan formula bernas dan praktikal bagi membendung isu kenaikan harga minyak dan inflasi.

DSAI juga memerangkap dirinya dengan beberapa kali berkata bahawa harga minyak tidak sepatutnya dinaikkan begitu tinggi secara mendadak. Kenyataan ini boleh bermakna bahawa beliau setuju harga minyak dinaikkan tetapi secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit. Yang bermakna, lama-lama akan naik juga! Ini samalah seperti kenyataan Datuk Seri Khir Toyo tentang isu pembinaan kandang oleh Kerajaan Negeri Selangor. Beliau menafikan kerajaan negeri pimpinan beliau dahulu pernah meluluskan pembinaan babi sehingga 100 hektar seperti rancangan kerajaan sekarang. Namun demikian, maksud sebenar di sebaliknya ialah kerajaan negeri dahulu telah meluluskan projek itu tetapi sehingga 60 hektar sahaja. Pernyataan seperti ini juga hanyalah retorika semata-mata; sedap didengar tetapi amat meragukan.

Kesimpulannya, debat bersejarah tempoh hari tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Peluang yang disediakan ternyata telah dipersia-siakan oleh semua pihak; baik penganjur, pendebat, mahupun moderatornya. Adalah diharapkan, jika dilaksanakan pada masa-masa akan datang, hal-hal yang dinyatakan di atas tadi diambil kira supaya forum yang disediakan itu benar-benar dimanfaat. Apapun, usaha ini amat wajar diteruskan supaya dapat menyerlahkan lagi kematangan berpolitik rakyat Malaysia setanding dengan Amerika. Semoga dengan itu juga, rakyat Malaysia akan mengurangkan demonstrasi jalanan yang ternyata memberikan imej negatif kepada negara dan bangsa.

Selasa, Julai 15, 2008

BERSATULAH PEMIMPIN MELAYU!

Sudah lebih seratus hari Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 berlalu. Semua mengetahui bahawa PRU itu adalah yang paling sengit pernah dilalui oleh parti yang memerintah sehingga menyaksikan beberapa negeri tumbang di tangan pembangkang, manakala orang Melayu hampir kehilangan kuasa politik jika tidak dibantu oleh penyokong-penyokong di Pahang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

PRU 12 juga memperlihatkan semua kaum utama di negara ini; Melayu, Cina dan India mulai mencapai tahap kematangan berpolitik. Mereka menggunakan akal dan fikiran untuk memilih calon yang bakal menjadi wakil di Dewan Negeri dan Parlimen. Bertahun-tahun sebelum ini, pengundi tidak begitu kisah siapa calon yang bertanding, asal sahaja mereka daripada parti yang disukai.

Namun demikian, kita agak kesal kerana walaupun telah termaktub keputusan pilihan raya itu, harapan untuk ‘biduk lalu, kiambang bertaut’ bagi orang Melayu, masih tidak kesampaian. Orang Melayu terutama yang menganggotai UMNO dan PKR, masih bercakaran seperti seolah-olah kempen pilihan raya masih berlangsung.

PAS nampaknya sudah menunjukkan kematangan mereka, tetapi bagi orang Melayu dalam UMNO dan PKR, mereka masih seperti kanak-kanak yang tidak mahu menerima hakikat keputusan pilihan raya itu. Kematangan mereka terhenti hanya pada waktu membuat pemilihan itu sahaja.

Setelah lebih tiga bulan berlalu, keadaan ‘carik-carik bulu ayam’ orang Melayu tidak menampakkan tanda akan ‘akhirnya bercantum semula’. Malahan keadaan semakin parah apabila politik persepsi yang digembar-gemburkan sejurus selepas pilihan raya itu, kini diikuti pula oleh politik konspirasi yang amat memualkan dan memalukan. Sekali lagi isu seks luar tabii dijaja ke sana-sini seperti tidak serik-serik dengan apa yang telah berlaku pada tahun 1998 dahulu.

Seluruh dunia menjadikan negara ini sebagai model negara Islam terbaik. Seluruh dunia juga tahu bahawa pendokong utama pemerintahan negara ini ialah orang Melayu yang beragama Islam. Jadi di manakah letaknya maruah kita? Jika skandal 1998 dahulu boleh dianggap konspirasi semata-mata, bolehkah kita menafikannya kali ini juga begitu? Tidakkah dunia luar akan melihat orang Melayu Islam ini keji dan kotor permainan politik mereka?

Sudah sekian lama kita faham dan memegang prinsip bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Kita juga tahu bahawa matlamat perjuangan ialah untuk berkorban tenaga, harta, dan pemikiran. John F. Kennedy pernah melaungkan; “janganlah ditanya apakah bakti negara untuk kamu, tetapi tanyalah apakah bakti kamu untuk negara”.

Malang sekali bagi segelintir politikus Melayu, falsafah perjuangan sedemikian barangkali dianggap sudah kuno. Kemenangan tipis masih menghantui sebilangan pemimpin Melayu dalam UMNO. Terlatah-latah mereka apabila berhadapan dengan isu demi isu, termasuklah bersikap keanak-anakan apabila melanggar perintah Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya sebahagian lobi dewan yang mulia itu dipagari. Mereka berbalah tentang isu itu berhari-hari sehingga perlu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersuara.

Bagi orang Melayu dalam PKR pula, hakikat kemenangan tidak disangka-sangka masih menyebabkan mereka dibuai mimpi. Mereka ‘bermimpi’ seolah-olah mereka telah menang majoriti dan berhak menubuhkan kerajaan dan mengambil alih kuasa. Semenjak sebelum pilihan raya sehinggalah Ahad lalu, tidak berhenti-henti mereka berarak dari satu stadium ke stadium ‘meraikan’ kemenangan mereka sambil mencipta pelbagai konspirasi untuk memastikan mimpi itu menjadi realiti.

Secara berterusan mereka mencanangkan bahawa mereka akan menubuhkan kerajaan tidak lama lagi kerana sebahagian wakil rakyat Barisan Nasional akan melompat keluar dan menyertai mereka. Nafsu besar mereka untuk memerintah telah mengetepikan kewarasan dan congak mudah matematik. Melainkan dengan takdir Tuhan, secara logiknya tidak akan tercapai impian mereka dalam masa yang terdekat; sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya yang datang.

Bagi segelintir pemimpin Melayu, nafsu untuk berkuasa itulah yang menyebabkan mereka berkelakuan tidak seperti ahli yang berhormat. Letih Perdana Menteri menasihatkan supaya tindakan sedemikian dihentikan, tetapi tidak ramai yang mengendahkan. Timbalan Perdana Menteri juga sudah menampakkan kekecewaannya dengan berkata bahawa segelintir aktivis politik negara sudah semakin kotor. Rakyat menyedari bahawa tidak ramai yang berperangai sedemikian, tetapi ‘habis rosak susu sebelanga dek nila setitik’.

Saya fikir sudah sampai waktunya Menteri Penerangan menarik balik kebenaran siaran langsung perbahasan di Parlimen kerana lebih banyak buruk daripada baiknya. Rakyat lebih tertarik menyaksikan kelakuan buruk wakil rakyat di Parlimen dan dengan segera insiden melondeh seluar di Stadium Malawati beberapa hari lalu adalah manifestasi, ‘jika guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari’. Tergamak sungguh sebilangan ahli yang berhormat kita berkelakuan begitu hanya untuk popular dan dengan itu meraih dan mengekalkan kuasa.

Amalan demokrasi jelas menetapkan bahawa yang menang majoriti memerintah dan yang kalah mesti menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pengundi. Jika ahli politik kita sudah matang, tidak bolehkah mereka bersikap gentlemen dan memberi pengiktirafan kepada yang menang? Tidak perlu hendak dipersoalkan kerana peluang akan datang lagi empat atau lima tahun kemudian. Seperti yang selalu ditegaskan oleh Pak Lah dan Datuk Najib, ini adalah waktu untuk bekerja bukan lagi bermain politik. Banyak janji pilihan raya yang perlu ditunaikan, dan banyak lagi agenda pembangunan negara yang hendak dilaksanakan.

Para politikus Melayu perlu ingat bahawa para pengundi Melayu sentiasa memerhatikan gerak geri mereka. Rakyat Melayu bukan lagi seperti dahulu; asal calon parti kegemaran mereka sahaja akan dipangkah kerana kesetiaan yang mutlak. Namun kini, orang Melayu sudah semakin matang dan tahu hak yang sebenar-benarnya; ahli-ahli yang terpilih ialah wakil rakyat dan tidak lebih dari itu. Kedudukan yang dimiliki sekarang hanya bersifat sementara. Perjuangan masa depan dan hidup mati bangsa adalah agenda yang perlu diutamakan. Hak rakyat wajib dipertanggungjawab oleh wakil rakyat.

Kesibukan politiking tidak akan membawa bangsa Melayu ke mana-mana. Dalam keadaan kuasa politik yang hampir terlepas kini, ahli-ahli politik Melayu perlu fokus. Ingatlah, ‘bulu ayam yang tidak bercantum semula selepas carik, akan hanya menyebabkan ayam kesejukan!’ Profesionalisme perlu menjadi pegangan dan kita tidak mahu ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’. Syukurlah pemimpin Melayu dalam PAS sudah semakin matang dan mengambil sikap sederhana. Jika tidak orang Melayu akan terpecah tiga dan sekali gus menghilangkan kuasa mutlak majoriti.

Rakyat Melayu memang sentiasa siaga dengan suara keramat ketuanan Melayu. Inilah satu-satunya lagi benteng yang dapat mempertahankan kuasa politik orang Melayu. Justeru itu, para pemimpin yang telah diberikan mandat hendaklah insaf dan ‘bersilat mengikut rentak paluan gendang’. Tidak guna ‘terkinja-kinja’ untuk menarik perhatian tetapi langkah tariannya sumbang. Kalau tidak tahu apa sebenarnya hasrat orang Melayu, baliklah ke kawasan masing-masing dan bertanyalah. Rata-rata orang Melayu di akar umbi masih lagi bergantung kepada suara keramat itu sahaja. Kami tidak punya wang berjuta. Kami tidak punya gedung harta. Yang ada cuma suara yang kami gunakan empat atau lima tahun sekali.

Bukankah kita bersaudara dan seagama? Di manakah letaknya nilai budi bahasa dan maruah yang kita jaja selama ini sebagai ciri manusia Melayu? Maju dan bertamadunkah kita dengan hanya melaung ke sana ke mari, ibarat ‘kokok berderai-derai tapi ekor bergelumang tahi’? Tidakkah boleh kita menganggap sengketa politik itu sebagai ‘ribut di dalam cawan sahaja’? Mengapa tergamak kita membongkar yang di dalam kain hanya untuk memastikan kita berkuasa?

Jangan salahkan politik kerana politik itu suci bersih. Yang mencemarinya ialah manusia yang mendokonginya. Memanglah mudah mengatakan, dalam politik tidak ada musuh atau sahabat yang kekal. Tetapi jika politik Amerika sekali pun tidak kedengaran konspirasi sumbang dijadikan modal perjuangan, kenapa politik kita, politik bangsa Melayu pula yang ‘lebih sudu dari kuah’?

Pengajaran kepada episod duka politik Melayu ini ialah kematangan jika disalahgunakan, akan menjadikan kita ego dalam dimensi bawah sedar kita. Kita gagal melihat kebenaran dan menjadi bongkak sehingga tidak mengiktiraf kematangan orang lain. Bukankah jika satu telunjuk menuding jari mengatakan orang lain salah, tiga jari lagi menunjuk ke arah diri sendiri?

Baliklah ke pangkal jalan perjuangan yang sebenar. Orang Melayu tiada apa-apa di tanah airnya sendiri sekiranya kuasa politik juga hilang dek perangai segelintir pemimpin Melayu sendiri. Tuhan telah berkata yang maksudnya, “nasib sesuatu kakum itu ditentukan oleh kaum itu sendiri”. Sejarah tanah air telah membuktikan bahawa para pemimpin yang egois dan mabuk kuasalah yang menjadi punca keruntuhan negara dan bangsa. Apabila dilihat matlamat boleh menghalalkan cara, tunggulah kebinasaan akan muncul. Semoga Allah melindungi bangsa Melayu.

Jumaat, Julai 04, 2008

NYANYUK

Nyanyuk adalah perkataan bahasa Melayu. Dalam Kamus Dewan (2005), nyanyuk bermaksud ‘berkelakuan seperti kanak-kanak (berkenaan orang yang sudah terlalu tua), tidak berapa betul lagi (berkenaan fikiran orang yang sangat tua), raban. Dalam bahasa Inggeris (Merriam-Webster Online Dictionary) nyanyuk disebut senile. Senile berasal dari perkataan Latin senilis yang bermaksud exhibiting or characteristic of old age, exhibiting a loss of cognitive abilities (as memory) associated with old age. Dalam MedicineNet.com, senile dikaitkan dengan tiga keadaan; pertaining to old age, pertaining to the physical decline associated with old age dan pertaining to the mental decline once associated with old age but now known to be due to dementia. MSN Encarta Dictionary pula mendefinisikan senile sebagai mentally less acute in later life; forgetful, confused, or otherwise mentally less acute in later life dan relating to later life: occurring in or believed to be characteristic of later life, especially the period after the age of 65 years. Dari sudut perubatan pula, senile diistilahkan sebagai dementia, bagi merujuk keadaan that occur when the brain is affected by specific diseases and conditions (Alzheimer’s Society Information Sheet: http://www.alzheimers.org.uk/).

Bersabit dengan ilmu linguistik, kajian perkamusan dan kajian asal-usul kata termasuk dalam bidang etimologi. Antara lain bidang ini merangkumi penyelidikan tentang asal-usul kata serta perubahan-perubahannya dalam bentuk dan makna. Melalui bidang ini kita akan mengetahui makna dan kedudukan sesuatu perkataan itu dalam masyarakatnya; sama ada kata-kata itu asli atau pinjaman, kata dasar atau kata terbitan dan pelbagai lagi kategori analisis kata yang boleh dilakukan. Satu perkara yang jelas ialah setiap perkataan itu dapat memberikan gambaran citra masyarakat yang menggunakan dan memilikinya. Sebagai contoh klasik, perkataan ‘amuk’ ialah perkataan Melayu yang terpaksa dipinjam oleh bahasa Inggeris dan dimasukkan dalam kamus bahasa itu kerana tiada gejala amuk dalam budaya mereka sepertimana yang terdapat dalam masyarakat Melayu. Cuma dalam versi Inggerisnya, amuk dieja sebagi amuck untuk disesuaikan dengan sistem ejaan mereka. Perkataan Inggeris yang hampir dengan amuk ialah rampage tetapi keadaan itu membabitkan sekumpulan pelaku dan selalunya pelakunya ialah sekumpulan haiwan. Jadi untuk membawa pengertian amuk seorang diri seperti mana yang sering digambarkan dalam episod feudal kerajaan Melayu dahulu kala, amuk yang dieja amuck itu lebih tepat digunakan dalam bahasa Inggeris.

Berbalik kepada perkataan nyanyuk tadi, jelas sindrom nyanyuk boleh menyerang bukan sahaja orang Melayu tetapi bangsa-bangsa lain di dunia termasuk bangsa Eropah. Berasaskan kajian sains perubatan, nyanyuk biasanya menyerang golongan warga emas atau orang tua, khususnya yang berusia lebih 65 tahun. Walau bagaimanapun, menurut artikel dalam Alzheimer’s Society Information Sheet itu juga, daripada kira-kira 750 000 orang di United Kingdom yang mengalami nyanyuk, 18 000 daripadanya berusia kurang 65 tahun.

Dalam kalangan orang Melayu umumnya, orang nyanyuk digambarkan sebagai orang tua yang pelupa, tidak mampu mengurus diri dari segi kebersihan dan makan-minum, dan bercakap tanpa sedar apa yang diperkatakan. Sindrom ini melanda tanpa mengira kelas dan kedudukan, malahan sejak akhir-akhir ini masyarakat dimomokkan dengan beberapa tokoh dalam bidang politik dan juga negarawan yang sudah seperti dihinggapi sindrom ini. Mereka sudah tua, tetapi masih rancak bercakap sesedap rasa, tanpa memikirkan kesan percakapan mereka itu boleh mengharubirukan rakyat, apatah lagi pihak-pihak yang ditujukan percakapan itu. Kita sedar, para pemimpin Malaysia ini kebanyakannya ‘dituakan sebelum waktunya’ (malah baru-baru ini Siti Norhaliza pun sudah dituakan dengan gelaran Datuk!). ‘Badi tua’ itu menyebabkan pemimpin-pemimpin veteran yang kini diberi taraf negarawan menghamburkan kritikan dan tekanan yang tidak tentu pasal kepada pemimpin muda semasa yang diketuai oleh Pak Lah (bukan Tok Lah!) dan barisan kabinet barunya. Dan mengepalai kumpulan otai ini ialah mantan Perdana Menteri kita sendiri.

Tidak berapa lama dahulu, Tun Mahathir mengkritik gaya kepemimpinan Pak Lah yang menerajui negara setelah diberi mandat pada PRU 11. Rasa ‘cemburu’ dengan kemenangan besar Pak Lah pada 2004 itu (rekod yang tidak pernah dicapai pada zaman Tun Mahathir), menimbulkan ‘krisis’ pada mantan Perdana Menteri itu. Sepanjang 22 tahun beliau berkuasa, tidak pernah pencapaiannya sedemikian baik. Beliau ternyata amat tidak senang, apatah lagi apabila Pak Lah cuba lari dari bayangan stail kepemimpinan Tun Mahathir dengan menyeru rakyat supaya ‘bekerja bukan untuk PM tetapi bersama-sama PM’. Tun Mahathir melihatnya sebagai satu sindiran terhadap gayanya selama ini. Kemenangan besar itu juga amat ‘berdosa’ pada pandangan Tun kerana pembangkang kehilangan suara, dan pada anggapannya berbahaya memerintah tanpa pembangkang yang kuat. Pertemuan empat mata yang diatur antara Pak Lah dengan Tun Mahathir untuk menghentikan polemik itu sepatutnya menjadi noktah terhadap segala sindrom nyanyuk itu. Tetapi keesokannya, ada lagi komentar nyanyuk itu disiarkan dan rakyat khususnya orang Melayu menjadi lebih gelisah kerana apabila ‘gajah sama gajah berperang, pelanduklah yang mati di tengah-tengah’!

Dalam senario terbaru pasca-PRU 12, sekali lagi negarawan otai ini bangkit menyerang Pak Lah bertubi-tubi sehingga tergamak menyuruh Perdana Menteri supaya meletak jawatan. Kenyanyukan Tun Mahathir begitu terserlah kerana setiap tembakannya itu ternyata umpama ‘menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’ dan ‘membuka pekung di dada’. Banyak tindakan dan perkara yang beliau lakukan sepanjang penguasaan rejimnya dahulu terbongkar satu persatu. Selama ini begitu banyak ‘bangkai gajah’ yang ditutup dan didiamkan sahaja termasuk oleh Pak Lah sendiri. Banyak pihak sedar akan keburukan-keburukan itu tetapi turut berdiam diri tanda ‘hormat’. Malah Berita Harian hari ini (Selasa, 8 April 2008, hal. 5) turut memaparkan rayuan pemimpin pembangkang, Karpal Singh supaya Tun Mahathir berhenti menyerang Pak Lah kerana beliau sendiri telah melakukan begitu banyak ‘kesalahan politik’ pada era pemerintahannya. Karpal memohon supaya supaya Tun Mahathir berundur dengan penuh penghormatan dan seharusnya beliau menjadi orang yang terakhir jika mahu menyerang Pak Lah. Beliau seharusnya memelihara kehormatan status negarawan ulungnya.

Berasaskan perkembangan terbaru ini, Tun Mahathir seolah-lah tidak akan berhenti mengkritik. Apa sahaja tindakan kerajaan pimpinan Pak Lah pasti akan berhadapan dengan pandangan dan ulasan sinikal beliau. Justeru, jika kelmarin Pak Lah mendedahkan bahawa Tun Mahathir pernah menghalang media membuat liputan tentang Tun Hussein Onn sejurus selepas beliau mengambil alih kepemimpinan negara, maka sekarang wajar juga media mengambil tindakan yang serupa. Selagi beliau dikejar wartawan, selagi itulah pandangannya yang sudah tidak rasional itu akan menjadi tatapan rakyat. Ini boleh menimbulkan lebih banyak ‘dosa berbanding pahala’! Dalam beberapa liputan media yang ditonton di kaca televisyen, ternyata Tun Mahathir masih popular; tetapi kita harus bijak menelaah setiap kenyataan yang dibuatnya. Setiap luncuran perkataannya sudah tidak boleh dianggap ‘fatwa’ lagi kerana ternyata ‘zamannya’ sudah berlalu. Cuma sayangnya, beliau tidak sedar akan hal itu atas faktor ‘keotaiannya’!

Inilah suara mewakili hati dan perasaan orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Kami amat menghormati dan menyanjung segala yang telah disumbangkan oleh Tun Mahathir. Kami tidak berniat menderhaka atau bersifat ‘kacang lupakan kulit’ dan ‘habis manis sepah dibuang’. Malah selama ini, kami memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada beliau sehingga pemerintah mampu menempuh semua pilihanraya dengan kemenangan majoriti mutlak 2/3. Walaupun beberapa kali Tun hampir rebah, kami tetap menyokong. Justeru kenyataan ini tidak bererti kami membenci Tun tetapi kami sekarang ‘lebih sayangkan Pak Lah’. Selamat Bersara Tun Mahathir!

TOLAK PENGAJARAN KESUSASTERAAN INGGERIS

Jumaat lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein menyatakan minatnya untuk mencadangkan Kesusasteraan Inggeris diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara bermula dari peringkat sekolah rendah lagi. Cadangan ini katanya sebagai usaha radikal untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.

Selain itu beliau juga mencadangkan supaya latihan perguruan dikendalikan menggunakan bahasa Inggeris supaya guru-guru terlebih dahulu menguasai bahasa itu sebelum ditempatkan untuk mengajar di sekolah.

Saya pasti pihak-pihak yang selama ini menunggu sahaja peluang untuk menangguk di air yang keruh, akan tersenyum dan mula memasang angan-angan untuk mendapat keuntungan daripada cadangan ini. Justeru, saya ingin menyarankan supaya pegawai-pegawai tertinggi kementerian berfikir sedalam-dalamnya sebelum menafsir cadangan Menteri mereka itu. Ambil kira buah fikiran dan pandangan pelbagai pihak yang tidak berkepentingan seperti para guru, ahli akademik dan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan. Jangan sekali-kali bertanya kepada orang politik, orang ekonomi atau sang cauvinis dan sang oportunis.

Saya melihat bahawa kesilapan besar telah dilakukan oleh kementerian apabila memperkenalkan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains, enam tahun lalu. Banyak kajian telah dibuat dan pelbagai pandangan telah dikemukakan tentang kesilapan dasar ini. Malahan, dalam kenyataan terbaru itu, Menteri telah berjanji untuk meneliti lagi perkara tersebut dengan mengambil kira kajian yang dibuat setelah selesai satu pusingan dasar itu tahun ini. Ini kerana kumpulan pertama yang menggunakan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains sepenuhnya semenjak Tahun Satu persekolahan mereka akan menduduki UPSR pada penghujung tahun ini.

Berbalik kepada minat Menteri yang saya sebutkan di atas, beliau menganggap bahawa pengajaran kesusasteraan Inggeris adalah satu pendekatan radikal dalam usaha mengatasi kelemahan penguasaan bahasa Inggeris. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Menteri sendiri telah membayangkan bahawa dasar yang digunakan terdahulu tidak mendatangkan hasil yang positif. Pengajaran Matematik dan Sains menggunakan bahasa Inggeris gagal menghasilkan pelajar yang mahir berbahasa Inggeris. Sebaliknya, penguasaan mereka dalam kedua-dua subjek itu pula yang terjejas. Hal ini juga membuktikan bahawa pegawai-pegawai kementerian telah tersilap menafsir kehendak kerajaan supaya penguasaan bahasa Inggeris ditingkatkan terutama dalam bidang sains dan teknologi. Akibatnya, mereka telah memberikan nasihat yang salah pula kepada Menteri, lalu dasar dan pendekatan yang salah diimplementasi di sekolah. Haru-biru sekolah akibat kesilapan ini. Buku teks ditukar, guru-guru dihantar berkursus, kelas tidak ada guru, pelajar-pelajar luar bandar terjejas teruk; adalah antara situasi-situasi sebenar yang dialami oleh pihak pelaksana dasar. Semua pihak termasuk ibu bapa juga tertekan tidak tentu pasal.

Saya tidak bersetuju dengan cadangan Menteri tentang pengajaran kesusasteraan Inggeris itu. Bagi saya, yang tetap paling perlu diperkasakan ialah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Tidak perlu diperkenalkan subjek lain untuk menyelesaikan masalah penguasan subjek yang lain pula. Jika selama ini bahasa Melayu terpaksa bersaing dengan bahasa Inggeris, kesan paling ketara yang akan muncul nanti ialah persaingan yang tidak perlu antara kesusasteraan Melayu dengan kesusasteraan Inggeris. Krisis kehilangan khalayak yang melanda kesusasteraan Melayu sekarangpun masih masih belum terungkai, apatah pula nanti terpaksa bersaing dengan kesusasteraan Inggeris. KOMSAS belum benar-benar menghasilkan impak yang besar. Itupun baru dilaksanakan di sekolah menengah. Jika terlaksana juga pengajaran Kesusasteraan Inggeris di sekolah rendah, maka akan terjajah lagilah sistem pendidikan kita kerana kesusasteraan Melayu pun belum dijadikan subjek sekolah rendah.

Saya harap agar pegawai-pegawai kementerian memberi fokus sepenuhnya terhadap memperbaiki pendekatan pengajaran Bahasa Inggeris dengan meilihat sekitar domain itu sahaja. Janganlah jeling-menjeling domain yang lain kerana usaha sedemikian tidak akan menyelesaikan masalah sebenar. Cukuplah siksa enam tahun yang telah dilalui oleh pelajar-pelajar kita apabila terpaksa belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

UMNO DAN POLITIK ALA MELAYU

Dari sudut bahasa, Kamus Dewan mendefinisikan politik kepada tiga makna; pertama, ilmu berkenaan pemerintahan, ilmu siasah, ilmu kenegaraan; kedua, segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain; dan ketiga, kelicikan, muslihat, tipu muslihat.

Luahan hati Saudara Embran Haramain dari Lekir, Sitiawan. melalui ruangan Rencana Berita Harian semalam, saya fikir amat tulus dan ikhlas. Dengan merujuk khusus kepada faktor kejatuhan Perak kepada pembangkang, Saudara Embran menyarankan supaya pemimpin UMNO membuang ego mereka dengan sudi berceramah di padang dan dewan orang ramai, serta perlu meyakinkan pengundi di Perak bahawa mengundi Pas dan PKR samalah dengan mengundi DAP.

Namun demikian, setelah tewaspun, pemimpin UMNO Perak masih menunjukkan keegoan mereka kerana Konvensyen UMNO Lumut yang dihadiri oleh Saudara Embran itu berlangsung di Resort Teluk Batik, yang ‘segan’ dikunjungi pengundi kampungan.

Inilah masalah yang dialami oleh pemimpin UMNO umumnya – tak faham bahasa! Walaupun sudah lama bergelumang dengan politik, kebanyakan pemimpin tidak betul-betul memahami konsep politik ala Melayu. Merujuk pengertian politik Kamus Dewan itu, tidak dinafikan para pemimpin UMNO memang bagus dari segi ilmu pemerintahan dan ilmu diplomatik. Buktinya, banyak pencapaian hebat telah dirancang dan dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin negara yang diterajui oleh UMNO. Hasilnya bukan sekadar kita syok sendiri tetapi memang diiktiraf oleh negara luar terutama negara dunia ketiga. Kita semakin menghampiri status negara maju. Malahan beberapa negeri seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang ternyata sudah boleh diisytiharkan sebagai negeri maju.

Namun dari segi politik ala Melayu, segala pencapaian negara yang diterajui para pemimpin UMNO seolah-olah tidak membawa apa-apa makna kerana rata-rata orang Melayu masih menumpang di negara sendiri. UMNO adalah parti keramat orang Melayu. Setelah mengalih perhatian daripada ketaatan dan kepatuhan mutlak terhadap kuasa Raja-raja Melayu kepada kuasa UMNO, orang Melayu mahukan supaya sebagai balasannya UMNO akan menaungi mereka. Setelah lebih enam dekad berlalu semenjak penyerahan kuasa itu dibuat, orang Melayu ternyata masih ketinggalan dalam segala segi kerana UMNO tidak berperanan seperti yang diharapkan.

Semua ini kerana kegagalan pemimpin UMNO memahami makna ketiga politik seperti yang tertulis dalam Kamus Dewan itu; iaitu kelicikan, muslihat, dan tipu muslihat. Di sebaliknya pula, ilmu inilah yang digunakan oleh PAS, PKR dan DAP Perak untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional di Perak. Sebelum ini, tidak siapapun menjangkakan kemustahilan sedemikian boleh berlaku!

Pemimpin UMNO Perak sudah semakin menjauhkan diri daripada orang Melayu. Seperti kata Saudara Embran, mereka tidak mahu berceramah di padang atau di dewan orang ramai. Sedangkan, di situlah orang Melayu selesa berhimpun dan mengumpul kekuatan untuk melawan pembangkang. Itulah tradisi dan nilai hati budi Melayu; santai, tidak terlalu serius tetapi fokus dalam menentukan suara mereka didengar oleh pemerintah.

Sifat kampungan orang Melayu bukan menunjukkan mereka antimodenisasi, antiurbanisasi atau antiglobalisasi. Tetapi kesederhanan tetap menjadi ciri Melayu yang utama dan mereka tidak mahu mengorbankannya kerana itu akan menjadikan mereka ‘bukan Melayu’. Banyak urusan kesejahteraan orang Melayu gagal diselesaikan apabila dibawa berunding dalam bilik berhawa dingin. Yang terbaru, Pulau Batu Putih terlepas dari genggaman. Sebaliknya kita diberi pulau yang dari segi geografinya, terletak lebih ke selatan daripada Pulau Batu Putih itu sendiri. Saya yakin hal ini tidak akan berlaku jika para pembuat keputusan itu turun padang bertanyakan hal itu kepada para nelayan yang sering ‘bermain’ di perairan tersebut.

Gelanggang tempur orang Melayu dalam apa sahaja bidang bukan di dalam dewan berdinding konkrit empat segi, berbumbung genting, dan berlantai mozek. Gelanggang orang Melayu ialah alam yang luas terbentang; berbumbungkan langit, berlantaikan tanah. Itulah muslihat yang gagal difahami oleh pemimpin UMNO. Barangkali kerana sudah terlalu lama duduk di atas merenung bintang, kebanyakan mereka sudah tidak nampak rumput di bumi.

Mengambil contoh DUN Behrang yang terlepas ke tangan PKR; kawasan yang ternyata majoriti orang Melayu telah secara ‘tidak rela’ diserahkan kepada MIC semenjak pilihanraya umum 2004. Ketika itu pengundi Behrang tidak protes atas semangat setiakawan. Namun demikian, setelah dijanjikan kerusi itu hanya untuk sepenggal sahaja milik MIC, pilihan raya yang lalu memperlihatkan amukan orang Behrang kerana pemimpin UMNO gagal mengembalikannya kepada orang Melayu. Pengundi Melayu DUN Behrang benar-benar ‘berang’!

Untuk pengetahuan pembaca, DUN Behrang adalah kawasan yang sangat nostalgik kerana di situlah letaknya pekan Tanjung Malim yang sinonim sebagai tempat lahirnya ramai tokoh pejuang, dan cendikia Melayu melalui penubuhan Sultan Idris Training College (MPSI) yang sekarang dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pekan ini juga berpotensi untuk menjadi salah sebuah bandar termaju di negara ini kerana di situlah Proton membangunkan kawasan kilang terbesarnya yang dinamakan Proton City. Di samping itu, tidak ada tempat lain di Malaysia yang menamakan bandarnya dengan mengambil sempena angka 2020 melainkan Behrang 2020.

Kini, Tanjung Malim dan kampung-kampung di sekitarnya dikuasai oleh pembangkang yang menang secara ‘tidak sengaja’. Mujur juga Tuanku Sultan Perak tidak berkenan melantik wakil rakyat PKR itu sebagai Menteri Besar tatkala DAP dan PAS ‘berebut’ jawatan itu tempoh hari. Jika tidak, pekan yang pernah melahirkan ramai pemimpin UMNO itu akan diperintah oleh pembesar dari kelompok pembangkang.

Soalnya, kedengarankah suara keramat Melayu itu di telinga para pemimpin UMNO Perak jika mereka tidak pandai bermain muslihat dan tidak bersedia turun ke padang?

UMNO PERLUKAN TENAGA DAN CITRA BARU

Dari segi budi bahasa, orang Melayu amnya dan ahli UMNO khususnya tentu bersimpati dengan Datuk Johari Baharom yang dahulunya amat rapat dengan mantan Perdana Menteri dan keluarganya, tetapi kini sudah disisih; bukan sahaja oleh Tun Mahathir sendiri, malahan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Sehinggakan sampai hati Tun Siti Hasmah tidak menyambut huluran tangan Datuk Johari untuk bersalaman.

Siapa menyangka bahawa insiden seperti itu boleh berlaku hanya kerana antara mereka sudah tidak bersefahaman lagi dari segi pandangan dan pegangan politik masing-masing. Sia-sia rasanya kesetiaaan Datuk Johari selama ini; empat tahun sebagai Setiausaha Politik Tun Mahathir dan bertahun-tahun sebagai anggota dan penyokong kuat UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan negeri yang sama. Jika peristiwa ini berlaku pada zaman Melaka dahulu, pembesar yang tidak dipedulikan Sultan sudah tentu membunuh diri kerana malu dan kerana memikirkan diri sudah tidak relevan lagi!

Walau bagaimanapun, dalam senario semasa, kita berharap supaya Datuk Johari bersabar dan bertenang. Anggaplah kedua-dua negarawan suami isteri itu ‘tidak perasan’ akan kehadiran Datuk atau barangkali memang sudah ‘tidak kasihan’ lagi kepada Datuk dan ahli-ahli UMNO lainnya. Buktinya, mereka tergamak keluar dari UMNO hanya kerana tidak gemar dengan cara Pak Lah. Anak mereka yang berstatus orang Melayu ketiga terkaya, turut mengisytiharkan diri keluar UMNO. Tidak mengapalah Datuk Mokhzani keluar kerana barangkali UMNO sudah tidak relevan lagi kepadanya dalam usaha menambahkan lagi kekayaan yang ada.

Kini tinggallah seorang lagi anak mereka yang mewarisi sifat ‘duri dalam daging’ dalam UMNO. Jika Datuk Mukhriz juga merasakan bahawa penyakit dalam UMNO sudah tidak dapat dipulihkan lagi, dalam persidangan dan pemilihan peringkat cawangan yang akan datang beliau juga boleh pergi. Jika ada lagi adik beradik mereka yang lain, yang juga sependapat bahawa UMNO sudah tidak relevan lagi bagi keluarga mereka, elok juga kita persilakan supaya mereka keluar (itupun jika mereka ahli UMNO). Hanya dengan cara terhormat begitu sahaja mereka boleh mengekalkan status quo sebagai keluarga negarawan dan juga keluarga konglomerat Melayu terhebat.

Berbalik kepada mauduk tulisan ini, kepemimpinan UMNO di semua peringkat kini tentu menyedari bahawa UMNO sudah tidak sekuat dahulu lagi. Telah banyak ‘sokong yang membawa rebah’, malahan ada yang telah mula ‘membakar jambatan’ dan ‘meninggalkan kapal yang seolah-olah akan tenggelam’. Penyokong-penyokong yang masih setia pun sudah agak keletihan kerana sudah begitu lama berjuang memastikan UMNO terus relevan. Masih ramai dalam kalangan mereka yang tetap berpegang kepada prinsip perjuangan yang ideal; ‘jangan tanyakan apa yang negara boleh beri kepada kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh beri kepada negara’.

Namun demikian terdapat sebilangan daripada penyokong-penyokong ini yang kesetiaan mereka dapat disangsikan. Kecuali Datuk Johari yang sudah ternyata tiada pilihan lain selain daripada meneruskan perjuangan dalam UMNO bersama Pak Lah, yang lain itu masih belum diuji kesetiaan mereka. Itulah sebabnya PKR masih mampu ‘berangan-angan’ yang sebilangan anggota parlimen pihak kerajaan khususnya daripada kalangan ahli UMNO akan melompat parti menjelang Ogos dan September yang akan datang.

Berasaskan keadaan yang sedang melanda ahli-ahli UMNO sekarang, satu usaha drastik dan bersifat iklas perlu dibuat oleh kepemimpinan UMNO – merekrut anggota baru yang segar dan bertenaga bagi menyuntik kekuatan kepada UMNO. Bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Noor sudah dikhabarkan akan menyertai UMNO. Jika UMNO ikhlas menerima beliau, saya yakin akan lebih ramai lagi orang Melayu khususnya dalam kalangan golongan menengah, yang selama ini bersifat pemerhati di luar gelanggang, akan terbuka hati untuk menyertai UMNO.

Selaras dengan itu saya juga berkeyakinan jika kerajaan yang masih berkuasa sekarang ini, sudi menarik balik dasar tidak boleh berpolitik secara aktif kepada golongan menengah ini, kemasukan beramai-ramai ke dalam UMNO akan berlaku. Golongan ini yang selama ini dinafikan hak mereka untuk berpolitik secara aktif, banyak bertindak menyusahkan UMNO dengan pandangan-pandangan kritis dan tindakan-tindakan yang seakan-akan menyokong pembangkang. Sayang sekali kerana UMNO tidak dapat memanfaatkan pemikiran dan sokongan sebilangan daripada mereka sedangkan pencapaian mereka dalam status sosial dan ekonomi adalah hasil perjuangan UMNO selama ini.

Kita tidak boleh menafikan bahawa golongan inilah yang selama ini bertindak melalui pelbagai badan bukan kerajaan sebagai pihak yang melakukan ‘check and balance’. Sudah tiba masanya; sebelum golongan ini benar-benar ‘memakai baju pembangkang’, UMNO membuka ruang dan peluang kepada mereka. Menggunakan ungkapan bahasa Inggeris; “there`s nothing to lose”, UMNO tidak perlu khuatir kerana jika berlaku di sebalik apa yang kita harapkan, UMNO memang sudahpun berada dalam keadaan yang goyang.

Jika selama ini UMNO dilihat sebagai parti kampungan, sudah tiba masanya persepsi terhadap UMNO diubah. Sejak sekian lama kita sudah mendengar seruan tentang anjakan paradigma, tetapi kita tidak sedar UMNO sendiri tidak melakukannya. Pada hemat saya, inilah masa yang paling sesuai kerana kepemimpinan tertinggi sudahpun mengisytiharkan dasar keterbukaan UMNO. Jadi kita menyeru kepada kepemimpinan semua peringkat; ‘cakaplah serupa bikin’.

Tanpa menafikan sokongan yang tidak berbelah bagi pada peringkat akar umbi terutama oleh kalangan pengundi kampung, dan satu lagi fragmen iaitu golongan teknokrat dan konglomerat selama ini, sudah tiba masanya UMNO menerima suntikan baru daripada golongan menengah ini. Pengalaman berada di luar gelanggang menjadikan persepsi mereka lebih adil, tulen, rasional dan objektif. Mereka menaakul sesuatu isu dengan minda yang positif; jika benar dan bagus, mereka menyokong. Tetapi jika palsu dan buruk, mereka menegur secara berhemah. Jadi keterbukaan yang ada dalam UMNO sekarang ini perlu memanfaatkan golongan ini supaya UMNO akan kembali segar dan bermaya.

Dalam masa yang sama, UMNO hendaklah membuang semua ‘kudis’ yang terdapat di badan parti ini selama ini. Saya yakin hasil pencapaian dalam pilihan raya umum yang lalu, pucuk pimpinan parti sekarang sudah dapat memastikan siapa yang dimaksudkan. Terimalah nasihat pakar bedah; sebelum kudis menjadi gangren, baiklah anggota tubuh itu dipotong. Golongan inilah yang sebenar-benarnya menjadi ‘duri dalam daging’ semenjak sekian lama.

Beberapa analisis yang dibuat tentang pilihan raya lalu menunjukkan golongan ini telah menyampaikan maklumat palsu kepada kepemimpinan tertinggi tentang kekuatan dan kestabilan UMNO di peringkat akar umbi. Mereka menyorokkan ‘luka-luka’ yang berpotensi menjadi gangren kerana mereka sendiri terleka lantaran corak kehidupan yang penuh ‘kemanisan’.

Ada kemungkinan juga lantaran ketrampilan minda yang tidak tercabar oleh kehadiran golongan mengengah, menyebabkan golongan yang berpotensi untuk terus menimbulkan masalah kepada UMNO ini tidak dapat memahami aspirasi perubahan yang ditelah diisyaratkan oleh akar umbi. Contohnya, tidak ramai yang menyalahkan Tun Mahathir sebagai punca kekalahan teruk yang dialami UMNO.

Kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap kepemimpinan Pak Lah oleh Tun Mahathir menyebabkan pengundi marah; marah kerana Pak Lah menanganinya dengan penuh kelembutan. Mereka mahu Pak Lah bangun melawan. Tetapi, sekali bernama Pak Lah, beliau akan terus bersikap sedemikian. Itulah hakikatya; bagi orang Melayu, cara Pak Lah itulah yang paling bertepatan dengan citra bangsa Melayu. Dan untuk memastikan UMNO terus relevan, bukankah citra itu yang wajib dipertahankan?

Sudah tiba masanya untuk UMNO melaungkan kempen “Jom Masuk UMNO” kepada golongan menengah Melayu yang selama ini tidak dibenarkan berpolitik secara aktif. Mudah-mudahan UMNO akan terus relevan; DAHULU, KINI DAN SELAMANYA.

UNIVERSITI BUKAN TEMPAT BULAN MADU

Tahniah dan selamat datang kepada mahasiswa baru institusi pengajian tinggi. Di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja dianggarkan seramai hampir 50 000 mahasiswa baru mulai mendaftar pada penghujung minggu yang lalu. Puluhan, malahan ratusan ribu yang lain mengikuti program diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang jumlahnya melebihi 400 buah.

Universiti menurut makna rasminya ialah institusi yang memberikan ilmu dalam pelbagai bidang, menjalankan penyelidikan ilmiah, dan menganugerahkan pelbagai peringkat ijazah. Secara harfiahnya, perkataan universiti juga berupa gabungan perkataan ‘universe’ dan ‘city’, yang terjemahannya bermaksud ‘bandar raya jagat’ atau ‘bandar raya dunia’. Ini boleh membawa maksud, universiti sebagai institusi yang di dalamnya terkandung segala ilmu keduniaan termasuklah sains, teknologi, sosial, kemanusiaan, dan pelbagai ilmu lain yang dapat diterbitkan oleh akal manusia. Dengan reputasi yang sebegitu tinggi, mereka yang terpilih memasukinya hendaklah menyedari bahawa universiti bukanlah tempat untuk ‘bermain-main’. Mulai hari pertama lagi, mahasiswa perlulah menginsafi bahawa mereka adalah insan terpilih daripada ratusan ribu lepasan sekolah. Jadi sewajarnya mereka menanamkan tekad tidak mensia-siakan peluang yang diberikan, apatah lagi mengambil kira amanah dan harapan ibu bapa.

Justeru itu juga, mahasiswa perlu dengan serta-merta mengadaptasi corak penghidupan yang baru sebagai anggota alam intelektual. Seperti yang disebut terdahulu, di dalam kampus segala-galanya perlu dilihat sebagai sumber ilmu. Persoalan akademia bukan sekadar terjawab dalam bilik kuliah, bilik tutorial atau makmal semata-mata. Daripada ilmu bercorak falsafah tinggi sehinggalah kepada ilmu yang diperoleh dengan hanya menyaksikan gelagat pengguna jalan raya di dalam kampus misalnya, semuanya mampu memberi maklumat jika digarap dengan teliti. Mahasiswa yang dapat menggarap pengalaman alamiah seperti ini akan berhasil sebagai mahasiswa cemerlang, gemilang dan terbilang.

Dunia akademia bukan lagi tempat untuk berleka-lekaan dan bermanja-manjaan. Mahasiswa perlu segera bersikap profesional dan ‘berani buat berani tanggung’. Mereka perlu mencorak sendiri masa depan sebagai seorang intelektual. Sebagai manusia terpilih, mereka hadir dengan kelayakan akademik yang hebat. Oleh itu, kesempatan untuk berada di dalam lingkungan yang hebat, sepatutnya digunakan untuk menjadi mahasiswa yang hebat dan bergraduat dengan kelulusan Kelas Pertama atau sekurang-kurangnya Kepujian Kelas Kedua Atas. Tidak wajar ada mahasiswa yang menerima GB (gagal dan diberhentikan). Alangkah ruginya diri sendiri, keluarga dan negara!

Kebanyakan IPTA telah bertungkus-lumus menyediakan persekitaran yang paling kondusif dalam bandar raya jagat masing-masing. Segalanya siap siaga untuk dimanfaatkan oleh mahasiswa. Mahasiswa perlu bersaing secara paraleli; bersaing dengan rakan mahasiswa, dan bersaing dengan ilmu yang digali itu sendiri. Persaingan sebegini menuntut mahasiswa sentiasa dinamik dan bersedia. Semua program yang ditawarkan telah distrukturkan sedemikian rupa bagi membolehkan mahasiswa menyusun strategi masing-masing untuk menguasai komponen-komponen kursus yang telah ditetapkan. Tidak ada lagi zaman spoon feeding.

Satu realiti lain yang mesti sentiasa disedari oleh mahasiswa ialah bahawa persaingan tidak terhenti setakat di universiti sahaja. Selepas bergraduat persaingan untuk memasarkan kepakaran masing-masing adalah lebih sengit lagi. Anggaran seramai kira-kira 50 000 mahasiswa menganggur setiap tahun menunjukkan, peluang pekerjaan adalah sangat terhad. Hanya graduan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik sahaja yang mampu bersaing jika dipanggil temuduga.

Justeru itu, mahasiswa perlu memastikan mereka memberi tumpuan kepada kursus-kursus yang mampu mereka kuasai dan menunjukkan pencapaian yang terbaik. Tidak semua kursus di universiti bersifat teoritikal semata-mata. Terdapat banyak juga kursus bersifat vokasional dan hands-on yang jika dikuasai, akan membantu mahasiswa berketrampilan dan berkelayakan memohon pekerjaan tertentu. Kursus-kursus seperti Pengucapan Awam dan Kemahiran Bahasa Asing misalnya amat berguna dalam persaingan mendapatkan pekerjaan.

Kebanyakan IPTA turut menawarkan kursus-kursus kemahiran bahasa asing sebagai bahasa ketiga. Walaupun kursus-kursus tersebut tidak berstatus wajib, tetapi adalah wajar jika mahasiswa mengambil kesempatan untuk menguasai mana-mana bahasa yang ditawarkan. Hal ini akan menjadi nilai tambah kepada ketrampilan mereka.

Dalam era globalisasi sekarang ini, bahasa-bahasa Arab, Mandarin, Spanish, German, Perancis, Vietnam, Thai, Russia dan beberapa bahasa lain yang dahulunya tidak bersifat komersil, telah mula mendapat tempat. Sekurang-kurangnya, penguasaan bahasa asing itu akan membolehkan mahasiswa memperluaskan horizon pekerjaan selepas tamat belajar. Mereka boleh meneroka pasaran kerja di negara-negara yang bahasanya telah dipelajari. Misalnya, banyak peluang pekerjaan terdapat di negara-negara berbahasa Arab yang meliputi Semenanjung Arab, dan Afrika Utara. Dasar pasaran terbuka di China dan kebangkitan Vietnam turut menjanjikan peluang pekerjaan bagi mereka yang menguasai bahasa China dan Vietnam.

Bersesuaian dengan peningkatan usia, mahasiswa harus menyedari juga bahawa mereka perlu segera menjadi matang. Mereka bukan budak-budak sekolah lagi. Tanganilah sebarang krisis identiti sebelum mula mengikuti kuliah. Mahasiswa sudah memasuki alam dewasa yang penuh pertanggungjawaban. Atas kurniaan akal fikiran yang terbaik, mahasiswa perlu memanfaatkan masa, tenaga dan fokus mereka terhadap usaha menggarap ilmu.

Masyarakat tidak mahu melihat mahasiswa yang masih keliru; merempit, menghisap dadah, menjadi teman sosial, dan terlibat dalam pelbagai gejala sosial yang lain. Masyarakat tahu bahawa sebahagian besar hasil pendapatan negara dibelanjakan untuk menyediakan dan meningkatkan kemudahan pendidikan kepada anak bangsa. Sebarang tingkah laku yang melanggar aspirasi masyarakat, hanya akan menimbulkan rasa tidak senang kepada semua pihak. Jadi sudah sepatutnyalah mahasiswa menginsafi hal ini dan tidak melakukan ‘tugasan’ selain daripada yang diberikan oleh para pensyarah mereka.

Sabtu, Jun 14, 2008

ELOK FIKIR SENDIRI KESAN KEGIATAN NEGATIF

Sudah sekian lama kita mendengar berita penahanan beberapa orang rakyat Malaysia yang kebanyakannya wanita di penjara di luar negara, kerana kesalahan menyeludup dadah ke Amerika Selatan, Eropah, dan beberapa negara di Asia sendiri.

Akhbar Berita Harian pernah mendedahkan laporan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bahawa angka rakyat Malaysia yang ditahan itu kini sudah mencecah 118 orang. Di Peru sahaja 12 rakyat Malaysia kini merengkok dalam penjara kerana kesalahan itu semenjak Januari 2007 yang lalu. 9 daripada mereka wanita. Hari ini Berita Harian turut mendedahkan lagi berita wanita Malaysia ditahan di Britain kerana isu yang sama.

Angka yang diumumkan oleh Pengarah JSJN itu ternyata besar dan amat memalukan negara khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Secara umumnya, kebanyakan yang ditahan dikatakan menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Malah dilaporkan juga bahawa negara ini dijadikan pusat merekrut penyeludup dadah yang akan dibawa ke negara kedua sebelum diarah menghantar dadah ke negara destinasi.

Saya ragu dengan alasan bahawa mereka yang ditahan itu menjadi ‘mangsa’ sindiket berkenaan. Mangsa bererti korban atau pihak yang menerima kesan akibat perbuatan jahat atau kejadian yang tidak dapat dikawal seperti kemalangan. Ini bermakna, mereka yang menjadi mangsa tidak mampu mengawal kejadian yang mereka alami. Kejadian yang menimpa pula berlaku secara tidak disangka-sangka. Dalam beberapa kes yang dapat dikesan, kebanyakan mereka yang ditahan mengaku tertarik dengan tawaran pendapatan lumayan jika mahu bekerja di luar negara, di samping tawaran dan peluang melancong ke destinasi tertentu. Maknanya, mereka secara sedar menerima tawaran pekerjaan itu tanpa memikirkan secara mendalam dan mengkaji atau menyiasat kesahihannya

Bagi saya, kejadian-kejadian malang sebegini berpunca daripada kelemahan berfikir seseorang. Secara logiknya, tidak mungkin kita boleh mendapat upah besar dengan hanya melakukan pekerjaan menghantar barang ke destinasi tertentu. Tambahan pula, dalam era komunikasi yang serba canggih kini, promosi dan penghantaran barangan tidak perlu lagi menggunakan kaedah-kaedah kuno seperti itu. Melainkan dalam keadaan terpukau atau diugut (black mail), tidak semudah itu kita boleh terpedaya oleh orang yang baru dikenali atau tidak dikenali sama sekali untuk melakukan tugas seperti itu.

Saya hairan kerana kebanyakan wanita yang terlibat, yang berusia dalam lingkungan 20-an, telahpun melalui sistem pendidikan kebangsaan yang menerapkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam semua subjek yang diajarkan di sekolah. Tahun ini, sudah masuk 10 tahun komponen ini diterapkan secara langsung dalam sistem persekolahan kita. Tidak cukup dengan itu, penerapan komponen ini turut dibuat di peringkat institisi pengajian tinggi juga sebagai kursus elektif.

Hal ini menunjukkan, kerajaan dan pelbagai pihak yang terlibat dalam menyediakan generasi pewaris negara, telah berusaha sedaya upaya untuk melahirkan rakyat yang mempunyai daya kecekapan berfikir pada aras tertinggi yang mampu dicapai oleh seseorang individu. Setelah melalui sistem pendidikan selama sekurang-kurangnya 11 tahun, kita merasa hairan bagaimana masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang tidak boleh berfikir untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan kejadian-kejadian seperti itu.

Akhbar Berita Harian pernah juga memaparkan kekesalan bapa kepada salah seorang mangsa kerana tiada pihak yang datang untuk menghulurkan bantuan. Pada waktu yang sama, beliau juga menyalahkan kelonggaran kawalan keselamatan IPTS tempat anaknya belajar, sebagai punca kejadian seperti ini. Beliau juga mahu kerajaan supaya lebih serius mengawal aktiviti dan keselamatan pelajar. Masihkah bapa berkenaan mahu menyalahkan pihak lain sahaja?

Saya fikir sikap bapa berkenaan agak kurang rasional. Beliau perlu sedar bahawa masyarakat (dan barangkali juga kerajaan) sudah ‘jemu’ mendengar kejadian-kejadian sebegini. Bukan sekali dua kejadian seperti ini berlaku, malahan saya yakin ada dalam kalangan anggota masyarakat yang mempertikaikan alasan bagaimana wanita-wanita itu boleh terperangkap dan melakukan kerja itu. Dalam kes bapa ini, beliau menambah dua lagi punca dan tidak menyalahkan anaknya seratus peratus.

Pihak keselamatan dimana-manapun hanya boleh menyekat gangguan yang datang secara fizikal. Tetapi jika anak itu berjaya dipengaruhi, hal ini bukan lagi berkaitan dengan keselamatan fizikal. Ini adalah soal kekuatan minda; sejauh mana seseorang itu mampu berfikir secara logik dan rasional. Tiada tembok sekukuh dan setinggi manapun dapat menghalang pencerobohan minda kerana hal itu tetap boleh berlaku melalui medium yang lain. Buktinya, kebanyakan mangsa mengakui terpedaya dengan tawaran-tawaran berkenaan melalui promosi dan iklan di internet.

Bapa berkenaan juga harus sedar, untuk menjaga seorang anak lebih sukar daripada menjaga sekandang lembu. Kita tidak boleh mengharapkan kepada kerajaan, IPTA atau IPTS semata-mata untuk mengawal aktiviti dan keselamatan pelajar. Setiap kita mesti mempunyai kekuatan minda untuk mengawal diri daripada gejala-gejala negatif seperti itu. Kita mesti menjaga diri kita sendiri. Jangan pula diharapkan kerajaan untuk memikirkan dan menggubal akta perlindungan orang dewasa, seperti yang diwujudkan untuk golongan kanak-kanak.

Iktibar daripada kejadian-kejadian seperti ini, masyarakat perlu segera menyedari bahawa kita memerlukan kekuatan minda untuk menghadapi cabaran-cabaran dunia yang semakin kalut. Pelbagai cara dilakukan untuk mengaut keuntungan segera tanpa usaha keras. Ingatlah sentiasa, tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Gejala-gejala sosial yang banyak berlaku sekarang ini, kebanyakannya berpunca daripada kelemahan kita berfikir. Pada hal, kita telah sama-sama melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang menerapkan elemen kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Kisah Sufiah Yusof, juga perlu menjadi iktibar bahawa setinggi mana pun IQ seseorang, jika minda tidak berfungsi dengan baik, kita masih boleh terjebak dalam kancah yang negatif. Apatah lagi jika IQ kita tidak secerdas itu. Hal ini kerana isu genius dan kemahiran minda untuk berfikir adalah dua perkara yang berlainan. Buktinya, masih ada berita yang menyatakan terdapatnya mahasiswa IPT yang merempit, menagih dadah, dan menjadi teman sosial. Jadi kesimpulannya, kita jangan terlalu percaya bahawa apabila anak-anak sudah mendapat pendidikan yang tinggi, mereka akan menjadi pemikir yang cekap. Selagi boleh, ibu bapa harus ambil tahu dan tidak lepas tangan apabila anak-anak sudah besar panjang.

Khamis, Mei 22, 2008

MASA MENGEMBALIKAN CITRA MELAYU SEBENAR

Komen Tun Musa Hitam tentang pengunduran bersyarat Tun Mahathir daripada UMNO amat menarik untuk ditelusuri. Beliau dipetik sebagai berkata bahawa konsep Mahathirisme sudah berlalu. Dari sudut ilmu bahasa, ‘isme’ ialah kata akhiran asing yang dipinjam dan disesuaikan sebagai kata akhiran bahasa Melayu. Kata ini membawa pengertian ‘kepercayaan, gerakan politik atau keagamaan, dan juga sikap serta perlakuan’ seseorang atau sesebuah kelompok manusia. Dalam konteks ini Mahathirisme membawa gambaran kewujudan suatu era yang memperlihatkan orang Melayu begitu (atau terpaksa) percaya dengan cara, pemikiran, tindakan, diplomasi, dan corak pemerintahan Tun Mahathir yang berlaku selama lebih dua dekad yang lalu.

Dalam tempoh tersebut, pelbagai kejayaan telah dicapai oleh negara khususnya dalam bidang ekonomi dan hubungan antarabangsa. Sesiapapun tidak boleh menafikan bahawa selama 22 tahun memerintah, Tun Mahathir telah berjaya membangunkan Malaysia dalam pelbagai sektor. Malaysia telah mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara besar dan maju. Suara Malaysia kedengaran di mana-mana; dari Jepun hingga ke Amerika, malahan dalam kalangan negara-negara Islam, Malaysialah juara. Pada tempoh-tempoh akhir pemerintahannya, suara Malaysia juga turut didengari hingga ke Everest, benua Artik dan benua Antartika. Begitulah hebat Tun Mahathir. Kami rakyat Malaysia berasa amat berbangga kerana mendapat seorang negarawan yang seulung Tun.

Walau bagaimanapun kehebatan Tun Mahathir melalui pelbagai pencapaian tersebut tidak sejajar dengan kebijaksanaan Tun berpolitik cara Melayu. Tun yang telah terlibat dengan UMNO semenjak awal penubuhannya, gagal menyelami jiwa Melayu sedalam-dalamnya. Barangkali kerana Tun tidak berdarah Melayu setulen-tulennya, maka itu Tun tidak mampu menghayati hati budi Melayu serta gagal berfikir seperti orang Melayu umumnya. Tun telah diberi kuasa seluas-luasnya, dan saya yakin tidak akan ada perdana menteri selepas Tun yang akan berkuasa begitu lama seperti yang telah Tun capai.

Tun tidak sedar bahawa orang Melayu secara tradisinya telah memisahkan kuasa politik dengan kuasa daulat. Bagi orang Melayu, semenjak waadat antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba di Bukit Siguntang; rakyat jelata boleh berpolitik tetapi raja-raja Melayu tetap ditaati atas kuasa daulatnya. Jangan sekali-kali mencampuradukkan kedua-dua dimensi kuasa itu kerana jika itu dilakukan, bencana akan menimpa orang Melayu. Inilah yang telah Tun lakukan berkali-kali semasa berkuasa dahulu. Pada awal-awal lagi, Tun dilihat sebagai ultra Malay yang kelihatan seperti mahu mencabar ciri keramat Melayu sebagai manusia yang sederhana, taat dan patuh kepada rajanya.

Kemudian Tun mulai membentuk rejim Tun sendiri yang diperkukuhkan melalui pelbagai tindakan termasuklah berkonfrontasi dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein, Tengku Razaleigh, Tun Musa, Tun Ghafar, Datuk Seri Anuar, dan sekarang dengan Datuk Seri Abdullah pula. Malahan Tun tergamak mencabar kuasa daulat raja-raja Melayu sehinggakan orang bukan Melayu pun sudah terikut-ikut berani mencabar raja-raja Melayu.

Selama 22 tahun rejim Mahathirisme berkuasa mutlak, sehingga raja-raja Melayu pun tidak senang duduk tetapi tidak mampu bersuara. Setelah lama memendam rasa, Allah telah mentakdirkan sudah tiba masanya segala kesilapan Tun diperbetulkan. Pak Lah ditakdirkan menggantikan Tun sebagai Perdana Menteri. Zaman kekerasan telah berlalu, dan kini tiba pula zaman penuh kelembutan, tenang dan berhikmah. Segala kemarahan yang disimpan selama 22 tahun, kelihatan reda dengan pertukaran rejim pada PRU 11 (2004).

Rakyat amat mengharapkan agar kelembutan Pak Lah akan memadamkan api dendam yang membara selama ini. Tetapi Tun tidak menyenangi gaya Pak Lah lalu bangkit mengkritik. Tun tidak pun memberi peluang dan ruang yang selesa kepada Pak Lah untuk memerintah mengikut caranya. Tun tuduh Pak Lah mengamalkan kronisme dan nepotisme tanpa sedar bahawa istilah-istilah itu muncul pada zaman Tun. Kritikan demi kritikan yang Tun lemparkan tidak ubah seperti membuka pekung di dada atau menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri! Seperti kata beberapa pihak, Tun berada dalam state of insecurity apabila satu demi satu dasar baru diperkenalkan oleh Pak Lah menggantikan dasar-dasar keras Tun selama ini. Mahathirisme sepatutnya sudah berakhir tetapi Tun menyemarakkan semula rasa kebencian rakyat yang sudah reda selama 4 tahun selepas PRU 11. Orang Melayu bangun memprotes, tetapi bukan niat ditujukan kepada Pak Lah. Akibatnya, PRU 12 menyaksikan orang Melayu kehilangan kuasa politik mereka.

Kuasa ekonomi memang sudah lama terlepas daripada tangan orang Melayu khususnya akibat penjajahan demi penjajahan. Kini, kuasa politik yang dahulunya menjadi pengimbang kepada kuasa ekonomi, turut sudah terlepas daripada genggaman orang Melayu; sedikit demi sedikit. Buktinya, mulai pada PRU 10 (1999) kepemimpinan tertinggi Melayu (era Mahathirisme) sudah mengisytiharkan bahawa tanpa pengundi Cina, Barisan Nasional (BN) belum pasti mampu terus memerintah dengan majoriti 2/3. Maknanya, orang Cina sekarang sudah menjadi penentu kepada kebertahanan ‘ketuanan Melayu’. Semenjak dari itu, yang tinggal bagi orang Melayu hanyalah kuasa daulat raja-rajanya sahaja.

Memanglah UMNO kelihatan sangat lemah sekarang. Tetapi apakah faedahnya jika kita terus menimbulkan masalah demi masalah. Mujurlah Pak Lah yang jadi Presiden, jika orang lain, saya tidak boleh bayangkan berantakan yang lebih dahsyat lagi. Rakyat amat percaya, jika gajah sama gajah berjuang, yang mati ditengah-tengah ialah pelanduk. Jadi, wahai para pemimpin Melayu, janganlah lagi menimbulkan kegusaran di hati rakyat. Ingatlah, satu lagi keunikan ciri keramat Melayu ialah mengamuk. Sebelum rakyat bangkit mengamuk, lebih baik kita duduk bermusyawarah dan selesaikan kekusutan dengan cara baik. Amukan kecil sudah pun dimanifestasikan melalui PRU 12 yang lalu, dan kita sedar dengan amukan sedemikian pun orang Melayu sudah kehilangan maruah dan ketuanannya.

Tun Mahathir hendaklah sedar bahawa, era Mahathirisme telah berlalu. Segala yang berlaku sekarang harus dijadikan iktibar kepada seluruh umat Melayu. Jangan terlalu suka menuding jari ke sana dan ke mari menyalahkan orang lain kerana setiap kali satu jari telunjuk kita menunjuk orang lain sebagai bersalah, ada tiga jari yang lain menunjuk ke arah diri kita sendiri. Pak Lah, teruskanlah agenda membangun semula hati budi orang Melayu yang telah lama terkeliru. Belum terlambat untuk melakukan sesuatu, dan keluarnya Tun Mahathir daripada UMNO harus dilihat sebagai titik mula mengembalikan citra Melayu yang setulen-tulennya.